Istisyraq (Orientalisme)

Salam sejahtera. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan mulia, ketua angkatan Perang Uhud, penghulu segala Nabi, Muhammad SAW. Sehingga seluruh ahli keluarga Baginda para sahabat dan penegak agama Allah selepas mereka.

Takrif
Bahasa: Istisyraq diambil daripada perkataan sya-ra-qa yang bermaksud timur. Makna perkaatan ini berkisar daripada arah timur matahari terbit.

Istilah: Para sarjana Islam sebenarnya berbeza pendapat dalam memberikan makna yang sebenar bagi istisyraq ini. Ada golongan yang meluaskan skop makna perkataan ini dan ada pula yang menyempitkannya. Ia memasuki bidang penerimaan dan penolakan, pengambilan dan pengabaian serta penetapan dan penafian.

Oleh yang demikian, para sarjana Islam cuba memperinci dan memusatkan skop perbincangan istilah isytisyraq ini daripada medan yang terlalu luas keperbincangan yang lebih khusus dalam mencapai kefahaman yang sebenar.

Jalan utama yang digunakan untuk memperoleh dan menetapkan kefahaman menganai istisyraq ini ialah melalui amalan atau praktis istisyraq itu sendiri. Sebahagian istilah tidak mampu kita fahami hanya melalui makna perkataan. Pemerhatian terhadap amali daripada perkataan tersebut membantu kepada pengambilan makna yang lebih tepat.

Makna Umum Istisyraq (Orientalisme)
Dr. Ahmad Gharab - Istisyraq ialah cara pemikiran barat iaitu kaedah barat dalam memberi pandangan mengenai sesuatu dan mendalaminya bersama. Ia terdiri daripada mengetahui perbezaan di antara barat dan timur. Pertamaya membezakan melalui pemuafakatan unsur-unsur dan keduanya membezakan pengetahuan.

Dr. Syukri al-Najjar - Beliau telah meletakkan tiga kefahaman mengenai istisyraq iaitu akademik, etnik dan kolonial (penjajahan). Dari segi akademik istisyraq bemaksud setiap apa yang dijhususkan di dalam satu cabang pengetahuan yang berhubungkait dengan timur samada ia dekat atau jauh. Dr. Muhammad Ibrahim al-Fayumi telah memberi komen terhadap maksud ini dengan menyatakan bahawa apa yang dikehendaki daripada kalimah istisyraq ini ialah berkenaan segala pengajian atau pembelajaran budaya timur atau bahasa timur atau pengkhususan terhadap sosiologi atau antropologi timur.

Dari segi etnik ia bermaksud satu cara untuk berfikir yang menumpukan perbezaan ilmu pengetahuan, pemikiran, sejarah dan etnik di antara timur dan barat. Apa yang jelas ialah kefahaman ini adalah sebahagian daripada takrif Dr. Ahmad Gharrab. Beliau berpendapat bahawa istisyraq ini tidak lebih daripada suatu sifat bagi cara dan kaedah yang digunakan oleh para orientalis. Tidak terbit daripadanya satu takrif yang umum. Beliau ada ada menolak makna orientalisme bermaksud cara berfikir bagi orang barat terhadap pengajian ilmu timur.

Dari segi kolonial ia bermaksud cara untuk memahami timur dari sudut kawalan kolonial dan percubaan mengembalikan sistem, mengembangkan dan berhukum (melaksanakan undang-undang) dengannya.

Walaubagaimanapun, makna yang diberikan oleh Dr. Syukri al-Najjar tidak lengkap kerana tidak mengambil berat terhadap pengajian agama dan tidak meletakkannya sebahagian daripada kesedaran para orientalis. Sekiranya orientalisme ini hanya dibincangkan sekitar gerakan politik penjajahan semata dan bukan gerakan keagamaan, seolah ini merupakan suatu sokongan kedua kepada para orientalis. Akibatnya, hilanglah elemen bahawa orientalisme ini memusuhi Islam.

Prof. Edward Said - Cara masyarakat barat untuk mengawal dan menguasai kedaulatan atau pemerintahan timur.

Prof. Yusuf Ahmad Daghir - Ia dinamakan gerakan keilmuan dan kekal makna ini dengan pembelajaran pembangunan ketimuran; setiap apa yang berubah, hadir, pupus dan kekal; setiap apa yang belawanan dengan kemajuan daripada kekuatan ruhiyah dan kesan pemikiran, kesasteraan, kesenian dan keagamaan; segala apa yang berkaitan dengan kemajuan yang lalu; segala apa yang berkaitan dengan bangsa, jenis, mazhab dan pembelajaran.

Dr. 'Abdul Mu'tal Al-Jabari - Pembelajaran ilmu-ilmu timur dan keadaan-keadaan persejarahan, kepercayaan, tabiat susananya dan pembangunan kotanya, kemanusiaan, pembelajaran bahasa dan loghat; tabiat kelompok manusia dalam setiap masyarakat timur; pembelajaran personaliti dan hal keadaannya, ideologi pemikiran dan mazhab di dalam pelbagai bentuk dan jenis.

