My name is Khan and I'm not a terrorist!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulis sekadar ingin berkongsi dengan sebuah filem yang bertajuk 'My Name Is Khan'. Dua filem hindi yang boleh saya kategorikan sebagai terbaru (ditayangkan kurang setahun yang lalu di pawagam) benar-benar menarik perhatian saya iaitu Three Idiots dan My Name Is Khan. Kedua-dua filem ini secara umumnya boleh saya katakan mereka membawa satu pemikiran untuk diterapkan kedalam masyarakat. Walaupun kebanyakan filem memang itu tujuannya, namun kedua filem ini saya fikirkan ada kelainan yang tersendiri.

Maklumat Filem:-
Nama filem: My Name Is Khan
Pengarah: Karan Johar
Tahun ditayangkan: 26 Mei 2010 (Perancis)
Penulis: Shibani Bathija (cerita dan dialog) dan Nirenjan Iyengar (dialog)
Tempoh: 128 minit (versi antarabangsa)
Negara: India
Bahasa: Hindi, Urdu dan Inggeris


Filem My Name Is Khan telah diarah oleh Karan Johar. Dia merupakan salah seorang rakan karib Shah Rukh Khan. Filem ini telah dibintangi oleh pelakon popular dan diminati ramai iaitu Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol. Saya tidaklah pandai untuk menilai keberjayaan Shak Rukh Khan membawa wataknya dan pelakon lain sebagai pendukung utama, namun pada saya pengambilan Shah Rukh Khan sebagai pelakon utamanya merupakan suatu keputusan yang bijak dan amat baik. Watak Mandira oleh Kajol juga amat memberi kesan yang baik kepada kelangsungan pembawakan watak Khan sehingga ke akhir filem.

Filem ini membawa masej utamanya berkisar isu kemanusiaan. Watak Khan yang dilakonkan menggambarkan bagaimana permulaan kehidupannya sehingga dia tergamak dan sanggup berjumpa dengan seorang pemimpin dunia, Presiden Amerika Syarikat semata untuk memperkenalkan dirinya dan menyatakan bahawa dirinya bukan seorang pengganas.

Shah Rukh Khan ketika diwawancara pada tahun 2009 menyatakan bahawa filem ini bukanlah berkisar pengganas, 9/11 mahupun hubungan antara dua individu. Akan tetapi ia berkisar hubungan antara individu dengan sebuah negara. Umumnya dia berkata bahawa filem ini mempunyai tiga komponen utama iaitu kisah cinta, agama Islam dan autisme.

Antara masej kemanusiaan yang dibawa di dalam filem ini ialah perjuangan terhadap nilai kemanusiaan itu sendiri. Pengganas yang sering dilaungkan terdiri daripada kalangan orang Islam bukanlah suatu kebenaran secara fakta. Malah ia berbentuk momokan semata untuk mencerminkan gambaran buruk terhadap agama Islam. Filem ini menjelaskan bahawa pengganas boleh jadi terdiri daripada bukan Islam iaitu sesiapa juga boleh diistilahkan sebagai pengganas samada dia seorang Kristian, Yahudi, Hindu dan agama lain. Tiada sempadan agama yang diletakkan dalam melebelkan seseorang sebagai pengganas.


Selain itu, pengarah filem ketika memberi respon mengenai filem ini, dia mahu menyampaikan masej penyatuan, kesatuan dan keamanan di antara masyarakat Islam dan Hindu di India selepas peristia 26 November. Filem ini bertemakan bagaimanakah hubungan antara dunia barat dengan Islam yang banyak berubah sejak 10 tahun kebelakangan ini. Plot cerita ini menunjukkan bagaimana kehidupan masyarakat dunia terutamanya Islam selepas kejadian 9/11. Sejak peristiwa tersebut, telah zahir suatu fenomena ketidakadilan terhadap masyarakat muslim dunia yang dilabel dengan penuh tidak bertanggungjawab oleh Amerika Syarikat sendiri bersama sekutunya.

Ketika mengulas lanjut mengenai filem yang dilakonkan ini, Shah Rukh Khan memberitahu bahawa filem ini bukan bertujuan membawa penonton melihat perjungan seorang cacat menuntut hak dan pembelaan terhadap dirinya atau mereka yang segolongan dengannya. Namun, ia bertujuan menyatakan kepada dunia akan 'kecacatan' yang berlaku dalam melabelkan Islam sebagai pengganas dan perjuangan seorang cacat dalam membawa suatu kebenaran atas dasar kebenciannya terhadap keganasan yang telah berlaku.

