Sejarah DPMT (1992-2006)

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
Sejarah Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (1992-2006)

1992

Sejak tahun 1930, seluruh mahasiswa melayu hanya berada di dalam sebuah persatuan induk iaitu PMRAM. Tiada sebarang cawanagn dan pembahagian pelajar mengikut negeri dan muhafazah. Sehinggalah pada tahun 1964, Badak Kebajikan Anak Negeri Kelantan telah ditubuhkan. Rentetan daripada itu, bermulalah penubuhan badan-badan kebajikan anak negeri yang lain sehinggalah kelahiran badan kebajikan anak negari yang terakhir iaitu kuala lumpur pada tahun 1998. Bermula tahun 1992, PMRAM telah menghantar mahasiswa ke cawangan. Berikutan itu, PMRAM telah menubuhkan DPM pada tahun tersebut dan bakinya pada tahun 1993.

Tanggal 15 Januari 1992, satu detik bersejarah telah tercipta tatkala 21 orang putera Malaysia telah dihantar ke Muhafazah (Negeri) Gharbiyah. Tanta merupakan salah satu bandar besar di dalam muhafazah Gharbiyah. Kedatangan mereka ini adalah bersama hasrat murni untuk menggali dan mengaut segala ilmu Allah mengikut manhaj Al-Azhar. Kesemua mahasiswa ini telah bersatu hati mengikat janji untuk menjadi pendukung awal dan perintis bagi kepimpinan dan pentadbiran DPM Tanta sebagai satu wadah dalam meneruskan perjuangan selaku seorang yang bergelar muslim.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan persatuan induk mahasiswa Malaysia yang menuntut di Mesir. PMRAM merupakan sebuah persatuan (Badan Bukan Kerajaan) NGO dan berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan, Republik Arab Mesir. Dewan Perwakilan Mahasiswa merupakan cawangan PMRAM yang berada di muhafazah sekitar Mesir dan bernaung sepenuhnya di bawah PMRAM. Keseluruhan Dewan Perwakilan Mahasiswa berjumlah lapan cawangan dan DPMT merupakan salah satu daripadanya. Ustaz Nasruddin bin Hassan yang merupakan perintis, peneraju dan pengerusi pertama DPMT telah menanggung pahit getir dalam memimpin hala tuju gerakan mahasiswa di bumi Badawi ini.

Di bawah pimpinannya selaku pengerusi DPMT yang pertama, beliau amat menitikberatkan elemen tarbiyah dan dakwah di kalangan ahli mahupun barisan kepimpinannya. Pembawakan Ustaz Nasaruddin ketika itu ialah ‘Membina generasi Ulama’. Beliau telah mentarbiyah barisan mereka menjadi ulama dan penceramah. Baginya, untuk membentuk ahli mengikut acuan dan kehendak Islam yang sebenar, ia perlu dimulai oleh barisan kepimpinan terlebih dahulu. Maka, beliau telah mewajibkan seluruh barisan kepimpinan berjubah dan berserban selain melatih mereka untuk mampu berceramah dan bercakap di khalayak. Inilah bentuk generasi terawal kepimpinan DPMT.

Sejak DPMT ditubuhkan, markaznya terletak di Kafr ‘Asam. Permulaan pentadbiran di markaz tersebut keadaannya agak dhaif. Serba kekurangan dari segi peralatan dan keadaan fizikal. Penyewaan markaz telah diusahakan oleh genereasi-genarasi terdahulu bertujuan mewujudkan sebuah tempat untuk pelajar-pelajar Malaysia yang berada di bumi tanta ini berkumpul dan berpersatuan. Markaz ini terus kekal digunakan sehingga tahun 1999.

