Ustaz Mohd Zulkifli Dawam: Hidup dan Matinya Untuk Agamanya

Alhamdulillah, masih diberikan peluang untuk menghirup udara yang percuma ini.

Allahumma solli 'ala sayyidina habibina Muhammad SAW.

Bersyukur hari ini serba sedikit memperoleh tenaga dan kudrat untuk membuat sedikit kerja.

Kuala Lumpur - Bukit Beruntung - JKOA Kuala Kubu Bharu - Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kubu Bharu - Kuala Lumpur.

Perjalanan pada hari ini bermula dengan ziarah kami ke rumah Allahyarham Ustaz Mohd Zulkifli bin Dawam, seorang aktivis masyarakat dan aktivis PAS.

Saya mengenalinya secara lebih dekat ketika kami melakukan ziarah mahabbah ke perkampungan orang asli di Ulu Tamu, Batang Kali, Hulu Selangor pada 5 April 2012 yang lalu. Walaupun tidak rapat, tetapi melalui ucapannya semasa kedatangan kami jelas melihatkan kesungguhan dan komitmennya terhadap dakwah kepada orang asli. Sangat tidak sangka bahawa pertemuan tersebut adalah pertemuan kami dengan beliau. Saya bersalam dengannya pada malam tersebut adalah salam terakhir.



Ustaz Zulkifli sedang memberikan kuliah Maghrib dan sembang-sembang dengan penduduk orang asli yang beragama Islam pada malam 5 April 2012.




Tuan haji Zakariah Isa, Imam Masjid Wilayah sedang memberikan sedikit ucapan kepada penduduk.


Ustaz Mohd Zulkifli Dawam merupakan antara Panel Dakwah Muallaf (PDM) bahagian Hulu Selangor. Beliau merupakan penggerak kepada tiga buah kampung orang asli iaitu Kampung Ulu Tamu, Kampung Kerling dan Kampung Songkok. Jumlah penduduk Ulu Tamu adalah 362 dan 52 orang daripadanya adalah Islam. Jumlah rumah ialah 68 buah. (Data 2011)

Seperti yang diberitahu kepada saya, beliau merupakan antara kakitangan JAKIM. Namun akibat beliau aktif di dalam PAS, akhirnya beliau dinasihatkan agar bersara awal. Walaupun dengan status sedemikian, beliau tetap terus aktif menyumbangkan dirinya untuk agama Islam. Beliau telah mula berdakwah sejak tahun 1995 lagi dan sehingga kini telah ramai yang mebgucap dua kalimah syahadah atas tunjuk ajar beliau.

Hari ini agak bertuah kerana berkesempatan menziarahi isterinya. Setelah tertangguh lebih sebulan, kedatangan kami sangat ditunggu oleh isteri arwah. Menceritakan detik akhir kehidupan allahyarham, saya merasakan bahawa ustaz seperti telah mengetahui bahawa Allah SWT telah memberi tanda ingin menjemputnya.
...

Pada hari 5 April, Allahyarham telah berjanji akan menghantar email kepada saya plan untuk pembinaan surau baru di Kampung Ulu tamu. Seingat saya pada 13 haribulan saya menelefonnya bertanyakan email. Namun beliau memohon maaf kerana kurang sihat dan berada di hospital. Beliau mengatakan kemungkinan ada komplikasi paru-paru berair. Pada hari Isnin saya menelefonnya kembali dan beliau menyatakan masih berada di hospital dan akan menghantar email kepada saya sejurus keluar hospital.

Pada 17 haribulan, saya menelefonnya sekitar 11 pagi dan Allahyarham memohon maaf dan menyatakan dia sedang dalam mesyuarat. Sekitar petang 18 haribulan, saya memperoleh masej yang dihantar daripada Ustaz Zakariah bin Isa, yang diperoleh daripada rakannya menyatakan bahawa Ustaz Mohd Zulkifli Dawam telah kembali ke rahmatullah. Kali pertama membaca masej tersebut, hati ini sangat terkejut dan badan seperti ringan seketika. Dada berdegup kencang. Namun tidak tahu siapa yang perlu dihubungi untuk pengesahan berita tersebut. Keesokan harinya, barulah berita kematian Ustaz disahkan.

