Kepentingan Siyasah Syar’iyyah Di Dalam Proses Perundangan

Definisi Tajuk
a) Siyasah Syar’iyyah
Umumnya siyasah bermaksud sebuah disiplin yang membicarakan tentang segala peraturan dan sistem pentadbiran negara, manakala syar’iyyah bermaksud pentadbiran tadi bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam walaupun setiap kerja tadbir tersebut tidak mempunyai dalil yang khusus(1). Panduan siyasah syar’iyyah memfokuskan kepada segala sistem dan peraturan yang diperlukan di dalam cabang pentadbiran negara mestilah selaras dengan prinsip-prinsip Islam. Prinsip tersebut ialah mencapai segala kepentingan (manfaat) orang ramai dan keperluan mereka serta menangkis atau menghalang segala bentuk kerosakan (mafsadah atau mudharat).

Objektif siyasah syar’iyyah ialah menjadikan hal-ehwal umat Islam ditadbir oleh sistem yang bersumberkan Islam disamping membuktikan Islam bersifat dinamik dan komprehensif dengan mampu menjalankan sebuah pentadbiran yang meraikan serta merealisasikan manfaat orang ramai di pelbagai zaman dan tempat. Ia selari dengan objektif syara’ iaitu mencapai segala kemaslahatan kepada umat manusia.

Pelaksanaan siyasah syar’iyyah di dalam proses perundangan mestilah terlebih dahulu didasari dengan pemakaian siyasah syar’iyyah di dalam sistem pemerintahan negara. Apabila para pemerintah daripada badan eksekutif bersedia menerima prinsip siyasah syar’iyyah, maka secara langsung para pelaksana daripada badan legislatif dan judisiari akan mengekori dari belakang. Dengan kata lain, struktur dan fungsi ketiga-tiga rangkaian badan tersebut mestilah bersedia meneladani kehendak Al-Quran dan hadis sahih. 

Dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis sahih menyatakan bahawa sesebuah kerajaan atau negara Islam adalah kerajaan atau negara yang berperlembagaan. Berperlembagaan bermaksud wujud suatu rujukan atau sumber tertentu bagi kerajaan atau negara tersebut memandu perjalanan sistem pemerintahan dan proses perundangan mereka. Bagi Islam, perlembagaan utama bagi sesebuah kerajaan mahupun negara adalah Al-Quran. 

Autoriti mutlak ke atas penetapan ini adalah Allah Taala kerana Dialah yang Maha Mengetahui keperluan dan kehendak manusia yang diciptaNya. Cendiakawan Islam telah menetapkan urusan kerajaan bukanlah hak milik peribadi, sebaliknya ia adalah hak umat Islam yang terdiri dari kalangan ahli al-hal wa al-‘aqd. Apabila ianya bukan milik peribadi, maka perjalanan pemerintahan mahupun perundangan mestilah dicapai melalui sistem permesyuaratan (syura) yang memenuhi kehendak syara’ serta manfaat manusia(2).

Apabila berbicara mengenai politik mengikut terjemahan Barat, didapati wujudnya pemisahan antara agama dan urusan kehidupan yang dikenali sebagai sekularisme. Wujudnya halangan agama mendasari sistem kehidupan manusia dan memencilkan istilah agama hanya dari sudut ibadah ritual semata. Tetapi Islam sebagai cara hidup tidak pernah sesekali menyepikan peranan politik khasnya dan apa jua keperluan hidup manusia amnya di dalam suatu penyelarasan yang selari dengan kehendak Allah.

b) Perundangan
Kamus Dewan edisi keempat membari takrifan undang-undang ialah sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal oleh kerajaan dan mesi dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan. Manakala perundangan pula bermaksud yang berhubungan dengan undang-undang atau kumpulan undang-undang(3). Maka apabila disebut proses perundangan, ia membawa maksud suatu siri tindakan untuk mencapai pelaksanaan sesuatu undang-undang atau suatu teknik dan operasi perjalanan undang-undang.

Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. 

Undang-undang secara lazimnya ditadbir oleh suatu sistem mahkamah di mana hakim (kadangkala dengan bantuan juri atau lay magistrate) mendengar pertikaian di antara dua pihak dan mengaplikasi satu set peraturan untuk memastikan satu keputusan yang adil dicapai. Cara undang-undang ditadbir dipanggil sistem perundangan yang lazimnya berkembang mengikut adat-adat tersendiri sesebuah negara(4).

Peringkat tertinggi undang-undang di Malaysia terangkum di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di dalam perlembagaan tersebut, ia membenarkan kehakiman berganda iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah(5).

Di peringkat kerajaan negeri dan tempatan pula terdapat undang-undang seperti undang-undang negeri dan undang-undang kecil. Di bawahnya pula ialah satu sumber undang-undang yang dikenali sebagai Common Law yang berasal dari United Kingdom dan lazimnya digunakan di negara-negara Komanwel(6). Secara umum, yang dimaksudkan undang-undang sekular ialah undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri. Disebut sekular kerana kandungannya daripada sistem perundangan United Kingdom yang terasing daripada ruh agama atau ruh syariat Islam.

