Burung Bertasbih

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Q 34:10

Tumbuhan Menghiasi

"Dan Kami lihat bumi itu kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah." Q 22:5

Kejadian Burung

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia maha Melihat segala sesuatu." (Q 67:19)

Kepahlawanan Kuda

Maka ia (Nabi Sulaiman AS) berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan. Q 38:32"

Serigala

Berkata Nabi Ya'qub AS: "Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu berlengah daripadanya." Q 12:13

Wednesday, December 12, 2007

Oh Zulhijjah...

Assalamualaikum…

Sempena awal bulan Zulhijjah ni, mari la kita sama-sama perbaharui niat. Daripada kata-kata yang banyak aku dengar nak tajdid niat ni bukan mase awal tahun je, tapi kene setiap masa. Sebab, niat ni timbul dari hati dan hati manusia ni mudah sangat berubah-ubah. Jadi, kita ambil waktu ini, yakni ber'sempena' bulan baru, kita perbaharui niat. Banyak perkara di sekeliling kita yang boleh menyebabkan niat kita sedikit terpesong daripada tujuan dan matlamat sebenar.

Bersempena bulan ni juga, aku nak berkongsi beberapa fadhilat bulan Zulhijjah ni. Tapi aku minta maaf banyak-banyak sebab tidak dapat menyenaraikan sumber yang aku perolehi. Maksud aku, aku tak dapat men'takhrij' hadith atau mungkin ayat al-Qur'an yang mengenai fadhilat di bawah. Antaranya ialah:

  • 1 hingga 8 hb - Sunat berpuasa
  • 8 hb - Hidupkan malamnya dengan banyak beribadat
  • 9 hb (Hari Wukuf di Arafah) - Hidupkan malamnya dengan banyak beribadat, Disunatkan berpuasa bagi orang yang tidak mengerjakan haji, Membaca surah Al-Ikhlas 1000 kali
  • 10 hb - Hari Raya Haji/Korban - Sembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha - Membaca takbir
  • Melakukan korban
  • 11, 12 dan 13 hb (hari-hari Tasyrik) - hidupkan malamnya dengan banyak beribadah, takbir selepas sembahyang waktu
  • 29hb atau 30hb - Selepas solat 'Asar membaca doa akhir tahun. Selepas solat Maghrib membaca doa tahun baru.

Aku ada terbaca bahan-bahan yang aku kutip daripada internet dan aku terjumpa laman yang memberi penerangan mengenai bulan yang mulia ini. Penerangan tersebut adalah wawancara dengan Syeikh Abdullah, imam masjid Heidelberg, Victoria daripada laman SinarOnline. Aku tak pasti tarikh laman ini ditulis. Berikut adalah sebahagian daripada wawancara tersebut:

Mengapakah kita menyambut aidil adha.

Syeikh Abdullah: Terdapat beberapa sebab mengapa kita menyambut aidil adha.Yang pertama adalah kerana kita mengikuti bapa kita Nabi Ibrahim alaihisalam yang mula-mula merayakannya.Yang kedua adalah untuk melahir rasa syukur kita terhadap Allah Taala kerana telah memberi peluangan kepada kita menunaikan salah satu rukan islam yang lima. Jika aidilfitri disambut setelah selesai menunaikan ibadah puasa di bulan ramadhan dan zakat fitrah, aidil adha pula disambut bersempena dengan ibadah haji. Sebagai seorang yang beriman kita rasa bersyukur kerana allah memberi peluang untuk terus beribadah. Perhatikanlah berapa ramai manusia yang lain yang tidak dapat menunaikan ibadah ini kerana tidak berupaya “physically” ataupun tiada hidayah keimanan. Sebab yang lain adalah kerana, pada masa Rasullullah S.A.W sampai di Madinah, baginda mendapati penduduk Madinah maraikan dua perayaan yang dipenuhi dengan acara nyanyian, tarian, jamuan makanan dan minuman, serta pelbagai permainan yang lain. Melihat situasi sebegini, Rasullullah bersabda yang lebih kurang maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan dua hari perayaan (aidil fitri dan aidil adha) yang lebih baik dari perayaan yang kamu sambut ini ”. Lantaran itulah, aidil fitri dan aidil adha di sambut oleh seluruh umat islam.

Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ini.

Syeikh Abdullah: Pertama, kita membersihkan diri pada awal pagi, mandi sunat aidil fitri atau pun aidil adha. Kita memakai pakaian yang bersih dan pakaian yang menutup aurat. Jangan makan sehingga selesai menunaikan solat sunat aidil adha. Berbeza dengan hari raya fitri kita disunatkan makan sedikit dahulu sebelum pergi bersembahayang sunat aidil fitri, tetapi aidul adha kita disunatkan jangan makan sehingga kita selesai menunaikan solat sunat hari raya. Apabila sampai di tempat solat, jangan gopoh mencari tempat duduk , jangan sampai menyinggung dan mengganggu
jemaah yang lain. Duduk di mana-mana ruang yang ada. Kita juga disunatkan bertakbir. Pada bila-bila masa, ketika memamdu, berjalan-jalan atau sekadar berehat-rehat. Untuk aidil adha kita disunatkan bertakbir bermula dari waktu maghrib raya pertama sehingga selesai hari-hari tasyrik. Tetapi untuk aidil fitri kita disunatkan bertakbir pada satu syawal sahaja.
Solat sunat hari raya digalakkan dihadiri oleh semua orang islam., lelaki, perempuan, dewasa ataupun kanak-kanak. Hatta, wanita yang di dalam haid pun digalakkan untuk hadir dan berkumpul sekadar mendengar khutbah hari raya. Setelah selesai solat, dan pulang ke rumah masing-masing, kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berlainan dari jalan yang kita gunakan untuk pergi bersolat tadi. Kita juga disunatkan untuk menyembelih binatang qurban, lembu, unta, kambing dan lain-lain. Jangan lupa untuk mengziarahi saudara-saudara dan sahabat taulan kita yang lain. Terutamanya saudara-saudara kita yang kurang kemampuan.

Adakah amalan menziarahi kubur, yang sering dilakukan oleh orang-orang Islam di Malaysia, digalakkan pada pagi hari raya.

Syeikh Abdullah: Amalan menziarahi kubur adalah amalan yang baik. Tetapi ianya tidak sesuai dilakukan pada hari raya. Tujuan menziarahi kubur adalah untuk kita mengingati hari kemudian hari pembalasan . Suatu hari nanti kita pasti ke sana juga. Dan ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa. Setiap minggu misalnya, tetapi kenapa harus diadakan pada hari raya. Hari raya adalah hari untuk kita bergembira setelah selesai menunaikan ibadah utama dalam islam. Kadang-kadang kita mencampur adukkan adat-tradisi dengan ibadah, itulah yang menyebabkan keadaaan seperti ini berlaku.

Bolehkah Syeikh Abdullah mengaitkan kepentingan aidil adha dengan kehidupan kita seharian.

Syeikh Abdullah: Terdapat banyak kepentingan hari ini untuk difikirkan bersama, tetapi mungkin yang boleh saya fikirkan pada masa ini adalah, tentang betapa gahnya perhimpunan yang sedang berlaku di tanah suci Makkah. Betapa ramai manusia dari serata dunia datang semata-mata mencari keredhaan Allah dengan melakukan ibadah haji dan pelbagai ibadah yang lain. Kita perhatikan jemaah haji yang datang itu sama sahaja pakaiannya dan tuntutannya. Tidak kira darjat dan keturunannya, raja, pegawai besar ataupun pekerja biasa. Semuanya sama sahaja. Begitulah kita di sisi Allah, hanya ketakwaan kepadaNya sahaja yang membezakan kita.

Apakah nasihat Syeikh Abdullah kepada pembaca untuk menghidupkan suasana hari raya di sini.

