Burung Bertasbih

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Q 34:10

Tumbuhan Menghiasi

"Dan Kami lihat bumi itu kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah." Q 22:5

Kejadian Burung

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia maha Melihat segala sesuatu." (Q 67:19)

Kepahlawanan Kuda

Maka ia (Nabi Sulaiman AS) berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan. Q 38:32"

Serigala

Berkata Nabi Ya'qub AS: "Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu berlengah daripadanya." Q 12:13

Wednesday, December 2, 2015

Pengenaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST): Sorotan Umum Dalam Aplikasi Maqasid al-Syari’ah

Sesebuah negara hendaklah ditadbir urus dengan memenuhi prinsip pematuhan terhadap hukum hakam Allah swt dan memenuhi matlamat kehendak syara’. Pematuhan hukum Allah bermaksud segala urusan tadbir urus hendaklah selari dengan perintah Allah seperti pemilihan ketua tertinggi dari kalangan orang yang beriman, hukuman dan pemerintahan hendaklah berkonsepkan keadilan dan kebajikan sejagat, keputusan berkaitan keperluan masyarakat hendaklah diperbincang di dalam mesyuarat dan sebagainya. Manakala memenuhi kehendak matlamat syara’ ialah, apa yang ditetapkan oleh syara’ dalam segala hal hukum yang ditetapkan adalah mengambil manfaat dan menolak mudarat.

Pembinaan, kelangsungan dan pengukuhan sesebuah negara berkait rapat dengan kestabilan dalam sektor ekonomi dan kewangan. Pelbagai cara dan instrument boleh digunapakai untuk negara memperoleh kekuatan kewangan. Di dalam Islam, antara cara yang diperintah dan dibenarkan oleh syara’ untuk memperoleh pendapatan ialah menggalakkan urusan jual beli, pembayaran zakat, pemberian harta waqaf, sumber asli, pengutipan cukai, pinjaman, pelaburan dan lain-lain serta pengagihan yang saksama di kalangan anggota masyarakat bagi memenuhi keperluan asas mereka.

Sunday, November 8, 2015

Konsep Ta’arudh dan Kesannya: Antara method Hanafiyyah dan Syafi’iyyah Serta Aplikasinya Menangani Pertembungan Ibarah dan Isyarah al-Nas

Konsep pertentangan antara dalil-dalil syara’ serta perbandingan method yang digunakan oleh Hanafiyyah dan Syafi’iyyah dalam menangani masalah Ta’arudh dan kesannya

Pertentangan bermaksud dari segi bahasa ialah percanggahan dan penerimaan iaitu percanggahan yang berlaku terhadap sesuatu perkara yang sama.

Dari segi istilah ialah pertentangan yang berlaku terhadap dua dalil. Seperti dalil pertama menunjukkan kepada menuntut dan menetapkan, manakala dalil kedua menunjukkan menghalang dan menafikan. Ia berlaku dalam isu hukum, tempat dan masa yang sama. Syarat ia diterima sebagai pertentangan ialah kedua-dua dalil tersebut mempunyai kekuatan yang sama.

Ulama bersepakat bahawa nas (al-Quran atau hadith) atau dalil syara’ tidak mungkin berlaku pertentangan. Ini kerana hanya Allah yang menetapkan dan menentukan setiap nas dan dalil tersebut, justeru mustahil ia berlaku. Namun setelah penelitian oleh para mujtahid, hakikat pertentangan yang berlaku ialah dari sudut zahir sahaja dan dasar atau punca ia berlaku iaitu kerana perbezaan kekuatan antara qat’i dan zanni dan sifat atau hal keadaan dalil tersebut.

