Perihal Perkahwinan Seorang Muslim

Galakan Berkahwin dan Faedahnya
Ketahuilah, moga-moga Allah merahmati kamu. Bahawasanya kahwin ini mempunyai kelebihan-kelebihan, faedah dan manfaat keduniaan dan akhirat. Dalam menggalakkan berkahwin, terdapat banyak riwayat Al-Quran dan hadith Nabi SAW.

Firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ
"... maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.."
(Surah An-Nisa' 4:3)

Firman Allah SWT:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian (hendaklah laki-laki yang belum kahwin atau wanita- wanita yang tidak bersuami, dibantu agar mereka dapat kahwin) di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui" (Surah An-Nur 24:32)


Sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
"Wahai pemuda-pemuda sekalian! Sesiapa yang mampu berkahwin hendaklah dia berkahwin, kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk menutup pandangan dan lebih selamat untuk menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan syahwat untuk kahwin."

Perkahwinan juga dikaitkana dengan perjumpaan seorang hamba dengan Allah SWT di akhirat kelak. Perjumpaan dengan Allah merupakan kenikmatan tertinggi di akhirat kelak dan pertemuan dalam keadaan yang suci dan bersih merupakan pertemuan yang sangat tinggi kedudukannya.


Sabda Baginda SAW lagi daripada Ibnu Masúd katanya:

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ طَاهِرًا مُطَهَّرًا فَلْيَتَزَوَّجِ الْحَرَائِرَ
"Sesiapa yang ingin menemui Allah dalam keadaan bersih dan suci, maka hendaklah dia berkahwin dengan wanita-wanita merdeka."

Sabda Baginda SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ : الْحَيَاءُ ، وَالتَّعَطُّرُ ، وَالسِّوَاكُ ، وَالنِّكَاحُ
"Empat perkara yang menjadi sunnah-sunnah para Rasul iaitu malu, memakai wangi-wangian, bersiwak dan berkahwin."

Sabda Rasulullah SAW:

تَنَاكَحُوا ، تَكْثُرُوا ، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Perbanyakkanlah berkahwin supaya bilangan kamu bertambah, maka aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak sebagai umatku di hari akhirat."

Sabda Nabi SAW:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الدِّينِ ، فَلْيَتَّقِ اللَّهَ فِيمَا بَقِيَ
"Apabila seseorang hamba berkahwin, maka telah sempurnalah setengah agamanya. Kini hendaklah ia bertaqwa kepada Allah pada setengah yang baki."

Ibnu Abbas RA telah berkata: "Tiada yang akan menghalang seseorang daripada berkahwin kecuali lemah syahwat ataupun sifat durjana."

Pada pendapatku (Imam Habib Abdullah Haddad), bahawasanya nikah kahwin itu akan menghambat was-was syaitan mengenai nafsu perempuan dari dalam dada. Bahaya was-was ini besar pengaruhnya, sehingga adakalanya ia dihambat oleh was-was itu ketika berdiri ketika solat di hadapan Allah SWT, ataupun ketika ia sedang membaca Kitabullah yakni Al-Quran, ataupun ketika sedang rancak berzikir, maka menjadilah ia sebagai seorang yang kurang ajar (tidak beradab) kepada Allah SWT.

Kemudian kahwin itu akan mengekang mata dari melihat yang haram, serta memelihara kemaluan dari melakukan perkara yang dilarang. Mengenai hal ini, terdapat pelbagai riwayat yang menunjukkan kelebihan berkahwin dan juga ancaman terhadap orang yang meninggalkan berkahwin. Semuanya dipetik daripada Al-Quran dan hadith Nabi SAW yang mana dalil-dalilnya sudah menjadi pengetahuan umum kepada orang ramai, terutama sekali orang-orang yang berilmu pengetahuan.

Firman Allah SWT:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(Surah An-Nur 24:30)

Kepentingan Rumahtangga Muslim
Imam Hassan Al-Banna di dalam Risalah Ta'lim telah menjelaskan turutan amal yang dituntut ke atas setiap muslim. Amal merupakan rukun yang ketiga di dalam turutan rukun perjanjian.

