Liqa' Fuad

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sayyidul ayyam, Jumaat hari penuh barakah. Selawat dan salam kepada Junjungan mulia Muhammad Ibnu Abdullah penghulu Nabi dan Rasul. Ya Allah, semoga Kau terus-menerus melimpahi kami dengan rahmat dan kasih sayang-Mu.

Setelah hampir sebulan lebih 'berehat' menumpukan fikiran, kudrat dan masa kepada peperiksaan, baru sebentar tadi selesai Liqa' Fuad AJKT DPMT. Liqa' yang diadakan setiap minggu ini kebiasaannya dimulai pada jam 11:00 malam dengan membaca surah al-Mulk dan sedikit pengisian sebelum tidur. Selepas memberikan taklifan untuk qiamullail semua pun tidur.

Selepas subuh, kami bersama-sama membaca surah al-Waqi'ah. Liqa' Fuad adalah istilah dalam bahasa Arab yang bermaksud 'perjumpaan hati'. Ia lebih bermatlamat kepada perjumpaan untuk lebih memaut dan meneguhkan ikatan hati antara AJKT. Kemudian, perbincangan serba sedikit program terdekat pun bermula.

Akibat cuti yang agak lama, maka memerlukan lebih tenaga dan tumpuan agar fikiran dan tindakan tidak terus lesu dan lemau. Takut-takut kerja terus menjadi hambar dek masih terkesan dibuai mimpi. Antara program terdekat DPMT ialah Kelas Tafaqquh Fiddin, Kolokium Ilmiuan (Q), Hari Keluarga Tanta, Matruh Siwa dan Perkemahan Musim Panas.

Bila cerita dan berbincang bab program, kepala akan terus berlegar. Antara yang banyak memikir ialah Pengerusi, Timbalan Pengerusi selaku Unit Perancang dan Ketua Unit yang akan menjalan program berkenaan. Penasihat akan banyak memberi nasihat atas pengalaman dan ilmunya dan rakan-rakan yang lain menambah cadangan, kritikan membina dan segala pengalaman lepas yang berguna.

Tiga perkara yang difikirkan dan diperbincangkan apabila menyebut tentang mengadakan sesuatu program iaitu tarikh, pengisian dan gerak kerja.

Sepertimana kebiasaan pengamalan PMRAM, setiap bulan akan dibahagikan minggu tertentu kepada PMRAM Pusat, Cawangan Badan Kebajikan anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM). Penyusunan dan ketetapan tarikh perlulah disusun rapi agar tidak memasuki hak minggu pihak lain selain memastikan tarikh berkenaan sesuai dengan keadaan. Tidak terlalu padat, tidak jatuh pada hari yang menyebabkan kurang sambutan dan bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan perancangan tahunan yang telah dibuat semasa awal sesi.

Pengisian sangat diambil serius. Pengulangan bentuk dan perjalanan program yang sama setiap tahun bakal mengundang 'suara-suara' belakang. Ahli kebiasaannya mahukan perubahan dalam sesebuah program. Walaupun tidak menjalankan program baru, sekurangnya mereka mahukan bentuk perjalanan dan penyampaian di dalam program berkenaan ada wajah dan nafas baru. Pengekalan tradisi sangat perlu untuk menjamin objektif dan matlamat program selain menyadurkan dengan elemen kreatif dan 'lain-dari yang lain'.

Selepas kedua perkara awal tadi telah ada kata putusnya, maka gerak kerja perlu dirancang dan dilaksanakan. Pastinya gerak kerja perlu selari dengan keperluan dan tuntutan pengisian. Kebiasaannya, pemusatan arahan diperlukan bermula daripada keputusan daripada perjumpaan atau menyuarat. Keputusan kemudian akan dibentangkan di dalam menyuarat program untuk ditetapkan dan diagihkan gerak kerja unit program. Sebarang perubahan terkini yang dianngap penting dan bersifat segera akan diberikan oleh Pengerusi atau Timbalannya tanpa melalui dua platform tadi (dari kalangan AJKT) terus kepada Ketua Unit. Perubahan tersebut diberitahu kemudian pada perjumpaan dan mesyuarat akan datang.

Bila bermula balik waktu program ini, otak perlu ligat dengan perancangan, penyusunan dan perlaksanaan. Urusan peribadi, urusan kawan-kawan, urusan umum dan urusan persatuan perlu diseimbangkan. Pastinya semua urusan tersebut perlu dirancang baik dan perjalanannya supaya tidak melanggar kehendak dan keperluan urusan dengan Tuhan.

Bak kata Penasihat di akhir liqa'. Peperiksaan telahpun berkahir. Kepala sepatutnya tak perlu runsing dok mikir tentang peperiksaan. Tak jadi. Usaha belajar dan mengulangkaji telah selesai. Tinggal sahaja berdoa dan terus berdoa disamping bertawakkal. Berdoa boleh dilakukan setiap masa dan paling kurang lima kali sehari. Persatuan ini juga keperluan. Bertujuan menyebarkan dakwah Islam dan memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan sebaik mungkin. Ia kelak ditanya di akhirat.


"Mengapa kami tidak akan bertawakkal kepada Allah padahal Dia telah menunjukkan jalan kepada kami, dan kami sungguh-sungguh akan bersabar terhadap gangguan-gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah saja orang-orang yang bertawakkal itu, berserah diri." (Surah Ibrahim 14:12)

Liqa' berakhir biasanya pada waktu dhuha. Cumanya hari ini tiada sarapan. Erm, lapar lah pulak..

Hidup dalam mencari..

Comments