1993
Berbekalkan kesabaran dan ketabahan yang Allah kurniakan, DPMT dipimpin oleh generasi seterusnya dengan pimpinan yang baru iaitu Ustaz Ahmad Rashidi bin Marzuki. DPMT bertambah mantap dan kukuh apabila menerima kedatangan pelajar baru seramai 179 orang untuk sesi pengajian 1993/94. Pada tahun ini telah diadakan Hari Persaudaraan Islam dengan menjemput penceramah khas daripada Jordan. Pada tahun ini juga, DPMT telah mengadakan majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-36 peringkat Tanta. Walaupun DPMT baru berusia setahun jagung, namun atas dasar kesedaran dan semangat sebagai rakyat Malaysia, majlis ini diadakan bagi menerapkan kefahaman Islam di dalam menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya.

1994
Pada sesi kepimpinan 1994/95, DPMT telah menunjukkan satu perubahan baru di bawah pimpinan Ustaz Abdul Ghani bin Abdullah melalui tema 'Membina Azhari Harapan Ummah'. Menerusi majlis Ucapan Dasar YDP DPMT, pelbagai program akan disusun untuk melahirkan generasi azhari harapan yang mempunyai sahsiah dan kualiti yang diharapkan oleh ummah.

14 November - Mengadakan Malam Jalinan Kasih. Tema pada tahun tersebut ialah ‘Memupuk Perpaduan Azhari’.

24 Disember - Mengadakan Malam Ledakan Perdana 2.

1995
DPMT merupakan antara pencetus idea menjalankan kelas tambahan sebelum menghadapi peperiksaan. Kelas tambahan tersebut dinamakan Kelas Bimbingan Madrasatul Ilm (KBMI). Kelas tersebut berberanan penuh dalam memberikan kepada ahli persediaan yang secukupnya sebelum mengahdapi peperiksaan. Ahli-ahli senior akan diminta untuk mengajar selain diadakan study group sesama meraka. Kelas-kelas KBMI yang dianjurkan ini akan mengadakan ujian bulanan kepada ahli. Ini bagi memastikan ahli benar-benar menguasai matapelajaran yang dipelajari benar-benar difahami dan dikuasai. Antara program yang telah menjadi rutin tahunan DPMT ialah program Sukan Mahabbah Keluarga Tanta (SMKT).

21-22 Januari - Mengadakan program Nadwah Islamiyyah kali pertama bertemakan ‘Mempertahankan Institusi Ulama’. Program ini dianjurkan oleh Lajnah Dakwah DPMT.

30 Mei - DPMT telah menerima kunjungan daipada pihak Malaysia. Sempena menyambut kedatangan tersebut, pihak DPMT telah mengadakan Ramah Mesra bersama YAB Dato’ Dr. Yusuf Noor.

23 Jun – DPMT telah mengadakan promosi peringkat Tanta sempena konvensyen PMRAM. Ini bagi memastikan sambutan daripada ahli DPMT terhadap konvensyen tersebut mencapai tahap yang dikehendaki.

13-14 September – DPMT telah mengadakan program Himpunan Mahasiswa Tanta (HIMPIT) yang bertemakan ‘Membina Azhari Harapan Ummah’. Antara pengisian yang diadakan di dalm program berkenaan ialah forum, nasyid, ceramah dan pidato.

13 November -Menganjurkan Malam Kecemerlangan Tanta di bawah Unit Kebajikan dan Sambutan DPMT. Program ini diadakan bertujuan memberikan penghargaan kepada ahli-ahli yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan yang lalu. Malam tersebut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan beberapa slot lain.

30 November – DPMT telah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-3.

1996
6 Januari – DPMT menganjurkan program Munaqasyah Ucapan Dasar YDP DPMT.

11 Januari - Mengadakan rehlah ke Port Said.

13 Januari - Mengadakan Seminar Motivasi Pembelajaran.

14-16 Januari - Menjalankan program Sukan Muhabbah Keluarga Tanta (SMKT).

6 Februari - Mengadakan Forum Perdana Badar Kubro. Selain itu DPMT mengadakan malam di ambang Ramadhan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

20 Februari - Menganjurkan ‘Salam Dari Perantauan’ sempena menyambut Adidilfitri. Telah menjadi kelaziman bagi ahli DPMT menunaikan solat sunat Aidil Fitri beramai-ramai di Dewan Dzira’ah. Di sini hanya mengumpulkan pelajar Malaysia.

