Bulan Ramadhan bulan penuh keberkatan..


Wahai saudaraku, Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan Allah SWT. Bulan ini merupakan bulan yang terbaik daripada segala bulan di sisi Allah SWT. Setiap hari di dalamnya merupakan hari yang terbaik dari sekelian hari dan malamnya merupakan yang terbaik dari sekelian malam. Setiap jam merupakan saat-saat yang penuh dengan rahmat Allah SWT.


Bulan Ramadhan merupakan sebuah ‘jemputan’ kepada umat Islam. Sebagaimana yang kita ketahui, bulan ini merupakan bulan yang terpilih tanda kemurahan dan keagunganNya. Hanya di bulan ini sahajalah, apabila kita bernafas ia merupakan zikir dan apabila kita tidur ianya merupakan ibadah. Kedua-duanya akan diperolehi pahala ibadah.


Di bulan Ramadhan ini, hendaklah kita banyak berdoa agar segala amalan kebaikan yang kita lakukan akan diterima. Oleh sebab itu, kita digalakkan banyak merayu kepada Allah, dengan cara yang betul, sepenuh hati. Berdoa agar dijauhi daripada segala dosa dan kejahatan, memohon perlindungan daripada Allah SWT, melaksanakan ibadah puasa dengan sebenar-benar tuntutan dan memperbanyakkan tilawah Al-Quran.


Sesungguhnya, individu yang tidak menerima belas kasihan dan kebaikan daripada Allah SWT pada bulan Ramadhan ini akan menjadi manusia yang sangat rugi dan malang serta bakal menemui pengakhiran yang mendukacitakan. Semasa kita menjalankan ibadah puasa, kita hendaklah memperingati lapar dan dahaga yang akan dialami di akhirat kelak. Selain itu kita mengenang akan kebuluran dan kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat dunia yang hidup melarat penuh kemiskinan dan kedhaifan. Mudah-mudahan hati-hati kita akan tersentuh, menjadi lembut dan pemurah lantas memberi sedekah dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.


Pamerkan hormat kepada yang lebih tua dan berikan kasih sayang kepada yang lebih muda. Jadilah seorang yang baik dalam perhubungan sesama ahli keluarga, rakan-rakan mahupun jiran tetangga. Peliharalah lidah daripada kata-kata yang tidak baik, nista dan menyakiti. Cegahlah mata daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan syahwat, dilarang dan dicegah oleh syara’. Peliharalah telinga daripada sebarang perkara yang tidak sepatutnya kita dengar daripada sebarang jenis umpatan, makian dan perkara lucah.


Berkelakuan baiklah terhadap anak yatim dan anak-anakmu kelak akan diperlakukan dengan baik ketika kamu telah tiada. Pohonlah kepada Allah SWT agar Dia mengampuni segala dosa-dosamu. Angkat dan tadahlah tangan ketika solat yang mana merupakan masa terbaik untuk seseorang hamba ‘meminta’ kepada Tuhannya. Apabila kita kerap meminta kepadaNya, nescaya Dia akan menyahut dan memperkenankan doa kita. Apabila kita memerlukanNya, Dia akan ‘menjawab’ panggilan kita. Apa sahaja yang kita minta, insya Allah akan diperkenankan mengikut ilmuNya Yang Maha Luas.


Ramadhan merupakan bulan tarbiah. Ia juga merupakan bulan untuk individu islam memperbaiki diri dan seterusnya memurnikan keadaan umat Islam keseluruhannya. Allah SWT telah menjadikan Ramadhan ini sebagai platform yang penuh berkat yang dipenuhi dengan pelbagai kebaikan dan ganjaran bagi sesiapa yang mahu berusaha kearahnya.

Mari kita kenang kembali bagaimana kehidupan Ramadhan kita tahun lepas dan yang sebelumnya. Adakah kita telah memenuhi segala tuntutan dan fadhilat yang ditawarkan kepada kita? Apakah kesimpulan yang kita perolehi terhadap ibadah puasa yang lepas apabila berlalunya bulan tersebut? Bagaimanakah perubahan yang berlaku terhadap diri kita dan masyarakat? Bertambah baik atau masih di takuk yang lama? Atau adakah kehidupan kita lebih teruk dari yang sebelumnya? Na’uzubillahi min zalik.

Jadikanlah Ramadhan tempat kita mengubah diri. Buang yang kotor dan keruh, ambil dan kutip yang jernih dan bersih. Mungkin sebelum-sebelum ini kita kerap melakukan kesalahan dan dosa. Ayuh, jadikan bulan yang Allah kurniakan ini sebagai tempat untuk kita me’wujud’kan diri yang baru dan segar. Diri yang mempunyai niat, azam dan cita-cita yang baru, penuh murni berlandaskan syara’. Status kita sebagai seorang “hamba” perlu dihayati agar kita terlepas daripada sebarang azab dan siksa di dunia mahupun di akhirat kelak.


“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”

(Surah Ali ‘Imran 3:135-136)


Dirikanlah solat sunat tarawih yang tiada tuntutannya melainkan di bulan Ramadhan dengan penuh ketekunan dan kekhusyukan. Perbanyakkanlah selawat kepada Nabi SAW, doa, tilawah Al-Quran, zikir dan istighfar kepada Allah SWT. Mudah-mudahan diampunkan dosa-dosa kita yang lalu dan yang kemudian. Bangunlah setiap malam menghidupkan ‘qiamullail’, bermunajat kepadanya memohon hidayah dan bantuan dalam menjalani kehidupan ini. Berdoalah agar dipertemukan dengan lailatul qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan.


Paksa diri serta bermujahadahlah dalam melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Moga-moga, amalan kita di dalam bulan Ramadhan ini akan diterima oleh Allah SWT. Moga-moga, kelak kita akan dibangkitkan bersama-sama Rasulullah SAW, para Nabi AS, para sahabat baginda RA, orang-orang yang soleh dan bertaqwa, para syuhada’ dan para wali Allah. Amiin…


“Ya Allah, terimalah amalan kami yang sedikit ini. Jadikanlah Ramadhan kali lebih baik dari Ramadhan yang lepas dan sebagai tapak kami memperbaiki diri dan amalan kami. Kurniakanlah kepada kami kekuatan dan bantuan dalam melaksanakan solat, puasa, qiamullail dan tilawah Quran. Wahai Tuhan Pemilik arasy, jadikanlah kami sebagai hambaMu. Kurniakanlah kepada kami syafaat Nabi kami Muhammad SAW di ahkirat kelak. Wahai Tuhan sekelian alam, dengarlah rintihan kami ini”


Comments