Friday, March 18, 2016

Maqasid Syariah dalam Pematuhan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) oleh Pengeluar Produk Halal

Pendahuluan
Maqasid Syariah bermaksud tujuan sesuatu syariah digubal dan ditetapkan oleh agama Islam atau Allah swt. Allah swt sebagai autoriti mutlak menggubal agama ini dengan perantaraan rasulNya Muhammad swt telah meletakkan perolehan manfaat dan penolakan mudharat sebagai prinsip utama. Ini bersesuaian dengan sifat Allah swt yang Maha Adil lagi Bijaksana serta sesekali tidak akan menzalimi para hambaNya. Al-Khadimi (2001) menyatakan secara ringkas maqasid syariah ialah apa jua kebaikan yang dikehendaki oleh Penggubal syariah iaitu Allah di dalam setiap hukum syara’.[1]
Islam telah meletakkan di dalam setiap hukum hakamnya mempunyai tujuan, makna, hikmah dan hikmah yang tersendiri. Kesempurnaan Islam terbukti melalui al-Quran yang dijadikan panduan hidup, petunjuk dan perlembagaan dalam kehidupan manusia. Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul adalah untuk seluruh manusia dan alam, tiada terkecuali dan tanpa batasan waktu atau golongan umat tertentu seperti rasul-rasul yang diutus sebelum baginda. Perbincangan tujuan pensyariatan merangkumi ibadah khusus dan umum, muamalat, munakahat, jenayah, persoalan halal dan haram, manfaat dan mudarat, dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

Persoalan halal dan haram sangat signifikan dan berkait rapat dengan bidang makanan dan minuman secara literal serta produk makanan, barangan dan perkhidmatan yang lain. Ini kerana di dalam Islam penggunaan atau pengambilan sesuatu makanan daripada sumber yang haram boleh menjadi penyebab sesuatu doa tertolak dan tidak dimakbulkan. Sehinggakan terdapat ancaman bahawa daging manusia yang tumbuh daripada sumber yang haram maka neraka adalah lebih layak untuknya. Manakala penggunaan barangan dan perkhidmatan yang haram juga memberi implikasi yang tidak kecil terhadap kehidupan seseorang muslim.


(Google)


Di Malaysia, persoalan halal dan haram telah memasuki era pengurusan, penyelidikan dan pengukuhan prinsip. Penetapan logo halal ke atas sebarang produk makanan atau perkhidmatan merangkumi segala bentuk prosedur dan prosesnya telah diberi perhatian serius oleh kerajaan. Fenomena ini menjadikan isu halal dan haram ini sering diperkatakan awam serta menjadi sensitiviti masyarakat Melayu Islam. Bagi melestarikan autoriti pada logo halal yang diberi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan satu dokumen Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM). Ia bertujuan segala prosedur yang digariskan perlu dipatuhi bagi memenuhi perolehan logo halal Malaysia.

Definisi Maqasid Syariah
Maqasid syariah merupakan satu disiplin ilmu di dalam Islam. Ia juga merupakan satu bentuk seni daripada seni-seni pensyariatan Islam. Apabila membicarakan makna ‘maqasid syariah’, ia terbahagi kepada dua perkataan utama iaitu maqasid dan syariah. Al-Maqasid adalah daripada perkataan terbitan tunggal al-maqsad berasal daripada perkataan qasdu, yaqsidu, qasdan, maqsudan. Dari segi Bahasa ia membawa makna pegangan, istiqamah, jalan dan sederhana, iaitu tidak melampaui batas.[2] Syariah pula dari segi bahasa bermakna agama, cara hidup, jalan, manhaj dan sunnah.[3] Maka syariah Islamiyah memberi maksud sumber kepada segala yang memberi kebaikan, kesenangan, kebahagiaan di dunia dan akhirat.[4]

Dari segi istilah, ulama mutaqaddimin tidak meletakkan batasan tertentu dalam menetapkan maknanya secara jelas dan terperinci. Akan tetapi didapati mereka menggunakan beberapa istilah tertentu yang menjurus kepada penerangan ilmu maqasid syariah ini secara tidak langsung dari segi jenis, bahagian, pengibaratan, definisi, contoh dan pelaksanaan. Antaranya ada yang menjelaskan ia sebagai tujuan agama yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, selain mengaitkan dengan istilah dharuriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Sebahagian ulama menerangkan ia sebagai hikmah-hikmah, rahsia-rahsia dan ‘illah yang berkait dengan segala hukum dan dalil syara’.

Ada juga yang memberi makna sebagai tujuan, maksud, matlamat, manfaat dan mudarat.[5] Kesimpulan daripada kepelbagaian istilah yang digunapakai oleh ulama, penulis merumuskan dengan makna yang diberikan oleh Dr. Muhammad bin Sa’ad bin Ahmad bin Sa’ud al-Yubi iaitu maqasid syari’ah ialah makna, hikmah atau seumpamanya yang mana Penggubal syariat (iaitu Allah) meraikan dalam hukum-hakam yang ditetapkan secara umum mahupun khusus dari sudut mengukuhkan kebaikan kepada para hambaNya.[6]

Penekanan terbaru oleh ahli akademik pengajian Islam kini ialah terhadap ilmu maqasid syariah bagi berhadapan gelombang globalisasi ilmu terutama dalam pengajian syariah di institusi pendidikan. Penekanan terhadap pendidikan adalah kerana kesinambungan daripada itu ialah dapatan kajian serta penyelidikan yang boleh digunapakai bagi kebaikan dan manfaat umat Islam dan seluruh manusia. Pengajian ilmu maqasid ini mampu memperkasakan hukum Islam semasa, membangun dan mengembangkan sesuatu disiplin keilmuan Islam moden serta lantas menjalankan program pembaharuan pemikiran hukum Islam.[7]

Pengenalan MPPHM
Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) merupakan suatu dokumen rujukan yang disediakan oleh JAKIM yang terdiri daripada tajuk-tajuk tertentu iaitu; Skop, Takrifan, Skim Pensijilan, Syarat-syarat Pensijilan, Keperluan Umum Pensijilan, Keperluan Khusus Pensijilan Mengikut Skim, Prosedur Permohonan Mengikut Skim, Fi Pensijilan, Prosedur Pengauditan, Pemantauan dan Penguatkuasaan, Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Malaysia, Tanggungjawab Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Panel Pengesahan Halal Malaysia.

Di bawah tajuk Skop, MPPHM menerangkan; Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia ini mengandungi garis panduan bagi pegawai pemeriksa JAKIM dan JAIN bertujuan untuk menjelaskan keperluan yang perlu dipatuhi dalam pengurusan pensijilan Halal Malaysia dan Manual ini hendaklah dibaca bersama dengan standard-standard, keputusan fatwa dan peraturan-peraturan berkaitan yang digunapakai dalam pengurusan pensijilan halal Malaysia.[8] Manual ini pertama kali telah diterbitkan pada 2005 dan telah dibuat Semakan Kedua pada 2011 dan Semakan Ketiga pada 2014. Pada Semakan Ketiga menyatakan ia merupakan penambahbaikan dan penstrukturan semula terhadap keperluan dan syarat pensijilan bagi memudahkan pegawai auditor dan industri membuat semakan dan rujukan.[9]

Semakan Ketiga ini juga dibuat bagi memenuhi keperluan Garis Panduan Sistem Jaminan Halal Malaysia 2011 (SJHM 2011) dan pelaksanaan Sistem Jaminan Halal [Halal Assurance System (HAS)] serta kehendak industri Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui SME Corporation.[10]

Maqasid Syariah dalam Produk Halal
Syariat Islam merupakan suatu panduan atau cara hidup yang bersifat rabbaniyyah dan diniyyah. Ianya datang dan bersumberkan dari Tuhan yang mencipta alam dan manusia. Ia bukan hanya bersifat lahiriah semata-mata, tetapi ia melibatkan soal ganjaran pahala dan balasan dosa. Syariat Islam adalah bersifat duniawi dan ukhrawi, berhubungkait dengan kepercayaan dan keimanan, hukuman dan pembalasan sama ada di dunia mahupun akhirat. Syariat Islam adalah syariat yang lengkap dan berperanan untuk memajukan umat manusia serta memimpin ke jalan kebenaran dan kebaikan, serta menghindar daripada kerosakan dan kemudaratan.[11] Firman Allah swt yang bermaksud:
Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.
(Surah al-Jathiyah 45:18)
Hukum hakam yang ditetapkan di dalam syariat Islam berbentuk sama ada suruhan melakukan atau larangan melakukan, dihalalkan atau diharamkan, ditetapkan dengan mandatori atau diberi kelonggaran serta rukhsah. Segala hukum yang distariatkan ini mempunyai tujuan atau maksud dan hikmah yang diiktiraf syara’ walaupun wujud juga yang bersifat ta’abbudi semata-mata. Hukum-hukum Islam tertegak di atas dasar memelihara maslahah masyarakat umum dan individu[12] serta menolak mafsadah.

