Konsep Ta’arudh dan Kesannya: Antara method Hanafiyyah dan Syafi’iyyah Serta Aplikasinya Menangani Pertembungan Ibarah dan Isyarah al-Nas

Konsep pertentangan antara dalil-dalil syara’ serta perbandingan method yang digunakan oleh Hanafiyyah dan Syafi’iyyah dalam menangani masalah Ta’arudh dan kesannya

Pertentangan bermaksud dari segi bahasa ialah percanggahan dan penerimaan iaitu percanggahan yang berlaku terhadap sesuatu perkara yang sama.

Dari segi istilah ialah pertentangan yang berlaku terhadap dua dalil. Seperti dalil pertama menunjukkan kepada menuntut dan menetapkan, manakala dalil kedua menunjukkan menghalang dan menafikan. Ia berlaku dalam isu hukum, tempat dan masa yang sama. Syarat ia diterima sebagai pertentangan ialah kedua-dua dalil tersebut mempunyai kekuatan yang sama.

Ulama bersepakat bahawa nas (al-Quran atau hadith) atau dalil syara’ tidak mungkin berlaku pertentangan. Ini kerana hanya Allah yang menetapkan dan menentukan setiap nas dan dalil tersebut, justeru mustahil ia berlaku. Namun setelah penelitian oleh para mujtahid, hakikat pertentangan yang berlaku ialah dari sudut zahir sahaja dan dasar atau punca ia berlaku iaitu kerana perbezaan kekuatan antara qat’i dan zanni dan sifat atau hal keadaan dalil tersebut.


Maka difahami bahawa tidak akan berlaku pertentangan antara dalil qat’i dengan dalil zanni, atau antara dalil nas, ijma’ dan qiyas. Ini kerana dalil yang lemah akan dinafikan oleh dalil yang kuat, sedangkan pertentngan tidak akan berlaku kecuali pada dalil yang mempunyai kekuatan yang sama.
Antara bentuk pertentangan yang berlaku adalah pertentangan lafaz dan pertentangan makna. Contoh dalam pertentangan lafaz ialah dalam hukum berkaitan ‘iddah. Ayat pertama daripada Surah al-Baqarah menyatakan tempoh ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari, manakala daripada Surah al-Talaq menyatakan tempoh ‘iddah bagi yang menagandung ialah sehingga kelahiran anak. Mazhab Hanafi meyatakan ayat kedua menasakhkan ayat pertama dalam sudut perempuan tersebut hamil sama ada singkat atau lama. Ini kerana mereka menyatakan ‘iddah tersebut disebabkan hamil. Mazhab Syafi’i menyatakan dalil kedua adalah mengkhususkan dalil pertama dan bukannya nasakh. Ia berlaku kerana perbezaan terhadap lafaz. Kebiasaanya tempoh wanita yang hamil akan melebihan empat bulan sepuluh hari. Maka yang dikira ‘iddah ialah sehingga kandungan itu dilahirkan dan bukan kehamilan itu merupakan ‘iddah.

Antara contoh lain berkenaan pertentangan makna ialah berkenaan ayat dalam surah Ali ‘Imran berkenaan orang yang mati syahid adalah hidup di sisi Allah. Ini tidaklah bermaksud orang yang mati syahid itu masih hidup dan tidak perlu dikebumikan. Makna hidup di sisi Allah swt ialah kedudukan mereka yang tinggi dan mulia di sisi Allah swt.

Di dalam perbincangan mengenai kaedah menangani pertentangan ini, terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertentangan antara dua nas dan pertentangan antara bukan nas. Apabila pertentangan berlaku terhadap dua nas, terdapat dua kaedah yang digunakan iaitu kaedah mazhab Hanafi dan kaedah mazhab Syafi’i.

Kaedah yang digunakan oleh mazhab Hanafi menurut tertibnya ialah nasakh, tarjih, menghimpun dan menetapkan, menggugurkan atau kembali kepada hukum asal. Manakala kaedah yang digunakan oleh mazhab Syaf’i menurut tertib ialah menghimpun dan menetapkan, tarjih, nasakh dan menggugurkan.

Bagi pertentengan yang melibatkan bukan nas pula, maka perlu diutamakan kedudukan turutan pengambilan dalil iaitu ijma’, qiyas dan seterusnya mengikut tertib. Daripada dalil-dalil tersebut, perlu dinilai tahapnya sama ada qat’i atau zanni. Maka mana-mana yang lebih kuat akan diterima dan yang lemah akan dinafikan.