24 Disember - Mengadakan malam Cetusan Qiyadah Ummah bertemakan ‘Azhari Rabbani Teras Kualiti’.

1997
27 Januari – Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-4.

9 Februari - Mengadakan Tautan Kasih Aidil Fitri.

18 Februari - Mengadakan malam Ucapan Dasar Pengerusi.

2-5 Mac - Mengadakan rehlah Sinai.

15 Mac - Mengadakan malam Sinar Kesyukuran 1.

17 Julai - Mengadakan perasmian KBMI.

31 Julai - Pelancaran Tabung Markaz dan menganjurkan majlis sambutan Maulidur Rasul.
Tradisi barisan kepimpinan DPMT mengadakan ziarah atau jaulah ke rumah ahli merupakan salah satu daripada tradisi yang telah dimulakan. Pada tahun ini telah diteruskan Jaulah Mahabbah AJKT ke rumah ahli.

8-10 Ogos - Mengadakan program Ihtifal Sanawi DPMT ‘97 bertemakan ‘Akhlak Mulia Masyarakat Jaya’. Diadakan majlis makan-makan, nasyid, pidato dan lain-lain.

18 September - Mengadakan Rehlah Ruhiyyah sekitar Kaherah.

27 September - Mengadakan Majlis Wada’.
Mengadakan sukan mahabbah tanta 97. Ada pingpong, bola tampar, bola sepak, badminton dan lain2. Antara lain pancing botol dan tarik tali.

14-31 Ogos – DPMT menghantar delegasi ke PMHK PMRAM ’97.

2 Oktober - Pembentangan Kertas Kerja Ekonomi.

3 Oktober – DPMT mengadakan Madrasah Tamhidiah 3.

7 Oktober - DPMT mengadakan Seminar Penulisan dan Penterjemahan beserta perasmian Maktabah al-Qura’.

9 Oktober - Mengadakan program Dialog Umum bersama AJKT DPMT.

12 Oktober - MAT kali ke-5 dan telah mengadakan Malam Ucapan Dasar YDP DPMT 97/98.

20 Oktober - Mengadakan malam sinar kesyukuran 2 di dewan dzira’ah. Ada pentomen, nasyid dan dikir barat.

2 November - Mengadakan ‘Malam Suai Kenal’ bersama para pelajar baru.

6 November - Mengadakan hari Pengukuhan Ukhuwah.

13 November - Munaqasyah Ucapan Dasar Pengerusi dan pelancaran Halaqah Tahfiz. Tema ketika itu ialah ‘Mahasisawa Cemerlang Manifestasi Perpaduan”.

28 November - Forum perdana Isra’ Mi’raj dan Malam Munajat. Selain itu, DPMT telah menganjurkan Seminar Lambaian Kaabah dan Kursus Pengurusan Jenazah.

11 November - Mengadakan Kejohanan Bola Sepak Kamsis.

1998
3-5 April - Mengadakan Himpunan Kasih Mahasiswa Tanta (HIKMAT 98). Diadakan majlis perasmian, forum perdana dan bazar.

DPMT menghantar kontijen menyertai kejohanan PMHK ’98.

2 September - Mengadakan Haflah PMHK 98 sempena penghargaan ahli yang telah mengharumkan nama DPMT di PMHK. Selain itu telah menjalankan Majlis Wada’ bagi para graduan DPMT.

8 Ogos - PMRAM mengadakan Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa kali kedua dan dilaksanakan di Panorama Umi Kalsom di Mansurah. DPMT telah menghantar perwakilan ke konvenyen tersebut.

19 Oktober - Penyusunan kembali struktur pentadbiran DPM. Timbalan Pengerusi sebagai Ketua Unit Tugas-tugas Khas dan mewujudkan Ketua Unit Dakwah. Selain itu, telah membahagikan Ketua Unit Perumahan dan Hal Ehwal Kemasyarakatan kepada unit yang berasingan.

