Manusia dan Dirinya (3)

Manusia,
Jauhilah gambaran fantasi,
Hiduplah dalam realiti,
Jauhilah tipudaya dunia,
Hiduplah dalam hakikat.

Manusia,
Usahlah berfantasi dengan Tuhanmu,
Idam kelak peroleh rahmat,
Andai nafsu masih menjadi raja,
Dalam seketul darah bernama hati.

Manusia,
Usahlah berfantasi dengan Tuhanmu,
Kelak peroleh nikmat syurga,
Andai keperitan mujahadah belum kau lalui,
Dalam paksaan mengubah diri.

Manusia,
Usahlah berbicara aib saudaramu,
Menjadikan kau berasa sempurna,
Sedangkan aib dirimu penuh kehitaman,
Jangan sehingga Tuhan yang membuka.

Manusia,
Mulut yang manis usah kau biasakan,
Menutupi kekurangan menzahirkan kebagusan,
Sedangkan ia bukan dari kejernihan hati,
Hanya mahu mengemis pandangan sementara.

Manusia,
Peliharalah hati dari syak wasangaka,
Sunnguh, banyaknya batil dari kebenaran,
Didiklah sikap berlapang dada,
Agar kau terhindar dari kebusukan jiwa.

Manusia,
Jangan sesekali kau menipu Tuhan,
Bukan kau untuk berlakon terhadap-Nya,
Tipu daya itu kelak memakan dirimu kembali,
Menerima azab tiada henti tiada sudah.

Manusia,
Didiklah sungguh-sungguh hatimu,
Didiklah sungguh-sungguh imanmu,
Didiklah sungguh-sunnguh nafsumu,
Agar ia benar-benar selari tuntutan Tuhan,
Jauh dari tipuan syaitan,
Agar ia benar-benar mencapai bahagia,
Jauh dari kegusaran dan kegelisahan.


Manusia,
Hiduplah bersama naungan Ilahi,
Hadirikan jiwa bersama roh para Nabi,
Dalam melangkah di permaidani duniawi,
Janganlah kau tergelincir lagi,
Janganlah kau terjatuh lagi,
Lihatlah dalam-dalam siapa dirimu sendiri,
Dan siapa pula pemilik nyawamu ini,
Yang kini sedang berdegup menunggu henti..

Hidup dalam mencari..

Comments