Di dalam konteks nasakh, ia boleh digunapakai apabila diketahui masa dan ketika ayat itu diturunkan, yang mana lebih awal dan yang mana terkemudian. Maka nas yang turun terkemudian akan menasakhkan nas yang terdahulu dengan syarat antara keduanya mempunyai kekuatan yang sama. Iaitu antara ayat Quran dengan ayat Quran dan hadith mutawatir atau antara hadith masyhur dengan hadith ahad. Contoh dalil dilakukan nasakh ialah berkenaan tempoh ‘iddah perempuan yang kematian suami, dalam keadaan mengandung dan tidak mengandung. Dari sudut zahir ia bercanggah, namun apabila dilihat masa ayat diturunkan dalil tempoh ‘iddah sehingga anak dilahirkan terkemudian daripada dalil ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari.

Dalam konteks tarjih, ia bermaksud melihat kecenderungan dan kekuatan zann pada dalil tersebut atau dengan kata lain mendahulukan dan mengutamakan salah satu daripada dua dalil dari sudut pengiktibaran terhadap dalil. Maka dalil yang lebih diutamakan akan diamalkan berbanding dalil yang satu lagi. Antara bentuk pengiktibaran yang digunapakai ialah melihat kepada peringkat kejelasan sesuatu dalil bermula paling jelas kepada paling samar bermula muhkam, mufassar, zahir, nas, khafiy, musykil, mujmal dan mutashabih, peringkat pendalilan terhadap nas sama ada ‘ibarah, isyarah, dilalah atau iqtidha’, juga melalui perintah suruhan dan larangan sama ada wujub, sunat, mubah, makruh dan tahrim. Contoh dalil yang dilakukan tarjih ialah berkenaan hukum pembunuhan iaitu qisas dan balasan neraka. Maka didahulukan penggunaan lafaz yang haram daripada lafaz yang harus sebagai langkah berhati-hati.

Dalam konteks al-jam'u wa al-taufiq atau menghimpun dan menetapkan, ia bermaksud dalil-dalil yang terlibat dalam pertentangn ini dihimpun dan ditetapkan atau diserasikan. Ini kerana mengambil dan menggunapakai kedua-dua dalil adalah lebih baik daripada mengabaikan keduanya. Ia hendaklah dilakukan mengikut keadaan dan sifat dalil tersebut, sama ada ia am, mutlaq, muqayyad, khas, musytarak, haqiqat dan majazi. Contohnya ialah terhadap dalil berkenaan keharaman memakan darah dan yang dimaksudkan ialah darah yang mengalir.

Dalam konteks menggugurkan atau isqat pula, ia bermaksud kedua-dua dalil yang bertentangan digugurkan dan tidak diamalkan. Ini berlaku atas dasar pertentangan yang wujud pada dalil-dalil tersebut. Penyelesaiannya dalil lain akan dicari sebagai ganti berdasarkan kepada kedudukan dalil tersebut. Contohnya apabila terdapat dua ayat Quran yang digunakan sebagai dalil dan keduanya tetap wujud pertentangan, maka dirujuk pula kepada hadith atau sunnah Nabi. Jika antara sunnah pula tetap wujud pertentangan, maka dicari dari dalil ijma’, dan begitulah seterusnya. Contohnya ialah terhadap dalil berkenaan cara atau kaifiyat menunaikan solat gerhana dengan jumlah ruku’ dan sujud yang berbeza pada setiap rakaat. Maka, kedua-dua riwayat tersebut tidak ditetapkan salah satu antaranya diamalkan (digugurkan), ia tidak dapat dinasakhkan kerana tidak diketahui mana satu riwayat yang terdahulu dan terkemudian, tidak dapat ditarjihkan kerana keduanya mempunyai kekuatan hadith yang sama dan tidak dapat dihimpunkan kerana keduanya menunjukkan cara yang berbeza. Pilihan yang diambil ialah dengan menggunakan qiyas iaitu merujuk kepada cara solat fardhu. Ia juga boleh dikatakan sebagai menggunakan kaedah kembali kepada hukum asal cara solat.

Mengikut kaedah Imam Syafi’i dalam pengamalan tarjih untuk sesuatu hukum, beliau mengambil kira beberapa sudut tertentu iaitu bilangan perawi yang ramai, dalil yang terakhir didahulukan daripada dalil terdahulu, dalil yang mirip kepada amalan sahabat, dalil yang mirip kepada zahir nas al-Quran dan dalil yang lebih mirip kepada qiyas.