Manakala undang-undang syariah pula bermaksud undang-undang yang bersumberkan Al-Quran, Sunnah Nabi, Ijma’ dan Qias. Keempat-empat sumber ini disepakati. Manakala sumber lain yang juga digunapakai ialah berdasarkan ijtihad dan pembahagiannya ialah Istihsan, Masalih, ‘Urf, Mazhab Sahabi, Istishab dan Syar’u man Qabalana(7).

Undang-undang syariah ini meliputi ibadah khusus dan ibadah umum. Ia merangkumi solat, puasa, haji, hubungan sesama manusia (muamalat), jenayah, undang-undang kekeluargaan, pusaka dan sebagainya. Hukuman kesalahan jenayah di dalam Islam terbahagi kepada hukuman pencegahan (hudud), hukuman pembalasan (qisas) dan hukuman denda (ta’zir). Berpandukan teks-teks Melayu Lama, di Tanah Melayu atau Malaysia yang termuat di dalamnya hukum syara’, hanya aspek tertentu sahaja yang diterima di dalam perundangan negara(8). Contoh jelas ialah dalam aspek perundangan keluarga Islam. 

c) Kesimpulan definisi
Tajuk ini membawa perbincangan kepentingan siayasah syar’iyyah di dalam suatu mekanisme mencapai pelaksanaan undang-undang yang merangkumi keseluruhan skop undang-undang tersebut bermula daripada penggubalan sehingga kepada pelaksanaannya oleh kerajaan terhadap masyarakat berpandukan kepada prinsip siyasah syar’iyyah.

Pendahuluan
Perbincangan kertas kerja mengenai kepentingan siyasah syar’iyyah di dalam proses perundangan ini merangkumi pemahaman terhadap elemen-elemen tersebut;
a) Tujuan syari’at (maqasid syari’ah)
b) Kebaikan dan keburukan (maslahah dan mafsadah)
c) Keutamaan dan pertimbangan (awlawiyat dan muwazanat)

A) Tujuan Syari’at (Maqasid Syari’ah)
Pemahaman terhadap tujuan syariat atau pensyariatan ini membincangkan bagaimana meletakkan sesuatu hukum dengan kaedah dan tempat yang paling sesuai, merangkumi situasi semasa, perbezaan masa dan tempat, dengan tujuan mengambil kebaikan (maslahah) dan menolak sebarang kemudharatan (mudharat) terhadap kehidupan manusia. Ia mempunyai lima kepentingan atau pemeliharaan terhadap lima perkara yang juga dikenali maslahah dharuriyyah iaitu; pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan, dan pemeliharaan harta(9).

Di awal perbincangan mengenai tujuan pensyariatan, cendiakawan Islam telah meletakkan sumber-sumber pengambilan hukum yang mesti digunakan. Ia adalah:
i) Sumber yang disepakati oleh kesemua cediakawan Islam iaitu Al-Quran dan As-sunnah,
ii) Sumber yang disepakati oleh jumhur cendiakawan Islam iaitu ijma' dan qias, dan
iii) Sumber yang diperselisih oleh para cendiakawan Islam

Tujuan pensyariatan ialah membawa kebaikan atau maslahah. Dengan kata lain ia merupakan suatu undang-undang atau peraturan yang digubal untuk memelihara kebaikan dan mencegah kerosakan. Cendekiawan Islam telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian(10) iaitu;

i) Al-Maslahah al-Mu'tabarah iaitu kebaikan yang diiktibar atau diiktiraf, seperti haram seseorang berjudi untuk menjaga hartanya. Allah swt berfirman “Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syetan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Surah Al-Maidah: 90). 

Pihak kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang melarang atau menyita operasi pusat perjudian, kecil mahupun besar, berbentuk institusi atau perseorangan. Antara syarikat judi yang wujud di Malaysia ialah Genting Berhad (Kasino), Resort World Berhad (Pusat Hiburan dan Perjudian), Magnum Corporation (Nombor 4 Ekor Loteri), Metroplex Berhad (Subic Bay Casino), Leisure Management Berhad (4 Nombor Ekor dan Lumba Kuda), Berjaya Sport Toto (4 Nombor Ekor dan Ramalan Nombor) dan Tanjong Public United Company (Lumba Kuda). Amalan judi secara tidak rasmi pula seperti perjudian siber, casino on net, nombor ekor, lumba kuda, pertaruhan dalam sukan, sabung ayam dan sebagainya.

Perjudian merupakan amalan yang jelas diharamkan oleh Islam. Malah kesannya boleh merosakkan individu, kepincangan keluarga, membinasa keharmonian masyarakat serta merosakkan sistem kewangan Islam. Perjudian merosakkan salah satu tujuan pensyariatan yang utama iaitu memelihara harta.

