Mentadbir Negara Dengan Islam

Assalamualaikum dan salam hormat.

Segala puji bagi Allah, pemilik dan pentadbir alam yang fana'. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, kaum kerabat baginda, sahabat baginda, seterusnya para salafus soleh yang mengikuti baginda dengan iman, ilmu dan akhlak, yang terdiri daripada para tabi'in, tabi' tabi'in dan itba' tabi' tabi'in.

Pertambahan bilangan masjid yang dibina dan pemerkasaan pengimarahan masjid, pertambahan sekolah-sekolah agama tahfiz, agama integrasi, pondok-pondok moden, pertumbuhan produk-produk perbankan Islam, pembinaan pusat pengajian tinggi, pusat pemikiran dan penyelidikan Islam, pemerkasaan undang-undang syariah, peningkatan integriti dan etika penjawat awam, pembasmian perlakuan jenayah, pengurangan kadar kemiskinan, penyediaan infrastruktur dan fasiliti kemudahan awam yang baik dan pelbagai lagi. Ini semua antara contoh hasil yang diperoleh melalui 'Islam mentadbir negara'.

Jika disorot pegangan kukuh berkaitan Islam mentadbir negara, kita perlu merujuk kepada perlembagaan negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan. Di dalam perlembagaan telah jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan, dengan kedudukan serta peranannya sangat jelas. Dimaklumi bahawa penafsiran undang-undang atau perlembagaan hanya boleh dibuat di mahkamah oleh para hakim. Maka, adalah sangat tidak patut dan munasabah sekiranya terdapat pihak yang masih mahu berpegang dengan kata-kata lapuk beberapa pemimpin negara terdahulu bahawa Islam 'sebagai agama rasmi' bermaksud Islam yang menjadi elemen adat, alat atau simbol Islam di dalam majlis rasmi negara semata. Seharusnya, penafsiran terbaru daripada pihak hakim serta mahkamah yang lebih bersifat holistik, lengkap dan signifikan digunapakai dan difahami oleh para pemimpin dalam pentadbiran kerajaan.


Matlamat perjuangan setiap indivdu Islam, parti politik, persatuan, badan kebajikan dan seumpamanya, yang membawa nama, falsafah serta identiti yang Islami, seharusnya selari iaitu menjadikan Islam sebagai akidah, pemerintahan dan pentadbiran. Islam perlu menjadi ruh yang sempurna, menyeluruh, fleksibel dan komprehansif dalam segenap aspek pentadbiran dan pengurusan negara, teradahulu komponen utama negara iaitu eksekutif, legislatif dan judisiari. Ini semua merupakan tuntutan daripada penyaksian dalam ucapan syahadah dan pertanyaan oleh Allah di akhirat kelak. Ruh Islam perlulah terus mengalir an memandu kehidupan individu, masyarakat mahupun negara.

Apabila timbul mana-mana individu, perkumpulan atau golongan tertentu yang mencabar dan menolak ruh Islam secara nyata dan jelas, yang bermakna ia mencabar dan menolak penyaksian kita yang menjadikan Allah swt sebagai sembahan dan Rasulullah swt sebagi ikutan, mereka ini perlu diambil tindakan yang sewajarnya. Ketegasan terhadap perkara ini perlu dizahirkan agar maruah dan kehormatan Islam terjaga an terjamin, seterusnya meletakkan nilai kehormatan dan kemuliaan terhadap agama Islam itu sendiri berserta seluruh umatnya.

