PENTADBIRAN ISLAM DI SINGAPURA (SIRI 1)

“Anda boleh berpegang kepada cakap saya dalam perkara ini, tempat ini merupakan stesen yang paling penting di Timur dan dari segi kekuatan angkatan tentera laut serta kepentingan perdagangan, tempat ini mempunyai nilai yang lebih dari keseluruhan benua jajahan. Sekiranya tidak berlaku sebarang malapetaka, tempat ini pasti menjadi pusat perdagangan dan suatu kemegahan di Timur… Adalah sukar untuk menandakan satu tempat di peta dunia yang memperlihatkan masa depan yang lebih cemerlang.” – Sir  Stamford Raffles, Surat Menyurat 1819.

Pengenalan Singapura
Singapura dikenali dengan nama Lion City, the Garden City dan Red Dot. Pada tahun 1819, Sir Stamford Raffles telah menjadikan Singapura sebagai sebuah pusat perdagangan Syarikat Hindia Timur Inggeris dan menjadi tanah jajahan pada tahun 1826 melalui perjanjian Negeri-negeri Selat.  Semasa perang Dunia Kedua, Singapura dijajah oleh Jepun dan kemudiannya mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1963 dengan bergabung ke dalam Persekutuan Malaysia. Walaubagaimanapun, pada tahun 1965 Singapura telah berpisah daripada Malaysia setelah wujud perbezaan pendirian dan hasil majoriti pungutan suara rakyatnya.

Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) dikenali juga dengan nama "John Company" adalah sebuah syarikat perdagangan yang telah dianugerahkan piagam diraja oleh Ratu Elizabeth I pada 31 Disember 1600. Syarikat ini dengan panggilan Honourable East India Company telah diberi kemudahan untuk menguasai perdagangan di India Timur. Syarikat ini berubah dari syarikat perdagangan kepada sebuah badan yang memerintah India apabila ia mula mempunyai kuasa tentera dan kerajaan tempatan. Syarikat ini ditutup pada 1858. Syarikat Hindia Timur Inggeris ditubuhkan di England pada tahun 1600 dan kerajaan British di London telah memberi kuasa kepada SHTI untuk menjalankan perdagangan antarabangsa dan meluaskan tanah jajahan.


Singapura merupakan pusat perdagangan dan perindustrian global serta menjadi hab pengangkutan sehingga mendapat jolokan ‘tempat termudah untuk berniaga’ oleh Bank Dunia selama sepuluh tahun. Singapura mendapat kedudukan yang tinggi dalam polisi sosial kebangsaan yang menduduki tempat ke-11 mengetuai negara Asia di peringkat antarabangsa melalui Indeks Pembangunan Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Indeks tersebut menumpukan pengukuran terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, kualiti kehidupan, keselamatan individu, perumahan dan jangkaan kehidupan.


Penduduk Singapura adalah seramai 5.5 juta orang, 38% merupakan penduduk tetap dan selainnya adalah warganegara asing. Kebanyakan rakyat Singapura bertutur dalam bahasa Inggeris  sebagai bahasa harian. Singapura mempunyai kepelbagaian budaya kesan daripada bangsa dan etnik masyarakatnya yang terdiri daripada Cina, Melayu, India dan Barat. Kesemua sambutan untuk budaya dan etnik tersebut diperuntukkan di dalam cuti umum kebangsaan.

Sejarah Kewujudan dan Pembangunan Singapura
Sejarah Singapura boleh terbahagi kepada tujuh fasa iaitu; Sejarah Awal (Pra-1819), Era Penjajahan British (1819-1942), Pemerintahan Jepun (1942-1945), Zaman selepas Perang Dunia Kedua (1945-1962), Pemerintahan Dalaman Berkerajaan Sendiri (1955-1962), Ganbungan dengan Malaysia (1962-1965) dan Republik Singapura (1965 sehingga sekarang).

Catatan pertama permukiman di Singapura berasal dari abad ke-2 Masihi. Pulau ini merupakan pos luar Kerajaan Srivijaya di Sumatera yang diberi nama Temasek dalam bahasa Jawa. Ia bermaksud ‘kota laut’. Menurut Hikayat Melayu, pada tahun 1299 telah wujud pemerintahan Singapura di pulau tersebut sebagai sebuah pusat perdagangan. Kemudian berlaku dua pencerobohan asing dan dihapuskan oleh kerajaan Majapahit pada tahun 1398. Sekitar 400 tahun selepas 1402-1403, Singapura menjadi daerah yang tidak bertuan dan ditinggalkan manusia. Singapura dikenali sebagai sebuah pulau yang hampir tidak mempunyai penduduk, tetapi menjadi tempat tinggal para perompak dan lanun. 