1999
Pada tahun 1999, kepimpinan pada masa itu merasakan lokasi markaz bagi pelar-pelajar Malaysia perlu berpindah. Antara faktor dalaman yang berlaku ialah keadaan fizikal markaz sedia ada kecil, sempit dan masalah system kumbahan. Faktor luaran pula ialah kenaikan harga sewa markaz oleh tuan rumah dan pertambahan pelajar baru yang mendadak pada sesi 1997/1998. Pada sesi tersebut jumlah ahli dan pelajar Malaysia yang ada di bumi Tanta mencecah 500 sehingga 600 orang.

Ketika kepimpinan sesi 1999/2000, mereka merasakan perlunya inisiatif mencari lokasi baru untuk markaz pelajar-pelajar Malaysia. Akhirnya setelah bersusah-payah mencari mereka menemukan tempat dan imarah yang sesuai dijadikan sebagai markaz. Akhinya pada sesi itu juga, markaz DPMT telah berpindah ke Ma’rad yang terletak di barat daya daripada persimpangan Kafr ‘Asam.

Pada waktu tersebut, pembangunan di kawasan Ma’rad tidaklah seperti sekarang. Di kawasan sekitar kawasan tersebut pada peringkat permulaan, hanya terdapat sebuah imarah sahaja yang baru dibina. Imarah tersebut imarah yang ingin disewa untuk dijadikan makraz baru. Itu sahajalah satu-satunya imarah yang ada dan masih belum sempurna binaannya. Bahagian yang telah berdinding hanyalah bahagian bawah. DPMT telah mengadakan Kejohanan Bola Sepak Piala Kamsis dan Hari Anugerah Kecemerlangan.

2000
Maka, sebarang program yang melibatkan ahli yang ramai seperti program-program mega, DPMT terpaksa menggunakan tingkat yang paling atas dengan memasang khemah. Antara dugaan yang terpaksa ditempuhi ialah khemah yang dipasang acapkali tumbang akibat tiupan angin.

Soal keselamatan dan penglibatan Amin Daulah dengan DPMT bukanlah baru berlaku. Ianya telah wujud sejak awal kedatang pelajar Malaysia ke Tanta. Pengajian-pengajian tafaqquh di markaz seringkali dikunjungi oleh pihak mereka. Mereka akan duduk sekali mendengar dan melihat perjalanan kelas sehinggalah selesai. Dari situ tuan rumah telah mula menerima sedikit tekanan daripada pihak Amin Daulah.

Kepimpinan DPMT sangat menekankan soal tarbiyah dan ukhuwah. Maka, Program Muzakarah Berkelombok kepada semua ahli amat dititikberatkan. Pelbagai cara dan kaedah digunakan bagi memastikan ahli-ahli yang terlibat dalam muzakarah tersebut lahir sebagai pelajar yang bagus akhlaknya dan cemerlang akademiknya. Perbincangan dan keterlibatan sesama ahli muzakarah dicanang dan dilgunakan sebaik mungkin. Akhirnya berkat daripada kesungguhan tersebut, pelbagai kertas kerja telah dapat dihasilkan melalui kumpulan-kumpulan muzakarah.

Program untuk menyambut pelajar baru diadakan saban tahun. Ia berfungsi sebagai peneganlan awal kepada mereka disamping merintis kepada wujudnya bi’ah solehah selaku seorang Azhari di bumi Tanta. Program tersebut dinamakan Majlis Keraian Mahasiswa Baru (KEMBARA). Selain itu, kepimpinan pada sesi ini telah merancang menjadikan hari Khamis sebagai hari Ilm dan Thaqafi dan hari Jumaat sebagi hari Ihya’ Lughah ‘Arabiah. DPMT telah menganjurkan Majlis Ribath dan Anugerah Kecemerlangan (MERAK) Tanta dan Sukan Muhibbah Keluarga Tanta (SMKT).