Pelbagai masalah yang berlaku pada hari ini seperti yang melibatkan keamanan dan kestabilan negara, sehingga menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara, kesalahan jenayah, rasuah dan salah guna kuasa, rompakan, kecurian dan ragut, pembunuhan dan kecederaan, masalah sosial, kumpulan gangster dan kongsi gelap, keruntuhan rumahtangga perlulah dicari jalan penyelesaiannya berpandukan ruh, semangat dan pemahaman yang baik mengenai Islam. Pemahaman terhadap ilmu-ilmu asas agama Islam seperti ilmu asas Fiqh dan pecahannya, Usul al-Fiqh, Qawa'id Fiqhiyyah dan Maqasid asy-Syariah. Selain itu pemahanan terhadap situasi dan keperluan semasa negara yang merangkumi peneguhan ekonomi, pembangunan yang terancang, pentadbiran yang baik, tahap keperluan kehidupan masyarakat, kestabilan dan kemakmuran negara. Maka, terserlahlah akan kepentingan pendidikan dan pemahaman ilmu serta pengalaman yang benar dalam menetapkan dasar, matlamat, agenda serta perancangan negara, dengan dalam masa yang sama membanteras permasalahan yang timbul.

Pemahaman terhadap mentadbir negara dengan agama tidak boleh semata melihat sesuatu huku dengan pandangan perspektif yang tunggal tanpa diimbangi dengan keperluan lain. Peringkat pertama adalah melihat matan ayat Quran atau hadith yang mengandungi hukum. Kemudian mentafsirkan melalui padanan ayat lain daripada Quran dan hadith yang mempunyai kaitan yang signifikan dengan hukum tersebut. Selpeas itu, perlu memahami apakah wujud proses nasakh dan mansukh terhadap hukum asal. Dalam mencermati proses tersebut, perlulah mengikut peringkat atau turutan keutamaan sebagai rujukan. Dua bentuk sumber yang boleh dirujuk iaitu sumber yang mandatori dan sumber pilihan atau sokongan. Sumber mandatori tertinggi meliputi peringkat Quran, diikuti hadith Nabi, persepakatan ulama (ijma') dan qias. Sumber pilihan atau sokongan yang boleh digunakan seperti masalih al-mursalah, istihsan, sad' dzara'i' dan istishab. Bagi mengeluarkan hukum daripada sumber-sumber tersebut, perlualah mempunyai kepakaran dan pemahaman dalam ilmu yang utama iaitu Usul Fiqh dan Qawaid Fiqhiyyah. Tanpa kedua-dua ilmu ini, akan tempang penyelidikan yang dibuat setersnya menghasilkan hukum yang tidak tepat berdasarkan firman Allah swt.

Selain itu, ulama Islam telah mengenengahkan kefahaman fiqh kontemporari, antaranya ialah Fiqh Lima. Apa yang terkandung di dalamnya ialah Fiqh Nusus merangkumi ayat Quran dan matan hadith, Fiqh Awlawiyat iaitu fiqh keutamaan, Fiqh Muwazanat bermaksud fiqh pertimbangan, Fiqh Taghyir iaitu fiqh perubahan dan Fiqh Waq'ie bermaksud fiqh semasa. Mengapa terma 'fiqh' yang digunapakai? Ini adalah kerana fiqh itu sendiri memberi makna faham. Maka kefahaman merupakan inti atau hikmah yang Allah swt kurniakan kepada seseorang hamba dalam menetapkan sesuatu berkenaan aspek kehidupannya berpandungan ajaran agama. Nabi Muhammad saw telah bersabda bahawa sekiranya Allah mengkehendaki kebaikan paad diri seseorang, maka akan dikurniakan kefahaman di dalam urusan agamanya. Allah swt menegaskan di dalam Quran bahawa orang yang takut kepada Allah sebenarnya orang yang berilmu dan orang yang berilmu sama sekali tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Maka tidak janggal apabila dinyatakan bahawa orang berilmu, yang benar di atas jalan dan tali Allah, mereka sebenarnya adalah golongan pewaris Nabi.

