Burung Bertasbih

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Q 34:10

Tumbuhan Menghiasi

"Dan Kami lihat bumi itu kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah." Q 22:5

Kejadian Burung

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia maha Melihat segala sesuatu." (Q 67:19)

Kepahlawanan Kuda

Maka ia (Nabi Sulaiman AS) berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan. Q 38:32"

Serigala

Berkata Nabi Ya'qub AS: "Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu berlengah daripadanya." Q 12:13

Sunday, February 21, 2010

Alangkah Indahnya Hidup Ini

Qasidah Al-Muhammadiyah



Ya Allah, sungguh indah puji-pujian ke atas kekasihmu Muhammad Ibnu Abdullah.

Sungguh, masih kurang aku berselawat ke atas Kekasih-Mu ini,
Sungguh, masih kurang aku mengikuti sunnah Kekasih-Mu ini,
Sungguh, masih jauh sikit pengorbananku untuk agama yang dibawa oleh Nabi-Mu ini,
Sungguh, manakah kedudukan aku di sisi-Mu dan di sisi Nabi-Mu itu,
Sungguh, tiap hari aku cuba menjadi semakin dekat dengannya,
Sungguh, pernah ku mimpikan manzilah Nabi-Mu itu,
Sungguh, ku yakin berseban hijau dan bercahaya itu manzilahnya,
Sungguh, sangat ku berharap aku bersamanya,
Bersama ahli baitnya, sahabatnya dan semua yang menjadikannya ikutan diri mereka,
Sungguh, aku merinduimu,

Ya Rasulallah..

Hidup dalam mencari..

Saturday, February 13, 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah


Merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah bagi non muslim di Malaysia, Markaz Pengumpulan Kajian & Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL) mengutarakan pandangan para ulama' berkenaan isu tersebut dan syor dari MANHAL.

1. Secara umum, para ulama telah terbahagi kepada dua pandangan.
• Pandangan pertama: Membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah. Pandangan ini bersandarkan dengan firman Allah di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud : “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)” Firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 86-87 yang bermaksud: “Tanyakanlah lagi siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai arasyh yang besar? (86) Mereka akan menjawab (semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah (wahai Muhammad) mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (87) “Para ulama empat mazhab menyatakan dalam masalah sumpah bahawa non muslim hendaklah bersumpah dengan nama Allah.” (Dr. Wahbah Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu 8/136)



• Pandangan kedua: Tidak membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah berdasarkan hujah-hujah berikut;

Nama Allah mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qarafi. (rujuk Al-Furuq 3/111, Mawahib al-Jalil 3/279)

Apabila mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah, ini bakal mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai sifat yang menyalahi akidah muslim. Masalah ini didapati dari apa yang dibahaskan oleh Ulama' mazhab Syafei bahawa haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah (non muslim) kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

“Dapat diambil iktibar darinya (mendedahkan mashaf kepada kehinaan sekiranya dimiliki orang kafir) adalah lebih utama mengharamkan muslim menulis Lafaz Jalalah (kalimah Allah) pada soalan dan jawapan apabila diminta fatwa oleh kafir zimmi.” (Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib 3/314, Hasyiah al-Syarwani ‘Ala Tuhfah Al-Muhtaj 4/230)

2. Secara asasnya, pihak MANHAL bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh non muslim.

3. Namun melihat kepada realiti dan sensitiviti umat islam di Malaysia, MANHAL mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non muslim secara bertulis atas dasar menutup implikasi buruk yang mendatang. Mengutamakan mudarat umum lebih utama daripada melihat maslahat pihak tertentu sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan juga Imam Ghazali.

"Sekiranya dapat dibaiki kemudaratan dan dapat dihilangkan sekaligus maka lebih utama diambil kira kemudaratan umum tersebut (daripada maslahat khusus), Jadi dihalang orang atau pihak tertentu dari mendapat maslahatnya. Ini kerana maslahat yang umum perlu diutamakan daripada maslahat khusus" (Al-Muwafaqat 2/348)

"Dan sangkaan yang menghampiri martabat yakin apabila bersifat umum dan amat besar bahaya padanya (sekiranya tidak diraikan) maka dipandang kecil individu-individu tertentu seandainya dibandingkan dengannya" (Al-Mustasfa 1/424)


4. Sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah, maka syarat-syarat yang ketat mestilah dikenakan demi memastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku. Hukuman yang berat juga mesti dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut. Ini demi memastikan kesucian nama Allah terpelihara dari sifatnya yang Maha Esa.

Sumber: Klik sini.

Hidup dalam mencari..

Friday, February 12, 2010

Kelas Tafaqquh Fiddin Bermula

Assalamualaikum..