Thursday, October 29, 2015

Konsep al-Qawa’id al-Usuliyyah al-Lughawiyyah dan Peranannya dalam Istinbat Hukum

Pendahuluan
Islam merupakan agama yang syumul dan sempurna. Ianya diturunkan oleh Allah swt kepada manusia melalui perutusan NabiNya yang mulia, Nabi Muhammad swt. Perutusan ini disertakan dengan sebuah kitab panduan yang dipenuhi dengan panduan hidup dan sumber hukum terhadap perbuatan manusia. Sumber hukum atau dalil perundangan merupakan dasar pengambilan di dalam menetapkan sesuatu hukum syara’. Dasar tersebut sama ada sumber yang digunakan berasaskan sumber yang disepakati iaitu dalil qati ataupun sumber yang tidak disepakati iaitu dalil zanni.


Sunday, October 18, 2015

Nota Subjek Maqasid wa al-Hikam at-Tasyri'iyyah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Di bawah ini merupakan nota atau dengan lebih tepat latihan yang diberikan bagi subjek Maqasid wa al-Hikam at-Tasyri'iyyah. latihan ini dijadikan sebagai nota rujukan untuk masa depan bagi penulis. Juga sebagai perkongsian kepada sesiapa sahaj yang mahu mengambil manfaat daripadanya.

Moga Allah mempermudah urusanku, merahmati hidupku dan memberkati ilmuku. Amin..

Hidup dalam mencari...

Bandar Baru Bangi,
5 Muharram 1437H.


المادة مقاصد الشريعة

1- تكلم عن المتقدمين من العلماء الذين قد بيّنوا علم مقاصد الشريعة بالتعابير المختلفة، وسبب ذلك، مع الذكر هذه التعبيرات التي تداولت بينهم.

Saturday, October 10, 2015

Ringkasan Hukuman Mati Mandatori: Satu Analisis Menurut Pengamalan Undang-undang di Malaysia dan Syariah oleh Azman bin Mohd Noor

*Penulisan ini merupakan ringkasan daripada Jurnal Undang-undang dan Masyarakat yang bertajuk: Hukuman Mati Mandatori: Satu Analisis Menurut Pengamalan Undang-undang di Malaysia dan Syariah oleh Azman bin Mohd Noor

Pendahuluan
Dalam kebelakangan ini, isu hukuman mati mandatori telah mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat antarabangsa. Ada yang menyokongnya, malah tidak ketinggalan juga yang mengecamnya. Antaranya ialah isu hukuman mati mandatori yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia terhadap pesalah pengedar dadah warganegara asing seperti Australia yang tidak meletakkan hukuman mati terhadap mana-mana peruntukan undang-undang mereka. Jurnal ini membicarakan peruntukan hukuman mati mandatori di Malaysia ke atas kesalahan-kesalahan tertentu, kedudukan hukuman mandatori dan peruntukannya menurut perspektif syariah.

Hukuman Mati Mandatori di Malaysia
Hukuman paling berat yang diperuntukkan di Malaysia atas sesuatu jenayah ialah hukuman mati. Jenayah yang boleh melibatkan hukuman mati di Malaysia adalah berasaskan peruntukan seperti berikut:
1- Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396
2- Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1)
3- Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1)
4- Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B

Monday, August 24, 2015

Pentadbiran Pejabat Organisasi (Siri 1)

Pengenalan
Definisi Pejabat: Bangunan (ruang, bilik dan sebagainya) tempat bekerja atau tempat diselenggarakan pelbagai urusan. Contohnya pusat pentadbiran kerajaan, perusahaan, pertubuhan dan lain-lain.

Mengemas Pentadbiran Pejabat Organisasi
Sesebuah organisasi memerlukan jentera pentadbiran yang terdiri daripada manusia untuk mengurus dan menyelia serta sebagai pencetus dan penggerak. Organisasi memerlukan pentadbiran tetapi tidak semestinya pejabat. Pejabat tidak semestinya diperlukan asalkan organisasi dapat dan mampu ditadbir urus dengan baik dan lancar. Namun, kewujudan pejabat sebagai pusat operasi menjadi pelengkap asas kepada kewujudan sesebuah organisasi dan pentadbirannya.

