Monday, October 3, 2016

Prinsip Asas Pengurusan Harta Dalam Islam

Asas kepada pengurusan harta dalam Islam bolehlah kita ambil dan renungi daripada sebuah firman Allah swt ini. Harta dan kemewahan yang Allah warisi kepada manusia di bumi ini perlulah diurus dengan baik selari dengan penciptaan manusia sebagai khalifah agar manfaatnya dapat memberi kebaikan bukan sahaja kepada manusia, tetapi seluruh makhluk yang menumpang hidup bersama-sama manusia.

Firman Allah swt:  “Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan." Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Baqarah 2:215)

Pengurusan harta dalam Islam bukanlah suatu amalan yang berdiri sendiri tanpa ada kaitan dengan aspek kehidupan yang lain atau wujud pemisahan antara pengurusan harta dengan pengurusan pentadbiran yang lain. Ini kerana semua masalah yang berkait dengan harta di dalam bidang kewangan, ekonomi dan pembangunan dengan aspek sosial dan agama adalah saling berkait rapat dan saling berhubungan semenjak zaman awal Islam. Masalah yang wujud dalam pengurusan harta pada hari ini lahir daripada satu punca sahaja, iaitu keimanan kepada Allah swt.

(Sekadar hiasan)


Firman Allah swt: “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah (perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah) dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan? Iaitu neraka jahannam; mereka masuk kedalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman ” (Ibrahim 14:28-29).

Firman Allah swt: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu” (An-Nisaa’ 4:29).

Allah memberikan peringatan ini kepada pemimpin termasuk pihak yang mengurus hal ehwal masyarakat seperti pengurusan harta dengan amaran yang dimasukkan ke dalam neraka apabila undang-undang dan ketetapan ajaran Islam dilanggar dan diseleweng. Kerana itulah segala aspek kehidupan kita di dunia ini perlulah selari dengan ajaran Islam. Selagi mana manusia berada di atas jalan yang lurus, selama itulah manusia akan mendapat kebaikan, bimbingan dan petunjuk menuju kemajuan, keredhaan dan kejayaan. Apa yang dimaksudkan dengan membunuh diri ialah membunuh kesatuan masyarakat akibat daripada pengurusan harta yang tidak mengikut lunas Islam.

Firman Allah swt: “Katakanlah: "Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk" (Al-A’raaf 7:158).

Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakup semua aspek kehidupan. Islam adalah negara, pemerintah, pentadbiran dan rakyat. Islam adalah rahmat, kekuatan, akhlak, etika dan keadilan. Islam adalah agama yang berteraskan kepada keimanan kepada Allah swt, iaitu akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Ia terangkum di dalam enam perkara Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat serta qadha dan qadar. Melalui keimanan kepada Allah akan melahirkan dan menetapkan beberapa bentuk amalan dan tindakan yang mesti dihayati dan ditunaikan selaras dengan ajaran agama Islam seperti yang terkandung dalam Rukun Islam. Kehidupan seseorang manusia mengarah kepada ibadah semata, kerana atas tujuan itulah manusia diciptakan. Ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ikhlas, beretika dan berakhlak, profesional, akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt, manakala yang memungkiri dan meninggalkannya akan akan beroleh balasan siksa di hari kiamat. Penghayatan inilah yang dinamakan sebagai Ihsan.

Firman Allah swt: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah 2:208).

Firman Allah swt: Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (At-Taghabuun 64: 8).

Ketiga-tiga faktor ini iaitu pemahaman terhadap konsep iman, ibadah dan ihsan merupakan perkara penting  dalam pembentukan individu yang mempu melahirkan satu unit binaan atau generasi yang layak menjadi teras kepada sebuah masyarakat dan negara yang kuat, progresif, maju, kukuh dan teguh.

Apabila seseorang individu dapat merasai pengaruh ibadah setelah mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah yang sempurna dengan seluruh sifat kekuasaan dan keagungan, akan lahir satu bentuk tindakan yang bukan sekadar berdasarkan pengetahuan biasa, tetapi berasaskan kepada pemahaman dan penghayatan agama. Kefahaman yang baik terhadap perspektif akidah, samada akidah Sifat Dua Puluh atau akidah Tiga Serangkai, kedua-duanya mempu menghasilkan tindakan muslim yang baik dan beretika. Akhirnya masyarakat dapat merasai kebaikan pada budi pekertinya, tindakan dan keputusannya, tutur kata dan bahasa badannya. Seseorang yang sedar akan dirinya seorang mukmin, muslim dan muslih, maka dengan sendirinya dia akan berusaha menjauhkan diri daripada melakukan sebarang perkara haram, membawa kepada haram atau dosa.

Firman Allah swt: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) dari hartanya memperoleh pahala yang besar” (Al-Hadid 57:7).