Turutan amal yang digariskan adalah seperti berikut:
1- Memperbaiki diri sendiri.
2- Pembentukan rumahtangga muslim.
3- Memimbing masyarakat.
4- Membebaskan tanah air.
5- Membaiki kerajaan sehingga benar-benar menjadi Islamik.
6- Pembangunan Khilafah Islamiyyah.
7- Memimpin dunia dengan menyebarkan dakwah Islam ke segenap pelusuk dunia.

Imam Hassan Al-Banna menegaskan di dalam pembentukan rumahtangga muslim, suami/isteri, ibu/ayah perlu membimbing ahli keluarganya agar menghormati fikrah (pemikiran) Islam. Perlu memelihara adab-adab Islam pada setiap aspek kehidupan rumahtangga, bijaksana memilih calon pasangan hidup disamping memahami hak-hak dan kewajiban di dalam rumahtangga. Mendidik anak-anak dan pembantu rumah serta membina peribadi mereka dengan asas-asas Islam. Setiap anggota rumahtangga perlu tahu hak-hak mereka dan kewajiban mereka berteraskan neraca Islam.

Maka apa yang difahami di sini ialah, pembentukan rumahtangga muslim merupakan akar yang perlu diperkukuh selepas membaiki diri sendiri. Ini kerana, dalam mencapai matlamat meletakkan Islam di kedudukan yang tertinggi memerlukan kepada turutan amal ini. Kekuatan rumahtangga muslim yang terhasil daripada pembaikan terhadap diri sendiri pada peringkat awal mampu membawa kepada membimbing masyarakat ke arah penghayatan sistem dan nilai Islam yang sebenar sebagai cara hidup yang sempurna.

Pembaikan Diri Sendiri dan Tanggungjawab Berumahtangga

Wasilah Membaiki Diri:
1. Akidah Yang Sejahtera
2. Ibadah Yang Sahih
3. Sihat Tubuh Badan
4. Menjaga Masa
5. Luas Pengetahuan
6. Akhlak Yang Mantap
7. Penyusunan Urusan
8. Mampu Berdikari
9. Melawan Nafsu
10. Bermanfaat Untuk Orang Lain

Islam membantu seseorang individu dalam menjayakan usaha membina sebuah rumahtangga muslim yang baik. Islam telah menuntun dan memandu seseorang muslim dalam memudahkan tanggungjawab dan pencapaian matlamat pembinaan rumahtangga. Tanggungjawab yang lebih besar segera terus sahaja bermula sebaik sahaja seseorang berumahtangga.

Tanggungjawab Sebelum Berumahtangga
1- Mestilah memastikan perkahwinannya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumahtangga muslim. Selain itu untuk melahirkan keturunan yang soleh, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan.

2- Mestilah menjadikan tujuan perkahwinannya adalah untuk menjaga pandangan, memelihara kemaluan serta bertaqwa kepada Allah. Sabda Nabi SAW

ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمْ : الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ، وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الْأَدَاءَ ، وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ
"Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka 1) Orang yang berjihad pada jalan Allah, 2) Hamba mukatib (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayarannya dan 3) Orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya."

3- Mestilah memilih bakal pasangan yang baik kerana dengannyalah mereka berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan Islam.

4- Mestilah memilih pasangan yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan.

5- Mestilah berhati-hati supaya tidak menyalahi perintah Allah dalam urusan berumahtangga kerana takut akan kemurkaan dan siksaan Allah serta mengingati amaran Rasulullah SAW.

Tanggungjawab Selepas Berumahtangga
1- Mestilah berlaku baik terhadap pasangan dan memuliakannya dalam hubungan komunikasi untuk membina hubungan saling mempercayai antara satu sama lain.