Syeikh Abdullah: Di Australia kita adalah golongan minoriti, jadi kalau hendak dibandingkan sambutan hari raya baik aidil fitri ataupun aidil adha memang banyak perbezaannya. Di negara yang majoriti penduduknya adalah umat islam seperti Malaysia ataupun Arab saudi, kita memang dapat merasakan suasana perayaan dengan jelas. Di sini, suasana sebegitu memang tidak dapat dirasakan sekiranya tiada usaha-usaha untuk menghidupkannya. Cadangan saya kepada semua umat islam yang menyambut hari raya di sini adalah: pertama kita bersedia sebelum hari raya lagi. Luangkan hari itu untuk sambutan perayaan. Sebagai seorang pelajar misalannya, dan hari raya tidak jatuh pada hari cuti sekolah, kalau terlalu sibuk, sekadar meluangkan masa untuk bersolat sunat dan mendengar khutbah mungkin tidak menjadi masalah. Kita boleh memberitahu orang-orang berkenaan tentang kebesaran hari raya di kalangan umat islam. Saya percaya mereka memahaminya. Kedua elakkan dari tidak bercampur dengan masayarakat Islam yang lain. Jangan menyambut hari raya bersendirian atau di dalam kelompok yang amat kecil. Atau tidak ada semangat kemasyarakatan langsung, sehingga tidak mengendahkan perayaan ini. Hari raya tidak datang setiap masa, kenapa harus membiarkan ianya berlalu begitu sahaja? Di samping itu kita jangan lupa untuk menziarahi saudara mara kita yang bersama-sama menyambut hari ini. Elakkan diri dari melakukan perkara yang boleh menyinggung perassan mereka. Kita berpakaian ‘baru’ dan melemparkan wajah yang manis kepada mereka. Amalan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan adalah suatu amalan yang mulia. Tapi kita perlu ingat pergaulan dan sambutan itu, janganlah sampai melibatkan perkara-perkara yang di luar batasan yang dibenarkan oleh Allah Taala dan RasulNya.

Hari ni aku sakit kepala sikit. Kurang kemampuan untuk tulis. Jadi, alang-alang aku da jumpe serba sedikit untuk dikongsi, maka sama-samalah kita mengambil manfaat daripadanya dengan mengamalkan apa yang telah diberitahu. Sekian… =)

Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada engkau, dengan berjalan kaki dan (hatta) menaiki menaiki unta kurus, mereka akan datang dari segenap pelusok dunia (untuk mengerjakan haji)

Al Hajj-27

Monday, December 10, 2007

Sejarah..oh sejarah...

Em, kali ni tangan gatal ni nak beritahu sedikit tentang sejarah. Semestinya terlalu banyak sejarah yang telah tercipta di dunia ini sejak dari penciptaan Nabi Adam a.s., malah sebelum itu lagi. Apa yang telak berlaku, atau 'perkara lepas' bolehlah dikatakan sejarah. Hatta bagi diri seseorang itu pun terdapat sejarah bagi dirinya sendiri. Ini bermakna, kalau ada 4000 orang di dalam satu taman perumahan, maka terdapat 4000 sejarah yang telah berlaku.

Namun, bukanlah sejarah yang berbentuk demikian yang ingin dibicarakan. Akan tetapi sejarah yang berbentuk formal, yang telah tercatat dan tercatit. Banyak sejarah yang boleh didapati. Antaranya sejarah penaklukan kota Konstinople, sejarah Renaissance, sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu dan lain-lain lagi. Sejarah-sejarah tersebut hendaklah dipelajari, dihayati dan seterusnya diteladani. Apa yang buruk dijadikan sempadan dan apa yang baik, hendaklah dijadikan ikutan. Seseorang yang dapat menghayati sejarah, maka kelangsungan hidupnya akan menjadi lebih cemerlang berbanding orang yang hanya mempelajari sejarah, tetapi tidak mahu mengambil iktibar daripadanya.