...

Isteri Allahyarham bercerita tentang detik akhir Ustaz Zulkifli. Ustaz keluar hospital pada 16 haribulan. Keluar sahaja hospital, bukan rumahnya destinasi pertama. Tetapi tempat pertama yang ditujunya ialah Kampung Orang Asli Ulu Tamu. Pada malam tersebut beliau memberikan ceramah Maghrib. Tidak disangka-sangka pada malam tersebut Ustaz menceritakan tentang kematian, waktu datangnya saat kematian dan kisah tentang hari kiamat. Isterinya di belakang agak terasa lain macam namun tidak syak apa-apa.

Pernah satu ketika Ustaz telah mengajak isterinya makan di Selayang. Anak yang bongsu sekiranya mahu ikut beliau akan membawa bersama. Namun, entah mengapa pada kali ini Ustaz mengalangnya dan mahu hanya berdua bersama isterinya. Seolah-olah mahu mengimbau detik manis bersama berdua buat kali terakhir.

Pada malam 17 haribulan beliau memberikan ceramah maghrib di surau yang sama. Menurut cerita penduduk kampung, pada malam tersebut Ustaz lebih banyak meluahkan perasaannya. Menceritakan perit getir dia berusaha yang terbaik untuk dakwah penduduk kampung tersebut. Seolah-olah pada malam tersebut Ustaz meluahkan segala isi hatinya kepada penduduk. Rupanya itu merupakan ceramah terakhir Ustaz Mohd Zulkifli Dawam apabila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya pada jam 1:13 pagi.
...

Isterinya menceritakan, Ustaz pada tahun ini awal-awal lagi telah membubarkan segala jawatan yang dipegangnya. beliau mengatakan bahawa sudah tidak mahu memegang apa-apa jawatan termasuk jawatan AJK masjid dan jawatan AJK penduduk kawasan.

Barulah saya mengetahui bahawa mesyuarat yang sedang dihadiri Ustaz ketika saya menelefonnya pada 17 haribulan yang lalu adalah mesyuarat bersama JAIS, MAIS dan lain-lain. Ketika para pegawai MAIS hadir melawat isterinya keesokan selepas kematian Ustaz, mereka menceritakan bahawa Ustaz pada hari itu lebih banyak meluahkan isi hatinya. Kerisauannya tentang dakwah kepada orang asli. Semua pahit maungnya diceritakan dan diluahkan kepada semua yang hadir pada menyuarat tersebut.

Seperti yang saya tahu melalui ceritanya pada malam ziarah kami, pendakyah Kristian telah mula masuk ke kampung tersebut sehingga telah wujud sebuah gereja. Gereja yang dibina adalah daripada rumah penduduk untuk mengelak dikesan oleh Jabatan Agama. Sebelum ini telah ada penduduk yang murtad.

...
Kesungguhan ustaz berdakwah kepada orang asli sangat mengagumkan saya. Ustaz sangat penyabar. Methodnya berkomunikasi dengan penduduk asli yang telah memeluk Islam dan belum sangat berhikmah. Menurut Puan Rosni, ibu angkatnya bahawa Ustaz tidak pernah marah kepada penduduk kampung atas kerosakan dan perbuatan yang salah. Malah Ustaz lebih banyak memaafkan dan menggantikan sesuatu yang baru sekiranya ada kerosakan yang dibuat oleh penduduk. kedai runcit yang ada lebih bertujuan membantu penduduk yang kekurangan. Juga sedikit keuntungan yang diperoleh daripada jualan diberikan kembali kepada penduduk yang beragama Islam.

