FITNAH FITNA!!

Ummah diminta matang tangani isu 'Fitna'
Roy Rasul
Tue | Apr 01, 08 | 1:08:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa umat Islam termasuk kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), bersikap matang tetapi tegas dalam menangani isu klip video 'Fitna'.

Setiausaha Agungnya, Abdul Muntaqim Zulkipli, berkata, tindakan seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders yang menghasilkan klip video berkenaan bertujuan menghina Islam dan mencaci al-Quran, amat dikesali.

Justeru itu, katanya, dalam satu kenyataan, kerajaan digesa menghantar bantahan rasmi kepada kerajaan Belanda.

"Tindakan tegas perlu diambil kerana penghasilan klip video seperti itu adalah satu hasutan yang akan memburukkan lagi hubungan antara dunia Islam dan dunia Barat," katanya.

Katanya, tindakan itu yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Malah katanya, tindakan Geert yang menghasil klip video pendek yang bersifat provokatif itu seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada isu sebuah akhbar Belanda yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w. beberapa tahun lalu.

"Penghasilan klip video seperti itu merupakan satu hasutan yang akan memburukkan lagi hubungan antara dunia Islam dan dunia Barat," katanya.

Katanya, dunia marah dengan tindakan biadab Geert yang menghasil klip video selama 15 minit bertajuk 'Fitna' itu.

Klip video tersebut jelas cuba menghina agama Islam, menghina Rasulullah s.a.w. dan mencaci kesucian kitab suci al-Quran, katanya.

Klip video tersebut memaparkan beberapa ayat-ayat suci al-Quran yang dikaitkan dengan keganasan.

Dalam pada itu, PKPIM berkata, umat Islam seluruh dunia tersinggung dan marah dengan klip video tersebut yang mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk menuduh agama Islam sebagai agama yang mendorong umatnya kepada keganasan.

Walhal katanya, Islam adalah agama yang menjadikan kasih sayang dan keselamatan sebagai antara nilai asas.

PKPIM meminta seluruh umat Islam bersikap matang dan tidak bertindak balas secara terburu-buru dalam menangani isu ini.

"Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan provokasi melampau yang dilakukan melalui klip video tersebut," katanya.

Sebaliknya, masyarakat Islam boleh mengambil tindakan mengikut saranan ulama terkemuka dunia, Prof Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi.

Perkara tersebut katanya, adalah:

* Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.

* Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.

* Respons dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.

* Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.

* Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam. - lanh

Comments