Sesungguhnya penghidupan kita di muka bumi ini adalah berbentuk 'ubudiyyah yakni memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t. setiap apa yang berlaku, pastilah ada dan perlu kepada hubungan kepada Maha Pencipta. Kerana Dia menjadikan kita, bukanlah tanpa tujuan. Kita dicipta adalah semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Maka, setiap inci kehidupan kita hendaklah kita pastikan ianya adalah sebagai ibadah kita kepada Rabbul Jalil. Sebagai panduan bagi diri kita untuk mencapai tujuan tersebut, maka tidak boleh tidak kita menoleh ke belakang melihat dan seterusnya mengahayati sejarah yang telah berlaku. Maka, bagi sesiapa yang tidak suka subjek sejarah, jangan terlalu melulu menyatakan ketidaksudian untuk mempelajari sejarah. Kerana kehidupan lalu para Nabi, Rasul, sahabat, ulama', khalifah, mahupun para wali Allah, itu semua termasuk dalam konteks sejarah. Adalah songsang bagi diri kita sebagai seorang muslim tidak mahu mempelajari lantas mengahayatinya.

Setelah kita mempunyai sejarah (pengalaman) mempelajari subjek sejarah di sekolah rendah mahupun menengah, adakah kita dapat merasakan 'ubudiayah kita kepada Allah? Sejarah yang kita pelajari berkaitan zaman permualaan tamadun manusia yang didakwa bermula pada zaman Paleolitik iaitu lebih 30,000 tahun yang lampau. Sejarah pembinaan empayar Melaka dan kemerosotannya. Sejarah penjajahan yang semestinya sangat 'hitam' dan memeberi kesan yang sangat mendalam. Sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan kelangsungannya sehingga ke hari ini. Kita juga mempelajari sejarah dunia yang bekaitan dengan tamadun Yunani, Rom, China, Mesopotamia, India dan Islam. Andai direnung kembali, adakah kita memperolehi sesuatu dalam hubungan kita kepada Allah s.w.t.? Sekiranya ada, pasti ianya sangat sedikit. Andaipun kita telah mempalajari sejarah tamadun Islam, namun kebanyakan sumbernya bukanlah daripada sumber Islam, tetapi sumber yang telah bercampur dengan kata-kata orientalis dan sebagainya.

Bagaimana mungkin, kehidupan kita sebagai ibadah ini mampu kita kecapi andai sejarah ini yang kita agung-agungkan? Bagaimana mungkin kehidupan kita ini yang memerlukan kepada petunjuk dan sumber rujukan, tidak diminati oleh sesetengah golongan daripada kita? Maka, persoalan timbul. Apakah sejarah yang aulawiyat untuk dipelajari?

Andai kita telah bersetuju mengatakan bahawa sejarah-sejarah tadi tidak mempu membimbing kita kepada 'ubudiyah kepada Allah, maka apakah sejarah yang perlu kita berikan perhatian. Maka, tidak lain dan tidak bukan ialah sejarah para Nabi, Rasul, khalifah Islam, ulama', para wali dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sejarah terbaik yang kita perlu dalaminya terlebih dahulu adalah sejarah junjungan mulia Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Inilah sejarah yang menjadi punca, akar, tapak dan asas bagi sejarah kecemerlangan tamadun Islam dan individu kemudiannya.

Dr, Khalid Syakir 'Athiyyah Sulaiman, pensyarah dan Ketua Jabatan Hadith wa 'Ulumuhu Universiti Al-Azhar di dalam kitab Rawa'ing min al-Sirah al-Nabawiyyah menyenaraikan lima kepentingan mempelajari sirah al-nabawiyyah. Secara umumnya ia bertujuan memberikan gambaran hakikat 'Muslim' yang sebenarnya dalam persprektif Islam di dalam masyarakat yang dijelmakan dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah kita dapat memahami prinsip-prinsip sejarah baginda, kaedah-kaedah dan hukum-hukum yang terpelihara daripada sebarang kebatilan.

Pertama, pemahaman terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. (sahsiah kenabian) daripada setiap sudut kehidupan baginda adalah untuk menguat dan membenarkan bahawa Nabi Muammad itu bukanlah daripada orang yang cerdik pandai di kalangan kaumnya (dalam menyampaikan dakwahnya). Akan tetapi diri, tingkah laku dan kehidupan baginda telah dituntun dan dibimbing oleh wahyu serta taufiq hidayah daripada Allah s.w.t.