2001
Sekitar sesi 2001/2002, pada waktu pimpinan Ustaz Mohd Asri sebagai Pengerusi DPMT, Kelab Nadi UMNO cawangan Tanta telah ditubuhkan. Pengaruh Nadi UMNO pada ketika itu memberangsangkan kerana mendapat bantuan dan dorongan daripada pimpinan UMNO di Malaysia. Sekitar sesi itu juga, Dato’ Abdul Hamid bin Othman, penasihat agama kepada Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri telah datang berkunjung ke Tanta. Pada ketika itu dikatakan sesiapa yang menyertai Kelab Nadi UMNO mereka akan diberi wang saku sebanyak LE 1000. Selepas itu, Dato’ Abdul Hamid bin Othman berserta Dato’ Nakhaie sering berkunjung ke Tanta. Sekitar sesi tersebut juga, tersebar tariqat yang bertentangan dan tidak diiktiraf oleh Al-Azhar iaitu tariqah Brahimiah.

12-14 Februari – Sukan Muhibbah Keluarga Tanta. Pada waktu tersebut, motto DPMT adalah ‘Kebersamaan Agenda Ilmuan. Selain daripada bertujuan merapatkan ukhuwah sesama ahli, SMKT juga berfungsi melahirkan atilt yang mampu memberikan kejuaraan di dalam PMHK PMRAM.

30 September – Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-9.

2002
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, DPMT meneruskan program yang bersifat membina perpaduan dan kesatuan sesama ahli. Dalam meraikan ahli yang bukan sahaja minat kepada program berbentuk thaqafah dan tarbiyah secara langsung, DPMT terus merancang dan melaksanakan program yang meraikan semua ahli.

22-23 Jun - Kejohanan bola sepak piala EXCO dalam melahirkan jaguh-jaguh bola sepak di dalam kejohanan-kejohanan mega PMRAM. Disamping itu, DPMT meneruskan program Minggu Mahabbah Keluarga Tanta (MMKT). Pada sesi ini, DPMT telah merangka dan merancang mewujudkan Nadi Ukkaz cawangan Tanta di bawah seliaan Unit Pengetahuan dan Persekolahan. Pada tahun ini juga DPMT meneruskan program Anugerah Bakti dan Ilmiah (ABADI).

2003
DPMT meneruskan program-program dalam menyampaikan matlamat dan objektif persatuan. DPMT telah meneruskan program Jamuan Berbuka Puasa, haflah Kesyukuran dan Kembara ke Selatan Sinai. Pada sesi 2002/2003 ini, DPMT telah menganjurkan program Karnival Antarabangsa.

2004
DPMT meneruskan agenda meninggikan syiar Islam melalui berpersatuan. Kepelbagaian dan idea baru terhadap program yang dijalankan oleh DPMT sangat diberi penekanan. Ini kerana, dalam menyampaikan dakwah kepada ahli, manhaj yang digunakan mestilah tidak kelihatan statik tanpa sebarang pembaharuan. Semasa awal kenaikan barisan kepimpinan yang baru, DPMT telah menganjurkan Malam Bicara Perdana (MBP). Umumnya program ini bermatlamat memperkenalkan barisan kepimpinan yang baru dan mendengarucapan serat manifestasi pembawakan kepimpinan pada sesi tersebut.

8-14 Mac – DPMT telah mengnjurkan program mega yang dinamakan The Summit Union of malaysian Student In Tanta. Ia lebih dikenali dengan panggilan (TRANSIT 2004). Konsep pembawakan program ini adalah dalam membina jatidiri selaku mahasiswa Islam Khusunya dan status Azhari amnya dalm segala langan kehidupan. Pelbagai slot diadakan seperti pembentangan kertas kerja, forum, diskusi kitab, ceramas, demonstrasi, bazar dan sebagainya.

14 Jun – Mengadakan Ceramah Perdana yang bertajuk ‘Maza Ba’da Imtihan’.

DPMT telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Exco (Futsal) kali kedua. Pada tahun ini juga, DPMT telah menganjurkan rehlah ke Perlabuhan Said atau dikenali sebagai Port Said. Selain itu, Perhimpunan Kemuncak Mahasiswa Tanta telah dijalankan dalam mewujudkan semangat perpaduan dan kesatuan yang lebih kukuh. Objektif program ini tidak hanya berprogram, tetapi dalam lengkah mewujudkan persekitaran ‘Satu Fikrah Satu Amal’. DPMT telah menganjurkan Anugerah Bakti dan Ilmiah (ABADI) untuk memberi penghargaan kepada ahli yang banyak memberi seumbangan kepada DPMT dalam berprogram dan bersama-sama dalam mencapai misi dan visi PMRAM. ABADI juga adalam salah satu platform memberikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada ahli yang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang mereka lalui. Kejohanan Bola Sepak Piala Kamsis (Kamsis merupakan singkatan bagi 'Kampung Mahasiswa') telah diadakan.