Cara mengajarnya sangat lembut dan diterima penduduk. Apabila saya melihat kedatangan penduduk kampung ke kuliah maghribnya, pasti melebihi 15 orang. Hasil didikannya ada yang telah pandai membaca Quran, menjadi imam dan melaungkan azan. Melalui peruntukan Jabatan agama, setiap kali kelas panel pendakwah akan diberikan elaun mengajar RM 100 sekiranya kehadiran melebihi 10 orang dan RM 70 ke 80 sekiranya kurang 10 orang. Juga setiap penduduk yang hadir kuliah atau kelas, mereka akan diberikan wang saku sebanyak RM 20. Mencari pengganti orang yang penduduk kampung telah sebati jiwa dengannya bukahlah mudah.


 Perkenalan yang singkat dengan Ustaz Mohd Zulkifli Dawam dan sangat memberi erti.

...

Seterusnya kami ke JKOA berjumpa dengan pegawai di sana iaitu Tuan Zainal Abidin atau urusan mendapatkan pelan tanah surau baru yang hendak dibina. Jika sebelum ini Ustaz Zulkifli yang menguruskan, namun disebabkan terhenti di tengah jalan maka jalan proses untuk menjayakannya terus dibuat. Namun, pelan yang lebih lengkap masih belum diperoleh kerada pegawai lain yang menguruskan peta atau pelan tersebut ada kerja luar.

Dalam perancangan kami, peta tersebut mahu diperoleh secepat meungkin dan pengesahan pemberian tanah oleh tuan tanah adalah secara hitam putih. Menurut pegawai, asalnya keseluruhan tanah perkampungan orang asli Ulu Tamu adalah daripada rizab kerajaan. Namun, atas inisiatif setiap penduduk membahagikan lot-lot kecil untuk diusahakan dan menjadi milik mereka. Disebabkan kawasan yang ingin dibangunkan surau telah ada beberapa pokok getah, maka pengusaha tanah meminta pampasan sebanyak RM 3 ribu.

Ketika hari kami melihat tapak surau, bersama kami ialah kawan sekerja iaitu Mohd Nazlie, Ustaz Zakariah Isa dan seorang arkitek iaitu Tuan Abdullah Mokhtar, bersama Cikgu Adnan, tuan tanah dan Tok Batin. Arkitek tersebut secara sukarela ingin melukis dan menyiapkan plan surau. Bagi memudah dan mempercepat proses melukis plan, perlu ada gambaran bentuk tapak surau. Keadaaan muka buminya perlu diketahui agar surau yang dibina benar-benar baik. Sebelum tanah tapak surah diratakan, maka pengesahan hitam putih pemeberian tanah perlu diselesaikan.

Selepas diratakan, maka proses melukis plan boleh bermula. Pembinaan dan awal boleh dilakukan sebagai 'tanda' awal surau yang akan dibina. Gambar akan diambil untuk dibuat promosi pada bulan Ramadhan akan datang. Sekiranya sumbangan dan kewangan mencukupi, diharapkan pada Aidiladha akan datang, surau telah siap dibina dan sedia digunakan untuk kedatangan orang ramai dan menumbangkan lembu korban.

Pada asalnya, surau tersebut mahu dibangunkan dengan mengembil kontrak. Namun, kata sepakat diperoleh untuk meminta pertolongan daripada Angkatan Tentera Malaysia untuk membinanya melalui Kor Jurutera mereka. Bahan binaan mentah dibeli hasil duit sumbangan dan pembinaan diselesaikan oleh tentera. Lawatan tapak telah dibuat pada hari Selasa, 5 Jun lepas.


(Gambar 1) Kami datang dari arah hujung sana menuruni dari jalan di atas. Rumah di sebelah kanan ini dibina oleh Lembaga Zakat Selangor untuk penduduk yang memeluk Islam. Namun sekarang rumah ini kosong tidak berpenghuni kerana penduduk kampung 'takut' untuk menginap di sini. Pernah berlaku kes bunuh diri seorang lelaki yeng menggantungkan dirinya kerana menghadapi masalah keluarga. Pemuda tersebut adalah salah seorang penduduk yang bergama Islam


(Gambar 2) Dari arah menuruni tersebut, di sebelah kanan terdapat rumah pemilik atau pengusaha tanah. Terdapat tiang elektrik pertama di hujung kiri gambar ini.