Perbezaan konsep Isyarah al-Nas dan Iqtida al-Nas dan aplikasi tarjih dalam menangani pertembungan Ibarah dan Isyarah al-Nas

‘Ibarah al-nas ialah petunjuk yang membawa pengertian sebenar maksud yang hendak disampaikan daripada nas serta ia difahami secara langsung. Ia tiada makna sampingan yang tidak asli. Contohnya ayat “dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat”, ia membawa maksud sebenar iaitu wajib menunaikan solat dan membayar zakat. Contoh lain ayat “dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”, ia membawa dua maksud serentak iaitu Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’. Contoh lain ayat “dan kamu kahwinilah sesiapa yang kamu kehendaki daripada perempuan-perempuan dua, tiga atau empat, jika kamu takut tidak berlaku adil, maka kahwin satu”, ia membawa tiga maksud serentak iaitu keharusan berkahwin dengan wanita yang tidak diharamkan, had berkahwin ramai ditetapkan sekadar empat orang sahaja dan jika takut tidak adil maka berkahwin satu sahaja. Hukum yang dibawa adalah qat’i dengan tiada unsur atau sifat dari luar yang dikaitkan.

Isyarah al-nas ialah petunjuk lafaz yang tidak membawa pengertian sebenar maksud yang hendak disampaikan dan ia bukan pengertian asli yang boleh difahami secara langsung. Contohnya ayat “dan diperintahkan kepada mereka bermesyauarat di kalangan mereka”. Dari segi ‘ibarah yang difahami ialah pemerintah dan hukum dalam Islam hendaklah ditetapkan melalui mesyuarat. Dari segi isyarah pula ialah wajib dari kalangan kumpulan tertentu untuk mereka melakukan mesyuarat atas sesuatu perkara kerana mustahil semua masyarakat boleh terlibat dalam sesuatu mesyuarat. Contoh lain ialah ayat “maka bertanyalah kepada ahli zikr (iaitu orang yang mengetahui) jika kamu tidak mengetahui”. Dari segi ‘ibarah ia bermaksud wajib bertanya kepada orang yang mengetahui. Dari segi isyarah ialah hendaklah bertanya jika tidak mengetahui. Hukum yang dibawa sama ada qat’i atau zanni dan berubah jika ada unsur luar yang mengaitkannya.

Dilalah al-nas ialah petunjuk lafaz yang membawa sesuatu makna hukum, dan hukum tersebut boleh digunapakai terhadap apa-apa keadaan yang tidak disebut di dalam nas kerana ia mempunyai ‘illah. Maka petunjuk tersebut diambil dari makna nas dan bukan lafaz. Contohnya ayat “maka janganlah kamu berkata dengan kedua mereka (ibubapa kamu) (dengan perkataan) uf”, ia membawa maksud apa-apa perkataan yang menunjukkan kepada tidak hormat kepada ibubapa adalah haram dan berdosa dan lebih-lebih lagi dengan cara mencaci dan menghina melalui perkataan dan perbuatan, ‘illahnya ialah tidak menghormati. Contoh lain ialah ayat “sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim (dengan cara) zalim, sesungguhnya apa yang dimakan di dalam perutnya itu akan dibakar dengan api neraka dan mereka memasuki pula api near yang menyala-nyala”, bermaksud ia bukan sahaja haram menggunakan harta anak yatim dengan cara yang salah, tetapi juga haram membinasakan harta tersebut.

Iqtidha’ al-nas ialah petunjuk lafaz yang tidak membawa pengertian sebenar dan tidak disebut, ia berhantung kepada kebenaran ucapan, kehendak syara’ dan logik akal berdasarkan apa yang dikaitkan dengan lafaz. Contohnya sabda Nabi “Setiap muslim terhadap muslim yang lain adalah haram darahnya dan hartanya dan maruahnya”, ia bermaksud bukan dari sudut zat tubuh manusia, harta atau maruah, tetapi berkait dengan elemen ‘permusuhan’.

Apabila bertentangan antara ‘ibarah al-nas dan isyarah al-nas, maka hendaklah mendahulukan ‘ibarah dan dan tidak boleh berpindah kepada isyarah. Contohnya menegani hukuman orang yang membunuh dengan sengaja. Ayat ‘ibarah al-nas ialah “wahai orang yang beriman, telah ditetapkan kepada kamu hukuman qisas dalam perkara orang yang mati dibunuh” dan ayat isyarah al-nas ialah “dan sesiapa yang membunuh seseorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka Jahannam dan mereka kekal di dalamnya”, bermaksud bukanlah tidak perlu dilaksanakan qisas kerana akan dimasukkan ke dalam neraka di akhirat nanti, bahkan ayat pertama didahulukan serta hukuman qisas dilaksanakan dan ditambah di ayat kedua dengan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam neraka.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
26 Muharram 1437H.

Comments