Antara ayat yang berbentuk suruhan ialah kewajiban mengambil sesuatu halal[13] dan meninggalkan yang haram. Dari sudut istilah, halal membawa maksud sesuatu yang diharuskan dan diizinkan oleh syara’.[14] Dr. Yusuf al-Qardawi telah mendefinisikan halal sebagai sesuatu yang diharuskan, yang terungkai padanya ikatan larangan, dan diizinkan oleh syara’ untuk melakukannya.[15] Berpandukan definisi tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa halal adalah merujuk kepada sesuatu yang diharuskan oleh Allah swt untuk manusia memakan, mengguna, bermuamalah dan sebagainya. Sehubungan itu, skop halal dalam Islam bukan sahaja tertumpu kepada makanan dan barang gunaan, bahkan, meliputi sistem ekonomi, kewangan dan seluruh aspek kehidupan manusia.[16]

Bidalan “kita adalah apa yang kita makan” seringkali didengari. Apabila disebut tentang makanan, apa yang terbayang adalah jenis makanannya, pembukusannya, tarikan hidangan sehingga kepada bayangan kelazatan dan kesedapannya. Termasuk juga barangan gunaan dan kosmetik atau dandanan diri yang digambarkan dengan kemegahan, keselesaan, keharuman dan kesegaran. Namun apa yang lebih penting bagi seseorang muslim adalah halal atau haram sesuatu makanan atau barang tersebut. Allah swt memerintahkan para hambanya agar makan makanan yang halal dan baik sahaja[17] serta menjauhi perkara yang haram.[18] Makanan merupakan sesuatu yang menjadi santapan dan menjadi darah daging manusia. Manusia tidak boleh memakan makanan melainkan yang telah dihalalkan oleh syara’.[19] Makanan yang baik adalah makanan yang dianggap lazat mengikut citarasa manusia yang normal, manakala makanan yang buruk adalah makanan yang dianggap jijik oleh manusia yang normal.[20] Makanan yang halal serta baik adalah merupakan makanan yang mengandungi banyak khasiat serta baik untuk kesihatan. Allah swt pada dasarnya telah menciptakan segala apa yang ada di bumi ini adalah halal melainkan terdapat bahaya di dalamnya, maka Allah swt mengharamkannya.[21]

Membincangkan halal-haram berkait secara langsung dengan konsep baik-buruk (tayyibat-khaba’ith) dalam pemakanan. Hubungan ini dapat dilihat dalam firman Allah surah al-A’raf 7:157.[22] Mengulas ayat tersebut, Ibn Taymiyyah menjelaskan setiap perkara yang memberi manfaat adalah suci manakala setiap yang mendatangkan kemudaratan adalah kotoran. Terdapat perbezaan pendapat dalam menafsirkan makna baik-buruk. Pendapat pertama Imam Malik berpandangan tayyibat iaitu sesuatu yang dihalalkan dan sifatnya baik dan khaba’ith adalah sesuatu yang diharamkan. Pandangan kedua berpendapat tayyibat adalah sesuatu yang dirasakan baik oleh cita rasa orang Arab dan khaba’ith adalah sesuatu yang dianggap jijik oleh orang Arab. Pandangan ketiga tayyibat adalah sesuatu yang dihalalkan oleh Allah, yang bermanfaat kepada orang yang makan pada agamanya. Manakala khaba’ith adalah sesuatu yang memudaratkan pada agamanya. Ini merupakan padangan Ibn Taymiyyah dan beliau menisbahkan pada jumhur ulama.[23] Ulama juga telah menyenaraikan kriteria asas suatu makanan yang baik dan buruk, iaitu; ia tidak mengandungi najis, ia tidak mengandungi sesuatu yang memabukkan (arak), ia tidak bersumberkan darah haiwan, ia bukan berasaskan sumber daripada manusia, ia tidak mengandungi khinzir dan deratifnya, ia tidak bersumberkan bangkai dan ia tidak mendatangkan bahaya atau mudarat.[24]

Perbahasan halal merupakan suatu perbahasan yang sangat luas. Jika di dalam al-Quran disebutkan mengenai fizikal bahan yang haram seperti daging babi, darah, bangkai, darah dan arak, namun kemajuan teknologi makanan dan barang gunaan telah meluaskan kategori bahan dan skop pengurusan atau pemprosesan bahan tersebut. Sebagai contoh, kategori bahan boleh dibahagikan kepada bahan mentah, bahan sampingan atau komponen, bahan aditif dan sebagainya.  Manakala skop pengurusan bahan pula boleh diceraikan kepada penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan.[25] Keseluruhan kategori bahan dan skop pengurusan mestilah menepati hukum syara’ serta tidak terkeluar daripadanya. Maka produk halal boleh dimaksudkan sesuatu (barang, perkhidmatan dan sebagainya) yang dikeluarkan oleh kilang atau ditawarkan oleh industri dan sebagainya memenuhi keperluan dan tuntutan halal.[26]

Di dalam perundangan Malaysia, halal juga diberi definisi yang tertentu dalam penafsiran pelaksanaan penguatkuasaan. Ia ada disebut di dalam Akta Perihal Dagangan,[27] Standard Malaysia MS 1500:2009[28] dan Standard Malaysia MS 2393:2010 (BM) (P).[29] Sesuatu produk yang halal bukan sahaja berkait dengan benda atau bahan yang dimakan, tetapi juga barang dan bahan yang digunakan. Pematuhan halal merangkumi produk makanan/minuman/makanan tambahan, premis makanan/hotel, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, rumah sembelih, farmaseutikal dan logistik.[30]

Islam secara jelas telah menerangkan implikasi memakan atau menggunakan sesuatu yang halal dan haram. Sepertimana daripada ayat perintah memakan makanan yang halal lagi baik, ia sebagai lambang dan bukti ketaqwaan[31], keimanan[32], sifat bersyukur[33], pengabdian[34] seseorang kepada Allah swt.

Perlu diketahui dan ditekankan kesan daripada memakan dan mengguna sesuatu barang yang bersumberkan perkara yang haram. Sifat bagi sesuatu yang haram itu adalah buruk dan keji, sedangkan segala sesuatu yang halal adalah baik dan bagus. Sehubungan dengan itu ditegaskan bahawa untuk menghindari yang haram, perlulah:
1    -      Meninggalkan sepenuhnya sesuatu yang haram secara pasti mengikut fatwa ulama fiqh,
2    -      Menghindari daripada segala perkara yang memungkinkan haram,
3    -      Menghindari sesuatu yang tidak diharamkan oleh fatwa ulama dan tidak diragukan halalnya, tetapi dikhuatiri boleh membawa kepada haram,
4    -      Meninggalkan sesuatu yang diharuskan kerana diketahui ianya bercampur dengan hal-hal makruh dan menimbulkan kecurigaan.[35]

Selain perkara yang haram secara pasti, perkara yang boleh membawa kepada haram juga perlu dihindari dan diberi perhatian yang serius. Ia adalah perkara halal yang dikhuatiri dan dicurigai memasuki perkara haram. Ia disebut was-was atau disebut syubhah. Ini kerana apabila seseorang terjebak ke dalam perkara yang syubhah, ia boleh membawa kepada haram. Perkara syubhah biasanya berlaku tanpa disedari kerana ia samar-samar dan tidak jelas yakni tidak diyakinkan salah satunya kerana tidak terang halal dan haramnya disebabkan pertentangan dalil.
Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas dan antara keduanya ada hal-hal yang syubhah (samar-samar).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu jelas dan di antara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhah) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhah, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya, dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah termasuk dalam perkara haram. Umpamanya seorang pengembala yang mengembala di sekeliling larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara sumber yang boleh dikenalpasti mengandungi unsur syubhah seperti wujud keraguan dalam menetapkan sesuatu sumber yang dihalalkan dan diharamkan, keraguan kerana percampuran (bercampur sesuatu yang halal dan haram dalam bilangan yang banyak, benda haram yang tertentu bercampur dengan sesuatu yang halal dan tidak terhitung jumlahnya), jalan halalnya dicampuri dosa dan maksiat serta wujud perselisihan dengan dalil-dalil mengenai kehalalan dan keharaman sesuatu benda.[36] Seseorang muslim yang berpegang teguh pada ajaran Islam hendaklah prihatin dan mengambil berat terhadap pemakanan yang dimakan.