Peranan Pejabat dalam Organisasi
Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah organisasi untuk mentadbir serta memelihara kepentingan ahli-ahlinya atau pelanggannya. Bagi maksud ini, organisasi hendaklah menentukan tujuan-tujuan, objektif-objektif dan dasar-dasarnya itu. Pejabat ditubuhkan dengan fungsi-fungsi yang tertentu. Maka adalah menjadi tanggungjawab pejabat melaksanakan dasar-dasar dan rancangan-rancangan yang ditetapkan oleh organisasi dengan licin dan memuaskan. Oleh yang demikian, pemimpin organisasi hendaklah sentiasa berikhtiar supaya fungsi-fungsi itu boleh dilakukan dengan segera dan baik tanpa menggunakan tenaga, masa dan perbelanjaan yang tidak mampu ditanggung dan berlebihan.

Wednesday, July 29, 2015

Pengenalan Fiqh Jinayah (Perundangan Islam)

Nota Ringkas Pengenalan Fiqh Jinayah

Apabila kita menyebut mengenai 'kesalahan', maka terangkum di dalamnya perkataan 'jinayah' dan 'sivil'. Sedangkan, sebutan bagi istilah 'kesalahan' ianya merangkumi perkataan 'jinayah' dan 'jarimah'.

Jinayah (selepas ini menggunakan perkataan jenayah) bermaksud "Segala perbuatan jahat atau salah yang diharamkan syara' dan ditentukan hukum ke atas pelakunya, sama ada melibatkan nyawa, kecederaan tubuh badan, harta benda, maruah dan sebagainya".

Fuqaha' mempunyai dua pendapat mengenai perbezaan antara jenayah dan jarimah.
Pertama: Jenayah merupakan kesalahan hudud dan qisas, manakala jarimah adalah kesalahan ta'zir.
Kedua: Jenayah merupakan kesalahan qisas dan diyat, manakala jarimah mencakupi semua kesalahan.


Thursday, May 7, 2015

Mengurangkan Berat Badan dan Menjaga Kesihatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulisan ini adalah sebagai perkongsian setalah. Ianya untuk diri saya dan sesiapa yang mahukannya. Semua apa yang kita buat, perlukan motivasi. Ianya penting untuk kekal bersemangat atau dalam istilah lain, istiqamah.

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa kebanyakan penyakit datangnya dari perut. Perut adalah organ yang menerima segala apa yang dimakan oleh kita.Segala zat an nutrisi disedut dan diserap ke dalam tubuh. Melalui urat-urat darah, memberi tenaga, memberi zat yang diperlukan badan dan menjadi darah daging kita. Darah daging itulah tubuh kita, yang kita akan persembahkan di hadapan Allah swt kelak.

Selain itu, Imam al-Ghazali juga menyatakan kekenyangan adalah ibu kepada perbuatan dosa. Dosa mata, tangan, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki. Mengurangkan makan bermakna mengurangkan penyakit. Mengurangkan makan bermakna langkah mengurangkan dosa. Kekenyangan di dunia, lapar di akhirat, lapar di dunia, kenyang di akhirat.



Target kita bukanlah hanya untuk mengurangkan berat badan, atau ke'boroi'an perut, atau kebesaran di anggota tertentu badan. Tetapi juga, kita boleh selitkan niat agar dengan pemakanan yang baik dan mengurangkan makan dan berat badan mempermudah untuk kita mengerjakan ibadat. Bangun tahajjud, tidak mudah mengantuk, tidak sukar berpuasa sunat dan stamina badan sentiasa dalam paras terbaik.

Tuesday, April 14, 2015

Peranan Agama Dalam Menangani Masalah Sosial (2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Suatu ketika dahulu saya ada menulis mengenai Peranan Agama Dalam Menangani Masalah Sosial. Namun, penulisan tersebut sangat ringkas dan ianya sebagai suatu pencetus pemikiran apa yang saya fikir di benak pemikiran ketika itu. Saya melihat ketirisan atau kebejatan masalah manusia itu berpunca dari dalam diri mereka sendiri walau tidak dnafikan pengaruh atau faktor. Saya melihat dalam dua sudut iaitu peranan dan pemerkasaan ideologi Rukun Negara serta penghayatan terhadap ajaran agama masing-masing. Akan tetapi, penulisan ini tidaklah begitu lengkap atau sempurna kerana kekangan bahan rujukan primer atau rujukan asas yang berautoriti dalam bidang yang berkaitan.