Antara abad ke-16 dan awal abad ke-19, Singapura menjadi sebahagian dari Kesultanan Johor. Walaupun Singapura merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Johor, tetapi penguasaan maritim dan perdagangan berada di bawah Belanda. Pada tahun 1613, perompak Portugis membakar permukiman di muara Sungai Singapura dan pulau ini menjadi tidak terlalu diperhatikan sehingga dua abad seseterusnya. Pada tempoh kurun tersebut tiada sebarang gambaran jelas mengenai agama yang dianut oleh penduduk di Singapura. Kemungkinan yang ada ialah agama Hindu dan animisme yang menjadi anutan asal serantau di Nusantara ini. Singapura mula membangun pada tahun 1786 setelah menjadi sebuah pusat enterpot semulajadi bagi kawasan berhampiran ketika dijajah oleh Belanda. Pada tahun 1819, Thomas Stamford Raffles bagi pihak Syarikat Hindia Timur British telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussien Shah dari Johor untuk membangunkan bahagian selatan Singapura sebagai pos perdagangan British. 

Pada 17 Mac 1824, telah berlaku perjanjian antara British dan Belanda yang dinamakan Perjanjian Inggeris-Belanda. Perjanjian ini dibuat bagi menyelesaikan pertikaian yang muncul selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1814. Perjanjian tersebut menyebabkan Kepulauan Melayu terbahagi kepada Kawasan Jajahan British di bahagian utara dan Kawasan Jajahan Belanda di bahagian Selatan. Antara kesan lain ialah perpecahan Empayar Johor-Riau. Empayar Johor berakhir apabila Singapura dan Tanah Besar Johor jatuh ke tangan British dan Kepulauan Riau di bawah pengaruh Belanda. Akhirnya kawasan penempatan British di Bangkahulu (Bencoolen), Sumatera diserahkan kepada Belanda dan Koloni Belanda di Melaka diserahkan kepada British, Belanda tidak akan menuntut haknya ke atas Singapura dan Belanda mengiktiraf kedudukan British di Singapura.

Selepas perjanjian tersebut, Singapura dan Melaka ditadbir oleh Residen, manakala Pulau Pinang ditadbir oleh Leftenan Gabenor. Bermula dari tahun itu, British mempunyai tiga bentuk penempatan. Pertama, Pulau Pinang yang telah ditubuhkan sejak tahun 1786. Pada tahun 1805, Kerajaan India telah mengangkat Pulau Pinang menjadi ‘Presidency’ ke-4 selepas Madras, Bombay dan Benggala di India. Pulau Pinang mempunyai seorang Gabenor sebagai ketua negara. Kedua, Singapura yang ditubuhkan pada 1819 dengan seorang Residen yang bertanggungjawab kepada pentadbiran British di India. Antara tahun 1819-1823, semua arahan pentadbiran datang secara langsung dari Raffles di Bengkahulu di Sumatera dan bukan dari Pulau Pinang. Tetapi selepas Raffles pulang ke England  pada tahun 1824, Singapura terus diletakkan di bawah pentadbiran di India. Ketiga, Melaka yang diperolehi melalui pertukaran dengan Bengkahulu yang diserahkan kepada Belanda berdasarkan Perjanjian Inggeris-Belanda. Ketiga-tiga negeri tersebut diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran British di India.

Pada tahun 1826, ketiga-tiga Pulau Pinang, Melaka dan Singapura digabungkan bagi membentuk Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Selat atau juga dikenali sebagai Kawasan Penempatan Selat merupakan gabungan dari kawasan - kawasan yang dimiliki oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) di Asia Tenggara, yang mana telah diberi Pemerintahan Kolektif pada tahun 1826 sebagai Koloni Mahkota yang juga diberi kepada protectorates iaitu merujuk kepada ‘native princely states’ yang meliputi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Awalnya, Negeri-negeri Selat ini merangkumi Pulau Pinang (juga dikenali sebagai Pulau Prince of Wales), Singapura, Kepulauan dan Jajahan Dindings (Wilayah ini dikenali sebagai Daerah Manjung dan menjadi sebahagian Negeri Perak), Seberang Perai (juga dikenali sebagai Province Wellesley), Melaka, Labuan (menjadi sebahagian negeri Sabah pada tahun 1963 dan kemudiannya menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1984) dan Pulau Krismas serta Kepulauan Cocos (Keeling) (kini ditadbir oleh Australia).