Realitinya di Malaysia, terdapat undang-undang yang melindungai amalan ini dan lesen diberikan. Akhirnya wujud judi halal yang beroperasi dalam berbentuk industri yang membawa kepada pelbagai versi judi yang lain. Sekiranya ada alasan yang menyatakan, industri menjana ekonomi negara, ditegaskan bahawa tiada sebarang peruntukan dalam kaedah syara’ untuk menjadikan judi sebagai sumber pendapatan negara.

Pengharaman judi dalam Islam kerana kebaikan pasti yang terkandung di dalamnya. Ia ditinjau dari sudut akibat kemudharatannya, antaranya ialah ‘membawa kemudharatan yang pasti’(11). Selain itu, Islam juga menegaskan ‘tiada mudarat dan tidak memudaratkan’. Amalan berjudi itu sendiri memudharatkan diri yang berjudi serta masyarakat sekeliling. Kerajaan Malaysia perlu menetapkan undang-undang menghalang amalan berjudi awalau tidak secara terus, tetapi berperingkat serta menetapkan hukuman yang setimpal semua pihak yang terlibat dalam perjudian. Antara contoh kemudaratan pasti yang lain ialah minum arak dan berzina. 

ii) Al-Maslahah al-Mulghah iaitu maslahah yang tidak dikira atau tidak diiktibar, seperti muamalat yang berlangsung dalam masyarakat berasaskan riba. Allah swt berfirman “Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Bawarah: 275). Hal ini kerana sekiranya kebaikan yang hendak dijaga iaitu masyarakat boleh menjalankan urusan jual beli, transaksi, jual beli saham, pertukaran matawang, gadaian dan sebagainya menggunakan sistem riba’, pastinya ia merugikan kebaikan yang lebih besar. Dengan kata lain, muamalat yang berunsurkan riba’ bertentangan dengan dalil pasti di mana kebaikan ini ditolak oleh jumhur. Dalam kata lain, ia merupakan kebaikan yang berlaku dalam masyarakat dan ditolak oleh syara’ serta diharamkan.

Di Malaysia, terdapat dua jenis sistem perbankan iaitu perbankan Islam dan perbankan kovensional. Perbankan Islam merujuk operasi bank yang mematuhi syariat, manakala kovensional sebaliknya. Menurut sistem konvensional, wang boleh diklasifikasikan sebagai komoditi yang mempunyai harga di mana pihak yang memberi pinjaman berhak mendapat pulangan prinsipal dan premium di atas wang yang dipinjamkan. Pelbagai produk yang dikeluarkan oleh pihak bank konvensional yang terdiri daripada gadaian, kad kredit, overdraf dan pembiayaan peribadi untuk jangka masa yang pendek. Bagi produk jangkamasa yang panjang pula termasuklah seperti bon, bil perbendaharaan dan saham keutamaan. Kesemua produk yang dihasilkan oleh bank konvensional ini boleh dikatakan mempunyai unsur-unsur riba’(12).

Majoriti penduduk Malaysia berbansa Melayu dan beragama Islam. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Peranan Yang Dipertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing sangat besar. Dalam sumpah YDPA menurut Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa, “...Dan kami lagi berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri”(13). Sumpah tersebut memberi implikasi bahawa, semua pihak yang terlibat dalam pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi bidang eksekutif, kehakiman dan perundangan adalah bertanggungjawab untuk menjadikan sumpah YDPA untuk memelihara agama Islam dan kedaulatan undang-undang, sebagai misi utama undang-undang. Termasuk sistem kehidupan masyarakatnya menikut acuan Islam.

Kerajaan Malaysia mestilah menetapkan undang-undang yang membawa perkhidmatan perbankan Islam sepenuhnya di Malaysia. Selain bagi mengelak syubhah percampuran duit yang bersih dengan duit yang mengandungi riba’, ia mampu memperkukuh kedudukan perbankan Islam di Malaysia. Penguatkuasaan undang-undang terhadap institusi perbankan melalui kerajaan atau Bank Negara perlu dilaksanakan kerana kemudharatan yang wujud dalam sistem perbankan berasaskan riba ini telah nyata dan pasti di sisi Islam.

iii) Al-Maslahah al-Mursalah iaitu sesuatu kebaikan yang tidak disebut di dalam Al-Quran, seperti pembinaan balai bomba dan jabatan agama Islam mengeluarkan sijil nikah serta kewajipan memilikinya. Di Malaysia, kerjaan telah menetapkan penggunaan sijil kelahiran, kad pengenalan, kad perkahwinan dan sijil kematian.