2- Hubungan dengan pasangan tidak seharusnya terbatas kepada hubungan di tempat tidur dan melepaskan keinginan syahwat sahaja. Malah hubungan antara pasangan mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan, perasaan dan kasih sayang. Pasangan bersama-sama membaca dan menunaikan sebahagian daripada ibadat bersama. Bersama-sama mengatur urusan rumahtangga serta meluangkan waktu tertentu untuk bergurau senda dan bermanja.

3- Selain itu, seluruh hubungan suami/isteri bersama pasangan mestilah tidak terkeluar daripada batas-batas syariat, tidak menjatuhkan nama baik Islam dan tidak tercebur ke dalam hal-hal yang haram.

Sesudah berkahwin, orang yang sabar mempergauli isterinya dengan baik, menjalankan hak dan tugas yang wajib terhadap isterinya dan mengeluarkan nafkah ke atas isteri dan anak-anak akan menyebabkan ia mendapat pahala yang besar. Di antara sebab-sebabnya ialah pahala mendapat anak-anak yang soleh yang menyembah Allah SWT, mendoakan kedua ibu bapa mereka serta memohon keampunan terhadap keduanya, sama ada di waktu hayat keduanya mahupun sesudah meninggal dunia.

Jika anak-anak itu mati sebelum mencapai usia baligh, maka kedua ibu bapanya akan memperoleh pahala dan balasan yang besar kerana sabar atas bencana yang menimpa mereka. Perlu difahami bahawa kelahiran seseorang anak itu juga boleh dianggap sebagai rezeki. Anak yang soleh sebagai rezeki yang berkat dan saham di hari mendatang. Maka berusalah untuk membentuk anak-anak menjadi anak yang soleh dan hamba yang bertaqwa.

Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-Anak
Kejayaan dalam perkahwinan adalah dengan memilih pasangan yang soleh dan berusaha membentuk pasangan suami-isteri yang serasi dengan acuan Islam. Ia merupakan faktor yang paling berkesan dalam membantu melaksanakan pendidikan Islam kepada anak-anak. Jika sebaliknya, maka ia membawa kepada keburukan dan keruntuhan ke atas institusi rumahtangga keseluruhannya.

Kemudian dalam memelihara anak-anak dan menguruskan segala keperluan hidup mereka, terutama sekali anak-anak perempuan, akan menghasilkan pahala yang banyak dan ganjaran yang besar.

Sabda Nabi SAW "Wang yang kamu belanjakan di jalan Allah SWT, dan wang yang kamu berikan untuk memerdekankan seorang hamba, dan wang yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin, dan wang yang kamu keluarkan untuk perbelanjaan anak-isteri anda; yang paling banyak menghasilkan pahala ialah wang yang kamu keluarkan untuk perbelanjaan anak-isteri."

Sabdanya lagi "Apa yang kamu belanjakan untuk makanan dirimu adalah sedekah dan apa yang kamu belanjakan untuk makanan anak kamu adalah sedekah, dan apa yang kamu belanjakan untuk anak isteri kamu adalah sedekah, dan apa yang kamu belanjakan untuk makanan khadammu adalah sedekah juga."

Memberi nafkah kepada anak-isteri merupakan satu tanggungjawab suami terhadap isteri. Suami perlu berasa insaf dan sedar dengan melaksakannya kerana suruhan Allah SWT. Sekiranya ia tidak ditunaikan, maka para suami bahawa dosanya sangat besar dan bakal menerima azab oleh Allah SWT di dunia mahupun akhirat. Walaupun berlaku penceraian, atas keadaan tertentu, kewajiban pemberian nafkah kepada anak-isteri tetap berterusan.

Sabdanya lagi "Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga; Sedekah yang berterusan, atau ilmu yang dapat dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya."

Hakikatnya, hasil yang diharapkan daripada sesebuah rumahtangga muslim ialah melahirkan keturunan yang soleh sepertimana firman Allah SWT.