Makanan terproses halal sekiranya ia memenuhi ciri-ciri berikut iaitu bahan-bahan mentah yang digunakan adalah halal, komponen ramuan dan aditif (bahan tambahan) adalah halal dan proses penghasilannya berdasarkan garis panduan Islam. Malangnya, dalam aspek pemakanan juga, perkembangan teknologi makanan menyebabkan banyak keraguan timbul mengenai soal sama ada bahan dan proses yang digunakan adalah halal dan bersih (Yaakob, Utusan Malaysia, 26 Mac 2005).[37]

Dalam konteks makanan dan barang gunaan, Mian N. Riaz dan Muhammad M. Chaudry (2004) menyatakan bahawa syubhah boleh berlaku sama ada disebabkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama (pakar) tentang sesuatu hukum atau disebabkan oleh kehadiran bahan yang tidak dikenal pasti dalam sesuatu makanan atau barang gunaan. Sebagai contoh, sekiranya bahan mentah yang tertera pada bungkusan adalah ‘lemak haiwan’, maka produk berkenaan adalah syubhah kerana tidak diketahui sama ada lemak haiwan itu diperoleh daripada haiwan yang halal atau tidak, sekiranya dipastikan ia daripada haiwan halal, maka perlu pula dipastikan bahawa sembelihan haiwan itu dilakukan menepati syariat Islam atau sebaliknya. Sekiranya belum dipastikan, produk berkenaan perlu dihindari, kecuali setelah pemeriksaan dibuat dan yakin ia diperoleh dariopada sumber yang disahkan halal[38] oleh pihak yang berautoriti. Pada hari ini, zaman di mana teknologi berkembang amat pesat dengan pelbagai ramuan dana kaedah baharu diperoleh dan digunakan dalam menghasilkan produk makanan dan barang gunaan sehingga sukar untuk dipastikan status halal atau haramnya[39] sehingga menyebabkan keraguan terhadap status halal di kalangan orang Islam.

Manakala dalam konsep kepenggunaan Islam, terdapat tiga elemen asas yang berkaitan dengan produk halal iaitu pengguna (pembeli), pengusaha (pengeluar) dan produk (barangan dan bukan barangan, iaitu perkhidmatan). Kepenggunaan dihuraikan sebagai segala hal mengenai pengguna,[40] iaitu individu yang membeli atau yang diberikan kepadanya, mengguna, menyelenggara, melupuskan produk dan perkhidmatan dalam bentuk terakhir (final form), dalam usaha mereka untuk mencapai tahap kepuasan yang maksimum dengan pendapatan yang terhad. Kepenggunaan juga boleh difahami sebagai hal tentang seseorang yang memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga dan isi rumah.[41]

Perbincangan mengenai kepenggunaan Islam kini ke arah menggabungkan konsep maqasid syariah dengan fiqh awlawiyat (fiqh keutamaan) dengan semua pertimbangan dan prioriti semasa dalam menilai produk kepenggunaan. Gabungan ini dilihat akan lebih menyerlahkan sifat kesyumulan yang dimiliki oleh hukum Islam, disamping ia dapat mengelakkan prinsip maqasid syariah ini digunakan secara sewenang-wenangnya oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab.[42] Antara aspek keutamaan yang menjadi sandaran ini ialah[43]:
1     -      Keutamaan kualiti daripada kuantiti,
2     -      Keutamaan ilmu daripada amal,
3     -      Keutamaan objektif daripada bentuk lahir,
4     -      Keutamaan ijtihad daripada taqlid,
5     -      Keutamaan memudahkan daripada menyusahkan,
6     -      Keutamaan kerja untuk faedah umum daripada kerja untuk faedah sendiri,
7     -      Keutamaan fardu ain daripada fardu kifayah,
8     -      Keutamaan hak masyarakat daripada hak individu.

Maqasid Akhirat
Perbahasan ilmu maqasid terbahagi kepada beberapa aspek dan bahagian. Ibnu ‘Asyur membahagikan maqasid syariah kepada tiga bahagian utama iaitu am, khusus dan cabang. Maqasid am ialah yang berkaitan dengan pemeliharaan lima asas kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maqasid khusus ialah membicarakan maqasid berkaitan dalam aspek tertentu seperti kekeluargaan, perwarisan, harta dan ekonomi, hukuman jenayah dan sebagainya. Manakala maqasid cabang ialah maqasid dalam setiap hukum agama yang ditetapkan iaitu wajib, sunat, harus, makruh haram, syarat, rukun dan selainnya.[44] Jika mahu diselusuri semua aspek maqasid, akan didapati perbincangan maqasid syariah dalam pematuhan Manual Prosedur Halal oleh pengeluar produk halal akan menyentuh semua bahagian.

Manual Prosedur Halal adalah berkaitan piawaian kehalalan sesuatu produk yang dikeluarkan. Istilah halal merupakan istilah yang digunapakai dalam hukum-hukum agama dan perundangan Islam. Halal-haram adalah dua istilah yang sangat dominan dan menjadi suatu sensitiviti, syiar, keteguhan dan keunggulan prinsip dan nilai agama Islam. Disebabkan Manual ini merupakan suatu bentuk garis panduan bagi perolehan status dan logo halal daripada intitusi agama yang berautoriti menjaga kehalalan produk iaitu JAKIM, maka pematuhan terhadapnya merupakan suatu kewajipan demi menjaga seluruh aspek kehidupan seseorang mukmin dari segi agamanya, nyawanya, akalnya, keturunannya dan hartanya.

Dari perspektif Islam, matlamat makanan adalah lebih luas daripada sekadar kenyang dan memberi tenaga semata-mata. Makanan bukan sahaja untuk membina tisu badan dalam proses tumbesaran dan membaik pulih tubuh badan, tetapi ia berkait secara langsung dengan akhlak dan kerohanian seseorang. Bagi orang Islam, makan adalah satu tanggungjawab dan ia sebagai satu ibadah kerana makanan yang dimakan bertujuan memberi kesihatan tubuh badan bagi membolehkannya menyumbang tenaga ke arah pembangunan ilmu dan kesejahteraan ummah, melaksanakan ibadah wajib seperti solat, puasa, mengerjakan haji[45] dan berjihad.

Sebagai hamba Allah, manusia mempunyai sasaran kehidupan untuk memastikan setiap aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan seharian menjadi ibadah yang diredhai oleh Allah swt. Sesuatu pekerjaan yang mahu diktiraf sebagai ibadah kepada Allah perlu memenuhi dua aspek penting iaitu iman dan amal soleh. Iman dterjemahkan dalam niat dan matlamat yang suci, benar dan patuh kepada perintah Allah swt. Manakala amal soleh pula terdiri daripada akhlak mulia yang ditunjukkan dalam melaksanakan pekerjaan, prestasi terpuji hasil daripada sesuatu aktiviti dan tidak meniggalkan ibadah-ibadah wajib khususnya solat lima waktu.[46] Ia menepati kehendak tujuan hidup seseorang hamba di dunia ini oleh Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
(Surah al-An’aam 6:162)
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
(Surah adz-Dzariyat 51:56)
Di dalam aktiviti perniagaan atau perindustrian pengeluaran produk-produk halal, aktiviti tersebut perlulan dimulakan dengan niat yang baik. Seseorang yang mengaku beriman kepada Allah swt perlu mempunyai niat yang suci, iaitu semua pekerjaan daripada aktiviti tersebut bertujuan mendapat keredhaan Allah swt. Keimanan juga menentukan setiap yang dilakukan tidak melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah serta sangat berhati-hati terhadapnya. Setiap pekerjaan yang disifatkan sebagai ibadah juga mengandungi komponen amalan soleh iaitu sentiasa berkahlak mulia dan mengikut etika dan garis panduan semasa melaknsanakan sesuatu pekerjaan. Misalnya menjaga penampilan, kebersihan pakaian, tubuh badan dan alatan, menjaga kod etika, memenuhi piawaian dan carta alir pengurusan, amanah, tidak menipu, helah dan sebagainya. Setiap aktivti yang dilakukan dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah swt pastinya akan menuju ke arah prestasi pekerjaan yang terpuji. Natijahnya pekerjaan yang dilakukan tidak dibuat dengan sambil lewa, tiada komitmen dan kesungguhan, melepas tangan atau secara sambil lewa. Malah setiap pekerjaan yang dilakukan dibuat dengan sepenuh tumpuan dan sesempurna mungkin serta berhati-hati agar hasilnya memberi kepuasan kepada semua pihak.