Negara perlulah ditadbir dengan nilai agama. Di dalam nilai tersebut meletakkan kewujudan Tuhan sebagai pentadbir dan pencipta alam. Nilai fitrah insan adalah meyakini kewujudan kekuasaan luaran dan alam, maka perlunya kepada nilat bertuhan. Pihak yang berpegang dengan ketidakwujudan tuhan merupakan golongan yang melawan arus dan bertentangan dengan sifat fitrah manusia. Di dalam sejarah Islam, nilai agama Islam tidak pernah menjadi punca kepada kejahilan, kerosakan, perbalahan dan perpecahan serta keganasan atau kemunduran. Islam secara dasar tidak menjadi punca perbalahan dan perpecahan kerana kemunculan Islam yang dibawa melalui perutusan Nabi Muhammad saw sebagai rasul membawa kepada perpaduan dan kekuatan. Kabilah, bangsa dan suku yang berbalah, bergadung dan berbnuhan sejak berzaman telah dimamankan oleh baginda Nabi Muhammad. Sehinggakan kehidupan antara masyarakat Islam serta Yahudi boleh didamaikan dengan semampu mungkin oleh Nabi. Realiti pada hari ini, perasaan kepuakan dan berbangsa-bangsa yang dipanggil sebagai 'asobiyah atau nasionalisme itulah yang menjadi duri dalam daging kepada tuntutan perpaduan umat Islam secara umum. Lihat sahajalah negara-negara Arab pada hari ini, apa sudah jadi dengan mereka!

Mentadbir negara dengan agama telah meletakkan kawalan-kawalan yang tertentu serta sesuai. Antaranya Allah swt telah memerintahkan manusia agar bersatu padu dan bertolong-tolongan dalam perkara-perkara kebaikan serta dilarang bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Perkara yang membawa pahala telahpun jelas, serta perkara yang membawa kepada dosa juga jelas. Malah, perkara yang boleh menimbulkan permusuhan serta memecahkan perpaduan juga jelas. Namun, di dalamnya terdapat dasar, polisi dan ketetapan yang memerlukan pertimbangan dalam menetapkan ianya sebagai pahala (membawa kebaikan), dosa dan permusuhan (membawa kemudharatan). Dalam menilai perkara-perkara ini pula, sebagai orang Islam kita perlulah merujuk panduan yang telah disediakan oleh sarjana kita.

Ulama telah menggariskan peringkat keperluan yang perlu dipenuhi di dalam agama kepada tiga, iaitu dharuriyat, hajiyyah dan tahsiniyat. Dharuriyat bermaksud sesuatu keperluan yang tanpanya kehidupan manusia boleh terjejas sehingga membawa kepada kematian atau kehilangan fungsi. Hajiyyat pula bermaksud keperluan yang tanpanya boleh menyebabkan kesusahan, kerosakan dan kesulitan hidup manusia. Manakala tahsiniyyat pula bermaksud kehendak yang berbentuk kesempurnaan, keselesaan dan kemewahan. Dalam menilai ketiga-tiga peringkat keperluan itu tadi, padanya terdapat senarai tuntutan atau keperluan asas sebagai manusia dan hamba yang perlu diberi keutamaan. Keutamaan tertinggi ialah memenuhi tuntutan agama, diikuti tuntutan nyawa, kemudian tuntutan akal, kemudian tuntutan maruah dan akhir sekali tuntutan harta. Apabila wujud pertembungan antara tuntutan antara agama adn nyawa, agama perlulah didahulukan, namun tuntutan nyawa boleh dipertimbang untuk didahulukan. Ini kerana tanpa nyawa, mustahil agama dapat didirikan. Namun, jika wujud konflik antara tuntutan agama dan tuntutan harta, semestinya perlu mendahulukan tuntutan agama, kerana harta di dunia bersifat pinjaman dan sementara sedangkan harta akhirat adalah abadi dan menguntungkan.