Setiap anak yang dilahirkan di dunia ini berada dalam keadaan bersih dan fitrah. Ia akan menjadi anak yang soleh apabila menerima pendidikan yang baik. Sebaliknya jika anak-anak hidup dalam suasana keluarga yang huru-hara dan menyeleweng, maka ia juga akan turut terpesong dan rosak peribadinya.

Mendasari Cinta Suami-Isteri Dengan Mencintai Allah dan Kerana Allah
Asas sesebuah persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu sama lain, tulus ikhlas dalam berkasih sayang serta selagi ia dihalakan hanya kepada Allah SWT dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar. Lebih-lebih besar pahala dan tuntutannya sekiranya ia ditujukan terhadap suami-isteri agar berterusan cinta dan sayang mereka atas dasar mencintai Allah dan kerana Allah SWT. Dua orang yang bercinta, iaitu suami dan isteri.

Nabi SAW berbicara mengenai dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di dalam sebuah hadith Qudsi Ällah SWT berfirman "Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang saling sayang-menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang yang kunjung-mengunjung keranaKu, dan dua orang yang tolong-menolong keranaKu."

Di dalam hadith Qudsi yang lain, berfirman Allah SWT di hari Kiamat "Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagunganKu. hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naunganKu; iaitu hari yang tiada naungan selain naunganKu."

Sabda Nabi SAW lagi "Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada yang mencintainya melainkan kerana Allah SWT."

Di dalam sebuah hadith Nabi SAW mengenai tujuh golongan yang mendapat naungan árasy Allah SWT di akhirat kelak. Baginda SAW menyebut satu persatu sehinggalah kepada ".. Dan dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah."

Percintaan suami-isteri biarlah selamanya kerana Allah SWT. Malah, sekiranya berlaku hal yang tidak diingini seperti penceraian, biarlah juga atas dasar kefahaman dan kerana Allah SWT. Penceraian adalah perkara halal yang paling dibenci olah Allah. Akan tetapi, dasar kecintaan hanya kerana Allah SWT pasti membentengi perkahwinan daripada pergolakan dan lebih-lebih lagi penceraian.

Suami-isteri perlu bersahabat dan saling bermesra atas dasar mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah. Maka hal yang demikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah SWT.

Suami-isteri yang bercinta-cintaan kerana Allah adalah didasari dengan masing-masing saling bantu-mmembantu dalam selok-belok agama dan perjuangan ke arahnya serta mengarahkan seluruh kehidupan untuk bertaat setia terhadap Tuhannya.

Suami-isteri yang bercinta-cintaan kerana Allah SWT juga adalah masing-masing saling membantu dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia boleh mengurus urusan akhiratnya dengan baik.

Adapun percintaan antara suami-isteri yang mana mereka berasa tenang, senang dan bahagia. Dada mereka berasa lapang ketika bersama-sama. Bertolongan dalam urusan dunia dan di dalam hal ehwal kehidupan, yang menerusinya ia boleh hidup senang lenang. Maka cinta seumpama itu adalah cinta tabií, cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah SWT. Percintaan itu timbul kerana kecenderungan diri dan fitrah manusia semata-mata. Cinta ini harus hukumnya dan mudah-mudahan tidak sunyi daripada kebaikan.

Ini kerana, kecintaan kepada Allah dan kerana Allah bermakna mendahulukan segala-galanya kerana Allah dan RasulNya. Suami mendahulukan Allah dalam urusan yang terdapat padanya tuntutan daripada anak-isteri. Isteri mendahulukan Allah dan suami dalam urusan peribadi dan yang bersangkut dengan hal elwal kehidupan dunia. Suami-isteri mendahulukan hukum dan suruhan Allah berbanding kehendak peribadi dan tuntutan duniawi semata.

Nyatalah bahawa percintaan suami-isteri yang mereka berterusan mencintai Allah dan RasulNya, mendasari cinta mereka kerana Allah dan RasulNya, ia dikira sebagai suatu pendekatan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Inilah percintaan yang dipuji dan patut disyukuri. Kecintaan kepada Allah dan kerana Allah, telah disediakan padanya pahala yang amat besar dan kelebihan yang banyak. Tidak hairanlah kecintaan ini sangat tinggi darjat dan kedudukannya dalam agama.