Maklumat terkini tentang kelas Tafaqquh Fiddin DPMT 2009/2010.

InsyaAllah akan bermula selepas X-pert Game.

Maklumat tentang kelas seperti berikut:-

1) Isnin, 15/2/2010: KITAB FATAWA MUASARAH DR. ATIYYAH SAQAR. Disampaikan oleh Ustaz Salman Maskuri (Pelajar Master Al-Azhar).

2) Selasa, 16/2/2010: KITAB KAIFA TAKUNU DHOIFAN KHOFIFU AL-ZHIL. Disampaikan oleh Ustaz Basir Mohd (Pelajar Aqidah tahun 4 Al-Azhar merangkap YDP BKPJM).

3) Rabu, 17/2/2010: DISKUSI BUKU FREEMESONRY, ORIENTALISME, KRISTIANISASI. Disampaikan oleh Ustaz Nik Zahran (Pelajar Master Universiti Terbuka Amerika).

4) Khamis, 18/2/2010: KITAB JAUHARAH AL-TAUHID. Disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahran (Pelajar Master Universiti Al-Azhar).

Kelas ini akan bermula pada 9:oo pagi sehingga 12:00 tengahari (sesi pagi) dan 2:00 sehingga 4:00 petang (sesi petang). Kitab disediakan di Bait Izzah, anda perlu membawa duit sahaja. Kelas yang seterusnya akan dimaklumkan kemudian.

Segala perubahan kelas akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Disediakan oleh Saudara Mohd Ilyas bin Yusop, Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan DPMT sesi 2009/2010.

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta
Julang Thaqafah Bakti Dicurah

Hidup dalam mencari..

Saturday, February 6, 2010

Kembara Sinai 2010











Kembara Sinai 2010 - Pautan

Selamat pergi dan pulang ye.. ^_^

Hidup dalam mencari...

Tuesday, February 2, 2010

Piramid Mesir vs Sunway Pyramid

Assalamualaikum.

Segala Puji dan Puja hanya layak kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad SAW, salam sejahtera kepada para sabiqun al-awwalun, ahli Baqi', ahli Badar dan seluruh syuhada' yang mereka sentiasa hidup di sisi Allah SWT.

Malam semalam telah sempat saya habiskan sehingga episod ke 17 The Arrivals. Namun masih tidak kesampaian menghabiskan tontonan saya terhadap episod ini. Selain itu, saya telah mula menonton The Divine Book dan The Secret of Freemasons. Semuanya berkaitan. Agak segan untuk saya menyatakannya kerana pasti di sana ramai yang telah menyempurnakan tontonan mereka terhadap ketiga-tiga dokumentari ini.

Sesiapa yang telah menonton The Arrivals (49 episod), pada saya tidak boleh berhenti dengan apa yang telah mereka tontoni tanpa sebarang susulan secara peribadi atau sebagainya untuk mencari lebih bayak maklumat sebarang perkara yang bersangkutan. Saya telahpun mula menonton secara serius dokumentari ini bersama The Divine Book (10 episod). Daripada keduanya saya menemui The Secret of Freemasons (9 episod) yang benar-benar menarik perhatian saya.

Pengembaraan saya, saya masih teruskan. Bukan hanya terhadap bahan daripada Youtube, namun daripada beberapa web dan e-book yang berkaitan dengan sebarang tajuk dan tontonan saya. (Pastinya fungsi Internet Download Manager) perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Selepas menonton The Arrivals, teringat saya tentang Sunway Pyramid yang saya jejaki beberapa tahun yang lalu. Tidak dinafikan bahawa bermain bowling (sukan kegemaran saya) di sana sangatlah seronok dan selesa. Manakan tidak, ianya digunakan sebagai tumpuan pada Komanwel 1998 yang lalu.

Kali kedua saya ke sana ketika sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaysia antara tahun 2002 atau 2003 (kerana saya benar-benar lupa tahunnya). Namun, yang pasti sebelum tahun 2004 kerana pada tahun tersebut saya tidak ke sana. Masih ingat gelagat seusia saya duduk berkumpul, berbaring bersama lelaki dan perempuan.

Isunya bukan apa yang saya ceritakan tadi, tapi ialah 'piramid'. Saya tidak tahu adakah terdapat elemen Zionis, Freemason dan sebagainya di dalam 'Sunway Pyramid' tersebut. Saya telah bersembang dengan seorang sahabat saya di Malaysia dan dia bersetuju untuk membantu 'melihat-lihat' mengenainya. Kemuncak pada piramidnya tidak ubah seperti ada ruangan untuk 'cahaya mata' terbit seperti binaan yang serupa di Dubai dan beberapa buah negara di Eropah. Apakah ada muslihat disebaliknya? Lihat pada puncaknya. Saya masih tiada jawapan.