Kedua, manusia umumnya akan memperolehi dalam diri baginda itu gambaran bagi contoh atau tauladan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan daripada kehidupan Rasulullah s.a.w. yang merupakan kehidupan yang penuh dengan kebaikan. Supaya tauladan daripada kehidupan baginda dijadikan sumber yang menjadi pegangan, yakni pegangan yang memudahkan bagi manusia, yang tiada keraguan di dalamnya. Adalah penting bagi setiap manusia mengkaji 'contoh yang terbaik' ini serta diamalkan di dalam kehidupan mereka. Ini adalah kerana terdapat gambaran yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan manusiawi. Sesungguhnya kehidupan dan keperibadian Muhammad s.a.w. adalah yang teragung dan sempurna.

Kita adalah manusia. Maka Allah mengutuskan utusanNya juga daripada golongan manusia agar secocok dengan sifat dan tabiat manusiawi keseluruhannya. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik kamu…" (surah al-Ahzab 33:21).

Ketiga, di dalam pembelajaran sirah Nabi, manusia akan memperolehi sesuatu yang dapat menolong mereka dalam memahami Kitabullah serta merasai roh dan matlamatnya (al-Qur'an). Ini kerana terdapat banyak daripada ayat-ayat al-Qur'an yang memberi tumpuan dan tafsiran terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku serta kaitannya dengan Nabi.

Keempat, terkumpul banyak di dalam pembelajaran sirah Nabi ini perbincangan mengenai budaya dan tamadun serta keilmuan Islam yang sahih. Samada ia bekaitan dengan aqidah, hukum-hakam dan juga akhlak. Malah, tiada sebarang keraguan dalam kehidupan baginda yang gambaran mengenai keperibadiannya terjelma lantas menerangi masyarakat awal Islam.

Kelima, ia menjadi panduan bagi para pengajar dan para pendakwah Islam mengenai wasilah-wasilah tarbiah (mendidik) dan ta'lim (mengajar). Ini disebabkan Nabi Muhammad merupakan seorang murabbi yang baik serta mu'allim yang menasihati dalam memberi panduan yang terbaik dalam setiap aspek pentarbiahan dan pengajaran yang berbeza dalam tiap-tiap peringkat dakwahnya (dakwah di Mekah adalah berbeza dengan dakwah di Madinah).

Inilah dia sejarah yang wajib bagi kita sebagai muslim menghayatinya. Inilah sejarah yang sangat sesuai dan tepat dengan tujuan manusia ini dijadikan serta sebagai panduan dalam melaksanakan amanah khalifah di muka bumi.

Wallahu a'lam…

Menjana Mahasiswa Muslim yang Unggul

Prolog
Menjana boleh ditakrifkan sebagai menghasilkan, melahirkan, mengeluarkan sesuatu. Mahasiswa didefinisikan sebagai penuntut di institusi-institusi pengajian. Golongan mahasiawa biasanya merupakan golongan yang ideal dalam sesebuah masyarakat. Ini adalah kerana golongan mahasiswa yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda baik lelaki mahupun wanita merupakan penerus atau penyambung bagi generasi keintelektualan dan kepimpinan akan datang. Istilah mahasiswa Islam menjadi lebih dinamik dan istimewa disebabkan peranan dan tanggungjawab yang dipikul iaitu sebagai khalifah di muka bumi. Peranan yang sangat tinggi martabatnya iaitu mendaulatkan kalimah Lailaha illah Muhammad Rasulullah.
Unggul bermakna melebihi atau mengatasi yang lain dari segi kebaikan, kebijakan, kecekapan dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan sebagai teristimewa dan terutama. Seseorang yang unggul merupakan individu yang mengatasi dan melebihi dalam kebanyakan hal berbanding orang lain. Keunggulan individu atau masyarakat bermakna kelebihan, keistimewaan dan keutamaan individu atau masyarakat tersebut berbanding yang lain.