Pada sesi 2003/04 ini, hasil daripada usrah yang dijalankan aktif dan komitmen yang diberikan oleh para naqib dan ahli, akhirnya DPMT telah berjaya menghasilkan sebuah pengumpulan penulisan ilmiah yang dinamakan Monograf Andalus II Tanta. Penghasilan buku ini sangat menarik pehatian pelajar ahli PMRAM keseluruhannya kerana pada ketika itu masih kurang penulisan dan penghasilan penulisan dan kajian ilmiah oleh BKAN mahupun DPMT. Penghasilan monograf ini lebih melambangkan kepada kejayaan pembawakan usrah yang telah mencapai matlamat dan objektifnya. Selain itu, DPMT telah mengadakan Seminar pengajian Ijazah Lanjutan dalam memberi pendedahan kepada ahli yang mahu meneruskan pengajian ke pringkat yang lebih tinggi di bumi Mesir.

2005
Pada tahun ini, DPMT telah meneruskan program mega TRANSIT ’05. Pada tahun ini, TRANSIT telah cuba membawa satu kelainan dengan mengadakan Forum Interaksi di Nusantara. Ahli panel yang dijemput bukan hanya daripada warganegara Malaysia dan ahli DPMT, jemputan juga diberikan kepada sahabat Nusantara yang lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan selain daripadanya. DPMT telah menganjurkan XPDC Jelajah Tur Sinai. Pada tahun ini juga, PMRAM mengadakan Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa (SEJAK) kali ke-3 yang diadakan di Nadi Zahabiyah, Mansurah.

DPMT terus melangkah megah dengan mencipta pelbagai sejarah. Telah terbukti, DPMT berjaya melahirkan ahlinya yang berjaya dari sudut akademik, sahsiah dan berpersatuan. Sehingga kini, DPMT menjadi antara cawangan pilihan dikalangan pelajar-pelajar yang hendak melanjutkan pelajaran di universiti Al-Azhar. Pada tahun 2005 sekali lagi DPMT mencipta sejarah apabila menerima kedatangan pelajar perubatan seramai 4 orang dan sekarang jumlah mereka telah bertambah kepada hampir 100 orang. Universiti Al-Azhar cawangan Tanta terdiri daripada Kuliah Quran, Usuluddin dan Syariah. Bagi Kuliah Usuluddin terdapat Jabatan Tafsir dan Ulum Quran, Hadith, Dakwah serta Aqidah dan Falsafah. Kuliah Syariah pula mempunyai Jabatan Syariah Islamiah dan Syariah dan Undang-undang. Manakala bagi mahasiswa perubatan, mereka menuntut di Kuliah Perubatan Universiti Tanta.

2006
Program TRANSIT yang dijalankankan sebelum-sebelum ini telah bertukar nama kepada The Summit Gathering of Malaysian Pearl in Tanta (SMART ’06). Pada tahun ini juga, PMRAM telah mengeluarkan pekeliling penyelarasan kembali perjawatan Ahli Tawatankuasa tadbir (AJKT) DPM. Keputusan yang diambil oleh PMRAM adalah berdasarkan keputusan Homebase bertarikh 12 Februari 2006. Jawatan Timbalan Pengerusi yang sebelum ini merangkap Unit Tugas-tugas Khas telah ditukar kepada Unit Perancang (UPA). Jawatan Timbalan Setiausaha merangkap Unit Kebajikan dan Sambutan telah ditukar kepada Unit Kebajikan dan Tabung Derma (UKTD). Unit Hal Ehwal Kemasyarakatan telah ditukarkan kepada Unit Sambutan dan Rehlah (USR)

