Pengenalan Ilmu Ta'lil al-Ahkam

Pengenalan Ta'lil al-Ahkam (تعليل الأحكام)

Kajian 'illah hukum dalam teori qiyas menerangkan nilai-nilai falsafah hukum Islam dan kemaslahatan yang terkandung di dalamnya. Ta'lil qiyas berhubung rapat dengan hukum nas al-Quran. Manakala metode qiyas digunakapai untuk mencari 'illah sesuatu hukum.

Imam Syafi'i mengatakan setiap peristiwa atau permasalahan atau isu yang dihadapi oleh seseorang muslim, penyelesaiannya pasti akan ditemui di dalam al-Quran. Beliau juga menyatakan bahawa di dalam al-Quran telah diterangkan secara terperinci hukum hakam yang berkaitan dengan ibadah dan perkahwinan, manakala hukum atau prinsip dasar di dalam hukum yang berkaitan dengan harta, ekonomi, perjanjian, kenegarran dan antarabangsa atau dengan lebih khusus aspek mu'amalah.

Ijtihad diperlukan di setiap zaman dan peredarannya. Ini kerana secara fitrah wujud perubahan dalam kehidupan seharian dan perkembangan sosial. Ini berlaku selari dengan kemajuan ketamadunan dan peradaban manusia serta teknologi dan maklumat.

(Gambar sekadar hiasan)

Al-Quran dan as-Sunnah telah menyediakan hukum hakam yang berkaitan dengan kehidupan peribadi dan sosial manusia. Tetapi kehidupan manusia yang bersifat dinamik memerlukan hukum yang mampu berubah atau feksibel dengan perubahan keadaan sekitarnya dengan tidak melebihi lingkaran perkara yang tetap (thawabit) dan berubah (mutaghayyirat). Maka, pandangan atau pemikiran manusia adalah alat yang boleh digunakan untuk mempertimbang situasi-situasi berbeza sehingga memungkinkan manusia untuk membuat/menetapkan hukum yang baru sesuai dnegan keperluan semasa mereka.

Skop penggunaan akal di dalam metode qiyas ialah melalui penentuan 'illah. Apabila 'illah telah ditentukan, maka ia perlu selari dengan ketetapan nas al-Quran tanpa sebarang perubahan. Kerana itu qiyas tidak boleh digunakan untuk mengubah ketetapan nas atas adasar kebijaksanaan akal atau pemikiran seseorang manusia. 

Setiap hukum yang ditetapkan peasti ada tujuan, alasan dan nilai yang tersendiri, ia tidak ditetapkan dengan sia-sia, tetapi ada faktor yang menyebabkan hukum tersebut wujud. Melalui alasan atau panduan inilah, ulama Usul Fiqh menjadikan perbincangan ini suatu bentuk pemikiran dalam menentukan apakah yang menjadi faktor atau pendorong atau asas atau alasan dalam sesuatu hukum syara'.

Setelah ulama meneliti nas al-Quran, mereka mendapati wujud hubungan antara ketentuan hukum dengan alasan yang mendasarinya. Akhirnya dnegan menggunakan teori 'illah tadi, ilmu 'ta'lil al-ahkam diperbincangkan.

Teori 'illah hukum atau ta'lil al-ahkam pada prinsipnya mengkaji dan membincangkan tentang apa yang menjadi 'illah atau pautan hukum, serta apa pula yang menjadi pengukur bahawa 'illah yang dimaksudkan adalah merupakan alasan yang dijadikan dasar dalam penetapan hukum tersebut.

Di samping itu ia membincangakan bagaimana prosedur atau langkah yang perlu ditempuh utnuk menemukakan dan menetapkan sesuatu 'illah hukum serta apa-apa sahaja yang menjadi kriteria atau prasyarat bagi sesuatu 'illah tersebut. Apa yang lebih menarik ialah, hakikatnya perbincangan ta'lil al-ahkam atau 'illah ini secara langsung akan berfungsi dan berhubungan dengan perbicangan maqasid al-syariah.

Persoalan untuk mencari apakah alasan atau faktor yang mendasari sesuatu penetapan hukum inilah yang akhirnya mendorong kepada pengkajian mengenai 'illah. Ini membawa kepada penelitian terhadap hubungan dan perkaitan serta kedudukan 'illah yang dipandang sebagai faktor penentu sesuatu hukum itu sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada metode pensyariatan hukum. Akhirnya langkah ini jugalah yang dirumuskan sebagai alat dalam aktiviti istinbat hukum di maan setiap ketentuan hukum akan berkait dengan 'ada' dan 'tidak ada' 'illah. Sebagaimana yang disebut oleh Abdul Wahhab Khallaf "Liputan hukum-hukum syara' itu didasari dengan ada dan tidak adanya 'illah, bukan dengan hikmah".