Penulisan sebelum ini menekankan peranan Rukun Negara serta konsep kebaikan secara asas. Pada kali ini, kita melihat bahawa sememangnya apabila prinsip yang pertama itu dipegang kukuh oleh setiap warganegara iaitu Percaya pepada Tuhan, keharmonian dan kemajuan negara akan berjalan seiring dan sejalan. Kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan sebenarnya selari dengan sifat dan kelakuan baik kerana balasan baik dan buruk sememangnya ada, dimiliki dan dikuasai oleh Tuhan yang Maha Agung. Penulisan ini sebahagian besar dirujuk daripada buku bertajuk ‘Mengapa Kami Memeluk Islam?’ oleh Dr. Nawi Jusoh terbitan DJN Consultant Sdn. Bhd., cetakan Pertama 2006.

Agama Islam
Islam berasal daripada perkataan ‘salama’ yang membawa maksud sejahtera atau menyerah diri. Seseorang muslim mereka akan memperoleh kesejahteraan dan rahmat Allah swt samada di duani mahupun akhirat. Kesejahteraan ini membawa kepada kehidupan yang diredhai oleh Allah dan merekha juga meredhai Allah dan Islam sebagai Tuhan dan agama mereka. Menyerah diri [ula bermaksud seseorang muslim melaksanakan sesuatu atau dalam kata lain seluruh hidupnya terarah hanya untuk Tuhannya, Allah swt. Segala jiwa raga, harta, masa, ilmu, kekuatan diguna atau disumbangkan demi Tuhannya yang Esa dan agamanya Islam. Konsep ini telah dibawa oleh nabi yang pertama iaitu Nabi Adam as dan berterusan sehingga Nabi Muhammad saw. Kata yang lebih mudah, hakikatnya semua nabi, termasuk nabi-nabi yang disebut dalam agama lain seperti Yahudi dan Kristian membawa agama Islam.

Friday, April 10, 2015

Tragedi Oktober

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
(walau sebenarnya 'Assalamualaikum' itu telah bermaksud sejahtera, salam sejahtera diucap jika ada yang bukan beragama Islam membaca blog ini)

Pada 26 Oktober 2014 yang lalu, telah meletus beberapa siri peperangan sepanjang siang hari pada tarikh tersebut. Ia berlaku tanpa diwar-warkan oleh media tempatan apatah lagi antarabangsa, walaupun peperangan ini meletus di daerah Gombak berhampiran UIAM. Situasi genting tidak semirip drama al-Maunah di Perak, bahkan ia lebih dahsyat daripada itu. Jika di Perak ia berlaku kerana senjata yang diculik keluar oleh sekelompok orang, tetapi di Gombak ini adalah lebih menghairankan. Ia berlaku disebabkan perebutan sebelah kepak ayam oleh sekumpulan adik-beradik yang dimasak oleh ibu mereka.

Pergeseran selama beberapa minit dan jam itu tidak berjaya untuk dibawa ke meja rundingan. Kedua-dua belah pihak tidak mahu bertolak ansur. Masing-masing mempertahankan hak autonomi mereka ke atas kepak ayam tersebut. Jika dahulu semasa kecil jika begaduh, kepada mereka akan saling dihentuk oleh mak, tetapi setelah berpuluh tahun situasi ini tidak lagi berlaku. Akibat daripada kejuan teknologi persenjataan dan mudahnya menimba ilmu di warfare melalui internet, mereka telah sepakat untuk menyelesaikannya di medan perang.

Jika ada pepatah berbunyi darah diganti darah, kini bagi mereka kerena kepak ayam, darah tercurah.