Sekiranya seseorang itu dipandang dengan siapa yang duduk bersama-samanya dan diuukur dengan siapa yang berjalan dengannya, maka lebih-lebih lagilah suami/isteri akan dipandang dan diuukur dengan siapa yang menjadi pasangan mereka. Ini kerana suami merupakan cerminan bagi isteri dan isteri pula adalah cerminan bagi suami.

Asam garam di dalam rumahtangga pasti tidak dapat dielak. Pertentangan yang berlaku di dalam kehidupan suami-isteri akan memberi kesan secara langsung di dalam jiwa dan pendidikan anak-anak. Jika ia tidak dikawal dan dibendung, maka sebahagian daripada sifat-sifat kekusutan jiwa dan penyimpangan fikiran serta akhlak akan diwarisi pula oleh anak-anak. Oleh yang demikian, tunjang utama yang menjamin terlaksananya pendidikan secara Islam ke atas anak-anak ialah melaksanakan perkahwinan menurut yang dianjurkan oleh Islam.

Pasangan Sebagai Teman Hidup
Telah berkata Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali bahawa sekiranya anda ingin memilih sahabat maka hendaklah anda memeriksa lima perkara berikut:
1- Akal fikiran
2- Baik budi pekerti
3- Lurus perjalanan
4- Tidak terlampau menggantungkan diri kepada dunia semata-mata
5- Tidak bercakap dusta

Terdapat banyak hak dan kewajiban di dalam persahabatan. Apabila suami-isteri merasakan diri mereka sebagai teman atau sahabat bagi pasangan mereka, maka hak dan kewajiban tersebut perlulah dilaksanakan sebaik mungkin. Kerana hakikat sebagai suami isteri lebih besar tuntutannya dalam kehidupan daripada hubungan persahabatan yang biasa.

Di antaranya ialah:
1- Hendaklah suami/isteri mengharapkan sesuatu yang baik bagi pasangannya sebagaimana mereka mengharapkan sesuatu yang baik bagi diri mereka sendiri. Hendaklah suami membenci sesuatu yang tidak baik bagi isterinya sebagaimana isterinya membenci sesuatu yang tidak baik bagi dirinya. Dan sebaliknya.

2- Hendaklah suami/isteri meletakkan dirinya di tempat pasangannya dalam mengambil berat tentang urusan mereka. Mengumpul manfaat pasangan dan berterima kasih padanya serta menunaikan segala keperluan pasangan. Bergirang ketika pasangan gembira dan bermuram ketika pasangan merasa sedih.

3- Hendaklah suami/isteri berusaha menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di dalam hati pasangan dengan apa cara sekalipun. Serta berusaha menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang mengganggu kehidupan pasangan.

4- Hendaklah suami/isteri memelihara nama pasangan di waktu ia hadir atau ghaib (tidak bersama) dan di waktu ia masih hidup mahupun sudah mati.

5- Hendaklah suami/isteri berbakti kepada keluarga asal pasangan dan kerabatnya di waktu hayatnya atau setelah ia meniggal dunia.

6- Hendaklah suami/isteri membantu pasangan dengan tenaga dan sokongan moral ketika dalam keperluan. Suami/isteri berusaha melakukan yang terbaik terlebih dahulu kepada pasangan sebelum menuntut pasangan melakukan yang terbaik untuk diri mereka. Ia adalah lebih baik.