Pernah suatu ketika DPMT melalui saat-saat yang sangat getir apabila mengalami krisis kewangan. Pada waktu tersebut DPMT kurang mendapat keuntungan daripada penjualan beras dan akhirnya kepimpinan ketika itu terpaksa mencari alternatif untuk memulihkan kewangan DPMT. Antara jalan untuk memulihkannya, DPMT telah mengeluarkan kad raya dan dijual secara meluas ke seluruh muhafazah dan Badan Kebajikan Anak Negeri. Akhirnya kewangan DPMT kembali pulih apabila mendapat keuntungan dengan penjualan tersebut yang mencecah sehingga RM 30 ribu.

Hari Ini
Di sepanjang sejarah DPMT tiga tahun yang lepas, pelbagai kejayaan yang telah dicapai. DPMT telah lahir sebagai sebuah perwakilan yang disegani kerana telah melahirkan tokoh-tokoh pelajar dan pemimpin. Banyak kejohanan yang dimenangi oleh DPMT di dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh PMRAM seperti PMHK dan bola sepak.

Peluang yang wujud hari ini untuk membentuk gandingan antara pelajar pengajian Islam dan perubatan telah terbentang. Seluruh warga mahasiswa Tanta perlu bersama-sama memperkasakannya dari semasa ke semasa. Integrasi antara kedua bidang ilmu ini bakal melahirkan golongan dwiprofesional kelak dan ianya tidak mustahil. Perkongsian ilmu, tarbiah dan thaqafah perlu digabungjalin bersama agar cita-cita ini tercapai demi memenuhi keperluan dakwah semasa.

Kini, jumlah mahasiswa Malaysia di Tanta telah melebihi 800 orang termasuk mahasiswa/si perubatan. Mereka menginap di enam buah kamsis iaitu kamsis Syarbini, Qalyubi, Nawawi, Baidhawi, Asnawi dan Syarqawi.

Objektif DPMT
• Melahirkan golongan ulama yang mahir dalam organisasi
• Bergerak dalam satu jemaah dengan matlamat yang sama
• Melahirkan kepimpinan yang berthaqafah tinggi
• Merealisasikan tema PMRAM melalui asas-asas yang terkandung di dalamnya
• Melahirkan kepimpinan yang mampu merancang dan memimpin dengan baik

SEENARAI PENGERUSI DPMT SEJAK DITUBUHKAN
1. Hj. Nasruddin bin Hassan (1992-1993)
2. Mohd Rashidi bin Ahmad Marzuki (1993-1994)
3. Abdul Ghani bin Abdullah (1994-1995)
4. Mohd Zawawi bin Abdullah (1995-1996)
5. Mohd Syafawi bin Salleh (1996-1997)
6. Ibnu Muiz bin Supeni (1997-1998)
7. Mohd Razi bin Che Hassan (1998-1999)
8. Mohd Asri bin Mat Daud (1999-2000)
9. Mohd Abdul Nasir (2000-2001)
10. Sanusi bin Fauzi (2001-2002)
11. Azrul Azlan Iskandar Miza (2002-2003)
12. Mohd Nazri bin Rejab (2003-2004)
13. Husni Zaim bin Muhammadan (2004-2005)
14. Mohd Juzaili bin Johan (2005-2006)
15. Mohd Hushaimi bin Hussian (2006-2007)
16. Wan Hadiyuddin bin Wan Mahmood (2007-2008)
17. Mohd Faizol bin Endut (2008-2009)
18. Dzulhilmi bin Roslan (Sekarang)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” [103]

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [104]

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” [105]
(Surah Ali ‘Imran)

*Sejarah ini telah dikemaskini oleh Setiausaha Agung DPMT sesi 2009/2010. Ia dihasilkan daripada menyingkap dan melihat kembali fail-fail lama dan album kenangan simpanan Arkib DPMT. Proses menyingkap kembali sejarah DPMT secara menyeluruh masih dijalankan.

Comments