PENTADBIRAN ISLAM DI SINGAPURA (SIRI 4)

Pentadbiran Hal Ehwal Islam Pasca Pemerintahan British
Peranan Singapura sebagai sebuah pusat ekonomi menyebabkan kebanjiran migrasi daripada luar serta telah mewujudkan bentuk masyarakat yang pelbagai agama dan budaya. Di dalam komuniti muslim, wujud masyarakat yang mempunyai kelompok dan lapisan tertentu berdasarkan kepada keturunan dan keberadaan kekayaan mereka. Perkahwinan dan asimilisasi budaya berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sehingga membentuk keluarga-keluarga muslim baru di Singapura. Ia telah memberi definisi baru bagi komuniti muslim yang terdiri daripada Arab, India muslim, Jawa Peranakan dan Melayu pribumi yang mula membentuk identiti tempatan dengan berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat serta kebiasaan setempat.

Keturunan Arab merupakan para pedagang, pengusaha dan tuan tanah. Kekayaan dan status kedudukan mereka yang tinggi memasukkan mereka ke dalam elit sosial kemuniti muslim. Keturunan Jawa Peranakan juga menikmati status yang tinggi dalam komuniti yang lebih luas. Sejak awal abad ke-20, keturunan Arab dan India muslim mula dilibatkan ke dalam pelbagai bidang urus-tadbir negara oleh Gabenor yang terdiri daripada orang-orang British. 



Ketika era pembangunan Singapura, pihak pemerintah gabenor menyedari timbulnya persoalan-persoalan yang berkait dengan kepentingan dan pelaksanaan ajaran agama dalam kalangan masyarakat Islam. Gabenor telah mengambil kesempatan untuk bertindak melakukan campurtangan. Suatu peristiwa yang berlaku ialah pada tahun 1887, suatu kelompok yang terdiri daripada 143 warga muslim Singapura telah mengirim sebuah petisyen kepada Gabenor untuk melantik seorang qadhi aatau hakim sebagai rujukan bagi mengurus dan mentadbir masalah yang berkait dengan perkahwinan. Tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1880, pihak Gabenor telah mewujudkan Ordinan Perkahwinan Umat Islam (Mahomedan Marriage Ordinance) yang mana ia berkait dengan hal ehwal perkahwinan dan penceraian sahaja. Kewujudannya secara rasmi bererti adanya pengiktirafan ke atas keberadaan muslim di Singapura daripada pemerintah Gabenor .

Pada pertengahan abad ke-19, pihak Belanda menghadkan dan melakukan pemeriksaan terhadap calon jemaah haji Indonesia. Akibatnya ramai dari mereka menggunakan Singapura sebagai pilihan untuk menunaikan haji. Situasi ini menyebabkan pihak pemerintah berfikir perlunya ada sebuah organisasi sebagai landasan pengaturan dan pengawasan agen perjalanan haji. Maka pada tahun 1905, Dewan Legislatif telah menubuhkan organisasi tersebut dan meletakkan syarat agar para agen perjalanan haji atau mutawwif memiliki surat keizinan.

Pada tahun 1905, telah diwujudkan sebuah badan diberi nama Mahomedan and Hindu Endowment Board bagi memurnikan tindakan salah urus di dalam hal ehwal keagamaan terutamanya permasalahan wakaf. Badan ini berperanan sehingga tahun 1941 sahaja apabila Singapura dijajah oleh Jepun. Namun ia kembali berfungsi pada tahun 1946 selepas Jepun menyerah kalah dan Perang Dunia Kedua berakhir. Pada tahun 1948, telah dilantik dua orang daripada komuniti muslim ke dalam badan tersebut. Pada tahun 1951, telah dibentuk Mohamedan Advisory Board sebagai badan yang berfungsi memberi nasihat kepada pemerintah mengenai hal ehwal komuniti muslim di Singapura. Pada tahun 1952, badan ini diubah nama kepada Muslim dan Hindu Endowment Board dan terus berperanan sehingga pembubarannya pada tahun 1968.

Sebuah masjid telah dibangunkan pada tahun 1947 oleh migran-Arab yang diberi nama Masjid Ba’alawi, terletak di Jalan Lewis, Bukit Timah. Masjid ini telah memainkan peranan yang besar dan luas terhadap komuniti Muslim sekitar. Peranannya juga telah diperkukuh dalam proses pembangunan komuniti muslim berdasarkan tuntutan semasa untuk memperluas masyarakat Singapura. Terdapat sebuah organisasi yang bernaung di bawah masjid ini iaitu Association for Muslim Professionals (AMP) dan Association of Women for Action and Research (AWARE).