Antara hak dan kewajiban lain terhadap suami/isteri yang juga merupakan hak-hak bagi seseorang muslim terhadap muslim yang lain ialah:
1- Menutup keaiban pasangan.
2- Meringankan kesusahan pasangan.
3- Membantu pasangan dalam segala perkara penting dan perlu.
4- Memenuhi segala hajat dan keperluan pasangan.
5- Menghapuskan duka-nestapa pasangan.
6- Membela pasangan jika teraniaya.
7- Menolong pasangan ketika lemah.
8- Meringankan bebanan hidup pasangan.
9- Menghormati orang tuanya.
10- berbelas kasihan terhadap saudara-maranya.
11- Tidak menyusahkan pasangan, tidak menyia-nyiakannya atau menghinanya atau memandang rendah padanya.
12- Tidak mencaci atau mengejek-ngejek pasangan.
13- Tidak menipu pasangan.
14- Tidak mendengki pasangan, memendam perasaan dendam terhadapnya atau menyangka sesuatu yang tidak baik terhadapnya.
15- Mengambil berat terhadap urusan pasangan yang melibatkan kepentingan agama, maslahah umum dan keutamaan.
16- Hendaklah suami/isteri mengharapkan sesuatu yang baik bagi pasangan sebagaimana ia mengharapkan yang baik bagi dirinya sendiri. Membenci sesuatu yang tidak baik bagi diri pasangan sebagaimana ia membenci sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya sendiri.

Mengenai Rezeki dan Bekerja
Imam Habib Abdullah Haddad menyatakan bahawa sesiapa yang ingin wara' dan memelihara diri serta memilih hanya yang halal semata-mata, maka hendaklah ia bersifat qanaáh (memadai dengan yang ada) dari harta dunia. Juga hendaklah cenderung kepada yang sedikit daripadanya, tidak israf (boros), tidak berlebih-lebihan dan terlampau mencintai syahwat-syahwatnya.

Para salafus soleh berkata bahawa halal tidak memerlukan berlebih-lebihan dan boros. Barangsiapa yang suka bermewah dan berlebih-lebihan dalam kelazatan dunia, tidak boleh tidak dia pasti menempuh sebab-sebab yang bakal menariknya ke dalam lautan hawanafsu yang penuh dengan perkara syubhat dan haram. Pernah ditanyakan kepada salah seorang para salafus soleh: Dari mana sumber makanan kamu? Jawab mereka: Dari sumber yang sama, yang kamu sekalian mendapatkannya. Akan tetapi adakah sama orang yang makan sambil menangis dengan orang yang makan sambil ketawa? Hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

Bahawasanya wara' adalah asas dalam agama dan jalan bagi orang-orang beriman yang kukuh keyakinannya kepada Allah SWT. Cerita dan suri tauladan yang digambarkan oleh mereka sangat banyak dan sudah terkenal di kalangan umat.

Sufyan ats-Tsauri rahimahullah, apabila tidak mendapat barang yang tidak serapus peratus halal, maka iapun memakan pasir dan kadang-kadang berlarutan sehingga beberapa hari. Pernah suatu ketika Ibnu al-Mubarak kembali semula dari Khurasan ke Syam kerana terlupa hendak mengembalikan pena tulis yang dipinjamnya dari temannya.

Ibrahim Ibnu Adham berpatah balik dalam perjalanannya kembali ke Basrah daripada Jerusalem untuk mengembalikan sebiji kurma yang terjatuh dari timbangan kurma yang dibelinya. Beliau terlupa hendak mengembalikan kurma tersebut ketika ditimbang. Satu peristiwa lain ketika mana orang-orang wara' ini menziarahi orang yang sedang nazak di waktu malam. Sebaik sahaja mati orang yang nazak tersebut, salah seorang dari mereka berkata: Padamkan semua lampu-lampu itu kerana bermula saat ini semua harta di dalam rumah ini menjadi milik para waris si mati.

Suami-isteri perlu mengetahui bahawasanya memakan yang halal itu akan menambahkan cahaya pada hati dan melembutkannya. Selain itu menimbulkan kegentaran dan khusyu' terhadap kebesaran dan keagungan Allah SWT. Ia juga mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan melaksanakan ketaatan, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambahkan ingatan dan keinsafan terhadap hari akhirat. Rasulullah SAW pernah berkata kepadda Saad bin Abu Waqqash: "Pilihlah makanan yang halal, nescaya doamu dimakbulkan."