Di dalam Islam, kesemua yang disebut tadi tidak diwajibkan secara pasti. Namun keperluan kepadanya tidak dinafikan di atas tuntutan zaman kini. Beberapa undang-undang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti di dalam Akta Pendaftaran Negara 1990 dan Akta Imigresen 1959. Manakala kad nikah pula ditetapkan melalui undang-undang tang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negari (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Kerjaan telah menetapkan undang-undang berkaitan pemilikan dokumen, pemalsuan, kehilangan, kecurian dokumen dan lain-lain.

Kepentingan kad atau dokumen yang disebutkan tadi kerana ia bertujuan memelihara nasab keturunan dan harta kerana perkaitannya dengan proses perkahwinan, penceraian, perwarisan dan pelbagai bentuk transaksi yang lain. Tanpanya akan memnyebabkan berlaku kezaliman, pengniayaan dan penindasan selain menyukarkan urusan-urusan lain dalam kehidupan seharian.

Maslahah yang diterima oleh Islam
Kefahaman terhadap tujuan pensyariatan memerlukan seseorang mengetahui pembahagian dalil-dalil Al-Quran mahupun hadis iaitu sama ada dalil tersebut bersifat pasti (qath'iyyah) atau ragu (dzanniyyah). Dalil pasti iaitu dalil yang tidak mempunyai makna yang kedua padanya atau tiada pilihan makna yang lain. Cendiakawan Islam telah bersepakat berkenaan hukum yang ada pada dalil tersebut dan tidak berlaku sebarang perselisihan pendapat. Kebiasaan dalil ini melibatkan perkara usul dalam agama seperti orang lelaki dan perempuan yang mencuri perlu dipotong tangannya.

Dalil ragu iaitu dalil yang mempunyai lafaz yang boleh diertikan dengan pelbagai makna. Pelbagai pandangan diberikan terhadap istilah dalil ragu ini. Cendiakawan Islam berselisih pendapat mengenai hukum yang terdapat dalam dalil tersebut sama ada bersifat pengkhususan (takhsis), atau perkaitan (taqyid), atau perlambangan (majaz) atau lain-lain. 

Pertimbangan lain yang perlu dibuat dan diteliti sebaik mungkin ialah berdasarkan kedudukan sesuatu dalil sama ada ia bersifat tetap (thawabit) atau berubah-ubah (mutaghayyirat). Dalil yang bersifat jelas dengan dirinya tanpa sebarang sandaran yang mengubah makna asal, ianya terus bersifat tetap dan tidak berlaku sebarang pentakwilan atau perubahan. Manakala dalil yang bersifat berubah-ubah mewujudkan proses ijtihad dan ikhtilaf dalam kalangan cendekiawan Islam. Maka, skop perbincangan tujuan pensyariatan ini bertapak di atas perkara yang tetap dan berubah-ubah.

Setiap penggubalan undang-undang mestilah bertujuan mencapai matlamat kebaikan kepada semua. Begitulah juga dengan tujuan penetapan undang-undang. Umumnya, undang-undang bertujuan mengekalkan keharmonian dan kelancaran kehidupan bersosial masyarakat. Kebaikan yang diterima oleh Islam ada tiga iaitu;

i) Zat al-Maslahah iaitu maslahah yang disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah seperti pengharaman babi. Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang memiliki kepelbagaian kaum, agama dan adat. Sebahagian daripada mereka yang tidak beragama Islam melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakan daging babi. Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama lain mengamalkan ajaran agama mereka asalkan tidak mengganggu agama Islam.

Di Malaysia, urusan penternakan babi dikawal oleh kerajaan negeri. Enakmen tertentu dibuat bagi mengawal selia penternakan ini. Tujuan undang-undang ini dibuat bagi memastikan daging babi tersebut dan proses yang berkaitan dengannya tidak bercampur dengan proses penyediaan makanan kepada umat Islam di Malaysia. Sebagai contoh di Perak, terdapat Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992(14) dan di negeri Selangor di bawah Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen No. 3 1991, iaitu Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991(15)(16).

Selain itu, di dalam produk makanan juga pengawalan kewujudan bahab yang bersumberkan babi atau haram atau yang membahayakan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Walaupun JAKIM tidak mempunyai peruntukan bagi menguatkuasakan kesalahan produk yang mengandungi bahan yang haram, mereka berkerjasama dengan agensi kerajaan lain seperi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Vaterinar Negara (JVN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta lain-lain badan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Melului mereka, semua produk yang dihasilkan di Malaysia atau dari luar Malaysia terutama barang makanan dan kepenggunaan yang lain seperti kosmetik, logistik dan selainnya perlu memenuhi standard halal. Antara rujukan perundangan yang digunakan ialah Standard Makanan Halal - Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian Dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum (Semakan Kedua) MS 1500:2009, Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Makanan 1983 dan selainnya yang berkaitan. Semua pertaturan ini bagi memastikan kemaslahatan umat Islam dalam memelihara barang-barang yang digunakan atau dimakan dijamin baik lagi halal. Jaminan halal lagi baik pula diuruskan di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

