Kebahagiaan?


Sebelum aku datang ke sini, kebetulah aku rapat dengan seorang pensyarah kolej aku. Aku kurang pasti bagaimana keakraban tersebut bermula. Mungkin kerana aku selalu berjumpa dengannya menanyakan pandangan selain selalu terserempak di bangunan kuliah dan juga di masjid. Aku selalu berbincang dengannya berkaitan isu-isu agama, fiqh dan lain-lain. Pensyarah yang usianya aku rasa sudah menjangkau umur 30-an ini sehingga aku ke sini masih lagi belum berkahwin.

Pada aku dia merupakan seorang pensyarah yang tegas dan kadang-kadang suka bergurau dengan para pelajarnya. Beliau juga amat mengambil berat mengenai pemikiran masyarakat. Pemikirin bangsa melayu, pemikiran mahasiswa, khususnya para pelajarnya.

Pernah suatu hari, kebetulan aku bertembung dengannya di masjid. Seperti biasa kami akan bersembang. Pelbagai tajuk yang kami buka. Mungkin beliau mahu bersembang panjang dengan aku, kami ke sebuah restoran di luar kolej.

Kami rancak bersembang. Kalau sebelum ini hanya isu-isu panas semasa, agama dan pelajar, tapi di sini kami saling bertukar pengalaman dan sejarah hidup. Beliau menceritakan sejarah hidupnya dan pengalaman percintannya.

Persoalan yang beliau utarakan pada aku, apakah erti kebahagiaan sebenarnya? Sebelum kahwin dan selepas kahwin. Mungkin sebelum kahwin, bahagianya adalah saling ber'sms', berbual di telefon, mendengar suara yang disayangai. Atau mungkin juga bahagianya ialah dapat melihat muka orang yang disayangi. Bahagia apabila saling melafazkan kata rindu dan sayang kepada pasangan masing-masing. Apakah ini bahagia yang dicari? Sedangkan hubungan masih belum terjamin, dijamin dan sah. Apakah ini bahagia?

Beliau mempersoalkan erti bahagia yang sebenarnya berdasarkan petikan temuramah daripada sebuah majalah wanita yang beliau kongsi dengan aku dan berdasarkan respon para pelajarnya. Apakah bahagia itu apabila merasakan suami berada di sisi sepanjang masa? Cukup dan sempurnakah bahagia itu hanya apabila sudah ada rumah sendiri, sudah ada anak, pekerjaan dan gaji untuk menampung perbelanjaan rumah?

Beliau mengatakan, sesetengah masyarakat kita merasakan bahagia dengan cukup sekadar apa yang disebutkan tadi. Bahagia bukanlah dengan sms, panggilan dan menatap wajah yang disayangi semata-mata. Bukan sekadar sentiasa mahu pasangan di sisi, cukup dengan ada rumah, ada anak, ada kereta ada gaji. Bahagia itu apabila pasangan saling memahami dan hidup dalam suasana saling Bantu-membantu dan saling lengkap melengakapi.

Beliau membawa contoh. Andainya si suami seorang kakitangan akademik, sibuk dengan forum, simposium, pembentangan kertas kerja. Suatu ketika si suami mendapat tugas membentangkan kertas kerja di luar negara. Kebetulah tarikh tersebut ialah hari kedua aidilfitri dan terpaksa berada di luar negara seminggu. Ini bermakna tidak berpeluang menyambut hari pertama aidilfitri bersama keluarga. Adakah si isteri sanggup menemani si suami ke luar negara? Merasakan bahawa biarlah dia bersama dengan suaminya, menemaninya di luar negara walaupun tidak berpeluang menyambut raya pertama bersama keluarga? Ataupun bertindak tidak mahu menemani suaminya ke luar negara?