Jika terdapat mana-mana pihak pengeluar produk haram, menjual dan meniagakan produk mereka di persekitaran masyarakat Islam, sama ada pengeluar tersebut beragama Islam atau bukan beragama Islam, sangat jelas ia melanggar hak dan tanggungjawab dalam hubungan warganegara berbeza agama. Jika terdapat pula mana-mana pihak pengeluar sesuatu produk yang zahirnya halal, namun dicampur ramuan atau bahan tambahan yang haram, ia melanggar hak dan tanggungjawab. Termasuk helah dan penipuan dalam meletakkan serta mempamerkan logo halal. Sifat ingkar pengeluar yang tidak mahu mematuhi keperluan halal, tidak rasa bersalah terhadap produk haram atau produk curiga halal dijual dalam kalangan masyarakat Islam serta pelbagai helah bagi mengelirukan masyarakat Islam terhadap produk yang dikeluarkan, ternyata ia sangat dikeji oleh Allah di dalam al-Quran.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Iblis menjawab “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan (dia-Adam as) dari tanah.”
(Surah al-A’raf 7:12)
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum aku sesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.”
(Surah al-A’raf 7:16)
Setiap muslim dituntut mengerjakan apa yang telah disyatiatkan oleh agama Islam dan menghindarkan diri daripada terjebak ke arah unsur-unsur kemaksiatan dan kejahilan ilmu. Allah telah menegaskan dengan jelas perkara-perkara yang dilarang dan ditegah untuk melakukannya. Setiap perkara yang haram hendaklah dijauhkan kerana ia membawa beberapa akibat buruk iaitu mendapat balasan siksa dan azab daripada Allah, terhidar daripada rahmat Allah, menimbulkan kebencian di kalangan manusia dan menyebabkan lunturnya keimanan daripada hati manusia.[47]

Seseorang lebih mudah terdedah dan terjatuh ke dalam perlakuan dosa dan maksiat akibat kejahilan ilmu. Apabila pengeluar sesuatu produk tidak mengetahui prinsip halal-haram, halalan tayyiban, syubhah, mudharat-manfaat terhadap kehidupan manusia kesan daripada produk yang tidak dijamin halal, ia boleh menyebabkan keuntungan dan hasil yang diperoleh daripada jualan kurang keberkatan. Malah, keberkatan juga boleh terhalang bukan sahaja kepada pengeluar produk, tetapi juga kepada pengguna produk jika mereka tiada kesungguhan dan ambil lewa dalam memastikan jaminan halal sesuatu produk yang dimakan dan digunakan. Imam al-Qurtubi dalam menafsir ayat 168 surah al-Baqarah menyatakan tidak sah memakan sesuatu yang halal itu kecuali dengan ilmu (mengetahui kehalalan makanan tersebut) dan tidak haram sesuatu harta itu kecuali dengan enam perkara iaitu riba’, haram, suht (yang buruk), penipuan, dikeji dan syubhah.[48]

Sebagai masyarakat Islam di Malaysia yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syara’. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Masyarakat Islam perlu mengubah tanggapan masyarakat bukan Islam bahawa makanan yang halal bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam (Mohamad Syafiqe Abdul Rahim, Majalah Cahaya: http://www.halal.gov.my/).[49]

Islam merupakan agama yang sangat indah. Tersusun dengan bersistem segala hukum hakamnya. Sehingga setiap aspek daripada sesuatu hukum yang telah ditetapkan mempunyai tujuan, matlamat, faedah, manfaat, hikmah secara tersurat dan tersirat yang boleh memberi kesan terhadap zahir dan fizikal tubuh badan manusia serta memberi kesan terhadap batin, emosi, tabiat dan perasaan mereka. Ulama Islam telah menyenaraikan hikmah dan kebaikan memakan dan menggunakan produk halal serta akibat buruk memakan dan menggunakan produk yang haram.

Hikmah dan kebaikan makan, minum dan menggunakan produk yang halal ialah seperti menjauhkan diri daripada siksa api neraka, mendatangkan kesihatan kepada anggota badan, mendatangkan kecerdasan kepada akal, dimakbulkan doa oleh Allah, sukar dijangkiiti oleh pelbagai penyakit, penting pada proses pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental, menjaga maruah diri dan dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna.[50]

Manakala akibat buruk makan, minum dan menggunakan produk yang haram ialah seperti mendapat kemurkaan Allah swt, senang dijangkiti oleh pelbagai penyakit zahir dan batin, mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu, terdedah kepada maksiat dan perlakuan jenayah serta maruah diri tercemar.[51]

Di dalam ilmu sains kesihatan, makanan yang halal dan baik boleh membawa manfaat yang banyak, manakala makanan yang haram walaupun ada manfaatnya, tetapi keburukannya lebih besar. Malah apabila kita berterusan mengambil diet pemakanan yang halal dan baik, ia boleh memberikan fungsi tubuh badan yang optimum dalam mengerjakan urusan kehidupan seharian. Kesihatan kita adalah berkait rapat dengan pengambilan makanan yang seimbang untuk badan kita. Pemakanan atau nutrisi ialah proses organisma hidup yang mengambil pelbagai jenis bahan makanan dan menggunakannya untuk mendapatkan tenaga, penyenggaraan badan dan proses pertumbuhan, pergerakan dan pembiakan. Pemakanan melibatkan proses pencernaan, penyerapan dan berkaitan dengan makanan dan kesihatan tubuh.[52]

Amalan dan pola pemakanan juga boleh mempengaruhi kesihatan dan memberi implikasi terhadap aktiviti seharian. Terdapat kajian berkaitan amalan dan pola pemakanan dalam kalangan pelajar universiti. Kajian tersebut dilihat dari enam aspek iaitu pilihan menu makanan, waktu makan, tempat makan, perbelanjaan untuk makanan dan persepsi responden tentang tujuan makan dan perkara yang berkait dengan makan.[53] Hasil kajian tersebut mendapati pemakanan berkualiti adalah faktor penting bagi menjamin kesihatan mental dan fizikal seseorang. Bagi seseorang pelajar, pengambilan diet makanan yang seimbang serta jadual pemakanan yang konsisten perlu dititik beratkan dalam kehidupan seharian. Walaupun seseorang pelajar terpaksa makan di premis makanan siap, namun mereka perlu sedar dan peka terhadap kualiti makanan dan amalan diet seimbang.[54] Bayangkan segala proses yang berlaku itu bersumberkan daripada produk yang haram, pastinya rahmat dan berkat daripada Allah swt boleh terhalang dalam segala aktiviti yang dilakukan.

Kepentingan makanan barang gunaan yang halal diterangkan oleh Nabi Muhammad saw. Antaranya makanan yang halal menjadi sebab doa dimakbulkan, dalam kata lain makanan yang haram doanya tidak diterima Allah swt.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu tayyib (baik) dan dia tidak menerima kecuali yang baik-baik sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan apa-apa ke atas orang yang beriman sama seperti yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah telah berfirman “Wahai para Rasul! Makanlah daripada yang baik-baik sahaja.” Allah berfirman lagi “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada yang baik-baik apa yang telah direzekikan kepada kamu.” Kemudian Nabi Muhammad menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya mengangkat tangan lalu berdoa “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” dengan pakaiannya yang bergebar-gebar dan berdebu, makanannya daripada sumber haram, minumannya daripada sumber haram, pakaiannya daripada sumber haram, diberikan makanan daripada sumber haram. Maka bagaimana doanya dimakbulkan Allah?”
(Riwayat Muslim)
“Barangsiapa yang memakan riba walaupun satu dirham, maka ia sama seperti dosa 33 kali zina, sesiapa yang tumbuh daripada dagingnya daripada sumber haram, maka neraka adalah sutama baginya.”
(Riwayat Sahih)
Diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih, Ibn ‘Abbas berkata surah al-Baqarah (ayat 168-169) dibacakan kepada Sa’ad bin Abi Waqqas lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimana Allah memperkenankan doaku?” Rasulullah menjawab “Carilah makanan yang halal maka doa kamu akan diperkenankan. Bahawa sesungguhnya seseorang lelaki yang menelan satu suapan yang haram dalam perutnya maka doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Bahawasanya seseorang hamba yang tumbuh dagingnya darioada ‘suht’ (makanan haram) dan riba’ maka neraka adalah paling utama baginya.”
(Riwayat al-Hakim)
Pada hari ini, makanan yang dimakan tidak lagi dalam bentuk bahan mentah tetapi bahan yang telah diproses. Kemajuan dalam bidang pemakanan ini sangat dituntut oleh Islam kerana Islam bukan gama yang jumud malah sangat meraikan kemajuan dan kemodenan teknologi yang boleh membawa maslahah dan manfaat kepada masyarakat umum. Malah, kemajuan dan kemodenan itulah sebenarnya lambang pembawaan agama Islam yang sebenar dan dalam masa yang sama sentiasa di atas landasan agama yang benar.