(Gambar 3) Ini adalah gambaran terus ketika turun. Lihat tiang elektrik pertama yang sama daripada Gambar 2. Sebelah kiri sekali adalah deretan beberapa buah rumah LZS yang dimulai dengan rumah yang 'ditakuti' tadi. Di hujung sana adalah tiang elektrik kedua.



(Gambar 3) Ini adalah tiang elektrik kedua. Tuan tanah sedang membawa kami menunjukkan sempadan tapak. Kemungkinan dari sini sumber elektrik untuk surau akan diambil.



(Gambar 4) Gambaran pandangan dari hadapan. Tiang elektrik kedua, sisi ke kanan sedikit daripada Gambar 3.



(Gambar 5) Ini adalah tiang elektrik kedua. Kemudian menghadap ke kanan, maka ini adalah pandangan sisi ke kanan tapak surau. Lihat, tapaknya yang kurang rata. Ia memerlukan kos yang lebih untuk menambaknya atau menggunakan proses lain. Pokok getah yang ditanda adalah pokok yang perlu ditebang. Kelak jentolak akan meretakan tanah ini.




(Gambar 6) Kelihatan sungai di tepi tapak surau ini.



(Gambar 7) Mereka sedang berbincang sesuatu mengenai surau yang hendak dibina.


(Gambar 8) Berdiri berbaju kuning bertopi adalah Tok Batin. Masih menganut animisme tetapi sangat prihatin terhadap penduduknya. Juga sangat bersemangat untuk surau baru segera disiapkan. Sangat peramah dan memberi kerjasama penuh kepada kami. Berbaju kameja biru cair dan memgang pemulas motor adalah arkitek yang menawar diri melihat tapak dan melukis plan surau. Berkameja putih adalah Cikgu Adnan yang juga merupakan Nazir Masjid As-Sajidin yang mengalami kerosakan teruk apabila berlaku banjir kilat di masjidnya. Sungai Batang Kali telah melimpah tanpa diduga. Pada hari yang sama berlaku banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur dan Klang. Beliau juga adalah bapa rakan yang masih menuntut di Tanta, Mesir dan berkahwin dengan seorang pelajar perubatan. Pelajar perubatan tersebut adalah anak saudara kepada Ustaz Ismail Kamus (mengeluarkan semua yang diketahui ^_^). Berkopiah, duduk, adalah Ustaz Zakariah Isa, Imam Besar Masjid Wilayah, Mantan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Bertudung ayu ialah Puan Rosni, ibu angkat Ustaz Zulkifli. Sangat peramah, suaranya lemah lembut dan sangat baik hati. Ketika matanya bergelinang air mata menceritakan tiadanya pendakwah yang konsisten selepas kematian Ustaz Zulkifli, hati ini measa sangat sayu. Seorang lagi adalah tukang ikut-ikut.



(Gambar 9) Berbincang bagaimanakah cara terbaik untuk mendapatkan sumber air untuk surau sedia ada ini. Surau ini kedudukannya agak tinggi dan air tidak sampai kerana Syabas tidak membina pas yang mencukupi untuk mengepam air. Maka cara lain ialah menyalurkan air daripada sumber sungai di atas bukit yang terletak lebih satu kilometer dari surau. Kanan sekali ialah saudara Nazlie. Motor biru adalah motor Kriss keluaran Malaysia.