"Katakanlah! (Wahai Muhammad) Dialah Allah Yang Maha Esa" (Surah Al-Ikhlas 112:1)

Hidup dalam mencari...

Monday, February 1, 2010

Kembali...

Salam Sejahtera

Syukur ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad SAW. Salam kesejahteraan kepada para syuhada' yang sentiasa hidup di sisi Allah SWT bersama para Nabi dan Rasul.

Sebenarnya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Namun merasakan mahu menulis sesuatu. Sudah agak lama tidak menulis di ruangan blog ini.

Sekadar menulis apa yang terlintas di kepala. Walaupun terlalu banyak isu telah berlaku di sekeliling, di bumi Malaysia, bumi kampus, bumi Mesir dan seantaro dunia. Hanya untuk menulis sesuatu.

Alhamdulillah, untuk fasa satu ini telah selesai pengajian dan peperiksaan. Bagi fasa ini ada lima subjek pengajian. Subjek tersebut ialah:-

1- Ad-Dakhil
2- Mutasyabih Al-Qur'an
3- Manahij Da'wah
4- Hadith Maudhu'i
5- Tauhid

Peperiksaan yang bermula pada 9 Januari yang lalu telah selamat sempurna pada hari ini iaitu 31 Januari. Pastinya sepanjang tempoh tersebut dan tempoh sebelumnya, keseluruhan buku bagi subjek fasa ini telah dikoreksi dengan mendalam. Semakin dibaca dan didalami, semakin merasa indahnya Islam dan betapa Maha Agungnya rahmat yang Allah kurniakan ke seluruh alam melalui perantaraan kekasih Muhammad SAW.

Sahabat yang budiman,

Ilmu Ad-Dakhil membicarakan mengenai unsur-unsur luaran yang bukan daripada sumber agama Islam, masuk meresapi ke dalam ilmu Islam lalu mendatangkan kekeliruan serta menjejaskan nilai keindahan ilmu Islam itu sendiri. Wujudnya dakhil boleh membawa kepada salah faham terhadap Islam. Orang bukan Islam tidak dapat melihat keindahan Islam dan orang Islam tersasar dari merasai kehebatan dan keagungannya.

Mutasyabih Al-Qur'an menerangkan mengenai di dalam Al-Quran terdapat ayat yang didatangkan dalam bentuk yang sama. Kalimah yang sama diulang, frasa ayat yang sama diulang, malah ada ayat yang sama diulang. Pengulangan yang sama dan pelbagai bentuk. Memberi penafsiran yang berbeza dan hikmah yang agung. Pastinya di sana ada nilai ilmu Allah mengapa ianya berlaku sedemikian.

Manahij Da'wah merupakan subjek yang mendalami manhaj atau cara untuk berdakwah. Pada saya, perihal dakwah merupakan sebuah perbincangan yang sangat luas kerana ia boleh berubah mengikut keperluan dan kehendak semasa. Pelbagai konsep dan jalan boleh diaplikasikan asalkan ianya mampu membawa dakwah tersebut mencapai tujuan melalui asas-asas Islam yang sebenar.

Hadith maudhu'i
, subjek yang menyeronokkan. Hadith utama yang dibincangkan adalah mengenai akhlak. Setiap kalimah dalam hadith Nabi Muhammad SAW mengenai akhlak diterangkan secara mendalam. Amat teruja melihat bagaimana ilmu Allah ini dikembangkan melalui penghayatan yang akhirnya menjelmakan keindahan Islam dan rahmatnya ke atas umat manusia sejagat.

Ilmu Tauhid suatu ilmu yang perlu diketahui dan dipelajari. Ia merupakan asas dalam diri seorang Islam. Ibadah tanpa aqidah yang benar menyebabkan amalan tidak diterima dan aqidah tanpa amal tidak membawa sebarang makna. Pelbagai kesangsian yang sengaja ditimbulkan oleh musuh Islam untuk memesongkan orang Islam dari landasan keimanan meraka. Perbincangan mengenai kenabian dan perkara sam'iyyat menjadi subjek utama pengajian tahun 4 Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar cawangan Tanta.

Inilah penerangan secara umum. Semoga di hari mendatang saya dikurniakan Allah untuk berkongsi ilmu yang saya pelajari. Apa yang berada dalam kotak fikiran untuk dikeluarkan tidak mampu ditanggapi dengan pergerakan sepuluh jari tangan ini menaip dan menulis.

Benarlah kata Imam Hassan Al-Banna, kerja kita untuk Islam melangkaui masa yang kita miliki.




Benarkah masa itu milik kita??

Hidup dalam mencari...