Beberapa keping gambar sempat diambil oleh seorang jurukamera ametur sebelum dan semasa tempoh gencatan senjata. Kerana peperangan sangat sengit, maka tiada sebarang gambar sempat diambil oleh jurukamera kerana jurukamera pada masa tersebut sedang melepak sarapan pagi.

Setelah berakhir perang, pihak kerajaan mengumumkan tiada sebarang korban dicatatkan. Cumanya, setelah beberapa ketika peperangan berlaku, akibatnya GST diumumkan (walau ia tiada kena-mengena). Apapun, aku berjaya mencabut bendera musuh sebanyak dua kali. Sekali ketika kami berkubu dari atas bukit, sekali semasa di bawah bukit. Haha, yeah!!

Di sini beberapa gambar yang sempat diambil.

Sebelum perang, kami terjumpa seorang budak yang beraksi seperti seorang puteri bermain pasir di tepi sungai.

Saturday, April 4, 2015

Keli Salai Masak Lemak

Assalamualaikum.

Beberapa minggu yang lalu, kerana mahukan sesuatu yang lain dan ingin mencuba sesuatu yang baru, disamping minat memasak, maka resepi keli salai masak lemak ini telah disajikan sebanyak dua kali. Kedua-duanya versi bandar iaitu versi BBB dan KL.

Ikan keli salai yang sedap adalah apabila ia disalai di atas bara yang tidak terlalu besar, sekadar berasap-asap. jika sehingga ada api atau bara yang terlalu kuat, maka ikan keli tersebut bertukat menjadi ikan bakar. Kelebihan salai ia mempunyai aromanya yang tersendiri dan aroma itulah yang membangkitkan selera menjadikan trademark bagi mana-mana resepi 'salai'.

Saya jarang berkongsi resepinya kerana di luar sana, laman-laman banyak berkongsi resepi ini. Asalnya jiran yang suka masak daging salai masak lemak. Tetapi kerana daging agak mahal, maka ditukar dengan ikan keli, Ada duit lebih baru buat daging pula.

Apa yang penting, guna kunyit hidup.
Daun kunyit penting untuk naikkan bau.
Gunakan campuran santan dan lebihkan susu sejat cair, untuk kurangkan kolestrol.
Tambahkan aksersori agar dapat dialih pandangan pada kan sahaja.

Jadi saya hanya berkongsi gambar-gambarnya sahaja.

Jika blog ini menayangkan gambar-gambar makanan yang mungkin boleh menyebabkan ada yang terliur, ia hanya sekadar untuk berkongsi. Tiada niat untuk menunjuk-nunjuk ya. Yuk!!

Di bawah ini ikan keli salai masak lemak versi BBB. 


Arang yang digunakan adalah lebihan semasa berkelah bakar ayam di Tanjung Biru, Negeri Sembilan beberapa bulan yang lalu.

Thursday, March 5, 2015

Tentang Banjir

Assalamualaikum

Inilah sudut pandang saya, idea 20 sen.

Ramai yang mengatakan banjir pada tahun ini seumpama atau lebih teruk pada tahun 1971. Boleh dikatakan saban tahun ianya berlaku. Maka, suatu perancangan dan tindakan bersepadu perlu dibuat.

Di sini, terdapat tiga bentuk pengurusan yang perlu dibuat;

1- Sistem Sungai dan Saliran
- Perlu ada satu polisi dan pantauan yang tegas terhadap penerokaan tanah terutama di kawasan hutan takungan air. Perlu ada piawaian serta aktiviti penanaman semula. Ini kerana hutan sangat penting sebagai kawasan tadahan air di kawasan hilir sungai.

- Sungai-sungai didalamkan dan dilebar serta tebing sungai diperkukuh dengan binaan konkrit atau batu. Dicadangkan dipasang dinding bolehubah bagi menahan limpahan air ketika banjir ketika bencana

Monday, March 2, 2015

Kek Coklat Moist

Assalamualaikum.

Beberapa minggu yang lalu, sebiji kek telah berjaya disiapkan dan dimakan. Kek tersebut diberi nama 'Kek Coklat Moist' atau nama Melayunya kek coklat lembab.