...
Surau yang sedia ada adalah kecil dan tidak dapat menampung kedatangan pelawat yang hadir. Pelawat yang hadir adalah daripada para mahasiswa yang membuat program dakwah di sini. Pernah satu ketika, sehingga dua buah bas datang. Maka kapasiti ini tidak mampu ditampung oleh surau yang hanya boleh memuatkan sekitar 30 orang sahaja. Maka suatu baru diperlukan dan surau baru ini direka agar boleh memuatkan sekitar 500 orang dalam satu-satu masa. Kedudukannya di terpi sungai diharapkan sebagai kemudahan tampahan untuk rekreasi. Ruang solat uatam boleh memuatkan 200 orang dan ruang limpah boleh memuatkan serami 300 orang.

...

Apa yang sangat dirunsingkan sekarang ialah, semenjak kematian Ustaz, semakin ramai orang luar yang memasuki kampung Ulu Tamu. Dikhuatiri mereka adalah pendakyah Kristian. hati benar-benar terkesan apabila Puan Rosni (ibu angkat Allahyarham Ustaz) menceritakan hatinya menjadi sangat risau dan berdukacita apabila kelangsungan pengajar untuk penduduk kampung tidak berjalan dengan aktif. Puan Rosni menyatakan bahawa dosa kita sangat besar kepada orang yang telah memeluk Islam akhirnya lari dan kembali kepada agama asal atau memeluk Kristian hanya kera umat Isla tidak bersungguh dan memberikan komitmen bagi mempertahankan akidah setiap penduduk yang telah memeluk Islam.

...

Minggu hadapan perlu ke sana lagi untuk membantu isteri Ustaz mengubah penama akaun Surau Al-Falah yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Ustaz. Sumbangan RM 850 yang diberi sebelum ini perlu diagihkan sedikit ke Surau di Kampung Songkok kerana surau di sana tiada tandas dan perlu dibina. Bakinya untuk membeli karpet baru, cat dan lain-lain sempena menyambut Ramdhan yang menjelang tidak lama lagi.

Apa yang menjadi kerisauan lagi ialah melantik imam atau guru agama untuk menghidupkan surau itu kelak sempena Ramadhan. Menjadi satu fitnah yang sangat besar sekiranya apabila penduduk yang mengetahui bahawa Ramadhan adalah bulan yang paling mulia tidak boleh menikmatinya kepada tiada 'imam' atau 'pembimbing' mereka. Bulan ramadhan adalah bulan yang sangat baik untuk memberikan kebajikan kepada penduduk di sini. Jamuan moreh, sahur dan berbuka percuma boleh jadi memberi satu semangat dan azam yang kuat bagi mereka untuk terus dan tetap berada dalam agama Islam.

Sekarang saya masih dalam proses untuk berhubung dengan rakan-rakan yang berada di Darul Quran dan beberapa pihak lain yang sudi untuk bersama mengimarahkan surau sempena Ramadhan dan yang lebih baik bermula Syaaban ini. Biarpun keikhlasan adalah nilai tertinggi, namun elaun hendaklah diberikan kepada mereka yang bersedia berkorban dirinya berdakwah kepada penduduk kampung.

Kini Kampung Orang Ali Ulu Tamu mempunyai sekitar 56 keluarga, 368 orang penduduk dan yang memeluk Islam sekitar 52 orang.

* Ustaz Zulkifli adalah seorang aktivis masyarakat Islam yang sangat aktif. Bergiat untuk membantu anak yatim dan fakir miskin. Lihat di sini dan di sini. Malah beliau juga adalah aktivis Parti Islam Se-Malaysia sehingga sangat dikagumi dan dihormati. Lihat di sini ketika pengebumian Ustaz Zulkifli Mohd Dawam. Malah, kita boleh membaca keratan laporan yang menceritakan mengenai beliau di sini, di sini dan di sini. Sudahlah dirinya disumbangkan untuk agama, hartanya juga, tidak ketinggalan rumahnya.

Semoga Islam ini benar-benar menjadi cara hidup kita semua..

*Maaf sebarang typing error. Sangat sukar kadang-kadang menzahirkan dalam  bentuk tulisan berdasarkan hati melalui akal yang berbicara.

Hidup dalam mencari...

Kuala Lumpur,
22 Rejab 1433H.

Comments