Jika kita mengambil contoh konflik dan pertembungan tadi, dengan ilmu fiqh awlawiyat serta fiqh muwazanah, ia membatu seseorang meletakkan sesuatu keputusan yang adil dan saksama. Ditambah dengan pemahanan fiqh waq'ie dan fiqh taghyir, keputusan menjadi lebih komprehensif dan holistik dengan melibatkan perimbangan keadaan semasa untuk membentuk perubahan ke arah penambahbaikan. Dalam contoh yang sama dan melihat dalam konteks yang berlainan, menunjukkan peranan nilai metafizik dan ketuhanan dalam diri seseorang manusia. Meyakini dunia adalah bersifat sementara dan akan hancur serta akhirat yang kekal abadi untuk selamanya, menjadi tunjang dan asas kepada nilai-nilai baik dalam diri seseorang individu. Mentadbir negara dengan agama bermaksud mentadbir memenuhi kehendak kepercayaan dan keimanan manusia, kehendak pelaksanaan amalan ritual ibadah dalam beragama, serta memandu sifat, sikap, tabiat dan cara hidup melalui sifat ihsan atau tasawwuf myang dikenali sebagai akhlak atau adab. Itualah antara disiplin-displin ilmu di dalam Islam yang lebih perlu umat Islam mengahayati dan mengamalkannya. Iaitu bermaksud tidak mudah-mudah memberi pandangan, komentar dan kritikan tanpa membuat penyelidikan tersebut dahulu. Jika murid ponteng kelas bermaksud murid yang tidak berdisiplin, maka apakah seseorang yang berkata sesuatu yang dia tidak tahu sehingga menimbulkan tuduhan, fitnah dan perkataan yang tidak baik itu sebagai berdisiplin? Akhlak yang telah digariskan oleh Allah melalui Quran ialah menuntut ilmu, meletakkan sesuatu dengan adil serta mengesahkan sesuatu perkara berdasarkan sumber yang disepakati. Inilah juga etika yang sepatutnya ada dalam mentadbir negara, kerana dengan lidah keharmonian boleh punah.

Semasa zaman kegelapan Eropah, para saintis yang membuat penemuan baru berkaitan sains telah dipenjara, diseksa, malah ada yang dibunuh. Perkembangan ilmu secara umum dan ilmu sains khususnya tidak rancak dan sangat perlahan. Ketika itu, ilmu sains dan agama adalah eksklusif kepada golongan raja dan pembesar sahaja. Mana-mana penemuan sains yang tidak selari dengan kehendak dan pendapat pihak gereja, mereka akan dihukum. Kedatangan Islam telah merubah suasana tersebut. Ilmu sains menjadi ilmu awam yang boleh dipelajari dan dituntut oleh sesiapa sahaja. Malah ilmu sains digalakkan untuk dikembang berpkasikan kepada kebenaran dan fenomena alam semesta. Islam telah mentadbir ilmu sains sehingga mencapai kepada kemuncaknya berpandukan bukti-bukti alamiah dan bukti fizikal alam yang terbentang luas.

Islam juga telah mantadbir sosial dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. Perbezaan bangsa, jantina, ras dan budaya bukanlah merupakan suatu perbezaan untuk saling berbalah dan bercakaran, tetapi untuk saling berkenalan, hormat-menghormati dan saling melakukan kebaikan. Perbezaan jantina yang Allah swt jadikan tidaklah melambangkan mana-mana jantina lebih rendah daripada jantina yang lain. Sebagai contoh, Islam tidak meletakkan kedudukan lelaki lebih mulia dan lebih diutamakan berbanding wanita. Di antara dua jantina tersebut, lelaki dijadikan pemimpin terhadap perempuan. Dalam meraikan kejadian lelaki dan wanita yang pastinya berbeza antara satu sama lain, sayugia wujud perbezaan fungsi, tanggungjawab dan peranan tertentu. Golongan yang kononnya menegakkan hak asasi kaum wanita dan menyatakan wanita dalam Islam didiskriminasi merupakan suatu seruan yang dangkal dan tidak mempunyai makna. Ibarat tin kosong yang berbunyi kuat tetapi tiada isinya.