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
(Surah al-Baqarah 2:208)
Merujuk kepada MPPHM, halal yang ditakrifkan mempunyai perkaitan yang sangat luas. Ia melibatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan. Bagi pengeluaran produk adalah merangkumi makanan tambahan, sumber bahan mentah dan ramuan, bahan bantuan pemprosesan, pihak pembekal, barang gunaan, penjenamaan atau pelabelan produk, premis makanan, dapur, perkhidmatan penyajian makanan dan hotel, rumah sembelihan, kilang, farmaseutikal, kosmetik dan dandanan diri. Perkhidmatan pula segala yang berhubungan dengan makanan seperti peralatan, proses penyediaan, pengendalian, pembungkusan, penyimpanan, pemindahan, pekerja, sistem sanitasi, pengangkutan dan logistik. Ungkapan yang diperihalkan untuk menunjukkan perkhidmatan atau barangan tersebut mestilah juga mengikut hukum syara’.[55]

Maqasid Pembangunan Hab Halal
Istilah halal dengan prinsip-prinsipnya adalah istilah yang berasal daripada kalamullah, al-Quran. Ia meupakan kata-kata Allah, Tuhan yang mencipta segala makhluk di langit dan di bumi, yang kelihatan dan tidak kelihatan, yang diketahui dan tidak diketahui. Dialah Yang Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dia mengetahui segala yang zahir dan ghaib, segala manfaat dan mudharat, keperluan dan kehendak, keseimbangan dan kestabilan untuk seluruh mahkluk, serta Maha Bijaksana mengatur dan menyusun sistem kehidupan terbaik terhadap manusia selaku makhluk yang diamanahkan mentadbir bumi.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
(Surah al-Baqarah 2:30)
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain asin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari karunia-Nya dan supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Faathir 35:12)
Amanah yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk mentadbir dan memakmurkan bumi merupakan suatu amanah yang besar dan berat. Ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna melainkan diberikan kemudahan dan keperluan yang secukupnya. Allah swt Maha Adil dan Maha Bijaksana. Bagi membantu menjalankan amanah tersebut, Allah telah menundukkan segala apa yang ada di atas dan di bawah bumi kepada manusia. Akhirnya akan melahirkan seorang hamba yang berkuasa di atas muka bumi dengan merendah hati dan penuh rasa kesyukuran.

Bagi memperoleh kemudahan dan keperluan tersebut, manusia perlu berikhtiar dan berusaha sebaik mungkin. Manusia yang berusaha ke arah kebaikan akan memperoleh manfaat yang berguna, manakala manusia yang berusaha ke arah keburukan akan memperoleh mudharat yang berkekalan. Allah menjadikan agama Islam ini sempurna. Ia boleh diamalkan dan disesuaikan mengikut keadaan, masa dan tempat tanpa menyeleweng daripada prinsip-prinsip yang ditetapkan, termasuk perkara hala-haram.

Kemajuan teknologi dan pembangunan penyelidikan dalam industri halal di Malaysia telah membuka mata dunia terhadap prospek peluang dan potensi atas label ‘produk halal’. Ini secara langsung dan tidak langsung membuktikan Islam adalah agama yang terkehadapan dan membawa tamadun manusia bertambah maju, moden dan makmur. Tidak hairanlah apabila terbukti bahawa tamadun Islamlah yang membawa kemajuan dan melepaskan tamadun Barat di Zaman Kegelapan (Dark Ages) keluar daripada kepompong kemunduran, kelesuan dan penyelewengan agama dan ilmu.

Dalam bidang ekonomi, berdasarkan perkembangan industri halal global, fenomena halal bukan lagi menjadi isu keagamaan semata-mata, sebaliknya halal menrupakan satu simbol global bagi menjamin keselamatan dan kualiti produk serta menjadi pilihan gaya hidup. Keadaan ini dibuktikan melalui permintaan produk halal yang tinggi bukan sahaja di negara-negara Islam, bahkan di negara minoriti muslim seperti United Kingdom dan Jerman.[56] Secara keseluruhannya populasi umat Islam dunia mencecah 2.08 bilion dengan nilai pasaran RM17 trilion memberikan petanda positif dalam prospek ekonomi serta pasaran peoduk halal dunia. Melihat perkembangan dan potensi industri halal ini, Malaysia tidak ketinggalan untuk menggunakan peluang sebagai negara anggota dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk meletakkan kedudukannya sebagai hab halal antarabangsa.[57]

Dua tunggak ‘Ekonomi Halal’ iaitu industri  produk halal dan kewangan Islam merupakan dua industri berdasarkan tuntutan syariah boleh membentuk satu platform ekonomi yang kukuh yang terbina di dalam sistemnya nilai kongsi seperti kebolehkepercayaan, integriti dan keadilan mampu membentuk pasaran global pada masa akan datang (www.daganghalal.com).[58] Justeru, tuntutan semasa ini tidak boleh dipandang remeh. Ia menjadi suatu agenda ummah dan menjadi pemangkin kepada ekonomi alternatif terbaik terhadap segala krisis yang melngkari global. Hal ini dibuktikan dalam kenyataan Pengarah Forum Halal Sedunia yang menyatakan gabungan sistem kewangan Islam dan produk halal dijenamakan sebagai Halal 2.0 atau Ekonomi Halal pastinya menjadi suatu gagasan baharu ekonomi dunia.[59]

Mengikut Zainal (2003), terdapat beberapa faktor yang membantu ke arah peningkatan potensi eksport makanan halal, iaitu[60]:
1     -      Peningkatan kesedaran tentang kualiti, kesihatan dan makanan selamat,
2     -      Perubahan demografi,
3     -      Pengaruh daripada pertambahan golongan menengah,
4     -      Amalan pembelian secara runcit,
5     -      Perkembangan jenama dan label persendirian,
6     -      Gabungan dan kesatuan dalam kalangan pengusaha makanan global,
7    -      Perubahan dalam teknologi pembungkusan, persekitaran, pilihan pengguna, penyimpanan dan pembuangan.

Selain daripada industri halal global dan syarikat mutinasional, sektor perdagangan dalam negeri yang digerakkan oleh Industri Kecil Sederhana (IKS) merupakan penjana utama ekonomi domestik. Pengeluaran produk halal juga penting di bawah perdagangan dalam negeri. Sebagaimana yang telah diterangkan, matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan negara ini pusat serantau pengeluaran produk halal dan berpotensi mengeksport ke Asia.[61] Bagi memastikan sektor ekonomi domestik sentiasa terkawal dan menyediakan barangan yang berkualiti tinggi, beberapa etika perniagaan digubal dan dikenali sebagai Rukuniaga Malaysia. Terdapat enam etika yang dimuatkan ke dalam rukuniaga ini, iaitu[62]:
1     -      Berlaku benar dalam amalan perniagaan,
2     -      Bertanggungjawab terhadap pelanggan, masyarakat dan persekitaran,
3     -      Berperikemanusiaan terhadap semua insan,
4     -      Kesederhanaan tingkahlaku dalam perniagaan,
5     -      Saksama terhadap pelanggan dan,
6     -      Kesungguhan menjayakan perniagaan.

Selain berusaha untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa terutama dari segi peraturan dan piawaian kualiti keluaran, para pengusaha harus mengambil kira beberapa faktor sebelum mengambil keputusan untuk memasuki pasaran liberalisasi perdagangan, hubungan antarabangsa dari segi politik dan ekonomi, orientasi global, segmentasi pasaran, program pemasaran dan kebajikan pemasaran. Khusus untuk industri makanan dalam negara, terutama makanan halal, syarat-syarat berikut harus dipenuhi oleh pengusaha sebelum mengambil keputusan berdagang dalam pasaran global, iaitu[63]:
1     -      Melakukan usaha untuk memperoleh ISO atau HACCP bagi industri mereka,
2     -      Membangunkan produk baharu,
3     -      Memperluas aktiviti pemasaran,
4     -      Mengadakan penyelidikan pemasaran,
5     -      Memahirkan penggunaan teknologi maklumat,
6     -      Menjalankan perniagaan melalui internet atau e-Dagang,
7     -      Membaiki pembungkusan dan menentukan jenama.