ii) Nau' al-Maslahah iaitu qias seperti haram dadah kerana memabukkan dan sekiranya dadah tidak memabukkan maka ianya harus. Antara contoh, ia berkait dengan bahan kosmetik atau ubatan yang digunakan untuk tujuan kesihatan atau kecantikan. Penggunaan dadah di dalam ubat-ubatan tidak dapat dihalang kerana kebanyakannya membantu mengurangkan kesakitan pesakit dan membantu kesembuhan secara teknikal. Kerana dadah sememangnya diperlukan dalan perubatan, maka wujudnya istilah ‘penyalahgunaan dadah’ bagi mereka yang mengambilnya untuk tujuan yang tidak baik serta salah di sisi undang-undang. Manakala alkohol pula juga terdapat di dalam bahan makanan serta kosmetik.

Antara badan yang terlibat dalam penguatkuasaan kawalan dadah ialah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Mereka berkuasa mengawal pendaftaran produk farmaseutikal dan kosmetik sekiranya terdapat kandungan dadah yang lebih, bahan kimia yang merbahaya kepada pengguna dan sebagainya. 

Pengurusan perundangan ini bertujuan mengawal manfaat yang diperoleh daripada bahan-bahan haram. Makna ubat dari segi bahasa dikait secara langsung dengan dadah. Islam membenarkan penggunaannya selagi mana ia mengikut aturan dos atau kandungan dadah yang terdapat di dalam ubat tersebut. Ia selari dengan kaedah fiqh yang berbunyi ‘apa yang dibolehkan  kerana darurat diukur mengikut kadar darurat itu’ dan ‘keperluan itu diletakkan pada kedudukan darurat’.

iii) Jins al-Maslahah iaitu Masalih al-Mursalah itu sendiri. Manakala maslahah bagi sesuatu keadaan terbahagi kepada tiga iaitu dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Bagi membincangkan perkara ini, ia berkait secara langsung dengan dasar dan undang-undang negara. Setiap dasar atau ketetapan yang membawa kepada terlaksananya amalan perundangan di Malaysia perlulah melihat kepada keperluan yang disenaraikan di atas. Setiap perlaksanaan sesuatu dasar atau undang-undang memerlukan kos yang perlu dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Islam mengeji perbuatan membazir. Maka, sekiranya wujud pembaziran dalam proses tersebut, peruntukan undang-undang yang lain perlu dikuatkuasakan agar keharmonian negara terjamin. Ketirisan dalam mengendalikan kewangan negara akan membawa kepada peningkatan jenayah dan beban isi rumah masyarakat meningkat. Undang-undang yang digubal mestilah adil kepada semua lapisan masyarakat tidak terkecuali rakyat kebanyakan atau pemerintah atau ahli penguatkuasa itu sendiri.

B) Kebaikan dan Keburukan (maslahah dan mafsadah)
Sebagaimana dalil yang bersifat pasti dan ragu, kebaikan (maslahah) juga sifatnya terbahagi kepada dua iaitu kebaikan yang pasti (maslahah qath'iyyah) dan kebaikan yang ragu (maslahah dzonniyyah). Kebaikan yang pasti bermaksud kebaikan yang pasti akan berlaku seperti mengharamkan pusat pelacuran, menutup pusat perjudian dan mengharamkan penjualan arak. Manakala kebaikan yang ragu ialah kebaikan yang tidak pasti sama ada manfaat akan wujud ataupun tidak seperti mengadakan sekolah mengandung dan pengedaran kondom percuma.

Selain itu, situasi apabila berlaku pertembungan antara dalil dengan kebaikan juga hendaklah difahami. Terdapat tiga syarat bagi sesuatu kebaikan itu diterima oleh syara’ iaitu;
  1. Kebaikan tersebut mestilah tidak bertembung atau bertentangan dengan dalil nas daripada Al-Quran, As-Sunnah atau Ijma’,
  2. Kebaikan tersebut mestilah bersifat hakiki atau realiti dan bukan bersifat keraguan (wahamiyah),
  3. Kebaikan tersebut hendaklah bersifat umum atau melibatkan kebanyakan manusia, bukannya berbentuk individu atau sekelompok kecil manusia sahaja.


Pertembungan antara dalil dan kebaikan terbahagi kepada empat keadaan iaitu:
  1. Apabila bertembung antara dalil ragu dengan kebaikan ragu, maka perlu dilaksanakan dalil ragu tersebut. Kebaikan dalam keadaan ini tidak diterima oleh syara’.
  2. Apabila bertembung dalil ragu dengan kebaikan pasti, maka perlu diutamakan kebaikan tersebut. Ini kerana dalil tersebut yang bersifat ragu dan lafaznya boleh diertikan dengan makna yang pelbagai. Hanya kebaikan bentuk ini sahaja yang diterima syara’ untuk diamalkan kerana bertembung dengan dalil yang bersifat ragu.
  3. Apabila bertembung antara dalil pasti dengan kebaikan ragu, maka sudah tentu perlu mengamalkan dalil tersebut. Ini kerana kebaikan tadi belum tentu boleh mendatangkan manfaat jika diamalkan.
  4. Pertembungan antara dalil pasti dengan maslahah pasti tidak akan berlaku sama sekali melainkan dalam keadaan terpaksa (dharurat) sahaja. Maka dalam situasi ini, cendekiawan Islam bersepakat menggunakan kaedah ‘keterpaksaan mengharuskan larangan'.