Sekiranya suami-isteri memakan makanan yang haram atau syubhat, maka mereka akan berada jauh daripada segala kebajikan. Ini kerana makanan yang haram atau syubhat itu akan mengeraskan hati serta menggelapkannya, mengekang anggota badan daripada beribadat dan melakukan ketaatan disamping menjadikan mereka suami-isteri sentiasa mencintai dunia. Semua perkara ini menjadi penyebab tidak diterima amalan dan doa. Oleh itu suami-isteri hendaklah menjaga diri agar sentiasa mengambil yang halal an menjauhi segala yang haram. Ketahuilah bahawa wara' itu tidak dituntut hanya pada makan dan minum sahaja, malah pada semua perkara dan aspek kehidupan tanpa pengecualian.

Mencari rezeki biarlah yang halal semata-mata kerana setiap orang yang beriman diperintah untuknya. Demikian itulah suami-isteri yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh rezeki yang halal akan dikurniakan kelebihan, keberkatan dan pahala yang banyak, jika niat mereka ikhlas dan betul. Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik rezeki yang dimakan oleh seseorang ialah dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri." Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa yang merasa penat kerana bekerja sehari suntuk untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya."

Maka sebaiknya suami-isteri yang mencari rezeki itu perlu tersemat di dalam hati mereka niat untuk memelihara agama keluarga, mencukupi diri supaya tidak meminta-minta orang lain dan memenuhi keperluan rezeki ahli rumahtangganya. Kemudian sekiranya ada lebihan daripada rezeki tersebut, mereka bersedekah kepada orang-orang yang berhajat dari kalangan hamba-hamba Allah. Apabila tersematnya niat yang sebegitu, sesungguhnya mereka telah memperoleh keberkatan yang luas dan sebenarnya mereka telah beramal untuk kepentingan akhirat mereka.

Jika suami-isteri merupakan seorang pekerja atau pengusaha, hendaklah mereka berlaku jujur kepada diri sendiri dan tulus di dalam pekerjaan dan perusahaan mereka demi kepentingan umat Islam. Mereka perlu tekun dalam bekerja dan menyempurnakan segala usaha mereka itu sekadar yang termampu. Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menyayangi orang mukmin yang bekerja."

Tapi awas! Jangan sesekali suami atau isteri berdusta dan menipu, culas dan malas, memungkiri janji, khianat dan suka bertangguh dari sehari ke hari yang lain. Jangan sesekali mencuaikan pekerjaan orang lain dan tidak menyempurnakan hak-hak mereka. Sesungguhnya celaka bagi pekerja dan pengusaha yang sering berjanji esok, lusa.

Bertawakkal merupakan sifat yang amat penting bagi seorang hamba. Ia melambangkan sangkaan baik hamba terhadap Allah SWT. Usaha dan pekerjaan yang diusahakan diletakkan pergantungan terhadap Allah semata-mata. Suami-isteri perlu berkeyakinan penuh bahawa Allah akan membalas segala usaha para hambanya yang bersungguh mencari rezeki yang halal dan diberkati di bumi Allah yang Maha Luas ini. Keyakinan yang sebegini tidak mungkin tercapai melainkan telah terkunci kukuh tawakkal kepada Allah.

Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepadaNya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan"
(Surah Huud 11:123)

Beberapa Peringatan
Suatu perkara yang wajib diambil ingatan dan diperhati dengan mendalam dan berhati-hati, bahawa jangan sampai mencari rezeki itu menyebabkan suami atau isteri tersebut mencuaikan perintah Allah, atau terhumban ke dalam larangan-larangan Allah. Akibatnya mereka akan rugi dunia dan akhirat. Itulah kerugian yang amat nyata yang kelak boleh menimpa anak dan keturunan mereka.