Seiring dengan kemajuan dan pembangunan Singapura, pemerintah telah melaksanakan keperluan-keperluan masyarakatnya dengan mendirikan rumah-rumah rakyat serta mewajibkan penduduknya termasuk orang Melayu untuk tinggal di perumahan-perumahan yang telah didirikan ini. Orang Melayu telah berpindah daripada kampung-kampung tradisional yang terdiri daripada satu etnik sahaja ke sebuah kawasan penempatan yang lebih moden dan terdiri daripada campuran etnik. Berbanding sebelum berpisah daripada Malaysia, selepas berpisah muslim Singapura tinggal dalam perumahan yang lebih baik dan lebih ramai pelajar Islam mendapat pelajaran yang lebih baik. Begitu juga lebih ramai masyarakat Melayu termasuk dalam golongan ‘kelas menengah’.

Peranan Penjajahan Terhadap Sistem Politik Negara Islam
Pada abad ke-20, telah wujud dua fenomena utama dunia iaitu penjajahan Eropah dan perjuangan Islam untuk kemerdekaan. Kolonialisme atau penjajahan ini telah mengubah dengan ketara peta georgrafi dunia Islam dari segi sempadan negara dan kuasa pemerintahan serta warisannya masih wujud dan hidup sehingga ke hari ini. Selepas Perang Dunia Kedua, Perancis menakluki Afrika Utara, Lubnan dan Syria; British pula menakluki Palestin, Iraq, Teluk Arab, benua kecil India, Tanah Melayu dan Brunei (kepulauan Borneo); dan belanda menakluki Indonesia.

Penjajahan ini telah menggantikan sistem dan institusi peribumi negara asal yang telah wujud sejak zaman-berzaman iaitu sistem pendidikan, undang-undang, ekonomi dan agama. Kesan yang sangat ketara adalah terhadap sistem keagamaan di mana agama Islam terutamanya dicabar, ditekan dan dihalang perkembangannya dengan nyata dan jelas. Para pegawai penjajah dan mubaligh Kristian menjadi alat ketenteraan dalam misi imperialisme Eropah. Agama Kristian dilihat oleh mereka sebagai agama yang terunggul berbanding agama Islam dan budayanya. Sikap ini jelas difahami daripada ucapan Lord Cromer, seorang peguam British di Kaherah dari tahun 1883-1907 yang menyatakan “… sebagai sistem sosial, Islam telah menjadi kegagalan yang lengkap. Islam membenarkan diri wanita dalam kedudukan yang rendah … ia membenarkan perhambaan … kecenderungan umum (Islam) adalah tiada toleransi terhadap agama lain …” 

Penjajahan Eropah telah menggantikan pemerintahan sendiri umat Islam berpandukan Undang-undang Islam (Syariah) kepada undang-undang yang berpandu kepada Raja-raja Eropah. Penjajah merupakan pasukan tentera salib moden yang mana mereka berperanan sebagai pahlawan Kristian yang keluar berjuang untuk memusnahkan Islam. Penjajah Perancis menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan salib menentang sabit (bulan sabit – Islam). Satu-satunya perbezaan antara tentera salib tradisional dan tentera salib moden Eropah adalah kedatangan mereka bukan membawa pasukan berkuda dan pedang, tetapi dengan tentera mubaligh Kristian yang membawa bersama meraka institusi dan sistem dakwah Kristianisasi seperti sekolah, hospital dan gereja dan mereka masih wujud di dalam negara-negara islam sehingga ke hari ini. Contoh yang nyata ialah Perancis telah merampas Masjid di Aljeria dan menukarkannya kepada gereja Saint Phillippe dengan bendera Perancis dan salib di menara sebagai lambang penguasaan Kristian.

Model politik dan ekonomi yang telah diambil dari Eropah untuk menggantikan sistem politik dan ekonomi Islam telah mewujudkan bandar-bandar yang lemah dari segi sistem sokongan sosial, pengangguran yang tinggi, rasuah pegawai kerajaan dan jurang yang semakin ketara antara kaya dan miskin. Pembaratan atau westernism telah membawa kepada perpecahan agama, keluarga tradisional dan nilai-nilai etika serta adat setempat. Kuasa kerajaan yang yang dijajah walaupun setelah kemerdekaan masih sangat bergantung kepada pasukan keselamatan seperti polis dan tentera di mana terdapat negara-negara ini mempunyai kebebasan yang sangat terhad di dalam kebebasan bersuara, berpendapat dan berhimpun. Banyak negara Islam yang ditadbir di dalam budaya ‘autoritarian’  yang bertentangan dengan nilai masyarakat awam dan kebebasan media.

Gaya kepimpinan autoritarian adalah pemimpin yang menentukan dasar dan prosedur, memutuskan apa matlamat yang hendak dicapai, mengarah dan mengawal semua aktiviti tanpa mana-mana penyertaan yang signifikan oleh orang bawahan. Gaya pemimpin ini ia mempunyai kawalan penuh ke atas jentera pentadbirannya dan mengetepikan autonomi dalam kumpulan yang lebih rendah berserta kuasa pemimpin yang tidak terhad. Pemimpin mempunyai suatu pandangan yang mana mesti berupaya untuk memberi motivasi kepada pentadbirannya dengan berkesan untuk menyelesai dan melaksanakan tugas. Pentadbiran jenis ini dijangka menyelesaikan tugas-tugas mereka di bawah pengawasan yang sangat ketat.