Namun begitu pandangan dan pemahaman terhadap 'illah ini telah menimbulkan persoalan yang juga bersifat dasar, iaitu "Apakah semua ketetapan hukum itu perlu wujud dan menuruti 'illah di sebaliknya?" Persoalan ini diperdebat dengan hebat dalam kalangan ulama Kalam yang kemudiannya diikuti oleh ulama Usul. Ini kerana tidak semua yang ditetapkan di dalam syara' mesti mempunyai 'illah pensyariatan, malah banyak juga ketentuan huku tidak mampu difahami dengan akal rasional apakah yang menjadi 'illah dalam penetapan tersebut. Aspek inilah yang kemudiannya dikategorikan oleh ulama Usul sebagai persoalan 'ta'abbudi' 'Illah di dalam ketentuan-ketentuan hukum yang tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia secara jelas mengenai alasan yang mendasarinya membawa kepada suatu bentuk istilah yang dinamakan sebagai 'sabab' atau 'sebab' dalam perbincangan usul fiqh.

Seterusnya ulama usul menyimpulkan bahawa 'illah adalah sesuatu keadaan atau sifat yang jelas dan dapat diukur serta mengandungi menasabah perkaitannya sehingga kuat di dalam anggapan manusia bahawa itulah 'illah yang menjadi alasan penetapan sesuatu hukum oleh Allah dan RasulNya. Terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi di dalam sifat sesuatu 'illah, iaitu; 
1- Sifat yang jelas, 
2- Dapat diukur,
3- Mempunyai pengertian yang sesuai dengan hukum iaitu mempunyai munasabah.
Daripada syarat-syarat inilah yang membezakan antara 'illah, hikmah dan sebab. 

Sebagai kesimpulannya, disertakan beberapa contoh untuk lebih memahami keseluruhan perbincangan ini.

Contoh 1: Pengharaman arak adalah kerana sifat 'yang memabukkan' yang ada di dalamnya. Sifat yang memabukkan membawa kepada hilangnya akal, keseimbangan pemikiran dalam membuat keputusan dan tindakan. Itu merupakan 'illah yang membawa kepada pengharaman selain daripada arak seperti pengharaman air tuak atau penyalahgunaan dadah. Arak itu memabukkan dan setiap yang memabukkan itu haram.

Contoh 2: Tidak semua yang Allah tetapkan hukumnya itu mempunyai 'illah. Sebagai contoh, solat Subuh dua rakaat, Asar empat rakaat dan Maghrib tiga rakaat. Hukum Allah menetapkan wajib berpuasa selama sebulan adalah di bulan Ramadhan, bukan di bulan Syawal dan bulan Safar. Allah menetapkan wajib solat Jumaat adalah pada hari Jumaat, bukan hari lain. Allah menetapkan menyapu di atas khuf, dan bukan di tepi atau bawah. Allah menetapkan ketika wudhu' membasuh tangan sehingga ke siku dan kaki sehingga ke buku lali. Semua ketetapan ini tidak mempunyai 'illah secara langsung dan ianya adalah berbentuk ta'abbudi (perhambaan). Mentaati sepenuhnya apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah tanpa sebarang persoal atau mempertikai. Tidak dinafikan ada juga ulama yang cuba mencungkil pelbagai hikmah disebalik ketetapan tersebut, ia hanyalah pandangan yang boleh diterima selagi ia tidak menyalahi asas-asas agama samada akidah, syariah dan tasawwuf.

Contoh 3: Qasar solat bagi orang yang bermusafir, padanya mempunyai 'illah dan hikmah. 'Illahnya ialah perjalanan atau musafir itu sendiri kerana musafir sesuatu hal atau keadaan yang jelas dan pasti. Hikmahnya pula ialah untuk memberi keringanan dan menghilangkan kesulitan bagi orang yang bermusafir tersebut. Jarak dan tempoh orang yang bermusafir itu boleh diukur dengan jelas dan pasti atau boleh dianggarkan dengan nilai yang tertentu. Sedangkan kesulitan dan kesempitan itu adalah sesuatu yang abstrak dan tidak boleh diukur atau relatif. Ianya berbeza bagi setiap individu.

Contoh 4: Kewajiban menunaikan solat lima waktu pada waktu tertentu adalah kerana wujudnya sebab. Sebab bagi kewajiban solat Zuhur ialah tergelincirnya matahari dan sebab bagi kewajiban solat Maghrib ialah tenggelamnya matahari di ufuk Barat. Dinamakan sebagai sabab atau 'sebab' kerana tidak diketahui mengapa solat yang ditentukan itu diwajibkan pada waktu-waktu yang tertentu tadi, apakah munasahnya dan apakah alasannya. Namun, ada sebahagian ulama yang tidak membezakan antara 'illah dan sebab kerana pada mereka ia mempuntai makna yang sama.

Namun, perlu disedari bahawa 'illah ini diperbincang hebat oleh dua golongan ulama, iaitu ulama Usul dan ulama Kalam. Apa yang telah kita bicarakan di atas tadi hanyalah perbincangan secara ringkas dalam kalangan ulama Usul. Sedangkan perbincangan yang lebih berkait dengan falsafah, mantik dan akidah mengenai 'illah boleh kita dapati daripada perbincangan ulama Kalam.

Wallahu a'lam.

Rujukan: 
1- Qiyas Sebagai Dasar Epistemologi Penta'lilan Hukum Islam oleh Wahyu Heru Pamungkas, Dosen Tetap Sekolah Tinggi Ilmu Syariah Kebumen.
2- Lain-lain.

Ilmu hanya milik Allah, 
hamba hanya sekadar menunaikan amanah,
menyebar dan berbakti sekadar yang termampu.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
3 Rabi'ul Akhir 1437H.

Comments