Melalui filem ini, seluruh pendukung filem ini cuba membawa kepada penonton cara dunia melihat dunia Islam bersama ciri, sifat dan penganutnya. Dalam masa yang sama, filem ini cuba membawa pemahaman bahawa setiap kelompok masyarakat samada mereka Islam, Kristian, Hindu (hatta Yahudi pun pada pendapat penulis) ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang bersikap toleransi dan ada yang bersikap ekstrimis dan agama bukanlah suatu kriteria dalam melabelkan seseorang sebarang sebagai pengganas.

Penulis telah berpeluang melihat filem ini dan tidaklah menilai setiap watak dan plot cerita secara ktitikal dan terperinci. Tetapi secara kasar dan bersifat luaran. Watak Khan yang dibawa melambangkan pegangannya yang teguh terhadap ibadat khususnya solat lima waktu. Selain itu, Khan telah membuka mata bahawa Islam itu syumul dalam memberikan kebajikan dan tidak terhalang oleh fahaman, agama mahupun bangsa dalam menyalurkan kemanusiaan. Bukankah itu salah satu method dakwah yang sangat berkesan iaitu menyalurkan kebajikan dan pertolongan kemanusiaan?

Penulis berpendapat, antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada filem ini ialah Da'wah bil hal laisa bil lisan (Dakwah dengan akhlak/perbuatan dan bukan dengan kata-kata semata). Watak Khan sebagai seorang yang mempunyai penyakit lantas menyebabkan ia sukar untuk berkomunikasi. Akan tetapi, pedoman yang dia terima hasil didikan ibunya dan perjalanan hidupnya yang lampau mampu menzahirkan akhlak Islam yang sangat terpuji. Walaupun dia sebagai seorang muslim dituduh dengan keganasan, membawa malang dan dipandang dengan pandangan diskriminasi, namun tugasnya untuk menyampaikan masej bahawa "Nama saya ialah Khan (seorang muslim) dan saya bukanlah seorang pengganas" tetap diteruskan. Usahanya untuk menyatakan perkara tersebut kepada Presiden Amerika Syarikat dan setersunya kepada dunia perlu kita pedoman.

Usaha yang terus-menerus dalam kita menyatakan dan meninggikan kalimah Islam dilaksanakan sehinggalah cita-cita akhir tercapai. Biarlah apa orang mahu kata, orang mencaci, memaki, menyakiti dan sebaginya, namun tugas yang terpikul sebagai seorang pejuang agama perlu diteruskan. Mungkin kita terhalang untuk menyatakan kebaikan yang ada di dalam Islam, tetapi kita masih punyai anggota yang lain walaupun mulut kita dikunci atau dibisukan seribu bahasa. Kredit kepada PMRAM yang terus menerus menggalakkan pimpinan dan ahlinya agar memperkasa da'wah bil hal.

Saya amat teruja melihhat filem ini kerana kualiti gambar dan audionya. Sangat memuaskan! Saya terfikir, mungkinkah suatu hari nanti ada seorang rakyat Malaysia yang beragama Islam terpanggil untuk membuat sebuah filem antarabangsa semata untuk memberitahu dunia akan agama Islam yang sebenarnya. Nilai, ciri, prinsip dan sebagainya yang akhirnya mampu membuka mata masyarakat dunia akan keindahan Islam, kabaikan Islam dan kesyumulan Islam. Maka, akhirnya semakin bertambahlah kekuatan umat Islam dengan pertambahan penganutnya dan kefahaman mereka.

Semoga kita bersama cuba untuk mencari ruang dan peluang mengembalikan kedaulatan Islam di atas muka bumi Allah ini.

*Sudah lama saya ingin memasukkan entri khas mengenai komentar saya secara peribadi terhadap filem-filem terpilih yang saya pernah tonton. Akhirnya ia berhasil juga.

**Tertunggu juga bila filem Merong Mahawangsa akan ditayangkan. Dikatakan awal tahun 2011. Tidak sabar untuk menontonnya. Lihat 'trailer'nya sahaja boleh membuatkan bulu roma menegak!!

16 Ramadhan 1431 Hijrah.
Tanta, Mesir.

Hidup dalam mencari...

Comments