Bagi membentuk dan seterusnya melahirkan mahasiswa muslim yang unggul, haruslah ditekankan faktor pendorong yang mengarah kepada menjadikan teori tersebut sebagai suatu realiti. Jalan untuk mencapainya hanya satu iaitu mula berubah dan bertindak. Ia perlu dilaksanakan dari peringkat permulaan dibantu dengan keinginan dan kehendak yang tinggi daripada setiap individu mahasiswa Islam untuk berubah menjadi yang terbaik. Maka dengan itu, tiada penghalang untuk menjadikan segala rencah dan kesulitan yang dihadapi dapat ditempuh dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga meraka sendiri yang mahu mengubahnya.


Berakhlak Mulia

Tujuan utama Allah menjadikan manusia dan jin di dunia ini adalah semata-mata untuk beribadat kepadanya. Konsep beribadat tidak hanya tertumpu kepada ibadat khusus seperti yang digariskan di dalam rukun Islam, tetapi ia lebih umum dan mencakupi setiap pergerakan manusiawi. Ianya tidak dibatasi sekiranya ia dimulakan dengan niat kerana hanya niat yang membezakan ibadat dan adat.

Hati merupakan segumpal daging yang mengusai seluruh tubuh manusia. Hati yang suci akan lahir dan terserlah apabila kehendak dan tuntutan ibadat tersebut dilaksanakan tanpa paksaan den persoalan. Andai hati itu suci, bersih dan baik, maka akan baiklah segala yang terzahir daripada perwatakan dan keperibadiannya. Sesungguhnya apa yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap hamba-hamba-Nya merupakan yang terbaik dan Dia Maha Mengetauhi segala kesudahan-Nya. Hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam dengan melaksanakan segala tuntutan-Nya disamping menjahui segala larangan-Nya
Jika dihayati, ibadat khusus mendidik dan mengajar kita untuk memastikan segala perbuatan kita hanya kerana Allah dan kehidupan kita keseluruhannya tunduk kepada kehendak dan peraturan-Nya. Itulah yang menyebabkan bermulanya bibit-bibit akhlak mulia. Beribadat kepada Allah dengan merasakan keagungan-Nya beserta kehinaan diri akan menimbulkan dari dasar hati bahawa sifat kesempurnaan itu hanya milik Allah dan selain daripadanya tidak sempurna dan penuh dengan kekurangan. Dengan itu akan lahir dari hati tersebut untuk tidak merasakan diri itu lebik baik dan mulia daripada orang lain. Maka dari situ akan lahirlah sifat-sifat mahmudah seperti haya’, zuhud, wara’, sabar, qana’ah, husnu dzan dan amanah.
Sifat-sifat mahmudah tadi apabila telah meresap masuk dalam keperibadian setiap mahasiswa Islam, maka akan terhindarlah pula ia dari sifat-sifat yang mazmumah. Akan terhindarlah dari dirinya sifat-sifat seperti ghibah, namimah, riya’, `ujub, takabbur, su’u dzan, ghadab dan khianat. Akan terhindarlah sifat ego yang salah dalam diri dan dengki terhadap orang lain. Sifat ego yang di dalamnya terbentuk dari pelbagai sifat mazmumah. Apabila dianggap dirinya sahaja yang baik, sempurna dan betul, akan hilanglah sifat adil, perikemanusiaan, pemaaf dan husnu dzan. Sifat ini akan memecahkan ukhuwah islamiyyah kerana antara faktor penyatuan umat Islam selain pegangan aqidah, adalah disebabkan pengaliran roh akhlak islamiyyah dalam jiwa setiap muslim. Menyayangi sesama muslim. menghormati penganut agama lain, bersikap saksama dengan orang yang berlainan ideologi dalam perkara kemanusiaan disamping mempersembahkan contoh tauladan yang baik.

Itulah ia dasar akhlak Islam. Apabila merasakan diri tidak sempurna, hanya Allah yang bersifat sedemikian, maka akan luhurlah budi dan jiwanya. Menghormati orang yang lebih berusia, lebih berpengalaman, lebih berilmu dan lebih amal kebaikannya. Bagi mencapainya, proses tazkiyatun nafs perlu dilakukan. Sentiasa bermuhasabah akan kebaikan dan keburukan kita kepada orang. Merenung akan keagungan kejadian Allah, segala rahmat dan nikmat-Nya, menghayati betapa kerdilnya diri kita berbanding kekuasaan-Nya. Lahirlah perasaan saling menghormati, memaafi, bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan sebagainya. Kerana merasakan tidak layak dan siapa diri kita untuk merasa sombong, tidak memaafkan kesalahan orang lain dan m erasakan diri berul dalam segala-galanya.

Hendaklah konsep ibadat ini dihayati sepenuhnya dengan penuh keikhlasan dan kesedaran, maka roh Islamiyyah yang merangkumi kemuliaan akhlak, keluhuran budi dan pekeri mulia tadi akan terus-menerus mengalir dan menyinar menggambarkan keindahan Islam dan penganutnya khususnya jiwa setiap mahasiswa Islam yang unggul.

Membudayakan Ilmu

Islam telah menetapkan bahawa menuntut ilmu bagi semua penganutnya merupakan suatu kefardhuan tanpa dibatasi oleh peringkat usia. Ilmu, iman dan amal merupakan gabungan tiga dimensi yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Pelbagai faedah dan kemuliaan yang diperolehi apabila seseorang itu mampu menjadikan tiga dimensi tersebut sebagai teras kehidupannya. Ilmu dicari tanpa mengenal masa, tempat, keadaan dan kepayahan. Bukankah Allah s.w.t. telah mengangkat orang-orang beriman daripada para hamba-Nya beberapa darjat sekiranya mereka berilmu?
Orang yang membudayakan ilmu dalam kehidupan sehariannya adalah mereka yang telah terkesan daripada akhlak dan penghayatan pengibadatan kepada Allah dengan erti kata yang sebenarnya. Apabila ilmu meningkat, maka semakin bertambah kewarakan seseorang. Merasai akan Maha Luasnya ilmu Allah s.w.t. dan betapa sedikitnya ilmu yang tersimpan di dalam dadanya, maka makin bertambahlah ketaqwaan kepada Allah. Mereka akan dapat menghayati kekuasaan, keagungan dan kemuliaan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berasa takut (semakin hampir) kepada Allah daripada golongan hamba-hamba-Nya adalah terdiri daripada golongan ulama’ (golongan berilmu).

Medium utama bagi seseorang yang membudayakan ilmu dalam kehidupannya adalah dengan proses membaca. Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan-Nya Muhammad s.a.w. adalah wahyu yang berbentuk perintah, dan perintah tersebut adalah membaca. Sesungguhnya pengantaraan utama ilmu Allah itu kepada hamba-Nya adalah melalui pena iaitu ilmu yang haq dan benar, kalamullah Al-Qur’an dan sabda Nabi-Nya Muhammad s.a.w. Selain itu, sesuatu ilmu itu dapat diperolehi juga dengan cara observasi, pengkajian, penganalisian, penghayatan, pengkajian atau penyelidikan dan sebagainya. Proses pengkajian, pembacaan dan sebagainya perlu berlaku berterusan dan meningkat setiap hari.
Ilmu perlu dituntut sehingga hembusan nafas terakhir. Kegemilangan tamadun Islam dahulu membuktikan bahawa ilmu pengetahuan menjadi tunjang utama kepada kejayaan, keharmonian dan kestabilan bagi sesebuah masyarakat mahupun negara. Sejarah telah menunjukkan bahawa cendiakawan agung yang dilahirkan oleh Islam merupakan cendiakawan yang memeilki kesepaduan ilmu. Mereka bukan sahaja pakar dalam sesuatu bidang, malah turut pakar dalam cabang-cabang ilmu pengetahun yang lainya.