Mungkin pada aku boleh dibawa contoh lain. Si suami mendapat isteri yang bekerja sebagai doktor. Doktor biasa mahupun doktor pakar dalam bahagian tertentu. Lumrahnya semua mengetahui pekerjaan sebagai seorang doktor dan keadaanya yang sentiasa 'on call'. Pastinya seorang doktor sangat sibuk dengan pesakitnya, memberi rawatan yang terbaik mengikut jadual dan gilirannya. Malah, cuti yang diperolehi biasanya sangat singkat dan terhad kuotanya untuk setahun. Adakah si suami merasakan telah hilang bahagia hidupnya apabila isterinya sibuk dengan tugas dan tidak dapat selalu menemaninya? Kerana kurang masa untuk bersama di rumah dan sebagainya.

Hakikat bahagia bukanlah sekadar di atas kata-kata dan angan-angan semata-mata. Tetapi ia lebih berbentuk tindakan fitrah bagi insan. Lebih berbentuk kepada pengorbanan dan saling memahami antara pasangan. Ini bermakna, janganlah menilai apabila si suami tidak berkemampuan membeli rumah yang besar, mewah besar dan selasa, si isteri tidak merasa bahagia. Mersakan dirinya terbeban, susah dan malu dengan adik-beradik atau saudara mara atau rakan-rakannya yang memiliki rumah yang besar, cantik dan selesa. Janganlah menilai apabila si suami masih tidak bermampuan membeli kereta, merasakan diri dan hidupnya akan susah dan hilang bahagianya. Juga janganlah si lelaki merasakan hilang bahagia apabila isteri sibuk dengan tugasan dan tanggungjawabnya.

Makna bahagia mungkin berbeza bagi setiap individu. Perbezaan atas sebab berbeza pangalaman, keadaan hidup dan sebagainya. Sekiranya disoroti kehidupan Rasulullah s.a.w., baginda merupakan ketua turus angkatan perang, ketua sebuah negara, pendakwah, kounselor, hakim dan sebagainya. Baginda merupakan ketua bagi umat negara Islam dan umat Islam keseluruhannya. Pastinya dengan tanggungjawab yang dipikul, sering membuatkannya jarang berada di rumah dan bersama isteri-isterinya. Namun, keluarga baginda tetap bahagia. Andai dikira masa, tanggungjawab dan sebagainya, Rasulullah lebih besar dan rumit keadaanya daripada kita sekarang. Malah, jika mahu menilai harta kekayaan yang dimiliki, Rasulullah s.a.w. bukanlah seorang hartawan, tetapi seorang yang hidup sangat sederhana dan hanya memenuhi keperluan dan bukannya kehendak. Bagaimanakah bentuk kebahagian yang telah berjaya dititipkan dan dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. ini?

Pelbagai lagi kisah-kisah contohnya daripada kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang boleh diajadikan tauladan. Kebahagiaan yang dikecapi adalah kebahagiaan yang indah dan diredhai oleh Allah s.w.t. Mungkin sama-sama kita boleh bermuhasabah bagimanakah kehidupan dan mahligai yang kita mahu bina akan datang. Semuanya bermula daripada ilmu dan pengalaman. Jangan berfikiran sempit tentang kebahagiaan dan merasakan bahagia itu hanya perkara kebendaan. Juga dada merasa senak, susah hati dan sebagainya memikirkan perkara yang remeh yang sepatutnya boleh diselesaikan dan disempurnakan dengan baik.

Sorotilah sejarah penghulu dan kekasih Allah ini. Hayatilah kisah-kisah para sahabat, alim ulama' yang masyhur dengan kealiman mereka dan keberkatan kehidupan mereka. Mudah-mudahan aku dan kau dapat mencari dan seterusnya menemui kurniaan DIA yang penuh rahmat dan nikmat, maha luas dan maha indah.

"… Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kam pun adalah pakaian bagi mereka…"
(al-Baqarah 2:187)

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

(ar-Ruum 30:21)


Wallahu ta'ala a'lam.

Comments