Firman Allah SWT:
Prolog
Istikharah seringkali dikaitkan dengan pencarian jodoh untuk berkahwin. Samada mencari pasangan isteri atau suami. Istikharah perlulah dilakukan dengan cara dan niat yang betul disamping penuh yakin dan meredhai segala ketetapan dan petunjuk daripada Allah SWT. Istikharah perlu dilakukan beserta dengan istisyarah di dalam suasana yang tiada kecederungan nafsu. Penuh pengharapan kepada Allah kerana tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dari Allah SWT. Tiada manfaat dan mudharat melainkan daripada Allah SWT jua.
Hadith Istikharah
Mengenai galakan melakukan solat istikharah ada disebutkan di dalam kitab ‘al-Azkar’ (zikir-zikir) yang ditulis oleh Muhyiddin an-Nawawi atau Imam Nawawi rahimahullahu taala ‘anhu. Ia disebut di dalam Kitab Zikir-zikir Musafir di bawah Bab Istikharah dan Istisyarah (meminta pilihan dan meminta panduan).
Hadith istikharah ini juga disebut di dalam kitab Sahih Bukhari oleh Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari pada tiga tempat yang berbeza. Pertama di dalam Kitab ke-19 (Tahajjud), Bab ke-28 (ma ja’a fi at-tathawwu’ masna masna), hadith nombor 1166; kedua di dalam Kitab ke-80 (ad-Da'awat), Bab ke-50 (Doa 'inda Istikharah), hadith nombor 6382; dan ketiga di dalam Kitab ke-98 (at-Tauhid), Bab ke-10 (Qul huwal Qadir), hadith nombor 7390. Juga terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang lain tetapi tidak disebutkan di sini.
Kupasan Hadith
Di dalam Kitab Tahajjud, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak membincangkan hadith ini di dalam kitabnya Fathul Bari. Adapun perbicangan hanya pada dua Kitab yang lain. Di dalam Kitab Doa-doa, di bawah Bab Doa Ketika Istikharah, Ibnu Hajar telah megupas bahawa ia (istikharah) bermaksud agar Allah yang menunjukkan pilihan kepada orang yang meminta pilihan daripadaNya. Dalam erti kata lain meminta kepada Allah kebaikan buat dirinya. Apa yang dimaksudkan ialah meminta kebaikan salah satu daripada dua perkara. Insya Allah, kupasan mengenai hadith ini akan ditulis pada masa akan datang.

Rasa diri fakir (memerlukan) dan hanya Allah yang kaya (memiliki segalanya).
Konsep Istikharah
Istikharah daripada kata dasarnya bermaksud pilih. Wazan istikharah sama juga seperti istighfar dan isti'anah. Maka, istikharah membawa maksud meminta pilihan.
Istikharah ialah mengharap atau berserah sepenuhnya kepada Allah SWT serta beradab denganNya, mengakui dengan kelemahan dan kekurangan diri selaku hamba untuk menanggapi kebaikan yang ada disekeliling yang merangkumi segala aspek kehidupan.