Penggabungan itu bertujuan untuk menyeragamkan serta menjimatkan perbelanjaan pentadbiran dengan mengurangkan bilangan pegawai-pegawai selain kebimbangan British terhadap kuasa Eropah lain yang sedang berada di Asia Tenggara seperti Perancis di Indo-China, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia. British tidak mahu kepentingan ekonominya di Negeri Melayu diancam oleh kuasa-kuasa ini. Negeri-negeri Selat berada di bawah pemerintahan Syarikat Hindia Timur Inggeris beribu pejabat di Calcutta, India sejak tahun 1690. Negeri-negeri Selat ini terus menjadi ‘Presidency’ ke-4 dan Pulau Pinang dijadikan ibu negerinya. Seorang gabenor dilantik dan ianya tertakluk kepada arahan-arahan dari Kerajaan India. 

Pada tahun 1830, taraf ‘Presidency’ Negeri-negeri Selat telah diturunkan ke taraf Residency. Dengan itu, jawatan gabenor telah ditukar kepada Residen. Dua orang Timbalan Residen telah dilantik di Pulau Pinang dan Melaka. Tetapi selepas tahun 1832, jawatan Gabenor digunakan semula di Negeri-negeri Selat dan pusat pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan ke Singapura. Singapura menjadi ibu negara serantau pada tahun 1836. Pada 1 April 1867, Negeri-negeri Selat telah dijadikan sebagai Koloni Mahkota British yang mana pusat pentadbirannya telah dipindahkan dari Calcutta ke Pejabat Tanah Jajahan di Whitehall, London. 

Perkembangan yang pesat di Singapura telah memperlihat kekurangan dan kelemahan dalam pentadbiran Negeri-negeri Selat yang semakin jelas. Selain daripada sikap acuh tak acuh pentadbir British di India dengan keadaan tempatan, di sana wujud karenah birokrasi yang besar serta menyukarkan untuk meluluskan undang-undang baru. Komuniti perdagangan Singapura mula dipengaruh untuk menentang pemerintahan India British sehingga membawa kepada penubuhan Koloni Mahkota Britis yang berasingan dari pentadbiran di India. Gabenor pertama Negeri-negeri Selat ialah Robert Fullerton dari tahun 1826 sehingga 1830.

Pemindahan pentadbiran ke London adalah kerana Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) di India tidak mengambil berat kebajikan Negeri-negeri Selat dan desakan saudagar-saudagar yang tidak berpuas hati dengan dasar Pejabat Tanah Jajahan British di India. Cadangan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk menghapus taraf pelabuhan bebas Singapura telah mengancam kemajuan perdagangan. Kemasukan pendatang China secara tidak terkawal menyebabkan berlaku kekacauan akibat penubuhan kongsi gelap dan penduduk membantah tindakan Pejabat Tanah Jajahan British di India yang menjadikan Singapura sebagai tempat pembuangan banduan dari India.

Pada 12 Jun 1895, telah berlaku Perjanjian Persekutuan dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 1896 yang membawa kepada negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan serta Pahang disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) atau Persekutuan 1896. Antara syarat-syarat perjanjian ialah; Raja-raja bersetuju menerima seorang pegawai British sebagai Residen Jeneral, Residen Jeneral bertanggungjawab kepada Gabenor Negeri-negeri Selat yang juga menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Raja-raja bersetuju mengikut nasihat Residen Jeneral dalam semua perkara kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen Jeneral yang pertama dan pusat pentadbiran Persekutuan terletak di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Residen Jeneral.

Singapura benar-benar berkembang maju sebagai kota perdagangan setelah ia menjadi sebahagian daripada jajahan British dan imperialis mereka  dalam tempoh tahun 1819-1942. Keadaan ini hampir menutupi kisah negeri-negeri Selat yang lain seperti Pualu Pinang, Melaka, Labuan dan Dinding. Penduduk Singapura bertambah dengan cepat dan pedagang Cina merupakan kelompok terbesar penduduknya. 

Sebelum kedatangan Raffles terdapat hanya kira-kira seribu orang yang mendiami pulau Singapura, kebanyakannya orang Melayu yang merupakan penduduk asal bersama-sama dengan beberapa kelompok masyarakat Cina. Jumlah penduduk Singapura pada tahun 1819 yang hanya sekitar ratusan orang telah meningkat menjadi lebih 10,000 orang pada tahun 1824. Pada tahun 1860, penduduk Singapura telah meningkat kepada lebih 80,000 orang dan dan lebih separuh daripadanya adalah masyarakat Cina. Ramai pendatang yang menetap di Singapura untuk bekerja di ladang-ladang getah. Selepas tahun 1870-an, pulau ini menjadi sebuah pusat global untuk eksport getah. 

Bersambung..

Kredit gambar: Google

Hidup dalam mencari..

Kota Damansara,
03 Rabi' al-Akhir 1439H.

Comments