Forum Bait Muslim: Born To Love

Malam tadi, di program EMINENT '10 Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta telah diadakan Forum Bait Muslim yang bertajuk 'Born To Love'. Pada saya saban tahun, ianya antara slot yang paling mendapat sambutan di kalangan pelajar pengajian Islam mahupun perubatan. Malah pelajar daripada muhafazah lain juga ada yang turun semata-mata mahu mengikuti forum ini.

Pada saya, ia suatu kesempatan yang sangat baik kepada kami menceduk ilmu kekeluargaan Islam ini sebanyak mungkin. Pelbagai perkara yang diperbincangkan di dalam slot berkenaan. Semasa pusingan pertama, ia lebih menjurus kepada persoalan umum yang berkaitan dengan tema program pada tahun ini iaitu 'Bingkisan Sirah Membentuk Fikrah'. Perbincangan mengenai bagaimana bermulanya alam rumah tangga bagi junjungan mulia Muhammad SAW bersama isterinya yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Faktor usia tidak mengahalang Siti Khadijah memulakan risikan terhadap Nabi Muhammad SAW. Baginya ahklak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa menguruskan barang dagangannya cukup memberi keyakinan kepada untuk berkongsi hidup bersama kekasih Allah ini.

Memang layaklah Siti Khadijah digandingkan dengan Nabi Muhammad SAW. Manakan tidak, seorang bangsawan terkenal daripada keturunan mulia dijodohkan dengan manusia yang termulia di muka bumi ini. Terpikatnya Siti Khadijah terhadap Nabi SAW bukan kerana lain melainkan akhlak Nabi SAW yang sangat mulia. Atas kehendak inilah yang mendorongnya merisik Nabi SAW lantas mengahwininya.

Siapakah Siti Khadijah sehingga menjadi perempuan pertama di dalam Islam? Jarak umur yang sangat ketara antara mereka berdua tidak mengahalang kepada cinta dan kasih sayang. Dialah tempat Nabi melepaskan kegentaran hatinya ketika pulang daripada Gua Hira'. Dia jugalah yang membelanjakan seluruh hartanya semata membantu dakwah Nabi SAW. Siti Khadijah merupakan wanita yang banyak memberikan zuriat kepada Nabi SAW. Tempat nabi mengadu kesedihan, berkongsi masalah, mencari ketenangan dan memproleh belaian kemesraan.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ke atas para isteri baginda yang mulia, kaum kerabat baginda, para sahabat baginra, ahli bait selepas baginda. Seluruhnya para tabi' dan tabi'iin sesudah baginda.

Nabi SAW sebagai ketua negara, ketua angkatan tentera, ketua kepada murabbi dan pendidik hati masyarakat, tidak pernah menjadikan status tersebut sebagai bahan menjadikan kekuasaan diktator di dalam rumahtangga. Nabi Muhammad sama sekali tidak pernah memukul para isteri baginda. Sehinggakan baginda sanggup tidur di luar rumah hanya kerana tidak mahu mengejutkan dan mengganggu Saidatina Aisyah RA yang sedang tidur di dalam rumah. Nabi SAW juga sangat pemurah dan ramah terhadap isteri-isteri baginda. Bijak dalam mengawal perasaan cemburu para isteri baginda dan sangat adil dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.


Inilah manusia ideal yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada umat akhir zaman. Pengurniaan terbaik dan teragung berbanding umat-umat terdahulu. Indahnya Islam, namun atas kelemahan manusia, tidak mampu menjunjung keindahan ini. Kita umpama tidak mampu membawa kilauan emas yang sangat menyinari mata walaupun itulah yang sangat kita idamkan. Kilauan itu tidak sanggup dihinggapi cahayanya. Akhirnya hanya akur dengan kilauan perak, gangsa dan tembaga. Mudah-mudahan kilauan ini juga mempu menyamai dengan nilai kilauan emas Nabi Muhammad SAW disebabkan tingginya tawakkal kepada Allah dan meredhai setiap ketentuan Allah dengan penuh mengharapkan rahmat daripada-Nya.

Banyak lagi andai kita mahu senaraikan. Namun, hanya ini yang termampu serba sedikit.

"Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam, hamba-Mu, Nabi-Mu, Rasul-Mu, Nabi yang Ummiy dan ke atas seluruh para sahabat baginda dan salam kesejahteraan dengan kadar keagungan zat-Mu pada setiap masa dan ketika".

Hidup dalam mencari..

Comments