Manusia perlu menyedari bahawa harta yang diamanahkan oleh Allah untuk diuruskan, bukanlah satu bentuk penguasaan secara mutlak kerana pemilik mutlak segala harta dan kemewahan di atas muka bumi ini adalah Allah. Maka manusia yang mengurus dan menafkahkan harta tersebut pelulah mematuhi hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah melalui syariat Islam. Harta merupakan amanah yang perlu diuruskan, ia tidak akan dibawa mati dan ditanam bersama-sama pemiliknya, tetapi manfaat daripada harta yang diurus dengan baik itulah yang menjadi bekalan pahala menuju akhirat kelak.

Firman Allah swt: “Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barangsiapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kemurkaan pada sisi Tuhannya dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka” (Al-Faathir 35:39).

Dari sini dapatlah kita perhatikan dan fahami bahawa dalam menjalankan peranan sebagai seorang khalifah di muka bumi, seorang hamba kepada Allah dan seorang yang mukmin dan muslim yang mengurus harta, bertanggungjawab sebagai pembina masyarakat dan negara, Islam memerintahkan setiap individu itu supaya sentiasa taat, patuh dan ingat kepada Allah, takut akan azabNya, merasai pengawasan dan kehadiran Allah, merenungi dan memuhasabah isi hatinya agar sentiasa selari dengan niat dan matlamat kehidupan di atas dunia ini. Demikianlah ciri yang perlu ditanam dalam diri seseorang sebagai prinsip asas dalam pengurusan harta. Lantas, kita akan dapat melihat seseorang yang bekerja dengan rajin dan penuh ikhlas, lalu dirinya memberikan produktiviti yang baik, kerana Allah sangat kasih kepada setiap orang yang rajin serta tekun bekerja.

Firman Allah swt: …"Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, ...” (Ali ‘Imran 3:195)

Firman Allah swt: “Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik” (Al-Iaraa’ 17:19).

Hari ini kita mendapati di dalam masyarakat, seseorang yang takut untuk memberi atau menerima rasuah kerana bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang. Tetapi apabila merasa dirinya terselamat, terlindung daripada diketahui orang atau pihak berkuasa, menggunakan helah-helah untuk mengaburi tindakannya, dia akan berani melakukannya. Sebaliknya apa yang patut berlaku dalam kalangan masyarakat Islam ialah masyarakat dan individu yang teguh pegangannya terhadap norma-norma keimanan dan akhlak, semua tindakan dan keputusan terikat dengan ajaran, peraturan dan kepentingan agama. Oleh itu, setiap orang yang beriman pasti akan melakukan sesuatu dengan berniat ibadah kepada Allah dan merasakan pengawasan Allah. Mereka pasti tidak akan melakukan sebarang perbuatan maksiat, terutama berkaitan dengan harta sebab takutkan azab Allah, kerana Allah Maha Membalas setiap perbuatan manusia di atas dunia ini.

Firman Allah swt: “Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan” (Al-An’aam 6:120).

Firman Allah swt: “Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati” (Al-Mu’min 40:19).

Ulama tafsir tidak hanya membataskan pandangan mata khianat itu kepada melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah swt seperti aurat wanita bukan muhrim sahaja, tetapi juga pandangan serong dan tidak jujur serta pandangan melakukan hasad dan sihir kepada manusia lain.

Pada berlalunya masa dan zaman, kita akan sering menyaksikan pelbagai projek dan rancangan pembangunan yang bertujuan baik menghadapai halangan sukar berpunca daripada penyelewengan moral, akhlak, etika dan profesionalisme, bentuk pengurusan yang teruk dan lemah, hawa nafsu bermaharajalela, kepentingan lingkungan diri dan kroni semata, penyalahgunaan kuasa, salah laku, komplot monopoli, riba dan pelbagai masalah yang lain. Dalam menghadapi fenomena ini, seseorang yang telah tahu penyakit umat yang berlaku, perlulah menanam azam untuk melaksanakan proses pembaikan, terutama dalam pengursan harta dan tidak hanyut bersama dengan kepincangan yang berlaku.

Firman Allah swt: “Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui" (Al-A’raaf 7:33).

Peranan manusia yang beriman dan hidupnya beribadah kepada Allah serta mempunyai niat memperbaiki masyarakat akan berpandangan jauh serta sedar akan akibat segala tindakan yang menyalahi undang-undang dan ajaran agama. Ia sedar bahawa akibat daripada segala tindakannya merupakan paksi dan teras yang sangat penting dalam pelaksanaan dan kejayaan sesuatu projek pembangunan. Manusia seperti inilah hakikatnya yang akan terus gigih menghadapi segala rintangan, dapat menggunakan sumber dan tenaga dengan tepat, serta bekerja keras untuk meningkatkan produktiviti, seterusnya melakukan pelaburan yang bermanfaat dalam melipatgandakan hasil pendapatan, demi kemajuan ummah dan negara.

Firman Allah swt: “Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa yang bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” (Al-A’raaf 7:35).

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,

2 Muharram 1438H.

No comments: