Mencari tauladan…

Semestinya hidup sesorang tidak akan sempurna. Malah, seseorang tidak mampu untuk memuaskan hati setiap orang dan memenuhi segala kehendak, tuntutan dan keinginan mereka.

Hidup ini semestinya dalam mencari. Sentiasa mencari. Mencari jawapan bagi setiap persoalan apa, siapa, di mana, bila, kenapa, bagaimana dan sebagainya. Dalam pencarian itu sebenarnya tanpa disedari menambahkan lagi titik-titik persoalan.


Contoh persoalan yang mudah ialah persoalan mengenai jodoh. Pasti yang akan terbit dari benak fikiran ialah, siapa jodoh aku? Di mana akan kutemui jodoh tersebut? Bagaimana cara yang sebetulnya untuk aku mendapatkan atau mencari jodoh yang terbaik utnuk diri aku? Apakah ciri-ciri jodoh yang diidamkan? Kenapa mesti dia yang menjadi harapan untuk dijadikan jodoh ataupun teman hidup? Adakah aku layak untuk dijodohkan dengannya?


Persoalan demi persoalan pasti akan terus-menerus menerjah di ruang fikiran. Itu baru persoalan mengenai jodoh. Belum lagi persoalan pembelajaran, persoalan duit, persoalan tugas, persoalan kerja dan segala yang berkait dengan perkara perkara tadi. Itu dasar persoalan dan tidak termasuk cabang-cabangnya lagi.


Mencari dan memikirkan segala tauladan yang berlaku disekeliling diri kita adalah dituntut. Kadang-kadang Allah SWT telah menunjukkan jalan dan caranya. Namun, disebabkan kita mahu mengikut kehendak nafsu dan degil dengan keegoan ‘hamba’ yang tidak sepatutnya akhirnya membawa dukacita kepada diri sendiri. Bak kata, lain yang diharap, lain yang jadinya.


Mencari tauladan atau dengan kata lain mencari hikmah dalam keserabutan duniawi bukanlah suatu yang mudah. Ia memerlukan mata hati yang bersih daripada noda dan dosa. Mata hati yang tidak ‘buta’!


Selalunya kita mahu apa yang kita mahu. Mendapatkan apa yang dikehendaki. Hakikatnya, apa yang lahir dari kehendak diri, bukanlah kejernihan tuntutan sebenar Tuhannya. Sentiasa apa yang dimahukan oleh hamba sering tersasar tujuannya. Ini kerena, kehendaknya bersumberkan nafsu. Akhirnya, setelah tersungkur barulah disedari bahawa kehendak, kemahuan dan keinginan Allah SWT itulah yang seharusnya dipenuhi.


Kita selalu berdoa kepada Allah agar Dia memenuhi segala hajat dan keinginan kita. Tapi, malangnya dalam masa yang sama kita sering terleka melaksanakan kehendak dan perintahNya!! Kalau difikirkan dengan akal yang waras, adakah segala permintaan kita tersebut akan dipenuhi sedangkan kita tidak memenuhi perintah Allah. Malah kita sesama manusia pun tidak akan memenuhi permintaan orang yang tidak pernah memenuhi permintaan kita. Inikan pula, antara status sebagai seorang hamba dengan Tuhannya. Sungguh jelek perbuatan dan akhlak ini!!


Mencari tauladan atas peristiwa yang telah terjadi di sekeliling kita amatlah dituntut. Malah dalam al-Quran sendiri banyak menggunakan farsa ‘adakah kamu tidak memikirkannya’, ‘adakah kamu tidak mengambil pengajaran’ dan sebagainya yang seerti dengan frasa tersebut.


Hanya mengharapkan rahmat dan kasih sanyang Allah tapi dalam masa yang sama, tidak melaksanakan tuntutan Allah, merupakan perbuatan yang sia-sia. Natijahnya, akan memperoleh kerugian ‘di sana’ kelak.


Di bulan Ramadhan ini, antara yang aku melihat secara zahirnya apa yang berlaku dan benar-benar menarik perhatian aku. Suasana di Mesir.


Seorang makcik berjalan di tepi jalan raya di tengah bandar dengan tasbih di tangannya. Aku bersangka baik, pastilah dia berzikir menggunakan tasbih tersebut.


Seorang anggota polis, sambil menjaga lalulintas di tengah-tengah persimpangan jalan raya yang sibuk, membaca Quran kecil yang berada di tangannya.


Seorang anggota tentera yang aku fikir mungkin berpangkat prebet, membelek dan membaca Quran, memenuhi masa lapangnya.


Membudayakan ibadah dalam kehidupan, dapat pahala. Dengan syarat, niatnya ibadah.


Perjalanan aku dari Kaherah ke Tanta atau Tanta ke Kaherah, diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran, walau aku tak nafikan ada yang pasang lagulagu arab yang pada aku benar-benar menyakitkan telinga. Bukan aku tak suka lagu-lagu arab, tapi dalam suasana dalam van atau tremko yang panas dan seangkatan dengannya membuatkan kepala ini benar-benar sakit.


Dua orang arab bergaduh. Mungkin orang yang pernah nampak bagaimana orang arab bergaduh lebih tahu keadaannya. Dalam keadaan bergaduh tersebut, salah seorang mengajak seterunya untuk meneruskan pergaduhan. Katanya, “Ya habib, ta’al..” Kalau nak tejemahkan dalam bahasa Melayu, “Wahai sayang, kemari…” Aku yang ketika itu sudah berada di dalam perut tremko tersenyum sendirian.


Pastiya, babak yang berlaku ke atas diri kita sendiri lebih mendalam untuk kita fikir dan renungkan. Lebih mendalam kita ketahui sebab-musababnya serta natijah yang telah berlaku atas perkara tersebut.


Episod mencari tauladan dalam kehidupan pastinya tidak akan berakhir sehinggalah sempurna nyawa keluar dari badan. Membaca Yaasiin, doa, ayat-ayat Quran, syahadah di telinga orang yang sedang nazak, itulah tauladan yang terakhir diterima.


Kadang-kadang sayang seribu kali sayang, kita sering terlepas tauladan yang sebenarnya menunjuki kehidupan kita sehingga akhirnya kita dalam penyesalan. Tersungkur. Dan yang lebih malang, tersungkur di tempat yang sama kali kedua, ketiga dan seterusnya.


Hidup dalam mencari…

Comments