Meracuni Pemikiran

Salam sejahtera.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Esa bagi seluruh makhluk bumi dan langit serta antara keduanya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Muhammad SAW, Nabi dan Rasul yang Ummiy, mendapat tarbiyyah terus dari Allah, menjamin sinarnya ke seluruh alam.

Kekerapan
Hebat dan tingginya taraf wali atau seseorang adalah atas kehebatan mereka terus istiqamah dan iltizam dalam melakukan sesuatu amalan soleh. Seorang wali kehebatan sebenarnya bukan pada kemampuan terbang, mengubati, pendangan kasyaf dan sebagainya. Namun karamah yang terbesar ialah mereka mampu untuk istiqamah dan iltizam dalam melaksanakan sesuatu kebaikan.

Fitrah alam menyatakan istilah 'sering', 'kerap, 'selalu' dan yang seerti dengannya bakal memberikan kesan. Orang yang sering dan kerap membaca al-Quran hatinya pasti akan dalam ketenangan dan kerinduan terhadap apa yng kerap dilakukannya. Tidak mustahil apabila ada pepatah menyatakan hati ini mampu berubah seperti bagaimana setitik air yang berterusan mampu melubangkan seketul batu. Air yang berterusan jatuh ke atas batu meniggalkan kesan lubungan secara perlahan-lahan.

Media, Money and Missionary
Tiga elemen ini merupakan suatu medium yang sangat ampuh dalam mengusai sesuatu masyarakat kini. Masyarakat kini yang sudah jauh daripada sistem, nilai dan norma kehidupan dan bukan nilaian positif masyarakat yang sebenar. Kerana dalam Islam, kesemua tersebut bukan faktor kepada mencapai kehiduapan masyarakat yang aman dan harmoni. Akibat sistem atau isme yang membejat di kalangan masyarakat; dari sudut hartanya dengan kapitalisme, dari sudut sosialnya dengan sosialis dan hidonisme, adri sudut politik sekularisme dan demokrasi, dari sudut agama athiesme, pluralisme dan liberalisme. Isme ini bukan datangnya dari Islam dan pasti bukan kebaikan dan dibawa, tetapi kehancuran dan kebinasaan.

Apabila semua isme tadi telah sebati dalam kehidupan masyarakat, respon daripada dalam diri mereka biasanya lahir negatif juga. Tidak mustahillah apabila setiap tindakan pasti bermula dengan negatif dahulu dan kemudian barulah menyesali untuk berubah kepada kebaikan.

Drama Kehidupan
Saya melihat seolah menjadi suatu trend apabila kebanyakan drama atau cereka pendek sering menunjukkan kehidupan masyarakat yang negatif. Kebisaannya berkaitan dengan wang dan harta. Mengenai perebutan harta dan kekayaan, berlarutan menjadi hasad dan kebencian, diakhiri dengan pembunuhan dan balas dendam. Walaupun ada akhirnya keinsafan daripada salah dan silap, namun hanya scene yang terlalu pendek.

Sebagai contoh, suatu drama mengenai hasad dengaki dan perebutan kekayaan. Drama tersebut mempunyai 20 siri selama 4 minggu, setiap hari bermula Isnin sehingga Jumaat. Mungkin tiga ke lima siri pertama plotnya masih neutral. Namun, bermula episod kelima sehinggalah episod atau siri ke-19 semunya menceritakan bagaimana perancangan merampas kekayaan, strategi mengaut keuntungan dengan cara yang salah, sesi membalas dendam dan sebagainya. Pada siri yang ke-20 barulah diceritakan mereka yang membuat salah insaf dan menerima hukuman.

Brain Power

Agaknya, apa yang lebih banyak masuk dalam pemikiran manusia dan masyarakat? Adakah keinsafan di akhirnya? Sudahlah keinsafan hanya ada di siri terakhir, inikan pula setiap siri diakhiri dengan kelangsungan nilai-nilai negatif tadi. Sebagai contoh di akhir siri ke-14 menceritakan niat untuk membalas dendam untuk si B oleh si A, dan pastinya pada siri ke-15 bermula dengan langkah pertama untuk membalas dendam. Pada akhir siri ke-15 pula diakhiri dengan siri membalas dendam oleh si B apabila mengetahui si A membuat khianat kepadanya. Siri-siri bagaimana cara untuk membalas dendam, siri-siri teknik yang digunakan untuk melakukan pengkhianatan, semuanya penuh bermula siri ke-5 sehinggalah diri ke-19.

Kesudahannya, adakah kita mudah untuk terima keinsafan dan hukuman yang berlaku di akhir siri atau kita secara langsung telah mengetahui bagaimana cara untuk membalas dendam dan melakukan khianat? Apakah yang lebih terkesan di dalam pemikiran, diri dan jiwa penonton? Pada saya elemen negatif lebih banyak daripada elemen positif.


Dari mata masuk ke otak.

Saya mengakui, kadang-kadang saya terpaksa menukar siaran kerana tidak tahan dan berasa 'sakit hati' atas tindakan yang sering mahu membalas dendam, melakukan khianat, menipu dan sebagainya. Di dalam jiwa orang yang positif juga contohnya, pasti terbit elemen yang negatif di dalam dirinya iaitu 'tidak suka' dan 'kebencian' untuk melihat cerita tersebut. Mungkin juga boleh menyebabkan kebencian terhadap pelakon yang melakonkan watak tersebut.

