Burung Bertasbih

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Q 34:10

Tumbuhan Menghiasi

"Dan Kami lihat bumi itu kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah." Q 22:5

Kejadian Burung

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia maha Melihat segala sesuatu." (Q 67:19)

Kepahlawanan Kuda

Maka ia (Nabi Sulaiman AS) berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan. Q 38:32"

Serigala

Berkata Nabi Ya'qub AS: "Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu berlengah daripadanya." Q 12:13

Saturday, June 13, 2009

Sakitnya Hati...

Sakit hati bukanlah sejenis penyakit yang baru sahaja membiak dan tersebar di kalangan manusia. Malah ia telah tersebar sejak permulaan kehidupan manusia di atas muka bumi ini lagi. Sakit hati yang berlaku di antara anak-anak Nabi Adam AS, Qabil terhadap saudaranya Habil.

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!." Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Maa'idah 5:27)

Semua manusia tidak sempurna. Saya tidak nafikan kadang-kadang diri ini juga ada merasakan sakit hati terhadap sesuatu yang berlaku. Antara ianya berlaku pada waktu kini atau perkara yang telah lepas. Pastinya sebab sakit hati pada orang lain adalah kerana hati itu sendiri yang sakit. Padanlah juga apabila diistilahkan dengan 'sakit hati' bukan?

Banyak buku-buku yang membicarakan masalah hati. Kerana apa? Kerana hati inilah raja bagi tubuh seseorang, manusia. Dialah raja dalam segala tindakan, percakapan, pemikiran, pendengaran, penglihatan dan selainnya.

Kadang-kadang saya gemar membelek-belek buku Bidayatul Hidayah. Dikatakan sekiranya semua buku yang berada dia atas muka bumi ini terhapus, maka cukuplah Bidayatul Hidayah mengembalikan akhlak manusia dan memberi keamanan di kalangan manusia.

Setiap kali membacanya, saya mengakui bahawa diri saya sendiri masih belium mampu dalam erti kata yang sebenar untuk menghayati dan mengaplikasikan apa yang disenaraikan dan disebut oleh Imam al-Ghazali. Bahasanya cukup tinggi dan perlaksanaannya benar-benar memerlukan kepada pemahaman dan persediaan zahir dan batin.

Perasaan sakit hati kepada orang lain adalah berpunca daripada hati kita sendiri yang 'sakit' sebenarnya. Ia merupakan salah satu daripada cabang maksiat. Maka benarlah kata Imam al-Ghazali bahawa untuk membersihkan dan menyucikannya ia memerlukan tindakan yang berterusan (istiqamah).

Mari kita melihat serba sedikit apa yang Imam al-Ghazali ulas mengenai penyakit 'Sakit Hati' ini. Bersesuaian andai saya mengaitkan sakit hati ini dengan perasaan 'hasad'.

Sifat hasad adalah salah satu cabang daripada sifat bakhil. Ini adalah kerana orang yang bakhil tidak mahu memberikan sesuatu yang ada di tangannya kepada orang lain. Dan 'syahih' (bersangatan bakhil) ialah orang yang tidak mahu melihat kurnia Allah atau perbendaharaan Allah yang sebenarnya bukan perbendaharaannya tercurah kepada sesiapa sahaja daripada hamba Allah.

Orang yang hasad ialah orang yang merasa keberatan bahawa Allah mencurahkan nikmat dan kurnia kepada salah seorang di antara hamba-hamba Allah. Sama ada nikmat itu berupa ilmu, harta, kecintaan manusia atau apa sahaja habuan yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya sehingga orang yang hasad itu bercita-cita kalau nikmat Allah itu hilang dari orang lain walaupun ia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada hilangnya nikmat itu. Maka sifat hasad ini merupakan kejahatan yang luar biasa.

Menurut Imam al-Ghazali lagi, orang yang hasad ini sebenarnya sentiasa jauh daripada kasih sayang Allah SWT dan sentiasa berada di dalam siksaan di dunia dan akhirat. Di dunia ini seseoranga yang hasad berasa tersiksa dengan tekanan perasaan keran bila-bila masa Allah SWT selalu mencurahkan kurnianya kepada orang ramai, bahkan kepada kawan-kawan orang yang hasad itu yang ia mengenali mereka.

Allah sentiasa mencurahkan nikmat ilmu, harta dan kedudukan. Maka sentiasa pulalah orang yang hasad itu dalam penyiksaan bila ia melihat kemurahan Allah SWT terhadap orang lain. Maka begitulah keadaannya sehingga akhir hayatnya.

Manakala di akhirat kelak akan menerima azab yang lebih dahsyat kerana seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman selama ia masih belum lagi mencintai bagi seluruh kaum muslimin apa-apa yang ia cintai bagi dirinya sendiri. Bahkan, sepatutnya ia hendaklah bersama dengan perasaan seluruh kaum muslimin baik dalam kesenangan mahupun kesusahan. Ini adalah kerana umat Islam itu bagaikan sebuah bangunan, di mana satu bahagian mengukuhkan bahagian yang lain dan seperti batang tubuh apabila mana-mana anggota berasa sakit, maka penderitaan itu dirasakan oleh seluruh anggaota badan yang lain.

Jadi, apabila engkau mendapati hatimu bukan dalam keadaan yang seperti ini, maka ini bermakna sifat hasad masih wujud di dalam hatimu. Oleh sebab itu, hendaklah engkau berusaha untuk membersihkannya kerana usahanya dalam meninggalkan penyakit hati ini adalah lebih penting daripada engkau menyibukkan diri dalam mendalami ilmu furu' (ilmu fiqh yang bersifat cabang dan secara terlalu terperinci) yang ganjil-ganjil dan mendalami masalah-masalah yang dikhilafkan oleh para ulama.


video

Inilah Hati by Xifu.

Sebenarnya sangat susah untuk seseorang membersihkan hatinya daripada segala sifat cela. Perasaan tidak puas hati, sentiasa orang lain sahaja yang salah, dia sahaja yang betul, merupakan bibit-bibit awal penyakit hati ini. Tiada jalan lain melainkan jalan mujahadah dan istiqamah dalam jalan tersebut.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang. (Surah al-A'la 87: 14-15)

* Saya perolehi video ni daripada youtube. Lebih kurang setahun yang lalu. Tapi bila mencarinya kembali di youtube, tak jumpa-jumpa. Entah ke mana lah ia menghilang...

Hidup terus mencari dan menanti...

Friday, June 12, 2009

Kemalangan Pelajar Perubatan Kaherah

Kaherah, 11 Jun - 5 pelajar perubatan Kaherah terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari Ain Sokhna selepas Maghrib malam semalam. Tujuan asal mereka ke sana untuk meninjau tempat sempena Rehlah Gen6 28 Jun ini.

Kenderaan yang dinaiki mereka diceritakan terbabas sewaktu cuba memotong sebuah lori akibat hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik. 3 mangsa yang berada di bahagian belakang cedera parah.

Allahyarham Muhammad Ammar b Zulkifli, meninggal dunia di tempat kejadian manakala 2 lagi cedera parah. Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Suez Al-Am sebelum dihantar ke Hospital Kasr El Ainy kerana kekurangan kemudahan.

Abdul Rahman b Ramdzan dilaporkan telah sedarkan diri manakala Akram Abdul Kadir masih koma. Abdul Rahman patah lengan kanan, dan Akram didapati mempunyai darah beku di bahagian otak. Kedua-dua mereka dimasukkan ke bilik pembedahan jam 8 pagi tadi.

Jenazah Ammar tiba di Hospital Zahra' Abbasiah pagi tadi untuk diuruskan. Solat jenazah akan diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas Zohor nanti. Allahyarham akan dihantar pulang ke Malaysia esok pagi. Mereka yang mempunyai sebarang hutang piutang diharapkan dapat menuntut daripada waris Allahyarham dan dihalalkan segala salah dan silap.

2 lagi mangsa, Muhamad Fitri Tokiran dan Saif Jamaluddin hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang. Saif masih ditahan di balai polis Suez untuk soal siasat dan akan dibenarkan pulang ke Kaherah tengah hari nanti - mediaPERUBATAN

* Walaupun saya memang langsung tidak mengenali saudara Ammar, tapi apabila mendengar berita kematiannya, terasa benar-benar pilu dan sedih. Bagaimana rasanya apabila seseorang rakan yang sangat rapat dengan kita, senang susah bersama, sedih dan gembira bersama, meninggalkan kita. Meninggalkan sahaba-sahabat yang lain. Pastinya, tiada kata yang terucap. Kenangilah dan berbaktilah sebaik mungkin dengan sahabat-sahabat kita selagi mereka masih berada di sisi kita. Benar-benar pilu apabila ada rakan yang meletakkaan lagu 'Kau Sahabat Kau Teman' daripada kumpulan Hijjaz di blognya.

Salam Takziah kepada ahli keluarga Ammar dan seluruh sahabat yang mengenalinya.

Al-Fatihah...

Wednesday, June 10, 2009

Orang Yang Baik Akhlaknya

Dan janganlah engkau bersahabat dengan orang yang jahat perangainya, iaitu orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika ia dirangsang oleh nafsu syahwatnya. Dan Saidina 'Alqamah telah menghimpunkan segala akhlak yang baik dalam wasiatnya kepada anaknya ketika ia hendak mati.

'Alqamah berkata:

"Wahai anakku! Apabila engkau mahu bersahabat dengan seseorang, maka buatlah persahabatan dengan orang yang;

1- Apabila engkau berkhidmat kepadanya, maka ia akan memelihara akan dikau,

2- Apabila engkau bersahabat dengannya, maka akan bertambah nilai dirimu,

3- Apabila engkau ditimpa kesusahan, ia akan turut sama menanggung kesusahanmu,

4- Apabila engkau menolong akan dia, nescaya ia akan membalas kebaikanmu,

5- Apabila ia melihat akan kebaikan daripadamu, nescaya mengambil kira dia akan ia,

6- Apabila ia melihat akan dirimu kejahatan, nescaya menutup dia akan ia,

7- Apabila engkau berkata, nescaya membenarkan ia akan perkataanmu,

8- Apabila engkau mengusahakan akan sesuatu perkara, nescaya menolong ia akan dikau,

9- Apabila engkau berselisih dengannya pada sesuatu, nescaya melebihi ia akan dikau."


Dan berkata Saidina Ali bin Abi Talib RA:

"Saudaramu yang sebenarnya ialah orang yang selalu menolongmu (di waktu senang dan susah) dan ia sanggup berkorban kerana memberi manfaat kepadamu dan ia sanggup memecahkan (menyelerakkan) segala urusannya kerana menolong engkau dalam menghadapi bala dan ujian."


Dipetik daripada kitab Bidayatul Hidayah.

Hurm...

Hidup dalam mencari...

Sunday, June 7, 2009

كيف نتعلم الإعراب : طريقة ملونة مبتكرة

Sebagai seorang pelajar azhari, perkara yang paling utama ialah pengasaan bahasa Arab. Ini kerana sebahagian besara silibusnya adalah berbahasa Arab. Selain pelajar azhari, pelajar perubatan di bumi Mesir juga tidak lari daripada keperluan kepada pengausa bahasa Arab. Pelbagai cara perlu dicari dan dipraktikkan agar ianya berkesan dan mampu membatu pelajar tersebut dalam pengajian dan komunikasi mereka.

Sebuah buku yang patut dimiliki oleh setiap pelajar yang ingin mendalami bahasa Arab ialah Kaifa Nata’allamu al-I’rab, Thariqatu Mulawwanatu Mubtakiratu (Bagaimana Mempelajari I’rab, Cara Berwarna di Peringkat Awal) yang ditulis oleh Taufiq bin Umar Balthah Ji terbitan Dar al-Fikr.

Bagi penulis, ianya merupakan sebuah buku yang terperinci. Disamping membincangkan sesuatu tajuk dengan cara yang ringkas dan padat, ianya juga disertai dengan peneranagan ringkas subtopik dan contoh-contoh yang berkaitan.

Sebelum memasuki perbincangan besar tajuk-tajuk Nahu, pada permulaannya penulis mendedahkan secara umum ilmu I’rab mengikut disiplin terhadapa setiap ilmu. Bermula dari Ta’rif, diikuti dengan Muraadif, Waadhi’, Asbaab, Maudhu’, Faa’idah dan al-Farqu baina ‘Ilmu al-Nahu wa ‘ilmu al-I’rab.

Di dalam buku ini diterangkan 7 bab besar. Bab 1, Ta’rif ‘Aam bi al-Musthalahaat al-I’rabiyah. Bab 2, I’raab al-Mufradaat. Bab 3, I’raab Syibhu al-Jumlah. Bab 4, I’raab al-Jumlah. Bab 5, I’raab al-Mashadir al-Mu’awwilah. Bab 6, Amthilah Mu’rabah Tfshilan. Bab 7, Fawaa’id fi al-I’rab.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah, buku ini di dalam babnya yang ke-6 menyediakan perkataan dan disertai dengan I’rabnya da;am bentuk jadual secara terperinci. Satu tajuk khas untuk contoh bagi kesemua tajuk yang diperbindangkan di dalam buku. Selain itu, buku ini menggunakan kombinasi warna hijau dan merah agar penyampaiannya menjadi lebih menarik kepada pembaca mahupun pelajar.

Mempelajari bahasa Arab merupakan keperluan yang sangat-sangat dituntut kepada semua umat Islam. Lebih-lebih lagi yang mendalami ilmu agama kerana khazanah kebanyakan ilmu dan ilmu agama khususnya menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa agama islam dan merupakan bahasa antarabangsa. Al-Quran merupakan bahasa Arab dan untuk memahaminya kita tidak dapat lari daripada untuk mempelajarinya. Bagaimana mungkin kita tidak rasa terangsang apabila dikatakan bahasa Arab itu bahasa syurga?

Mari kita sama-sama hayati pesanan penulis buku ini, “Pembaca perlu memahami perbincangan buku dengan baik sebelum mempraktikkan kaedah yang baru di dalam I’raab dan memahami juga maksud peringkat-peringkat I’raab yang sepuluh beserta syarahnya sehingga ia mampu melakukan I’raab (ke atas perkataan-perkataan arab). Selain itu mampu merujuk kembali kepada syarahannya ketikamana timbulnya keraguan di dalam melakukan I’rab.”

Disediakan oleh: Hamizan bin Abdul Karim


* Revinsi buku ini diambil daripada majalah Suara Kampus Edisi Tanta (SAK-T), Bilangan ke-5, Tahun 2009.

Kenangan Indah





Album : Syahadah
Munsyid : Nazrey Johani
Judul: Kenangan Indah
http://www.liriknasyid.com/


Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

*
Zaman Nubuwwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panas yang membakar lawan

Di celah itulah kita mengatur langkah
Membina semula ukhuwah
Di sini bara tak pernah padam
Digenggam kukuh sebuah azam
*

*Ulang*

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimah Allah
Agar terbangun dunia baru Islam

Lakukan perubahan.
Hidup dalam mencari...

Mengetahui Hakikat Modal Insan

Menjelang RMK-9: Modal insan agenda utama kerajaan

PEMBANGUNAN modal insan akan terus menjadi antara agenda utama program pembangunan negara pada masa akan datang selaras usaha membentuk individu berketrampilan dan berkualiti dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sehubungan itu, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh antara 2006 dan 2010 yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat ini dijangka memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan.

Antaranya, ia meliputi usaha membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya.


Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh, berkata pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi.

“Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu daripada aspek individu, masyarakat dan ekonomi.

“Dengan memperkukuhkan modal insan itu sendiri, ia akan menggalakkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi negara yang mana aset materialnya rendah seperti Korea Selatan dan Jepun, mereka berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan dapat membantu memajukan diri dan negara setanding negara maju lain.

Kejayaan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.

“Dengan nilai modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai. Rakyatnya mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja terhadap negara, malah pekerjaan.

“Kita mahu masyarakat Malaysia menjadi orang berilmu, berkemahiran dan memiliki integriti yang tinggi,” katanya sambil menekankan bahawa peranan pembangunan sosial perlu diseimbangkan dengan pembangunan fizikal.

Dalam pada itu, Di Ismail berkata modal insan juga mampu meningkatkan mobiliti masyarakat dalam membentuk anjakan paradigma ke arah mencapai masyarakat yang cemerlang.

Justeru, pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan di kalangan rakyat supaya mereka memahaminya dan memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamat.

“Pemahaman rakyat terhadap pembangunan modal insan itu sendiri mungkin tidak menyeluruh. Ada yang berpendapat ia membabitkan aspek pendidikan dan yang lain pula melihatnya sekadar latihan saja,” katanya sambil menambah nilai adalah perkara subjektif untuk ditaksirkan.

Tumpuan terhadap pembangunan modal insan juga dapat mengurangkan jurang pendidikan serta taraf hidup di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyedari bahawa jurang itu kini semakin melebar.

Dalam bidang pendidikan sebagai contoh, walaupun ada di antara sekolah luar bandar yang mempamerkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini, secara keseluruhannya perbezaan masih ketara berikutan kurangnya kemudahan dan guru berpengalaman.

Dr Ismail berkata, ada beberapa perkara berkaitan pendidikan yang akan menjadi tumpuan pada RMK-9 iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan dan merapatkan jurang pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Antara lain, kerajaan akan memberikan tumpuan terhadap usaha meningkatkan kerjaya perguruan dan menyediakan graduan yang dikehendaki pasaran melalui usaha menambah kemahiran dan kecekapan mereka dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Untuk tujuan itu, kerajaan dijangka memperuntukkan kira-kira RM40 bilion bagi pendidikan dan latihan.

Aspek lain yang akan diberi penekanan dalam RMK-9 ialah berhubung pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan di kalangan rakyat.

“Walaupun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan tinggi dan menggalakkan, jurang pendapatan di kalangan masyarakat juga semakin melebar. Ini berlaku kerana pengagihan kekayaan yang tidak merata.

“Sepatutnya dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan, pada masa sama jurang pendapatan di antara rakyat dapat dikecilkan,” kata Dr Ismail.

Dalam pada itu, RMK-9 dijangka dapat memberi nafas baru kepada pertumbuhan sektor swasta yang menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bidang baru seperti bioteknologi, perkhidmatan dan sektor pertanian adalah antara yang bakal menjadi tumpuan RMK-9.

Rancangan pembangunan lima tahun kali ini juga dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki ketidaksamarataan sosio ekonomi dengan mengambil pendekatan berbeza berbanding sebelumnya.

Selaras saranan Abdullah supaya memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan peningkatan daya saing, RMK-9 juga dijangka menumpukan kepada sistem penyampaian. Tiada makna jika negara mempunyai perancangan yang baik, tetapi gagal dilaksanakan.

Note: sumber: Berita Harian. 30/3/2006

Perkara yang hendak dicapai oleh kerajaan melalui Modal Insan:

1- Umumnya ke arah membentuk individu berketrampilan dan berkualiti;

2- Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya;

3- Penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi;

4- Menggalakkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan;

5- Pembangunan modal insan dapat membantu memajukan diri dan negara setanding negara maju lain;

6- Masyarakat Malaysia menjadi orang berilmu, berkemahiran dan memiliki integriti yang tinggi;

7- Rakyat yang mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja terhadap negara, malah pekerjaan;

8- Mengurangkan jurang pendidikan serta taraf hidup di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

*********************************

Modal Insan Menurut Islam
Oleh : Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita memberi perhatian kepada perkara hangat yang diperkatakan kini iaitu yang berkaitan dengan modal insan. Persoalannya ialah modal insan untuk apa?

Perkara ini difahami mengikut ideologi dan fahaman masing-masing. Ideologi yang berteraskan kebendaan menyatakan bahawa modal insan adalah menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang meningkat sama ada ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis.

Mereka memberi penekanan bahawa manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan.

Adapun Islam, agama Allah SWT melihat modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT. Allah telah menetapkan tiga tujuan manusia dijadikan di muka bumi.

Pertama, supaya mereka beribadat kepada Allah, dengan makna mengabdikan diri, tunduk kepada semua perkara yang diperintah oleh Allah.

Perkara kedua adalah manusia dijadikan sebagai khilafah dengan tujuan untuk mentadbir bumi Allah dengan agama Islam.

Ketiga adalah untuk memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah sama ada dalam ibadat atau melakukan khilafah.

Bagi menyempurnakan semua perkara itu, maka manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah. Sekiranya tidak, maka modal insan itu akan menempah kerugian.

Allah SWT telah menetapkan acuan di dalam al-Quran (maksudnya): Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr: 1-3)

Imam As-Shafie menegaskan, sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan hanya ayat ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka. Betapa pentingnya surah ini bagi membangun insan sehingga salafusoleh di kalangan sahabat dan tabiin mengakhirkan majlis dengan surah ini.

Allah SWT telah menetapkan bahawa insan yang dinamakan manusia itu tidak ada erti dan tiada makna bahkan hanya membawa kerugian sekiranya tidak menyempurnakan perkara-perkara yang disebut iaitu pertamanya beriman, kedua mengerjakan amal yang soleh, yang ketiga berpesan dengan perkara yang benar dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Iman merupakan perkara yang penting bagi diri mansuia. Segala amalan manusia ditolak oleh Allah sekiranya tidak berlandaskan kepada iman yang tepat dan betul sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah serta diajar oleh para nabi dan rasul-rasul. Betapa pentingnya iman menjadi modal kepada kehidupan manusia.

Apabila seorang sahabat, Sufian bin Uyainah bertanyakan Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah, terangkan kepadaku berkenaan dengan Islam, sesuatu yang aku tidak perlu bertanya lagi selain engkau. Jawab Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah. Beristiqamah dengan pengertian mengikut jalan yang betul, jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yang sempurna dan lengkap. Bermula hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini.

Perkara iman disempurnakan oleh Rasulullah s.a.w. secara praktikal dalam perjalanan hidupnya. Iman tidak cukup dengan hanya percaya sahaja tanpa keyakinan di dalam hati.

Dalam masa yang sama, iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman. Sekiranya sekadar iman, dalam masa yang sama membenarkan gejala murtad, hiburan yang keterlaluan, mencabar dan melanggar hukum Allah, maka insan yang tiada iman itu tidak akan menjadi modal, bahkan rugi di dunia dan akhirat.

Sebaliknya iman itu mestilah disempurnakan dengan amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah.

Dalam pengertian yang lain, mestilah melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

Maka bagi merealisasikan modal insan itu, perlulah berpandukan kepada kebenaran yang dinyatakan oleh Allah.

Yang benar hanya Islam manakala yang lain adalah palsu. Kita juga diwajibkan berpesan-pesan dengan kebenaran kerana kebenaran itu terlalu banyak halangannya. Allah Taala menguji kehidupan dengan dikelilingi dengan perkara-perkara yang batil sejak Nabi Adam a.s.

Oleh kerana cabaran kebenaran itu terlalu banyak, maka ia perlu kepada kesabaran. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat memelihara imannya, sebaliknya yang tidak sabar akan terjerumus dalam kehancuran.

Firman Allah (maksudnya): Alif, lam, mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedang mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdosa. (Al-Ankabut: 1-3)

Perlu difahami bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran akan mendapat kemenangan. Manakala mereka yang tidak membina insannya, tidak beramal soleh serta tidak menegakkan kebenaran, bermakna mereka tidak mempunyai modal insan, bahkan insannya musnah serta hancur di dunia dan akhirat.

Firman Allah (maksudnya): Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi banyak bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali Imran: 110)

Pembangunan Modal Insan Menurut Islam

1- Bertentangan dengan ideologi kebendaan (metarialistik) yang menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang bersangkutan dengan ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis. Manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan;

2- Modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT melalui tiga tujuan manusia dijadikan di atas muka bumi iaitu (a) beribadat kepada Allah, (b) manusia dijadikan sebagai khilafah untuk mentadbir bumi dan (c) memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah;

3- Manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah dan berpandukan kebenaran yang dinyatakan oleh Allah;

4- Menyempurnakan perkara-perkara yang berkaitan dengan (a) keimanan, (b) mengerjakan amal yang soleh, (c) berpesan dengan perkara yang benar dan (d) berpesan dengan kesabaran;

5- Beriman kepada Allah dan istiqamah;

6- Mengikuti syariat dalam perkara yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini;

7- Keimanan yang disempurnakan secara praktikal melalui amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah (melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar);

8- Iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman;

9- Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran;

10- Menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

*********************************

Modal Insan bolehlah dikatakan sebagai bekalan atau persiapan yang mahu diwujud dan disediakan oleh generasi hari ini daripada diri manusia itu sendiri. Modal yang berbentuk pembentukan ciri-ciri generasi yang memenuhi kriteria yang melengkapi keseimbangan unsur-unsur kemanusiaan sempurna.

Pastinya modal insan ini menjadi sumber yang terpenting dalam mencapai kemajuan sejagat yang bukan sahaja berbentuk material semata-mata tetapi lebih kepada keseimbangan rohani, fizikal, emosi dan intelektual. Bukan sahaja kemajuan dalam bidang teknologinya, tetapi juga keharmonian sosial kemasyarakatan, politik dan ekonomi.

Wallahu a'lam.

Hidup dalam mencari...

Friday, June 5, 2009

Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM 4 Jun – Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi hari ini menyeru golongan ulama supaya sentiasa berusaha meyakinkan ahli-ahli parti terhadap idea-dea baru yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan, contohnya pembentukan kerajaan perpaduan.

Katanya, ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan idea tersebut, sepatutnya ulama adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauh mana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah.

‘‘Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama.

‘‘Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulama. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS, di sini hari ini.

Mohamed Iraq berkata, sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam PAS, golongan ulama perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.

Selain itu juga, Mohamed Iraq meminta ulama dalam parti itu supaya membuka minda dan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat diselaraskan dengan tuntutan agama untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Katanya, golongan ulama juga perlu mendekatkan diri dan bertukar pandangan dengan golongan profesional seperti ahli ekonomi, tokoh undang-undang, pakar teknologi dan ahli politik bagi meningkatkan pengetahuan dan kecekapan mereka untuk mentadbir.

‘‘Ini adalah kerana ada ulama yang tinggi ilmu agamanya tetapi kurang dari segi kemampuan pentadbiran atau memahami isu semasa.

‘‘Ulama tidak boleh lari daripada sejarah dan situasi kemasyarakatan. Kalau dapat, majlis-majlis wacana antara ulama dan golongan profesional hendaklah diadakan dengan lebih kerap,” katanya.

Beliau mengingatkan anggota parti itu supaya taat kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan hadis.

‘‘Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana,” katanya.

Mohamed Iraq berkata, perbezaan pendapat sememangnya dibolehkan dalam perkara furu’ (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan sendiri.

Sumber: Utusan Malaysia

Hidup dalam mencari...

Thursday, June 4, 2009

Perlunya Tarbiyah Anak-anak

Assalamualaikum wbt.

Waktu berbaki lebih kurang lima jam sebelum peperiksaan tahriri terakhir bagi madah Hadith. Periksa-periksa juga, tapi rasa nak berkongsi apa yang terjadi tadi..

Sambil menunggu iqamah untuk mendirikan solat subuh, tiba-tibah masuklah dua orang budak. Baiasa juga mereka ini datang ke surau sebelah rumah ni. Rumah yang diduduki bertentangan dengan rumah sewa saya. Namun, saya tidak pasti adakah itu memang rumah meraka atau saudara. Keduanya tidaklah kelihatan seperti adik-beradik, tapi besar kemungkinan mereka ini sepupu. Seorang kurus sikit, seorang lagi nampak sepeti 'cool' je...

Masuk-masuk yang kurus sikit ni terus solat sunat. Mungkin qabliah subuh atau sunat tahiyyatul masjid. Seorang lagi mengikutinya. Kedua-duanya solat sunat. Tidak sampai lima saat, bapa saudara mereka barangkali masuk juga ke dalam masjid dan solat sunat dua rakaat. Yang kurus ni nampak khuyuk dalam solat walaupun hanya berseluar paras atas lutut.

Habis solat, tiba-tiba mereka ni berdiri. Erm, apa lagi diorang ni, bisik hati saya. Jalan ke bahagian hadapan, ingatkan nak iqamah atau nak jadi imam. Rupa-rupanya pergi ke rak al-Quran, ambil al-Quran seorang satu. Mereka ni mahu membaca al-Quran. Tindakan lebih banyak dimulakan oleh budak yang kurus dan diekori tindakan budak yang cool tadi.

Sambil-sambil mereka di membelek mencari muka yang mahu dibaca, seorang yang 'cool' ni mula menampakkan sikapnya yang 'cool' dan 'slamber'nya. Sedap je korek hidung. Lama pulak tu. Silih berganti tangan dan jari. Nak tergelak je. Dalam hati saya memang sudah gelak kuat barangkali, tapi hanya perlu zahir senyuman sahaja. Tidak beradab pulak saya tergelak dalam surau atau masjid tu..

Pakcik yang memakai speck mata dan sedikit berjambang telah lama menunggu. Akhirnya dia pun iqamah untuk menunaikan solat subuh. Bapa saudara kedua budak ini tadi yang dalam lingkungan 30 tahun mengangkat takbiratul ihram. Seusai sahaja mengangkat takbir, terdengar bunyi ketawa, gelak, suara berbisik dan macam-macam lagi. Pastinya mereka berdua tadi!!

Sejak awal solat sehinggalah beri salam, tak putus-putus suara mereka ni. Sedang solatkan, tidak ada yang menegur mereka. Dalam hati ni, sudah hilang sedikit kekhusyukan.

Selesai je solat, senyap. Terhenti terus suara mereka. Dalam hati dah berkata, "Bagus betul budak-budak ni, memang bijak dan bagus!!" Masa solat buat bising, selesai solat, senyap. Buat muka baik. Geram pun ada. Depan pakcik sendiri la katakan. Takut kena marah mungkin. Sedang orang berzikir dan beristighfar selepas solat, budak yang 'cool' ni membenarkan lagi tentang perangainya. Selamba je 'dok' bahagian depan, menghadap kami (makmum) sambil korek hidung. Aduh, bagus betul. Silih berganti jemarinya dan tangannya. Saya memang sudah tak tahan nak pandang lebih lama. Nanti tak pasal-pasal terlepas gelak pulak. Memang tak pandang mereka ni, tak boleh tahan nak tergelak. Memang normal la pada saya. Semasa orang solat boleh la buat bising sebab semua tengah solat. Tapi selesai solat, mahu uga buat bising, 'cari nahas' namanya tu. Mungkin juga mereka ni balik rumah nanti kene 'cubit' peha ataupun kena 'piat' di telinga oleh bapa saudara mereka tadi.

Kemudian, mereka bingkas bangun untuk mengambil kembali al-Quran untuk dibaca. Saya pula setelah selesai berdoa, bingkas bangun, balik ke rumah dan terus tulis entri ini.

Apa yang saya fikir ialah, pertama sejak awal lagi masyarakat di sini (yang memahami agama) sudah mendidik anak-anak mereka untuk mengamalkan solat sunat rawatib. Memang bagus. Kedua, mengajar untuk melazimi membaca al-Quran dan menghafalnya (kemungkinan kebetulan musim cuti sekolah telah tiba). Ketiga, sejak kecil telah dididik untuk datang solat berjemaah di masjid. Keempat, diajar untuk hormat. Habis solat je, mereka ini salam kami. Tapi yang hairannya, kami (dua lagi sahabat saya) sahaja yang mereka salam. Pakcik yang iqamah sebelum solat tadi dan bapa saudara mereka, tidak pula mereka salam.

Apa-apa pun, ia membuat saya berfikir tentang tarbiyah anak-anak san saya teringat buku yang ditulis oleh seseorang yang masyhur. Masyhur dengan penulisan berbentuk ilmiah dan tarbiyah iaitu Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk 'Tarbiyah Anak-anak'. Semalam pun saya baru sahaja bersembang dengan seorang sahabat tentang tarbiyah anak-anak.

Sekadar hiasan.

*Setakat ini dahulu untuk salam pagi, kembali mengulangkaji untuk peperiksaan beberapa jam sahaja lagi. Pelu segera mengulangkaji!

Hidup dalam mencari...

Tuesday, June 2, 2009

Bila Subjek SPM Dihadkan...

Ini rentetan apa yang telah berlaku setakat ini melalui media.

22 Mei 2009 - Kaji hadkan ambil subjek SPM - TPM

23 Mei 2009 - STU sokong hadkan subjek SPM

28 Mei 2009 - Maksimum 10 subjek SPM mulai tahun depan

30 Mei 2009 - Maksimum 10 subjek SPM: MIC bantah

2 Jun 2009 - Tempoh seminggu kemuka syor hadkan subjek SPM

Apakah sebenarnya SPM ni?
Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM adalah sejenis peperiksaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Usia purata pelajar semasa mengambil SPM ini adalah 17 tahun, iaitu semasa di Tingkatan 5. Ia merupakan ujian terakhir pendidikan menengah atas.

Antara alasan yang diutarakan ialah:

"Menurut Alimuddin, langkah kerajaan mengehadkan pengambilan bilangan subjek dalam SPM bertujuan mengurangkan fokus pelajar terhadap bidang akademik sahaja sebaliknya mereka juga perlu mengimbangi kemampuan dengan kemahiran lain.

"Ini juga sebahagian usaha kerajaan untuk mempersiapkan modal insan yang bukan sahaja memperolehi keputusan cemerlang malah mempunyai nilai tambah sebagai persiapan sebelum menjejak kaki ke alam pekerjaan," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan kerajaan mengurangkan bilangan subjek teras dalam SPM daripada enam kepada empat subjek, beliau berkata, pihaknya masih belum menentukan subjek yang akan dikekalkan setakat ini." -Sumber Utusan Malaysia

Antara alasan yang lain ialah "Guru akan lebih khusus dan berupaya memberi tumpuan lebih terhadap bilangan mata pelajaran utama".

Maka pihak Presiden STU pun memberi pandangannya...

Presiden STU, William Ghani Bina berkata, langkah mengehadkan jumlah mata pelajaran yang diambil calon peperiksaan itu akan membolehkan pelajar berkenaan memberi lebih penumpuan kepada sesuatu subjek terutamanya kepada subjek teras.

Katanya, langkah itu juga akan mengurangkan beban ibu bapa yang sebelum ini terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku teks dan rujukan.

"Selain itu, ia juga akan membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk berfikir," ujarnya di sini hari ini. - Sumber Utusan Malaysia

Saya sebenarnya masih musykil. Apakah seorang yang mempunyai status sebagai Presiden Kesatuan Guru memberikan ulasan dan pandangan mengikut ilmu, kepakaran dan pengalamannya atau hanya semata seolah-olah ayat mengampu. Memuji-muji dasar-dasar yang baru tanpa sebarang sandaran yang kukuh. Sepatutnya ia tidak jadi begini... Ulasan yang tidak mempunyai sebarang nilai, hanya copy dan paste ayat-ayat pemimpin yang lain.

Saya benar-benar tertarik dengan berita daripada pihak Harakahdaily yang dipetik daripada ulasan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Antara sebab yang tidak me'logik'kan tindakan tersebut seperti yang disebut oleh Dato' Mahfuz:

1- Mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa?

2- Bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran.

Apabila saya mendapat tahu tentang berita ini, yang berkaitan dengan pelajaran, saya teringan dengan posting oleh Ustaz Hasrizal di dalam blognya, Saifulislam.com yang bertajuk 'Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya'. Ya memang benar, di dalam blognya hanya menceritakan mengenai pendidikan dan subjek anaknya yang berada di sekolah rendah. Ini isu SPM bukan? Isu subjek sekolah rendah, subjek SPM, bukankah kedua-duanya merangkumi skop pendidikan negara?

Pada saya, komen yang diberikan oleh Dato' Mahfuz secara asasnya sudah memadai untuk menolak dasar ini. Suatu dasar yang masih tersangat longgar prinsip, matlamat, visi dan misinya untuk dilaksanakan. Komen yang diberikan di dalam Tranungkite juga boleh menolak alasan yang diberikan untuk mewujudkan dasar ini.

Apabila saya membaca sebahagian komen daripada pembaca di dalam Tranungkite terhadap isu ini, ada yang mengatakan ia adalah yang terbaik. Kerana apa katanya? Kerana tiada gunanya pelajar tersebut mendapat 20 A tetapi jenis yang ulat buku dan 'seperti katak di bawah tepurung'.

Kenapa perlu dipersalahkan orang yang jenis 'ulat buku'? Bukankah ianya baik? Mengenai perumpamaan 'katak di bawah tempurung' ianya bukan salah kepada bilangan matapelajaran yang diambil. Tetapi ia lebih kepada salah individu yang memang mahu menjadikan dirinya sebagai 'katak' dan mungkin juga sesetengah pihak sekolah tidak benar-benar menggunakan pelajar ini agar aktif berpersatuan. Kalau pun ia 'ulat buku' tapi dapat 20 A, sekurang-kurang ada adalah juga ilmu di dada. Kenapa tidak diperbincangkan secara lumat mengenai permasalah pelajar yang gagal di peringkat PMR dan SPM dan kaedah bagaimana untuk mengatasinya? Orang yang sudah pandai mahu disekat, yang gagal, mungkin akan terus gagal...

Ya, benar. Kemungkinan ada juga ia berkaitan dengan guru, duit beli buku, masa guru, biasiswa dan sebagainya. Mengapa tidak ianya diselesaikan dalam peringkat yang berkenaan. Biarlah pihak biasiswa berbincang sesama mereka untuk mengatasi masalah biasiswa mereka, pihak guru dengan kesatuan gurunya dan pihak pelajar dengan melihat kemampuan diri, keluarga, keperluan dan berbincang dengan guru motivasi. Bukankan lebih baik setiap peringkat berbincang melalui peringkat mereka masing-masing?

Ini masalah pendidikan negara. Ini juga merupakan masalah yang berkaitan dengan masa depan negara. Biarlah sesuatu dasar itu dilakukan untuk menjamin kedaulatan dan keharmonian negara, bukan menjadikan ia seperti 'lapang sasar' yang dijadikan sasaran oleh pihak yang mahu melihat Malaysia ini 'jatuh'!

Pada saya, marilah kita kembali kepada Dasar dan Falsafah Pendidikan negara.

Falsafah pendidikan negara menyatakan:

"Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Dasar Pendidikan Negara:

Objektif:
1. Menyatukan kanak-kanak sekolah daripada pelbagai kaum dan menyediakan tenaga kerja yang mencukupi untuk tujuan pembangunan negara (Digariskan dalam Penyata Razak- 1956)
2. Menggalakkan perkembangan sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan (Akta Peljaran - 1961)
3. Membantu melahirkan tenaga kerja terlatih untuk jangka pendek dan panjang, bersatu dan berdisplin
4. Mewujudkan sistem pendidikan yang lebih berkualiti dan bertaraf antarabangsa
5. Memastikan sistem pendidikan berupaya menangani perkembangan sains dan teknologi semasa

Apabila dilihat, menghadkan bilangan matapelajaran yang diambil speryi telah bertentangan dengan apa yang dinayatakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu 'mewujudkan pensijilan terbuka di peringkan SPM'.

Perlulah diketahui bahawa kurikulum yang disusun di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah adalah untuk menghadapi dan mengalami isu-isu tertentu yang berlaku disekitar kehidupan seseorang pelajar. Isu -isu tersebut ialah:

1- Perpaduan Negara

2- Pendidikan Moral

3- Kesepaduan Nilai

4- Patriotisme

Apa yang saya lihat, penetapan had terhadap subjek-subjek yang boleh diambil di dalam SPM boleh memberi kesan terhadap khususnya kepada isu kedua dan ketiga dan umumnya isu pertama dan keempat.

Terdapat ramai pihak yang telah menyatakan mengenai 'Pendidikan Bertaraf Dunia', 'Persediaan Mahasiswa Cemerang Menjelang 2020' dan sebagainya. Perlunya kita berfikir dengan lumat adakah dengan terlaksananya dasar ini mampu memberikan pulangan kepada agama, bangsa dan negara kelak? Adakah ia mampu untuk dijadikan modal dalam mewujudkan pendidikan bertaraf dunia dan persediaan mengahadapi Wawasan 2020? Dasar pendidikan terbuka yang perlu lebih dipertingkatkan, bukan disempitkan pendidikan tersebut.

Beberapa pihak telah menyatakan akan kebimbangan mereka terhadap orientasi pendidikan negara yang ke arah bersifat sekular (mungkin juga sudah dikatakan sekualar) apabila wujud pengasingan sekolah-sekolah aliran agama dan sekular. Kebimbangan yang diluahkan ini berdasarkan apabila situasi ini berlarutan, maka falsafah pendidikan negara tidak akan dapat dicapai.

Di dalam pendidikan, setiap subjek mempunyai cara dan formula tertentu dalam menghayatai dan mengamalkan ilmu daripada subjek tersebut. Ia memerlukan ketajaman, kecekapan otak serta kreativiti dalam menyelesaikan masalah, kebolehan mengeluarkan idea dan sebagainya. Apabila subjek yang hendak diambil dihadkan, maka seseorang yang mungkin mempunyai kemampuan dalam penguasaan setiap apa yang dipelajari akan terbatas, terhad dan terhalang kemampuan serta kebolehannya. Bukankah ianya sangat merugikan negara kelak?

Melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan progresif bukanlah dengan melakukan perubahan dan penetapan dasar yang bersifat cabang. Tetapi, sekiranya mahu benar-benar melahirkan modal insan yang benar-benar diperlukan oleh negara, perlulah diubah daripada sedasar-dasar segala dasar yang ada. Menjadikan ISLAM sebagai sistem, peraturan, undang-undang, rujukan, batu ukur dan matlamat dalam seluruh perjalanan kehidupan manusia. Baik dari segi politiknya, pendidikannya, ekonominya, sosialnya, pengurusannya, pentadbirannya dan selain daripada itu.

Seseorang mahu menjadikan pohon yang ditanam berwarna-warni dengan bunga yang indah. Untuk memastikan ianya menghasilkan bunga yang indah, perlulah ditanam biji benih bunga, bukan biji benih pohon ru. Perlulah dijaga akarnya agar tidak menjejaskan penerimaan air dan nutrien daripada tanah yang akhirnya menghasilkan pohon bunga nan indah lagi kukuh batang, dahan dan rantingnya.

Insan yang tidak banyak ilmu dan pengalaman di dada. Memohon segala salah dan silap.

Hidup dalam mencari...