Dalam politik, Islam telah mentadbirnya berasaskan prinsip keadilan, kesamarataan, musyawarah dan kebebasan asasi. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada haknya, memberi hukuman tanpa berat sebelah, melaksanakan penyiasatan dan pengadilan, serta tidak dipengaruhi oleh persekitaran. Kesamarataan bermaksud seseorang manusia dilahirkan dari perut ibunya dalam keadaan merdeka, tidak mewarisi status hamba nenek moyangnya dan sama rata dalam melalui kehidupan sebagai seorang hamba Allah yang merdeka. Islam juga telah meletakkan perbincangan asas kepada pentadbiran. Sebarang keputusan perlulah dibawa berbincang terlebih dahulu, kerana fitrah manusia memerlukan antara satu sama lain disamping manusia itu sendiri bersifat lemah dan penuh kekurangan. Kebebasan asasi melandasi kehidupan manusia terhadap sebarang keputusan dan pilihan. Seseorang manusia berhak bekerja, mencari nafkah, melaksanakan urusan seharian, peluang pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan seumpamanya. Islam meletakkan sifat ubudiyyah atau perhambaan kepada Allah sebagai tunjang bagi memastikan manusia tidak tersasar daripada tujuan hidupnya beribadah kepada Allah dan mengimarahkan muka bumi ini dengan kebaikan.

Islam telah mentadbir kehidupan manusia dengan meletakkan pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan tertinggu dalam kehidupan. Tanpa ilmu, iman menjadi tempang, amal menjadi cacat.  Maka tidak mustahillah wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad saw berkaitan dengan membaca, kaedah pengajaran dan pembelajaran. Konsep bagaimana ilmu disebarkan dan dikembangkan. Konsep yang meletakkan ilmu dicari berdasarkan keimanan kepada Allah. Bertambah ilmu, maka bertambah iman. Bertambah iman, bertambahlah takut seseorang hamba kepada Allah, bertambah erat dengan Allah serta bertambah hidayah Allah kepadanya. Akhirnya menatijahkan kehidupan yang dipandu, dirahmati dan diredhai oleh Allah swt.

Mentadbir negara dengan agama sama sekali tidak membawa kepada kemunduran, kerosakan dan kebinasaan. Malah, sejarah membuktikan peranan agama dan sumber agama Islam menjadi teras kepada kemajuan, kemodenan dan kesejahteraan sejagat. Hanya permasalahan yang seringkali timbul dalam selang waktu dan zaman, bukan disebabkan atau bukan salah sumber serta peranan agama. Namun ketindakmampuan individu muslim tersebut membawa agama dalam dirinya seterusnya menjadikan agama tersebut syiar yang menerangi sekelilingnya. Syiar tersebut bukan hanya bermanfaat kepada dirinya, keluarganya atau kerabatnya sahaja, namun ia menerangi sehingga kepada masyarakat, negara dan ummah. Syiar yang menerangi bukan sahaja umat dan masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam. Nilai Islamlah yang membawa obor kebenaran dan menyuluh kehidupan yang cerah dan sejahtera, bukan agama dan ideologi yang lain.

Maka sangat tidak adil dan malang bagi seseorang muslim apabila tidak menjadikan Islam sebagai rujukan, panduan dan peranan yang utama dalam menetapkan sebarang bentuk keputusan di dalam hidupnya atau pentadbiran negara dengan skop yang lebih luas. Serta lebih mengutamakan dasar dan cara tindak yang diminta atau ditetapkan oleh bukan Islam, sehingga bersikap menuruti semata-mata. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan martabat sebagai seorang Islam, malah martabat bangsa, iaitu bangsa Melayu, pemilik tanah yang berdaulat.

Kembali kepada nilai ilmu dan akhlak di dalam Islam.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
12 Ramadhan 1438H.

Comments