Di dalam perbincangan di bawah tajuk kebaikan dan keburukan ini, penulis mengetngahkan perbincangan mengenai hukuman had. Ini kerana contoh penting di dalam perundangan ialah perkara yang melibatkan hukum had (hudud) serta hangat diperkatakan sejak dahulu. Pengertian hudud dari segi istilah menurut mazhab Hanafi, Syafi’i dan Hanbali ialah hukuman atau pembalasan yang ditetapkan kadarnya oleh syara’. Manakala Syafi’i dan Hanbali menambah, hukuman ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan atas nama hukum hudud. Disebut juga daripada kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah bahawa hadd ialah hukuman yang telah ditentukan dan wajib dilaksanakan yang menjadi hak bagi Allah (Dr. Zulkifli Muhammad al-Bakri). Ia melibatkan tujuh jenayah utama hudud yang disepakati cendiakawan Islam iaitu persetubuhan tanpa ikatan nikah (zina), tuduhan berzina (qazaf), minum arak, mencuri, merompak, keluar Islam (murtad) dan memberontak (bughah)(17).

Berikut adalah dalil Al-Quran yang meletakkan kedudukan hukuman yang ditetapkan syara’ tersebut bersifat tetap;
  1. persetubuhan tanpa ikatan nikah (zina)
  2. tuduhan berzina (qazaf)
  3. minum arak
  4. mencuri
  5. merompak
  6. keluar Islam (murtad)
  7. memberontak (bughah)

Syeikh Abdul Qadir Audah mendefinisikan hudud sebagi hukuman yang menjadi hak bagi Allah pada syariat sebagaimana mewajibkannya berdasarkan maslahah ummah, iaitu menolak kerosakan daripada manusia dan memperkukuh pemeliharaan dan keselamatan untuk mereka. Setiap dosa atau jenayah sudah pasti kerosakannya akan terkena kepada khalayak, malah manfaat pelaksanaan hukum juga mereka peroleh. Allah mempunyai hak dalam menetapkan hukuman kerana Allah sendiri telan menjamin kepastian terhasilnya manfaat dan memperkukuh dalam menolak kerosakan dan mudharat(18).

Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi di dalam Hikmah al-Tasyri’ mengatakan bahawa terdapat banyak hikmah sfat mencuri membawa kepada kemudharatan kepada masyarakat(19). Antara rumusannya ialah;
  1. Seseorang yang bekerja mencari rezeki halal dengan bersungguh-sungguh dan berpenat lelah, tiba-tiba dengan mudah dicuri oleh orang lain.
  2. Harta yang diperoleh sudah tentu diguna sebaik mungkin untuk makan minum, pakaian, tempet tinggal dan membantu orang, namun tanpa disangka dengan senangnya pencuri mengambil hasil penat lelahnya tanpa dapat lagi melunaskan tanggungjawab tadi.
  3. Pencuri yang mencuri kadang-kadang bertindak di luar batasan dan menakutkan masyarakat sehingga keadaan aman bertukar menjadi ketakutan, kacau-bilau, pertumpahan darah dan kematian.
  4. Perbuatan mencuri boleh membawa kepada sifat malas dan pengangguran yang melahirkan masyarakat pemalas, tidak mampu berdikari dan berdaya saing serta terkurung dengan masalah kehidupan sendiri.

Berdasarkan daripada rumusan di atas, jelas membuktikan natijah daripada pelaksanaan hukuman hudud adalah untuk memelihara kepentingan yang berterusan berbanding kepentingan sementara. Perbandingan antara kepentingan yang berterusan dan sementara boleh dilihat dari bentuk berikut;
  1. Hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah sivil tidak mempu menimbulkan rasa keinsafan kepada pesalah. Bagi kesalahan mencuri, antara bentuk hukuman yang dikenakan ialah. 
  2. Selepas menjalani hukuman, pesalah akan dibebaskan. Akibat dari desakan hidup, mencari jalan mandapat duit segera dan sebaginya akhirnya mereka terjebak kembali ke kancah mencuri. Manfaat sementara kepada pesalah kerana mereka telah dibebaskan setelah menerima hukuman dan manfaat sementara kepada masyarakat. 
  3. Namun, ia tidak bersifat kekal kerana pencuri masih mengulangi perbauatan tersebut dan kewujudan mereka menganggu-gugat keharmonian masyarakat.