Prof. Ahmad Hasan al-Ziyat - Pembelajaran orang-orang barat mengenai sejarah timur, masyarakatnya, bahasa, sastera, keilmuan, adat, kepercayaan dan hikayat-hikayat. Beliau juga mengetengahkan makna yang lain daripada zaman pertengahan yang menyebut "Adalah apa yang dimaksudkan dengan orienlaisme pada zaman-zaman pertengahan ialah pengajian Ibrani dan kaitannya dengan agama serta pengajian Arab dan kaitannya dengan ilmu.

Pengertian orientalisme yang diberikan oleh wikipedia ialah istilah yang digunakan sebagai contoh atau penggambaran aspek budaya timur di barat oleh para penulis, pereka dan seniman. Atau dengan kata lain gambaran barat terhadap timur. Ia boleh digandingkan seperti gambaran barat terhadap Islam iaitu pengganas dan Islamfobia.

Makna Khusus Istisyraq (Orientalisme)
Setelah kita mengetahui makna orientalisme secara umum, serta perlbagai perbezaan yang wujud dalam memberikan makna orientalisme yang sebenar, hakikatnya masih terdapat pelbagai persamaan. Apabila kita mahu menyorot pula makna orientalisme secara khusus, ia tetap tidak dapat lari dengan pelbagai perbezaan pendapat dan ketidaktepatan makna dalam mletekkan satu garis penentuan bersifat ilmiah atau akademik.

Sebahagian para cendiakawan dalam memberi penentuan makna orientalisme ini, mereka telah mengkhususkan skop perbincangan oerintalisme yang luas ini sehingga telah meringkaskan beberapa aspek yang berkaitan. Kemudian mereka telah mengambil kaitan aspek lain yang pada mereka perlu dijadikan contoh dalam pemaknaan orientalisme. Antara makna khusus orientalisme adalah:-

Rudy Bert: Suatu ilmu yang dikhususkan dengan pemahaman bahasa tertentu.

Dr. Ahmad Gharab: 1- Kajian ilmiah yang dilakukan oleh orang barat yang terdiri daripada negera-negara penjajah timur terhadap pelbagai sudut. Ia meliputi sejarah, budaya, agama, bahasa, sistem masyarakat, politik, kekayaan, penempatan berdasarkan unsur-unsur kaum dan budaya timur. Ia bertujuan mengawal dan menguasai untuk kepentingan barat. Rasional penguasaan ini adalah dengan pembelajaran dan pengkajian serta pandangan-pandangan yang dizahirkan dengan ilmiah dan tersusun mengikut tajuk tertantu.

2- Kajian ilmiah oleh orang barat yang terdiri daripada ahli kitab (orang Kristian dan Yahudi) mengenai Islam dan umat Islam melalui pelbagai sudut kepercayaan, budaya, syariat, sejarah, sistem masyarakat, kekayaan, dan penempatan. Ini semua dengan tujuan membentuk acuan baru Islam dan hal keadaannya serta menimbulkan keraguan umat Islam terhadap agama mereka, menyesatkan mereka serta menggesa umat Islam mengikut cara barat (menjadikan barat sebagai idola). Cara mereka mewujudkan idola ini adalah dengan pengkajian serta pandangan-pandangan yang dibuat dalam bentuk ilmiah dan bersifat khusus. Mereka mendakwa wujudnya persamaan unsur budaya Barat-Kristian dan timur-Islam.

Dr. Ibrahim al-Namlah: Orientalisme adalah bersumberkan cendiakawan bukan Islam dari timur dan barat, berbangsa Arab ataupun tidak untuk mengkaji ilmu-ilmu umat Islam dan kemajuan mereka, kepercayaan, ikutan kaum-kaum mereka dan adat kehidupan mereka.

Prof. Adnan Wazan: Kefahaman am meletakkan adat di atas satu bentuk pemikiran iaitu dengan pengkajian kemajuan kehidupan masyarakat timur secara umum dan kehidupan masyarakat Arab secara khusus. Makna ini telah memberi pengkhususan yang lebih mendalam dengan meletakkan tambahan perkataan 'umat Islam' kepada 'bangsa Arab' sehingga menafikan selain mereka. Makna ini memberi kefahaman yang mendalam mengenai orientalisme agama menggunakan makna yang khusus.

Dr. Zaqzuq: Kajian khusus barat mengenai (Islam) timur terhadap bahasa mereka, sastera, sejarah, kepercayaan, syariat, kemajuan melalui gambaran umum.

Kesimpulannya, orientalisme bolehlah diberikan makna iaitu kehendak barat mengkaji (Islam) timur di dalam semua sudut dan setiap isu.

Kuala Lumpur,
26 Muharram 1432 H.

*Kemaskini (15 Safar 1432 H)

Comments