Realiti yang berlaku apabila dikatakan bahawa negara Islam mempromosi keganasan dan ditekan kerananya, maka puncanya adalah disebabkan gangguan dari penjajahan atau pihak asing yang masuk campur dalam urusan dalaman negara tersebut. Kebebasan dan demokrasi yang sebenar ialah segala sistem yang dibentuk oleh penjajahan dikembalikan kepada sistem dan undang-undang asal yang ditadbir oleh masyarakat setempat yang hidup di dalam negara tersebut. Jika prinsip dan undang-undang terawal atau asal yang wujud di negara tersebut adalah Islam, maka Islam perlulah dikembalikan sebagai sistem yang mentadbir negara dan kehidupan masyarakat di dalamnya .

Di dalam konteks yang lain, penjajahan Eropah ini dilihat memberi pengaruh yang paling besar ke atas perkembangan negara-negara yang dijajah di mana ramai masyarakat dan negara Islam telah mengalami peralihan kepada kemodenan. Dasar-dasar British telah membentuk kebergantungan masyarakat muslim terhadap kuasa penjajah di dalam perkembangan politik mereka. Sikap masyarakat Islam terhadap British adalah berbeza mengikut pemikiran dan pemahaman terhadap nilai Islam semasa dan pengelaman tertentu terhadap bentuk pemerintahan British. Strategi keseluruhan empayar British dalam siri penjajahannya adalah membentuk sistem negara Islam ke arah kemodenan dan membawa mereka agar meninggalkan serta mengetepikan isu-isu utama seperti isu Palestin, hubungan dengan negara Islam Teluk dan negara-negara jirannya yang lebih besar yang dilihat mengganggu perkembangan negara mereka dan pembentukan identiti negara moden dari Afrika Barat sehinggalah ke Tanah Melayu .

Dalam melihat kepada pembolehubah penjajahan British, boleh didapati bahawa berlaku pengubahsuaian secara beransur-ansur ke atas geopolitik negara yang mengamalkan cara hidup dan undang-undang Islam dijajah, sokongan terhadap Khalifah, undang-undang syariah dan mahkamah, sekolah-sekolah agama, pengagihan cukai orang Islam, aktiviti sosioekonomi dan melagakan orang Islam dengan isu-isu keagamaan nda perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

Pentadbiran Hal Ehwal Islam Selepas Tahun 1965
Selepas Singapura mencapai pentadbiran sendiri pada tahun 1965, badan dan organisasi muslim yang diwujudkan semasa zaman kolonial British dan di bawah pemerintahan mereka telah diadaptasi dan diperbaharui sesuai dengan keadaan Singapura yang telah merdeka dan berkerajaan sendiri. Antara pembaharuan yang dibuat ialah diwujudkan dan dimasukkan The Administration of Muslim Law Act (AMLA) ke dalam parlimen pada 13 Disember 1965. Ia telah diwartakan dan menjadi undang-undang pada 25 Ogos 1966. Akta ini memberikan peruntukan yang sepatutnya dan selayaknya kepada tiga entiti teras pengurusan Islam di Singapura iaitu Majelis Ugama Islam Singapura (the Islamic Religious Council of Singapore) [MUIS], Peradilan Syariah (the Syariah Court) dan Pendaftaran Pernikah Orang-Orang Islam (the Registry of Muslim Marriages). Di dalam Artikel 153, akta tersebut menyatakan: “The Legislature shall by law make provision for regulating Muslim religious affairs and for constituting a Council to advise the President in matters relating to the Muslim religion.” Berdasarkan Artikel 153 ini, MUIS mempunyai autoriti untuk memberikan nasihat kepada Presiden Singapura dalam masalah-masalah Islam dan umatnya.

Bermula daripada ini, MUIS bertindak sebagai suatu badan pengurusan induk yang menjadi penasihat kepada Presiden Singapura dalam hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam di Singapura dan pelantikan pertama ahli majlis telah dibuat pada tahun 1968. MUIS memulakan peranannya sebagai badan Pengadian Syariah dan Pencatat Perkahwinan dan mula menjadi pusat yang mengatur dan mengurus hal ehwal kehidupan komuniti muslim di Singapura. Mengikut struktur pentadbiran, MUIS berada di bawah Ministry of Community Development (Kementerian Pembangunan Masyarakat). Dengan bantuan orang ramai muslim yang menderma wang kepada MUIS melalui potongan gaji bulanan dan zakat, maka MUIS telah menjadi badan yang ditadbir secara profesional dengan wang berjuta dolar. 

Bersambung..

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
11 Rabiulakhir 1439H.

Comments