Dalam bidang pembangunan standard, pengeluaran produk halal kini kepada bukan sahaja halal, tetapi juga baik (tayyib). Ini terbukti apabila kilang atau premis yang mengeluarkan produk makanan halal telah mencapai piawaian Good Manufacturing Practices (GMP), Good Hygine Practices (GHP),[64] Hazard Analysis and Critical ontrol Points (HACCP).[65] Logo Halal Malaysia telah dimulakan dalam mesyuarat ASEAN Regional Codex pada tahun 1991 dan garis panduan tersebut diterima sebagai standard antarabangsa oleh Codex Alimentarius Commision (CAC)[66].[67] CODEX adalah kod makanan antarabangsa dalam bentuk seragam bagi tujuan melindungi kesihatan pengguna dan memastikan penggunaan amalan yang adil dalam dagangan makanan.[68]

Hakikatnya, terdapat beberapa pencapaian perlu dipenuhi dan dicapai terlebih dahulu sebelum tahap pengurusan kualiti menyeluruh tercapai. Dalam industri makanan, pencapaian dan pematuhan terhadap keperluan-keperluan asas seperti asas keperluan amalan kebersihan dan pemprosesan baik perlu dipatuhi sebelum bergerak ke arah penstandardan ISO (seperti ISO 22000[69]) dan seterusnya pengurusan kualiti menyeluruh (Grigg dan McAlinden, 2001).[70]

Sebagai contoh, pengeluaran produk mestilah memenuhi semua standard dan piawaian yang telah ditetapkan, sama ada carta alir pengeluaran produk, pusat penyembelihan halal[71], penggunaan bahan aditif, titik kritikal pemprosesan bahan. Malah, banyak standard-standard lain digunakan dan dibacakan bersama dalam pematuhan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia sebelum Logo Halal diberikan.

Dalam bidang penyelidikan perkembangan hukum Islam, piawaian Logo Halal telah menjadi pemangkin terhadap pembangunan penyelidikan halal. Pelbagai istilah sains dan agama digunapakai dan diserasikan bagi memenuhi keperluan penafsiran, rujukan, penetapan hukum dan kaedah serta penetapan proses sesuatu produk sama ada ia diterima dalam hukum Islam atau sebaliknya.

Pelbagai istilah sains pemakanan dimasukkan dalam perbincangan makanan halal-haram pada hari ini antaranya seperi Genetically Modified Organisms (GMO). Istilah-istilah bahan yang menjadi titik kritikal dalam produk halal seperti gelatin[72], aditif[73], bahan pengemulsi (emulsifire)[74], agen anti-buih (anti-foaming agent), penstabil (staibilizer), pemekat (thickener), kanji diubahsuiai  (modified starch), agen penggelan (gelling agent), pengawal asid (acidity regulator), enzim pelarut (solvent), agen anti-pergerakan dan lain-lain[75]. Antara istilah-istilah yang berkait dengan produk halal daripada perbincangan ulama fiqh pula adalah seperti[76]:
1     -      al-Istihalah, - Suatu proses transformasi daripada satu bahan kepada bahan yang lain meliputi perubahan fizikal dan kandungannnya atau sesuatu yang berubah daripada tabiat dan sifat asalnya atau proses transformasi yang berlaku daripada kotoran menjadi suci.
2     -      al-Istihlak, - Perbincangan dalam isu semasa seperti persoalan makanan dan ubat-ubatan apabila bercampur dengan arak, lalat, binatang kecil atau daging manusia yang terjatuh ke dalam masakan panas lalu ia menjadi hancur sehingga hilang sifat asal yang ada di dalamnya.
3     -      al-Istibra’, - Pengkuarantinan bagi yang dicemari najis. Seperti ia merujuk proses pengkuarantinan haiwan jallalah seperti ayam, lembu, unta dan kambing yang diberi makan makanan najis dan kotoran. Haiean ini dikuarantin bagi tujuan menghilangkan sifat najis yang terdapat padanya dengan diberi makanan yang suci dan bersih.
4     -      al-Intiqal, - Perpindahan atau perubahan dari satu tempat ke tempat yang lain
5     -      al-Taba’iyyat, - Kaedah penurutan yang menyebabkan bahan akhir (matbu’) mengalami perubahan dan mengikut bahan asal (tabi’) sama ada dari segi fizikal dan kandungannya.
6     -      al-Istisbah, - Pencahayaan yang merujuk kepada usaha menyalakan sesuatu dengan bersumberkan najis.
7     -      al-Ihraq, - Membakar atau melakukan proses pembakaran seperti bahan yang berasal daripada sampah dan sisa pepejal mengalami proses pembakaran sehingga menghilangkan bahan asalnya.
8     -      al-Inqilab  - Ia hampir sama dengan proses istihalah iaitu merujuk kepada proses perubahan, misalnya perubahan arak menjadi cuka adalah halal.
9     -      al-Istikhlaf – Proses timbal balik sesuatu bahan seperti bahan halal yang berubah menjadi haram dan kemudiannya berubah kembali menjadi halal seperti proses timbal balik daripada buah anggur yang halal berubah menjadi arak, lalu berubah kembali menjadi cuka.

Dalam bidang kepenggunaan sepertimana yang telah dibincangkan sebahagiannya sebelum ini, ia perlu berpegang kepada prinsip al-Asalah wa al-Mu’asarah iaitu mengekalkan warisan turath silam dan mengambil kira elemen permodenan. Dalam soal ini umat islam perlu menjaga warisan tradisi yang merupakan formula susunan sarjana Islam silam dan berusaha membangunkan tamadun terkini berasaskan adunan inipati tradisi tersebut. Contoh terbaik yang boleh disediakan ialah satu kajian ilmiah di peringkat pascasiswazah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di mana mereka mengkaji status rawatan kumbahan air yang dipraktik oleh Indah Water Konsortium. (Nadzirah Ismail, 2003) telah menggunakan prinsip al-Asalah wa al-Mu’asarah dengan meneliti pandangan ulama silam yang berkaitan dengan status dan bahan yang menyucikan air yang kemudiannya dikaitkan pula dengan kaedah teknologi rawatan kumbahan air yang terkini. Hasilnya beliau mendapati status air kumbahan yang dirawat ini benar-benar bersih dan bertaraf air mutlak, yang boleh digunakan untuk keperluan seharian dalam kalangan pengguna Islam.[77]

Merujuk kepada aspek aksiologi (untuk apa) pula, kepenggunaan Islam perlu memperguna sepenuhnya beberapa perkara utama. Antaranya:
1-      Konsep tauhid, ibadat, al-falah dan tugas sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan alam ini,
2-      Mendidik pengguna untuk mengelakkan semua sifat mazmumah dalam soal kepenggunaan seperti pembaziran, kemewahan, penipuan dan merosakkan alam sekitar,
3-      Menggalakkan penggunaan barangan yang bermanfaat untuk masyarakat awam dan ia perlu mendukung usaha menjana perkembangan ekonomi Islam berbanding ekonomi bukan Islam,
4-      Mendidik pengguna yang baik dari segi kognitif, afektif dan psikomotor agar tidak mudah tertipu dengan iklan yang menggoda dan amalan masyarakat yang songsang dalam kepenggunaan,
5-      Mendidik pengguna untuk mengetahui bagaimana pemprosesan barangan itu dilakukan dan juga patut mengetahui bagaimana proses pensijilan halal itu dikeluarkan oleh agensi Islam. Ini kerana mengikut perspektif Islam, setiap barangan yang haram dimakan akan memberi kesan terhadap aspek spiritiual umat Islam,
6-      Perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang didedahkan oleh persatuan pengguna Islam tentang hak perlindungan pengguna,
7-      Mendidik pengguna tentang kaedah terbaik untuk melupuskan barangan yang digunakan agar tidak merosakkan ekologi alam (Nurizan Yahya, 2002) [78],
8-      Mendidik masyarakat awam dan pihak NGO Islam agar tidak tergesa-gesa dalam mempersoal kredibiliti pemegang logo halal dan agensi yang memberinya serta bertindak lebih rasional berdasarkan kaji selidik dan laporan yang sahih berkaitan isu produk dan logo halal.

Kesimpulan
Pematuhan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) mempunyai justifikasi yang sangat signifikan. Ia bukan pematuhan yang bersifat sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’, tetapi keseluruhan pengurusan dan operasi produk tersebut, pihak majikan, staf pentadbiran dan pekerja mestilah bekerja secara kolektif agar sinergi kemahuan pematuhan halal dalam erti kata yang sebenar dalam hukum Islam terlaksana. Kita telah membincangkan secara panjang lebar maqasid akhirat dan maqasid dalam tuntutan pembangunan Hab Halal dan ini membuktikan tidak dapat tidak MPPHM ini menjadi satu rujukan dan sandaran utama dalam semua produk halal yang dikeluarkan.

Sekali lagi ditekankan bahawa Islam ini merupakan agama yang syumul dan bersistem. Setiap hukum yang ditetapkan mempunyai matlamat, alasan dan hikmah yang tersendiri, terutamanya dalam memandu seluruh umat Islam mencapai kehidupan yang terbaik serta menjadi tauladan kepada bangsa atau agama lain. Era kegemilangan umat Islam dahulu kita dapat lihat mereka menjadi rujukan dalam bidang keilmuan dan pembangunan bukan sahaja dalam bentuk fizikal kemodenan, malah dalam bentuk pemikiran, keilmuwan dan ketamadunan. Apabila kita bersungguh dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menjayakan konsep halal ini, tidak mustahil suatu hari nanti kita rantau kita menjadi hab halal dunia, lantas mengangkat agama Islam pada kedudukannya yang tertinggi, dalam bidang pemakanan dan industri produk halal ini.

