Kehidupan ini untuk siapa?

Assalamualaikum dan salam Ramadhan

Seringkali manusia runsing memikirkan kehidupannya. Jika yang tidak berjaya naik tahun, runsing dan lemah semangat untuk meneruskan pengajian. Jika yang masih tidak kahwin-kahwin sehingga umur telah meningkat tua, bimbang menjadi si teruna atau si gadis 'terlajak'. Terlajak umurnya sehingga mencecah 30 atau 40-an tetapi masih belum berumah tangga.

Ada juga yang berserabut kepalanya kerana masih tidak mendapat sebarang pekerjaan tetap walaupun tangan telah menggenggam segulung ijazah mahupun sarjana. Mungkin ada yang runsing dan berselirat akal fikirannya kerana masih tidak mampu membeli kereta baru, rumah yang lebih besar, peralatan rumah yang lebih berharga dan nilai gaji yang masih di takuk lama, tidak naik-naik.

Pastinya semua keadaan atau persoalan ini jawapannya adalah untuk diri sendiri. Merangkumi kehidupannya, kerjayanya, keluarganya dan segala perkara yang ada perkaitan dengan dirinya sahaja. Jika masih tidak mendapat dan memenuhi tuntutan tersebut, maka seolah tidak sempurna hidupnya.

Adakah cukup sekadar mengatakan 'Dunia ini untuk aku'? Atau perlu ditambah 'Dunia ini untuk aku dan aku untuk akhirat'?

Apabila hanya memikirkan dunia ini untuk aku, maka sekiranya apa yang dirancang atau apa yang dihajati tidak diperoleh, seolah tergendala dan terputuslah jalan kehidupan keseluruhannya. Selagi aku tidak kahwin, selagi itulah merasakan kehidupan ini tidak akan lengkap buat selamanya. Adakah perkahwinan suatu kewajipan? Adakah sekiranya tidak berkahwin, maka terhalanglah untuk masuk ke syurga? Sejarah meriwayatkan Imam Nawawi rahimahullah telah wafat pada usia muda iaitu 45 tahun dan masih bujang!

Samalah dengan permasalahan lain yang disebutkan tadi. Adakah tidak berjaya naik tahun, maka terhentilah perjuangan menuntut ilmu? Merasakan buang masa untuk meneruskan pengajian. Atau apabila sehingga ke hari ini masih tidak mendapat sebarang pekerjaan, maka ini melambangkan akan gelapkan masa depan kerana tiada kerjaya yang menjadi keperluan semasa dan diambil penting oleh masyarakat. Atau apabila rumah, kehidupan dan seumpamanya masih tidak mencapai suatu tahap kepuasan dan keselesaan yang omtimum, maka seolah hidupnya masih tidak berjaya dan dia boleh dilabel sebagai orang yang malang dan sebagainya?

Banyak ayat Al-Quran, hadith, kalam sahabat, awliya', ulama' dan hukama' menjelaskan bahawa apabila seseorang mencari dunia, maka dia tidak akan nampak titik pengakhiran pencarian tersebut. Semakin sibuk kita mengejar dunia, semakin laju dunia mahu mendepani hidup kita agar mata, hati, jiwa dan pemikiran kita hanya tertumpu untuk mendapatkannya.

Sekarang mari kita berfikir kembali. Aku ini untuk dunia atau dunia ini untuk aku? Andai dunia ini untuk aku, perlukah aku mendapatkannya semua? Atau aku ini sebenarnya bukan untuk dunia tetapi untuk Islam? Atau aku menggunakan dunia ini untuk akhirat aku?

Ya, pastinya runsing apabila memikirkan diri masih tidak berpunya, atau diri masih tidak mendapat jawapan dari 'si dia', atau diri seoalah tergantung bilakah akan terjadinya ikatan sah itu. Runsing memikirkan masalah tersebut, terabai tuntutan lain yang lebih utama datangnya daripada agam yang kita anuti, Islam. Bukankah apabila diri masih solo tanpa ada sebarang ikatan, maka ruang untuk bergerak masih luas? Bukan bermakna utnuk berfoya-foya, tetapi untuk menjalankan kerja-kerja Islam. Kerana tanggungjawab terhadap suami atau isteri masih tiada. Jika suami atau isteri masih tiada, ini bermakna keluarga sendiri masih tiada, apatah lagi anak sendiri. Mana mungkin boleh memperoleh anak sendiri sedangkan pasangan dan keluarga masih tidak ada?