Pada asalnya, kek yang hendak dibuat adalah kek valvet. Tetapi kerana ianya agak remeh dan lebih banyak bahan yang perlu disediakan, akhirnya kek yang penuh kelembaban ini yang dibuat.

Setelah pada hari tersebut tiga kali keluar membeli bahan-bahan kek, Alhamdulillah kek ini telah siap pada jam 1:00 pagi. Haha.. Akibat pasaraya yang penuh, malas beratur, bahan tertentu yang tiada dan kekangan masa.

Resepi kek diambil dari blog ini. Cuma yang tidak dimasukkan ialah coklat emulco.

Baru saya tahu mengapa 'hantu coklat' seperti saya sanggup membeli walau harga agak mahal dan kenapa ianya mahal. Anggaran kos kek yang telah disiapkan tersebut melebihi RM 35. Wow.. Sebelum merantau dulu, biasa buat kek biasa je, tapi sekarang kena la upgrade kemahiran.

Thursday, February 26, 2015

Perangai Keji Mengaibkan Orang Lain dan Diri Sendiri

Aib yang sifatnya merupakan kejadian Allah seperti kecacatan pancaindera, atau perbuatan yang mengaibkan atau kesalahan yang dilakukan, atau ciptaan yang direka bertujuan mengaibkan dan menjadi aib bagi dirinya, tidak boleh dibicarakan dan disebarkan, lebih-lebih dengan niat jahat dan buruk kerana pandangan majoriti ulama berpendapat bahawa perbuatan itu merupakan satu dosa. Apabila kita menyebarkannya bererti menghina Penciptanya. (Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din). Lebih teruk lagi ia bersifat menfirnah, berbohong atas dasar mahu menghina, mengeji, sakit hati dan sebagainya.


Monday, February 23, 2015

Makaroni Bechamel

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hidup perlu diteruskan, makan perlu dipelbagaikan. Antara bentuk kesyukuran ialah, mempelajari dan mengamalkan pemakanan yang menyelerakan. Adakah dengan memakan makanan yang sedap, mahal atau cerewet itu tanda tidak bersyukur? Tidak juga.

Kerana dalam Islam menyuruh kita mengambil apa yang terbaik. Tidak membazir, mengambil sekadar perlu serta tidak berlebihan. Makanan yang bernajis atau tidak halal, sudah pasti dilarang.

Apapu, sengaja mahu berkongsi sebuah resepi. Ianya dibuat lebih sebulan yang lalu, tetapi baru berkesempatan berkongsi. Kongsi gambar je ya, sebab resepinya carilah sendiri melalui Google. ^_^

Tuesday, February 10, 2015

DBP Lancar Buku Ketenteraan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setelah sekian lama tidak menulis, tangan memang sangat gatal untuk menulis. Jika dan disebut 'menggatal', jauh pula nun arah ke Kota Kinabalu.

Apapun, ramai penganalisis ekonomi menyatakan pada tahun 2015 ini, adalah tahun yang mencabar. Akibat penurunan nilai matawang, perlaksanaan GST, kesan penurunan harga minyak, ketidakstabilan harga barangan di pasaran, pembangunan semula kawasan terjejas banjir, keadaan politik yang pelbagai karenah, isu-isu antarabangsa dan serantau yang berkait dengan Malaysia secara langsung dan pelbagai lagi. Semuanya memainkan peranan cabaran bagi tahun 2015 ini. Belum lagi dikira dengan masalah pendidikan dan peluang pekerjaan, masalah sosial, masalah keselamatan negara dan serantau.

Apa yang aku merepek ni..

Apapun, kali ini hanya nak berkongsi mengenai buku dalam bidang pertahanan dan ketenteraan yang dikeluarkan oleh DBP. Walau tahun ini perlu bersikap jimat cermat dan menabung, namun buku-buku ini sangat mengghairahkan untuk dibaca.

Prinsipnya senang. Cukup duit, jalan...