Bibliografi
Abdul Monir Yaacob (2006), “Sifat-difat dan Implikasi Syariah: Suatu Sorotan Umum” dalam Jurnal Syariah, 14:1 (2006).
Ahmad Raisuni, 2010, Madkhal ila Maqasid al-Syari’ah, Kaherah: Dar al-Salam.
Al-Imam Muhammad Thohir Ibnu ‘Asyur (2009), Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Salam.
Dr. Nur al-Din bin Mukhtar al-Khadimi (2001), ‘Ilm al-Maqasid al-Syariah. Riyadh: Maktabah al-‘Abikan.
Drs. Ahmad Rafaai bin Ayudin, Halal-Haram-Subahat, 1994, Kuala Lumpur: Penerbitan Al-Ramadhan.
Dzulkifly Mat Hashim, Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia dalam “Aditif Makanan Halal atau Haram?”
Fahrul Irfan Ishak, Pengurusan Produk Halal di Malaysia, 2011 dalam Tuntutan Menggunakan Produk dan Perkhidmatan Halal Menurut Pandangan Syariah, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Jafri Abdullah, Suhaimi Ab. Rahman dan Zaidah Mohd Nor, 2011, Pengurusan Halal di Malaysia dalam “Pengurusan Produk Halal di Malaysia”, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Abu Hassan bin Haji Ali, Kesihatan dalam konteks Islam, Cetakan Pertama 2006, Selangor: Punchong, Penerbitan Dar Hakamah/Dar Bariyazi.
Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Khairul Anuar Mohd Ali (2008), “Aspek Kualiti, Keselamatan Dan Kesihatan Di Kalangan Pks Makanan: Satu Sorotan Kajian” dalam Jurnal Teknologi 49(E), Universiti Teknologi Malaysia.
M. Harith Mahmud, Halal Living, 2011, Selangor: Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014 (Semakan Ketiga).
Mohammad Aizat Jamaludin dan Mohd Anuar Ramli, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa dalam “Sumber Alternatif Dalam Penentuan Halal Haram Barangan Gunaan”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.
Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludin, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam, dalam “Kriteria Makanan Yang Baik dan Buruk”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.
Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludian, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa, 2011, dalam “Pengenalan Kepenggunaan Islam”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia Rahimin Affandi Abdul Rahim dll. (2006), “Pendekatan Baru Maqasid Al-Shariah Dalam Pengajian Syariah Di Malaysia: Satu Analisis” dalam Jurnal Fiqh: No. 3 (2006).
Mohd Azlan Abdullah & Noraziah Ali (2011), “Amalan Pemakanan dalam Kalangan Pelajar Universiti dan Implikasinya Terhadap Pembelajaran” dalam Jurnal Personalia Pelajar, 14 (2011).
Mohd. Fitri Shahron Kahar, Cetakan Pertama 2012, Mencari Makanan Yang Diredai, Selangor: Seri Kembangan.
MS 1500:2009
Noraini Haji Idris, Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia, 2007, dalam “Daya Saing Global: Tuntutan dan Cabaran”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noraini Haji Idris, Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia, 2007, dalam “Ke Arah Halal Hab Dunia: Cabaran AFTA”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norazilawati Md Dahlal, Pengurusan Kualiti Makanan Halal, 2015, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahimin Affandi Abd Rahim, Saadan Man, Paizah Ismail dan Nor Hayati Mohd Dahlal, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa dalam “Pembangunan Konsep Kepenggunaan Islam”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Mslaysia.
Rohana Kamaruddin, Hadijah Iberahim dan Alwi Shabudin (2012), IEEE Business, Engineering & Industrial Applications Colloqium (BEIAC) dalam “Halal Complience Critical Point (HCCCP) Anaysis of Processed Food”.
Salma Binti Mat Yasim, 2011, Tesis Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam) berjudul “Makanan Halal: Kepentingannya Menurut Perspektif Islam”, Universiti Teknologi Malaysia.
Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh dan Abdul Muhaimin Bin Mahmood “Halal: Antara Tuntutan Agama dan Strategi Ekonomi” dibentangkan Dato’ Haji Wan Muhammad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam seminar “Pentadbiran Hal-Ehwal Islami Di Malaysia: Cabaran Semasa Dan Perancangan Masa Depan”.




[1] Dr. Nur al-Din bin Mukhtar al-Khadimi (2001), ‘Ilm al-Maqasid al-Syariah. Riyadh: Maktabah al-‘Abikan, hlm 18.
[2] Op. Cit. al-Khadimi, hlm 13.
[3] Ibid, hlm 14.
[4] Ibid.
[5] Ibid. hlm 15-16.
[6] Ibid. hlm 16.
[7] Lihat Rahimin Affandi Abdul Rahim dll. (2006), “Pendekatan Baru Maqasid Al-Shariah Dalam Pengajian Syariah Di Malaysia: Satu Analisis” dalam Jurnal Fiqh: No. 3 (2006), hlm 36-37.
[8] Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014 (Semakan Ketiga).
[9] Ibid.
[10] Ibid.
[11] Lihat Abdul Monir Yaacob (2006), “Sifat-difat dan Implikasi Syariah: Suatu Sorotan Umum” dalam Jurnal Syariah, 14:1 (2006) hlm 112.
[12] Al-Imam Muhammad Thohir Ibnu ‘Asyur (2009), Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Salam, hlm 14.
[13] Definisi halal dibincangkan di dalam kertas kerja yang bertajuk “Halal: Antara Tuntutan Agama dan Strategi Ekonomi” oleh Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh dan Abdul Muhaimin Bin Mahmood serta dibentangkan oleh Dato’ Haji Wan Muhammad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam seminar “Pentadbiran Hal-Ehwal Islami Di Malaysia : Cabaran Semasa Dan Perancangan Masa Depan” Pada 6-7 Ogos 2008”, di Istitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur. Di dalam kertas kerja tersebut pada halaman pertama menyatakan:
“Perkataan halal berasal dari kalimah Arab iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum Syarak. Dalam Munjid, ia didefinisikan sebagai sesuatu yang dibolehkan oleh Allah swt. Manakala menurut Kamus Dewan, halal bermaksud hukum membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan, dibenarkan. Ia merupakan perkataan yang berlawanan maksud dengan perkataan haram.”
[14] Ibid. hlm 2.
[15] Ibid.
[16] Ibid.
[17] Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menjelaskan hal ini;
Firman Allah swt yang bermaksud: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya. (Surah al-Maaidah 5:88)

Firman Allah swt yang bermaksud: Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah. (Surah al-Nahl 16:114)

Firman Allah swt yang bermaksud: Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah al-Baqarah 2:168)

Firman Allah swt yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (Surah al-Baqarah 2:172)

Firman Allah swt yang bermaksud: Dan telah dihalalkan bagi kamu semua binatang ternak, kecuali yang diterangkan kepadamu keharamannya, maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta. (Surah al-Hajj 22:30)

Firman Allah swt yang bermaksud: Wahai para rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mu’minun 23:51)
[18] Ayat al-Quran yang menjelaskan hal ini adalah;
Firman Allah swt yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Baqarah 2:173)

Firman Allah swt yang bermaksud: Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. (Surah al-Maaidah 5:3)

Firman Allah swt yang bermaksud: Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’aam 6:145)

Firman Allah swt yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Nahl 16:115)