Bimbang memikirkan masih tidak berkahwin. Cuba kita bersama renung kembali, perkahwinan menurut persepsi individu (empunya badan) ianya sebagai suatu tuntutan, atau perasaan cinta semata, atau keperluan semasa, atau kehendak batin, atau paksaan dan desakan? Sebagai contoh, perkahwinan hanya didasari kononnya hanya perasaan cinta semata (aku cintakan kau dan kau cintakan aku) tanpa ada satu perancanga kehidupan apa tujuan sebenar yang mahu disumbangkan hasil daripada perkahwinan tersebut.

(Nilai agama merupakan nilaian tertinggi dalam memilih pasangan dan ia tidak ternafi walau sekuat mana hujah diberikan). Sesetengahnya, ada yang mencari pasangan yang memiliki kelebihan atau pencapaian akademik tertentu. Sebagai contoh, seorang lelaki mahu meletakkan dirinya bekerja sepenuh masa untuk Islam, berdakwah, memberi ceramah, menyebarkan fikiran, berbakti kepada masyarakat dan sebagainya. Dia merasakan suatu keperluan utama untuk menguasai lapangan dakwah semasa yang bersifat global. Maka, dia mahukan seorang isteri yang mampu memberikan dan berkongsi kemahiran berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Seorang lelaki di dalam bidang syariah ingin memperlengkap dirinya dalam bidang pengajian Islam, maka mahu dicarinya seorang wanita yang memiliki kelulusan syariah Islamiyah.

Pentingnya di sini ialah, walaupun perkara-perkara tadi tidak mampu untuk kita kecapi dalam jangka waktu yang telah kita rancang, tidak semestinya Allah SWT langsung tidak akan menjadikan ianya realiti untuk diri kita. Akan tetapi, apa yang pasti segala kekosongan tersebut perlulah di isi dengan bakti kepada Islam.

Bila masih tidak berkahwin, masa luang ada banyak untuk melibatkan diri dengan kerja Islam, menghampiri masyarakat, menjalankah bakti kepada yang memerlukan, menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan sebagainya. Ruang masa yang bertambah akibat tidak lepas tahun, pastinya banyak masa yang terluang. Penuhilah masa dengan berpersatuan atau menulis buku, menyiapkan jakian semasa atau mengarang kertas kerja program ataupun ilmiah.

Sekiranya masih tidak memperoleh kerjaya tetap, carilah badan bukan kerajaan NGO Islam atau NGO berkebajikan untuk melibatkan diri dengan amal ijtima'i. Bergiat aktif di dalam NGO atau persatuan tersebut, mengaut segala pengalaman dan ilmu. Mencurahkan idea dan pengalaman diri kepada golongan pelapis.


Pemahaman mengenai erti dan tuntutan kehidupan yang sebenar perlulah dihayati sepenuhnya. Bijak menimbangai yang mana kehendak dan yang mana keperluan. Apabila kehendak mengatasi keperluan, pastinya tidak akan cukup dan puas sampai bila-bila. Stabilnya kerukunan sesebuah rumahtangga cukup sekadar memenuhi keperluan yang sebenarnya dan bukannya memenuhi kehendak yang masih boleh dikesampingkan memberi laluan kepada perkara yang lebih penting.

Sekarang, masanya untuk berfikir 'aku ini untuk Islam'. Apabila sesuatu hajat dan perancangan tidak berjalan mengikut apa yang diaturkan, maka kelompangan ini perlulah diisi dengan bakti dan kerja untuk Islam. Fikirlah dengan apa cara sekalipun, biarlah ianya memberi sumbangan untuk Islam.

Sekadar coretan pandangan di waktu keletihan (nak menulis juga..).

Tanta, Mesir.
17 Ramadhan 1431 hijrah.

Hidup dalam mencari..

Comments