Akhirnya di dalam dada akhbar hiburan, artis berkenaan bangga menyatakan, 'bilamana penonton timbul perasaan tersebut, maknanya saya telah berjaya dengan cemerlang membawa yang diminta oleh pengarah. Adakah ini yang sepatutnya berlaku dalam mendidik minda dan etika masyarakat? Itu tidak lagi termasuk isu penonton telah menjadikan pelakon tersebut sebagai idola kerana sangat baik tingkah lakunya di dalam drama dan memakai tudung. Tetapi pada drama yang lain sebagai wanita pelacur, bohsia dan sebagainya. Akhirnya kesan yang mendalam terjadi kepada penonton dan kalangan remaja yang masih menacari-cari ikon ikutan mereka. Siapa yang mereka perlu ikut dan bagaimana nilai atau akhlak yang seharusnya menjadi ikutan mereka?

Saya melihat, sesuatu drama yang bersifat bersiri dengan penuh kelakuan jahat tadi, bukan pengajaran yang lebih memberi kesan, tetapi elemen negatif tadi yang lebih menapak. Bukan keinsafan yang menjadi ikutan, tetapi bagaimana cara untuk membalas dendam menjadi contoh untuk dilakukan. Hanya cerita yang tiada siri pada saya lebih mendatangkan kesan sekiranya ada nilai-nilai positif yang mahu diterapkan (Saya tidak mampu memberikan contoh yang banyak kerana jarang dan kurang meminati melihat cerita seperti drama dan sebagainya).

Saya masih teringat dahulu ada diketengahkan cerita lakonan kembali kes-kes syariah yang berlaku di kalangan masyarakat. Bermula daripada kisah tersebut, disusuli dengan permasalahan, klimaks, prosiding mahkamah, hukuman dan kesan daripada itu. Sekurangnya daripada apa yang didedahkan, masyarakat tahu apa yang berlaku dan mendapat pengalaman institusi kehakiman berjalan. *(Walaupun di dalam sistem pemerintahan badan eksekutif, legastatif dan judisiari itu terasing, namun hakikatnya wujud campur tangan di dalamnya).

Solusi?
Mari kita renung kembali kisah yang dibawa oleh Tan Sri P. Ramlee dalam kisah Tiga Abdul. Tidakkah kita perasan bahawa elemen utama yang dibawa ialah pembahagian harta pusaka. Berlaku ketidak-adilan dan kita semua tahu bagaimana kesudahannya. Ia seolah pembuka mata kepada msyarakat ketika itu mengenai isu wasiat dan pembahagian harta pusaka.

Pada hari ini, sangat kurang (atau adakah sebenarnya ada?) cerita yang membawa plot yang semuanya baik untuk dijadikan tauladan. Hanya masalah yang terjadi adalah lumpah kehidupan seperti kemiskinan dan seumpamanya. Adakah sudah ada cerita bagaimana kisah dua orang sedang bercinta dan akhirnya berkahwin melalui cara dan lorong yang betul. Adakah sudah ada sebuah cerita bagaimana pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang Islam yang pastinya terjadi kepada semua umat Islam di Malaysia ini. Adakah sudah ada sebuah cerita yang mengisahkan kepimpinan yang baik, tidak kira dalam bidang politik, koporat, syarikat dan sebagainya.

Apa yang ada nilai baik daripada drama barat itu diketengahkan. Saya pun persoal diri sendiri, seolah mereka (barat) lebih baik daripada orang Melayu kita. Bila filem negara ada isu khurafat terus dihalang. Saya pun setuju. Tetapi filem barat yang sangat tidak baik nilai mereka, berbondong pula yang masuk ke negara ini. Nilai apa yang kita mahu ikut dan jadikan panduan sebenarnya? Adakah kita sudai hilang nilai ketimuran? Mengapa di dalam filem dan drama-drama, tidak diketengahlan nilai sebenar Islam dan ketimuran? Siapa yang patut bermula dahulu untuk mengubahnya? Penonton yang menonton? Saya, yang menulis di dalam blog? Atau pelakon yang 'hanya menurut semuanya' apa yang diarahkan oleh pengarah? Atau penerbit filem dan drama? Atau Kementerian Penerangan Malaysia? Atau pihak penapisan filem? Atau pihak Filem Nasional? Atau perdana mentari? Atau Yang Dipertuan Agung?

Saya mengetengahkan semua pihak ini secara umum dalam setiap isu yang berlaku di negara atau di luar negara. Daripada pihak yang paling rendah sebagai rakyat jelata sehinggalah kepimpinan tertinggi yang sepatutnya. Semuanya ada otak untuk berfikir dan mampu mengenalpasti serta membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Di atas faktor banyaknya kebejatan yang berlaku, kita perlu berubah. Namun persolannya, Siapa?, Bila?, Bagaimana? dan seterusnya.

Semoga kita masih di bawah perlindungan Tuhan sekelian alam ini.

Hidup dalam mencari..

Kuala Lumpur,
27 Zulhijjah 1431 H.

Comments