Para salafus-soleh telah membahagikan manusia kepada tiga golongan:
1- Seseorang yang sentiasa sibuk degan kerja-kerja untuk akhirat sehingga tiada masa lagi untuk menguruskan hal-hal dunia. Mereka ini termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berjaya.

2- Seseorang yang sentiasa sibuk dengan kedua-dua urusan dunia dan akhirat. Menjadikan dunia sebagai jambatan ke akhirat. Mereka ini termasuk ke dalam golongan orang-orang yang melakukan jual beli dengan Allah. Mereka menjual hidup mereka untuk membeli syurga Allah SWT.

3- Seseorang yang sentiasa sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak mempedulikan urusan dah hal yang berkaitan akhiratnya. Mereka ini tergolong di dalam orang yang menganiaya dan membinasakan diri sendiri. Semoga Allah menjauhkan kita daripada golongan sedemikian.

Enggan Berkahwin
Seseorang yang tidak mahu berkahwin kerana tujuan mencari ilmu pengetahuan atau beribadat atau untuk menjauhkan diri daripada urusan dunia dan tanggungjawabnya. Disamping hatinya tidak cenderung kepada lawan jenisnya dan tidak kepingin mempunyai pasangan. Maka hukumnya tidak mengapa ia meniggalkan nikah dan tidak berdosa. Pendapat ini telah dinyatakan oleh sebahagian cendiakawan Islam dan para salafus soleh. Malah ada di antara mereka mengamalkannya.

Sesetengah mereka apabila ditanya: Mengapa tidak berkahwin? Mereka menjawab: Aku tidak mampu untuk membetulkan diri sendiri, manakan dapat ku tambah satu diri lagi? Antara jawapan lain: Kalau boleh diriku ku lepaskan, nescaya akan ku lepaskannya.

Sepertimana jawapan yang diberikan oleh Bisyril Harits rahimahullah ketika ditanya mengenai orang ramai yang hairan melihatnya tidak berkahwin. Kata orang ramai: Engkau telah meninggalkan sunnah (iaitu tidak berkahwin). Jawab beliau: katakan pada mereka akus ibuk mengerjakan yang wajib.

Imam Habib Abdullah Haddad berpendapat adalah baik seseorang yang mahu berkahwin berniat kerana mahu menyelamatkan agama dan diri di akhirat kelak. Kalau ia meniggalkan atau melambatkan kahwin pun, ia berniat untuk memelihara agama dan mengutamakan keselamatan diri. Pada waktu tersebut, sama ada ia berkahwin atau tidak ia telah tetapkan haluannya atas niat yang baik iaitu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Adapun orang yang meletakkan niat mahu berkahwin atau tidak kerana cita-cita dunia atau harta benda, atau kerana tabiat, adat dan syahwat, maka sesungguhnya dia berada jauh daripada petunjuk yang benar dan rahmat Allah SWT. Mereka ini tidak bertauladan daripada golongan salafus soleh. Allah sahajalah yang memberi taufiq dan hidayah, tiada Tuhan selain Dia.

Diolah kembali daripada sumber berikut:
1- Buku 'Nasihat Agama dan Wasiat Iman' oleh Imam Habib Abdullah Haddad yang dialih bahasa oleh Syed Ahmad Semait.
2- Buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam'oleh Fathi Yakan yang dialih bahasa oleh Abbu Mustafa Hamidi.
3- Buku 'Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta'alim oleh Muhammad 'Abdullah Al-Khatib yang dialih bahasa oleh Mohd. Nizam bin Mohd. Ali.
4- Buku 'Nazarat Fi Risalah al-Ta'lim oleh Muhammad 'Abdullah Al-Khatib dan Muhammad 'Abdul Halim Hamid (versi bahasa Arab).

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam.

Dedikasi dan hadiah buat diri sendiri. Semoga diri lebih memahami dan menghayatinya.

*Kepada sesiapa yang mahu takhrij hadith yang disertakan, sila lakukan di sini atau di sini.

Hidup dalam mencari..

Tanta,
24 Jamadil Akhir 1432 H.

Comments