Mendahulukan kepentingan masa depan yang utama berbanding kepentingan semasa yang kurang utama.
Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuhu menyatakan bahawa hakikat yang tidak dapat dipertikai ialah bahawa hukum potong tangan pencuri atau musuh lebih mudah daripada membiarkan kes curi terus berleluasa dalam masyarakat yang menggugat keamanan akibat daripada jenayah dan munkar yang tidak terkawal(20).

Sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam ketika hudud dilaksanakan mereka hidup dalam aman damai dengan harta benda, kehormatan dan peraturannya sehingga pesalah itu sendiri ada yang mahu dilaksanakan hukuman had. Ini kerana pelaksanaan hukuman had boleh mensucikan diri dan menghapus dosa. 

Pada pertimbangan di antara sesuatu keburukan dengan keburukan yang lainnya, haruslah kita melihat tahap keburukan atau nilai kerosakan (bahaya) yang terdapat dalam keburukan tersebut. Keburukan yang membahayakan harta tidak sama dengan keburukan yang membunuh jiwa. Serta keburukan terhadap harta dan nyawa tidak sama dengan keburukan terhadap agama atau akidah. Ini melambangkan bahawa setiap keburukan mempunyai tahap yang berbeza mengikut keadaan yang dikaikan dengannya.

C) Keutamaan dan Pertimbangan (awlawiyat dan muwazanah)
Apa yang dimaksudkan dengan keutamaan ialah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang wajar, sama ada dari segi hukum, nilai dan perlaksanaannya. Amalan yang mula-mula dikerjakan sewajarnya didahulukan berdasarkan penilaian syariat yang sahih, yang diberi petunjuk oleh cahaya wahyu dan diterangi oleh akal.

Sehingga sesuatu yang tidak penting tidak didahulukan melebihi sesuatu yang penting. Sesuatu yang penting tidak didahulukan melebihi sesuatu yang lebih penting. Sesuatu yang tidak diterima (marjuh) tidak didahulukan melebihi sesuatu yang diterima (rajih). Sesuatu yang sewajarnya didahulukan mesti didahulukan dan yang sewajarnya dikemudiankan mestilah dikemudiankan. Sesuatu yang kecil tidak perlu diperbesar-besarkan dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan tepat, tidak lebih dan tidak kurang.

Apabila kembali merujuk tujuan pensyariatan yang memelihara lima kepentingan, kita akan mendapati bahawa agama berada di tempat paling utama dan penting berbanding yang lain. Dalam menentukan keutamaan dalam proses perundangan, pertimbangan terhadap beberapa kepentingan tertentu diambil kira;
  1. Mendahulukan kepentingan yang sudah pasti berbanding kepentingan yang baru dikenalpasti kewujudannya atau masih diragukan,
  2. Mendahulukan kepentingan yang besar berbanding kepentingan yang kecil,
  3. Mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding dengan kepentingan individu,
  4. Mendahulukan kepentingan yang banyak berbanding kepentingan yang sedikit,
  5. Mendahulukan kepentingan yang berterusan berbanding kepentingan yang sementara atau tidak sengaja,
  6. Mendahulukan kepentingan utama dan asas berbanding kepentingan yang hanya bersifat rasmi dan tidak penting,
  7. Mendahulukan kepentingan masa depan yang utama berbanding kepentingan semasa yang kurang utama.

Antara kaedah yang perlu digunapakai dalam proses perundangan ialah;
  1. Tidak ada bahaya dan tidak boleh membahayakan,
  2. Sesuatu bahaya atau mudharat seboleh-bolehnya wajar dihapuskan,
  3. Sesutau bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang lebih besar,
  4. Bahaya yang lebih ringan boleh dipilih berbanding bahaya lain yang lebih besar,
  5. Bahaya boleh diambil hanya sekadar yang diperlukan,
  6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang bersifat lebih meluas dan umum.

Kaedah atau penetapan ini sangat penting digunapakai ketika sesi penggubalan sesuatu undang-undang dibuat. Berikut adalah proses penggubalan sesuatu undang-undang di Malaysia(21);
1. Menteri berkaitan merangka dasar.

2. Menteri menyediakan usul rang undang-undang dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara, berbincang dengan Perbendaharaan dan kementerian berkaitan.

3. Draf rang undang-undang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

4. Bacaan Kali Pertama – Notis pemberitahuan tentang usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat & Dewan Negara. Menteri membaca tajuk.

5. Bacaan Kali Kedua – rang undang-undang dibahaskan di Dewan Rakyat:
i) Meneliti kepentingan dan kesan usul kepada rakyat
ii) Menteri menjelaskan sebarang persoalan
iii) Membuat undian sama ada menerima atau menolak undang-undang oleh Dewan Rakyat

6. Peringkat jawatankuasa
i) meneliti setiap fasa, jadual dan panduan secara terperinci
ii) membuat pindaan yang sesuai

7. Bacaan Kali Ketiga – dibaca di Dewan Rakyat dan Dewan Negara
i) dihantar untuk kelulusan
ii) mendapat undian majoriti untuk diluluskan sebagai akta

8. Diperkenan oleh YDPA dalam tempoh 30 hari jika tidak diperkenan, rang undang-undang akan menjadi undang-undang mengikut Perkara 66 Fasa 4.