Firman Allah swt yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah al-Baqarah 2:219)
[19] Firman Allah swt yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik…” (Surah al-Maidah 5:4)
[20] Firman Allah swt yang bermaksud: “… dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…” (Surah al-A’raf 7:157)
[21] Firman Allah swt yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan ia maha mengetahui akan tiaptiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah 2:29)
[22] Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang kotor.”
[23] Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludin, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam, dalam “Kriteria Makanan Yang Baik dan Buruk”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia, hlm 67-68.
[24] Ibid. 71-89.
[25] Op. Cit. Zawanah Binti Muhammad dll. (2008), hlm 3.
[26] Makna produk boleh dirujuk dari Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 1232.
[27] Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) (Pindaan) 2012 adalah seperti berikut: Apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu:
         i.            bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak dan fatwa;
        ii.            tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak dan fatwa;
      iii.            tidak memabukkan mengikut Hukum Syarak dan fatwa;
      iv.            tidak mengandungi mana-mana bahagian atau anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak dan fatwa;
       v.            tidak beracun atau memudaratkan kesihatan;
      vi.            tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut hukum syarak dan fatwa; dan
    vii.            tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang gagal memenuhi sub-sub perenggan (a) dan (b).
[28] Di dalam perkara 2.2 menyatakan halal ialah “Things or actions permitted by Shariah law without punishment imposed on the doer.”
[29] Di dalam perkara 2.14 menyatakan halal ialah Perkara yang dibenarkan oleh hukum Syara’ untuk mendapatkan manfaat daripadanya; seperti makan, minum dan menggunakannya; dan tidak berdosa jika dilakukan. Lawannya
ialah haram. Manakala perkara 2.14.1 memberi maksud halalan tayyiba sebagai halal lagi selamat, berkualiti dan berkhasiat.
[30] Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014 (Semakan Ketiga): Skim Pensijilan.
[31] Surah al-Maaidah 5:88
[32] Surah al-Baqarah 2:168
[33] Surah al-Nahl 16:114
[34] Surah al-Baqarah 2:172
[35] Drs. Ahmad Rafaai bin Ayudin, Halal-Haram-Subahat, 1994, Kuala Lumpur: Penerbitan Al-Ramadhan, hlm i, 11, 9, 10.
[36] Ibid. hlm 25-32.
[37] Salma Binti Mat Yasim, 2011, Tesis Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam) berjudul “Makanan Halal: Kepentingannya Menurut Perspektif Islam”, Universiti Teknologi Malaysia, hlm 5.
[38] Jafri Abdullah, Suhaimi Ab. Rahman dan Zaidah Mohd Nor, 2011, Pengurusan Halal di Malaysia dalam “Pengurusan Produk Halal di Malaysia”, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia, hlm 194.
[39] Ibid.
[40] Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludian, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa, 2011, dalam “Pengenalan Kepenggunaan Islam”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia, hlm 2.
[41] Ibid. hlm 1.
[42] Rahimin Affandi Abd Rahim, Saadan Man, Paizah Ismail dan Nor Hayati Mohd Dahlal, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa dalam “Pembangunan Konsep Kepenggunaan Islam”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Mslaysia, hlm 15.
[43] Ibid.
[44] Ahmad Raisuni, 2010, Madkhal ila Maqasid al-Syari’ah, Kaherah: Dar al-Salam, hlm 10-12.
[45] Op. Cit. Jafri Abdullah dll. hlm 195.
[46] M. Harith Mahmud, Halal Living, 2011, Selangor: Kemilau Publika Sdn. Bhd. hlm 19-20.
[47] Op. Cit. Drs. Ahmad Rafaai bin Ayudin.
[48] Fahrul Irfan Ishak, Pengurusan Produk Halal di Malaysia, 2011 dalam Tuntutan Menggunakan Produk dan Perkhidmatan Halal Menurut Pandangan Syariah, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia, hlm 142.
[49] Op. Cit. Salma Binti Mat Yasim, hlm 5.
[50] Mohd. Fitri Shahron Kahar, Cetakan Pertama 2012, Mencari Makanan Yang Diredai, Selangor: Seri Kembangan, hlm 29-37.
[51] Ibid. Hlm 38-43.
[52] Haji Abu Hassan bin Haji Ali, Kesihatan dalam konteks Islam, Cetakan Pertama 2006, Selangor: Punchong, Penerbitan Dar Hakamah/Dar Bariyazi, hlm 20.
[53] Lihat Mohd Azlan Abdullah & Noraziah Ali (2011), “Amalan Pemakanan dalam Kalangan Pelajar Universiti dan Implikasinya Terhadap Pembelajaran” dalam Jurnal Personalia Pelajar, 14 (2011) hlm 61.
[54] Ibid. hlm 67.
[55] Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014 (Semakan Ketiga).
[56] Norazilawati Md Dahlal, Pengurusan Kualiti Makanan Halal, 2015, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 2-3.
[57] Ibid. hlm 3.
[58] Op. Cit. Fahrul Irfan Ishak, hlm 136.
[59] Ibid. hlm 147-148.
[60] Noraini Haji Idris, Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia, 2007, dalam “Ke Arah Halal Hab Dunia: Cabaran AFTA”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 29.
[61] Noraini Haji Idris, Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia, 2007, dalam “Daya Saing Global: Tuntutan dan Cabaran”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 50.
[62] Ibid. hlm 51.
[63] Op. Cit. Noraini Haji Idris, “Ke Arah Halal Hab Dunia: Cabaran AFTA”, hlm 30.
[64] Lihat MS 1500:2009, 3.4.3 – Halal food shall be processed packed and distributed under hygine condition in premises licensed in accordance with good hygine practices (GHP), good manufacturing practices (GMP) or such as specified in the Garispanduan amalan pengilangan baik, Ministry of Health Malaysia, MS 1514 or MS 1480 and public health legislation currently in forced by the competent authority in Malaysia.
[65] Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) (Codex Alimentarius Commission, 2003) is a worldwide recognized and applied quality assurance system within companies situated at different levels of the agro-food chain. The implementation of an integrated quality assurance system following HACCP principles with identification and monitoring of critical control points at different levels of processed food chain could be a vechile for guaranteeing halal processes food quality and reducing halal quality uncertainly for Muslim consumer. Lihat Rohana Kamaruddin, Hadijah Iberahim dan Alwi Shabudin (2012), IEEE Business, Engineering & Industrial Applications Colloqium (BEIAC) dalam “Halal Complience Critical Point (HCCCP) Anaysis of Processed Food”, hlm 384.
[66] Codex Alimentarius Commision (CAC) ditubuhkan pada tahun 1962 oleh Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
[67] Op. Cit. Noraini Haji Idris, “Ke Arah Halal Hab Dunia: Cabaran AFTA”, hlm 30.
[68] Ibid.
[69] Pengurusan Keselamatan Makanan
[70] Lihat Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Khairul Anuar Mohd Ali (2008), “Aspek Kualiti, Keselamatan Dan Kesihatan Di Kalangan Pks Makanan: Satu Sorotan Kajian” dalam Jurnal Teknologi 49(E), Universiti Teknologi Malaysia, hlm 66.
[71] Di dalam Malaysia Standard MS 1500:2009, di terangkan di bahagian 3.5.3 Slaughtering process berkenaan standard penyembelihan ke atas haiwan ruminan ayam dan lembu serta Annex A:  Requirements on the use of stunning in slaughter of ruminant and poultry berkenaan penggunaan stunner sebelum proses penyembelihan.
[72] Gelatin dari segi bahasa bermaksud sejenis bahan yang jernih warnanya (tidak mempunyai bau dan rasa) yang diperoleh daripada tulang-tulang dan kulit binatang yang direbus. Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. Umumnya gelatin berasal daripada kalogen. Kebanyakan kalogen boleh diperoleh daripada tulang dan kulit binatang, terutama khinzir dan lembu kerana kualiti dan kebolehdapatan sumbernya yang banyak. Kajian statistik daripada Gelatine Manufacturers of Europe (GME) menunjukkan 44% sumber gelatin adalah daripada khinzir, manakala 27% adalah daripada kulit lembu dan 28% adalah daripada tulang sumber ruminan tersebut. Lihat Nor Nadiha Mohd Zaki, Mohammad Aizat Jamaludin dan Dzulkifli Mat Hashim, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa dalam “Gelatin Halal”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia, hlm 167-168.
[73] Aditif makanan ialah bahan yang ditambah secara sengaja ke dalam atau ke atas makanan dalam kuantiti yang sedikit untuk mengekalkan, membaiki kualiti, penampilan (tekstur, konsistensi, appearance), perisa, bau, rasa dan tempoh penyimpanan tidak termasuk vitamin dan mineral. Aditif makanan biasanya digunakan dalam kadar yang sedikit (kurang 2%) dan kebanyakannya dikawal mengikut Amalan Pengilangan yang Baik (GMP). Lihat Peraturan-peraturan Makanan 1985, Peraturan 19 (1).
[74] Emulsifier merupakan bahan tambahan pada produk farmasi dan makanan yang berfungsi sebagai penstabil pada emulsi. Pada makanan, emulsifier berperanan sebagai bahan tambahan untuk mempertahankan konsistensi dan bentuk makanan serta sebagai pengembang seperti pada kuih dan kek.
[75] Dzulkifly Mat Hashim, Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia dalam “Aditif Makanan Halal atau Haram?”
[76] Mohammad Aizat Jamaludin dan Mohd Anuar Ramli, 2011, Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa dalam “Sumber Alternatif Dalam Penentuan Halal Haram Barangan Gunaan”, Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia, hlm 39-44.
[77] Op. Cit. Rahimin Affandi Abd Rahim, dll. hlm 9.
[78] Op. Cit. Rahimin Affandi Abd Rahim dll. hlm 16.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
9 Jamadil Akhir 1437H.

No comments: