Dijajah tanpa sedar

Hari ini hujan lagi. Lebih lebat berbanding semalan dan kelmarin. Kemungkinan hujan ini sebagai petanda bahawa musim musim sejuk akan berakhir dan musim panas akan menjelma. Dalam tempoh seminggu ke dua minggu akan datang.

Setiap kali musim hujan, setiap kali itu jugalah aku merasa sedikit rimas. Manakan tidak, keadaan jalan-jalan akan berlecak, berlumpur dan air-air bertakung di kawasan yang berlubang dan sebagainya. Inilah hakikat bumi keadaan bumi Mesir. Andai tidak hujan, udara akan berdebu dan apabila musim hujan, keadaan sekeliling akan berlecak. Mengotorkan pakaian dan sebagainya.

Apa yang berlaku adalah disebabkan di sini tiada sistem perparitan yang menyeluruh dan bersepadu. Sistem pengaliran yang mampu menyalurkan limpahan air hujan ke dalam longkang, parit dan sungai. Amat susah untuk menjumpai longkang di Mesir. Di jalan-jalan, kawasan peumahan, komplek-kompleks pasaraya dan pejabat sehinggalah ke tempat-tempat peranginan.
Aku pernah bertanya kepada seorang sahabat sewaktu baru tiba ke sini, mempersoalkan jalan yang berlecak dan tiada longkang. Apa yang dijawab ialah mungkin disebabkan kekerapan hujan turun di Mesir adalah sangat rendah. Maka, sebab itulah longkang dlihat sesuatu yang tidak penting dalam proses pembangunan bandar.

Kalau nak diandaikan tidak sampai teknologi pengairan dan perparitan, rasanya tak masuk akal. Ye lah, aku rasa ianya bukan suatu bentuk teknologi yang terlalu hebat sehingga sukar untuk diambil sebagai rujukan. Tapi, bila aku renung-renung balik keadaan bumi Mesir ni, aku bersetuju dengan diri aku bahawa Mesir telah mengalami kelembaban pembangunan atau kemajuan teknologi.

Baru-baru ini aku berjalan bersama seorang sahabat lain ke Kaherah dan singgah ke ‘Atabah untuk membeli minyak wangi. Dalam ketika waktu pulang ke Tanta, sahabat mengeluh. “Bila la Mesir ni nak bersih ye..?” Aku tersengih je la.

Aku buka topik. Mungkin ini kesan daripada sekatan yang berlaku terhadap Mesir. Manakan ridak, bukankan Mesir berada di dalam keadaan darurat sejak berakhirnya perang dengan Israel?

Beberapa sekatan yang berlaku hasil daripada beberapa perjanjian dengan Israel menyebabkan Mesir menjadi sebuah negara yang sedikit tercabul kehormatannya. Sekatan ekonomi terutamanya menyebabkan Mesir lambat membangun dan mengcapi kemajuan yang terkini secara menyeluruh. Kalau sampai pun hanya sekadar teknologi telefon bimbit.

Kewangan mereka disekat. Pembangunan moden lambat berlaku. Kemajuan teknologi lewat tiba ke sini. Semuanya untuk kesenangan dan kemudahan hidup rakyat. Namun, apa yang sangat cepat tiba ke Mesir ini ialah pengaliran budaya Barat. Tidak kiralah dalam bentuk pakaian, fesyen, hiburan, program televisyen dan akhlak. Ianya sangat cepat meresap ke dalam budaya kehidupan penduduk Mesir.

Secara peribadi, aku berpendapat inilah hasil rancangan musuh Islam untuk memusnahkan Islam. Bukan dalam bentuk penjajahan negara, tetapi penjajahan pemikiran. Tidak hairanlah apabila antara gerak kerja mereka ialah menjauhkan umat Islam daripada berpegang dengan al-Quran sebagai sumber rujukan dan perlembagaan hidup.

Ini berdasarkan kepada penilaian aku. Aku melihat taraf hidup rakyat Mesir tidak meningkat. Pembangunan masih dalam keadaan ‘kurang cergas’. Nilai kebersihan bagi mereka seperti lebih murah berbanding nilai sekotak rokok atau lebih rendah dari harga sepasang selipar buruk, Hendak dikatakan, kesedaran mereka memelihara dan menjaga kebersihan sangat rendah. Tiada kesedaran sivil untuk memelihara kebersihan. Tidak malu orang luar melihat keadaan negara meraka memiliki taraf kebersihan yang teruk.

Namun, budaya barat seperti diagung-agungkan. Pasukan bola Al-Ahly di puja-puja oleh kebanyakan penduduk Mesir. Fesyen pakaian perempuan menjolok mata walaupun bertudung. Pergaulan antara lelaki dan perempuan agak bebas di kolej-kolej, universiti-universiti dan di kawasan bandar.

Hasilnya, umat Islam mundur dari segi pemikiran dan peningkatan taraf kehidupan. Dalam pada yang sama budaya umat Islam terus dinodai dan dirosakkan. Pemikiran anak-anak muda terpengaruh dengan budaya Barat. Barat dijadikan kiblat dalam mereka mencari kehidupan yang fana.

Kekebasan selaku hamba Allah SWT...

Mungkin banyak lagi yang kita boleh muhasabah mengenai rancangan musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan keadaan umat Islam yang semakin kronik ini. Mudah-mudahn kita terhindar daripada sebarang fitnah. Semoga uamt Islam akan segera sedar tentang ‘diri meraka’ bangun dari lena keseronokan dan keselesaan.

Bersama-sama menunggu kebangkitan umat Islam ini.

28 Febuari 2009,
5:00 petang,
Tanta.

Hidup dalam mencari…

Comments