9. Warta kerajaan – dicatatkan sebagai rang undang-undang sah dan di bangunan Parlimen. Dinyatakan tarikh penguatkuasaan untuk diamalkan.

Cara penetapan sesuatu kebaikan adalah berdasarkan manfaat yang perlu dipelihara iaitu melibatkan kepentingan dunia atau akhirat, atau kedua-duanya sekaligus. Manakala cara menetapkan sesuatu keburukan perlu dihalang atau dihapuskan iaitu melibatkan keburukan yang merosakkan kepentingan dunia atau akhirat atau kedua-duanya sekaligus. Setiap kebaikan dan keburukan dapat dikenal pasti melalui akal fikiran yang waras atau melalui ketetapan agama atau melalui kedua-duanya secara bersama(22).

Nota Hujung:
(1) Abdul Wahab Khallaf (2003), Siasah Syar’iyyah Dalam Pemerintahan Islam, Mohd Hapiz Mahaiyadin (terj.), Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers, hlmn. 10.
(2) Op. cit. Abdul Wahab Khallaf, hlmn. 46.
(3) Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka (2010), Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd., hlmn. 1768-1769.
(4) http://ms.wikipedia.org/wiki/Perundangan
(5) http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang_Malaysia
(6) Ibid.
(7) Sepertimana yang disenaraikan oleh Mohd. Saleh Haji Ahmad (2011), Penghantar Syari’at Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
(8) Abdul Monir Yaacob, Jurnal Fiqh, No. 6 (2009) 1-20, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlmn. 2.
(9) Dr. Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin (2012), Modular STPM Usul Fiqh & Kaedah Fiqh, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., hlmn. 124.
(10) Op. cit. Mohd. Saleh Haji Ahmad (2011), Penghantar Syari’at Islam, Kuala Lumpur: Psutaka Haji Abdul Majid, hlmn. 122.
(11) Op. cit. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin (2012), hlmn. 145. Di bawah penerangan mengenai al-Dzari’ah, terdapat empat jenis dan salah satunya ialah membawa kemudaratan yang pasti.
(12) Bank Muamalat, Perbandingan Antara Perbankan Islam dan Konvensional, hlmn. 5.
(13) Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keempat Perkara 37 dan Bahagian 1, Jadual Keempat.
(14) Warta Kerajaan Negeri Perak, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 (.pdf)
(15) http://www.dvssel.gov.my/cms/index.php?pt=979 (Jabatan Perkhirmatan Vaterinar Negeri Selangor)
(16) Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 (.pdf)
(17) Dr. Zulkifli Al-Bakri, Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman, artikel yang dibentangkan semasa Seminar Undang-undang Syariah Peringkat Kebangsaan pada 20 September 2011 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Ia dikumpulkan di dalam sebuah buku bertajuk Hudud Di Malaysia: Cabaran Pelaksanaan yang disunting oleh Dr. Zulkifli Hasan.
(18) Ibid.
(19) Ibid.
(20) Ibid.
(21) http://ms.wikipedia.org/wiki/Rang_undang-undang
(22) Penerangan umum mengenai tiga elemen yang dibincangkan iaitu Tujuan syari’at (maqasid syari’ah), Kebaikan dan keburukan (maslahah dan mafsadah) dan Keutamaan dan pertimbangan (awlawiyat dan muwazanat) di dalam kertas kerja ini dirujuk daripada blog peribadi penulis di http://akukau-dia.blogspot.com/2011/10/pengenalan-ringkas-fiqh-enam.html

Bibliografi

  1. Abdul Wahab Khallaf (2003), Siasah Syar’iyyah Dalam Pemerintahan Islam, Mohd Hapiz Mahaiyadin (terj.), Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
  2. Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka (2010), Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd.
  3. Mohd. Saleh Haji Ahmad (2011), Penghantar Syari’at Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
  4. Abdul Monir Yaacob, Jurnal Fiqh, No. 6 (2009) 1-20, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
  5. Dr. Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin (2012), Modular STPM Usul Fiqh & Kaedah Fiqh, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  6. Bank Muamalat, Perbandingan Antara Perbankan Islam dan Konvensional.
  7. Perlembagaan Persekutuan.
  8. Warta Kerajaan Negeri Perak.
  9. Undang-undang Negeri Selangor.
  10. Zulkifli Hasan (2013), Hudud Di Malaysia: Cabaran Pelaksanaan, Angkatan Belia Islam Malaysia, Selangor: Gemilang Press Sdn. Bhd.
  11. Wikipedia.

Hamizan bin Abdul Karim
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
21 Dzulqaedah 1435H.

Comments