Mencuba Hawawshi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pada bulan ini umat Islam di seluruh dunia sedang menikmati kehadiran bulan Rejab. Bulan yang memberi tanda akan hampirnya bulan Ramadhan. Bulan Rejab yang padanya berlaku peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Dalam sedar, pada bulan ini rindu kepada masakan dan resepi makanan mesir semakin membuak-buak. Boleh jadi kawan di Facebook yang berada di Mesir telah berkongsi resepi makanan Mesir. Jika dilihat, masakannya tidaklah begitu sukar dan menyulitkan. Hanya jika bahan tersebut tada di Malaysia, berubah sikitlah fizikal dan rasa resepi tersebut.


(Google: National flag from food - Egypt)

Sebelum ini, setelah balik dari China, teringin membuat masakan China. Maka telah sempurna masakan pau dan dumpling. Cuma tidak sempat berkongsi lagi. Setelah itu, resepi yang dikongsi oleh kawan mesir tersebut telah disediakan oleh orang rumah. Ada perbezaan rasa antara menggunakan pes tomato daripada tomato segar yang dibuat sendiri dan pes tomato segera yang berada di pasaran. Apa nama resepinya, lupa..

Sempena kehadiran mak dan ayah dari kampung, menyinggah menzarahi kami adik-beradik yang berada di Kuala Lumpur, teringin mempersembahkan makanan ini buat mereka. Sempena cuti sekolah, adik di tingkatan empat bercuti dan adik yang memperoleh hampir sedozen A dalam SPM baru-baru ini untuk memilih dan dipandu pengajian di peringkat seterusnya.

Sebelum ia dipersembahkan kepada mereka, terlebih dahulu dipersembahkan kepada mak mertua. Walaupun tidak berapa jadi, namun kebiasaannya hasilan pertama sebagai pengajaran pada masa akan datang.

Berceloteh macam blogger Aziekitchen pula, haha..

Inilah sedikit gambar langkah dan hasilnya. Gambar tidaklah begitu jelas dan sudut pandang yang menarik sehingga menyelerakan. Tergesa-gesa dan gambar dari telefon bimbit yang sangat hebat. Resepi asalnya adalah mudah dan ringkas. Ada yang menggunakan roti pita, atau roti yang seumpamanya, juga ada yang menggunakan ulian tepung yang belum dimasak. Cara cepat dan mudah, beli roti pita yang sedia ada di pasaran dengan pelbagai pilihan perasa roti. Resepi ini ada yang saya ubah sedikit ikut selera dan ikut dan.

Bahan-bahannya ialah:

Daging lembu hancur fozen atau segar
Buah tomato
Bawang besar
Bawang putih
Jintan manis atau mixed spice
Serbuk lada
Garam
Marjerin
Roti pita

Jika tidak menggunakan roti pita siap sedia dan mempunyai kerajinan yang tinggi, bolehlah membuah doh roti seperti doh untuk pizza atau donut. Doh roti canai pun bolehlah kot. Boleh cuba. 

Cara membuatnya:

Potong buah tomato secara mendadu
Potong bawang juga secara mendadu
Tumbuk bawang putih sehingga hancur

Buah tomato, bawang besar, bawang putih, digaulkan bersama daging hancur. Letakkan garam secukup rasa. Belah roti pita, isikan daging ke dalamnya. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis lapisan dagingnya. 


Sapukan marjerin di atas permukaan roti pita. Kemudian balutkan dengan foil aluminum. Akhir sekali sedia untuk dibakar dengan menetapkan suhu kepada 175 sehingga 185 darjah celcius. Bakar selama 20 sehingga 30 minit. Kerana daging mentah kita masukkan ke dalam roti tanpa proses memasak daging terlebih dahulu, maka perlu pastikan daging benar-benar masak. Jika tidak, bakteria yang terdapat dalam daging masih hidup dan boleh menyebabkan keracunan makanan.

Selepas bakar, inilah hasilnya..




Ada yang berkata sedap, ada yang berkata agak masin. Mungkin kerana daging terhidrat, maka kemasinannya agak dirasai. Umumnya, sedaplah kot. Sendiri makan pun kata sedap. Haha..

Jika seseiapa yang kesuntukan masa, bolehlah disediakan terlebih awal, kemudian hanya dipanaskan sahaja. Pelbagai cara boleh dibuat. Inti daging tersebut boleh dipelbagaikan bahannya mengikut kesukaan dan kesesuaian. Seperti sayur campur, daun ketumbar, oregano, lada banggala, cili kampung, atau apa sahaja yang sesuai selama mana masih boleh ia diterima dengan nama Hawawshi (الحواوشي).

Alhamdulillah, selesai satu lagi resepi makanan Mesir yang berjaya dibuat selepas Makaroni Bechamel. Seterusnya akan menyusul resepi lain. Insha Allah.. Sijil Latihan Pengendalian Makanan telah diperoleh. Apa ya seterusnya?

Hidup terus mencari..

08 Rejab 1439H,
Kota Damansara.

Comments