Inilah yang mahu dilahirkan daripada mahasiswa Islam masa kini. Mahasiswa Islam bukan sahaja pakar dalam bidang agama, malah dalam masa yang sama pakar dalam ilmu ekonomi, sosial, strategi, mekanikal, teknologi maklumat, politik dan sebagainya. Mahasiswa yang mahu dijana adalah mahasiswa Islam yang serba serbi berilmu dan berpengetahuan dalam segala lapangan ilmu. Mahasiswa Islam unggul yang mahu dilahirkan adalah mahasiswa yang memilki kesepaduan ilmu dalam dirinya. Apabila turun kepada masyarakat, bukan sahaja mampu berpidato mengenai Islam, tetapi juga dalam hal kontemporari. Percayalah, sekiranya ia dapat diaplikasikan di dalam jiwa setiap mahasiswa Islam, maka mereka akan merasai sendiri akan kemanisannya andai ilmu yang penuh di dada itu hanya menunggu masa untuk diluahkan kepada mayarakat dengan berbakti kepada mereka.

Berketerampilan dan Berdaya Saing
Mahasiswa Islam yang berilmu, menjadikan cara pemikiran mereka bertambah dinamik dan terkehadapan, tidak jumud. Mereka akan lebih banyak melakukan penilaian dan peka terhada apa yang berlaku di sekeliling mereka. Andai wujud masalah, mereka akan prihatin dan tangkas berfikir mencari jalan penyelesaian. Kesemuanya akibat gabungan ilmu dan iman yang tersimpan di dada yang telah menjadi satu untaian hikmah kebijaksanaan dalam menghadapi pelbagai situasi baik dalam kondisi selesa mahupun tertekan.

Ilmu dan pengalaman akan menjadikan seseorang mahasiswa Islam itu proaktif, tidak jumud, kreatif, inovatif, berketerampilan dan berdaya saing. Mahasiswa Islam yang unggul seharusnya memiliki segala elemen tersebut. Ia merupakan sebagai suatu nilai yang sangat berharga dalam memartabatkan syiar Islam. Period mahasiswa adalah tempoh waktu di mana pemikiran dan tindakan mereka menuju ke arah kematangan. Jiwa mereka adalah jiwa yang membara dan dipenuhi dengan semangat yang membuak untuk berjuang demi Islam.

Seseorang mahasiswa Islam perlu mempunyai keyakinan diri. Mereka seharusnya memprsiapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Mahasiswa Islam perlu memilki karisma, kreibiliti dan daya saing yang tinggi. Mereka harus berani tampil kehadapan memberi idea, mengkritik dengan niat untuk memperbaiki, menyatakan kebenaran disebalik kesalahan yang mendominasi dan berani menegakkan kebenaran serta keadilan dalam kafasadan yang berlaku di kalangan masyarakat.

Mahasiswa yang berfikiran dinamik, kreatif dan inovatif adalah mahasiswa yang sentiasa berfikir bagaimana untuk membantu rakan-rakan dan seterusnya masyarakat ke arah kegemilangan. Mereka akan sentiasa berfikir cara untuk mencapai matlamat tersebut. Mereka akan mewujudkan usrah, menyusun program-program motivasi dan pembinaan syakhsiah serta merancang aktiviti untuk mereka hampir dengan masyarakat disamping berdakwah kepada mereka dengan membawa nilai-nilai murni Islam yang sebenar. Mahasiswa yang proaktif tidak akan hanya menumpukan sepenuh masa dan usianya hanya terhadap pelajarannya, tetapi terlibat secara aktif dengan program-program kemasyarakatan disamping meningkatkan nilai tambah (value added) diri mahasiswa. Mahasiswa Islam yang berdaya saing tidak takut untuk mencuba sesuatu perkara yang baru demi kemaslahatan Islam sejagat. Mereka tidak hanya bergoyang kaki terlena dengan kesenangan dan keselesaan, tetapi sentiasa berfikir bagaimana menjadikan umat Islam menjadi umat yang terbaik dalam erti kata yang sebenar.

Konklusi
Inilah dia mahasiswa yang mahu dijana dan dilahirkan. Sesungguhnya peranan mahasiswa dalam memperbaiki keadaan umat masa kini adalah sangat penting dan tentunya telah tertaklif di atas bahu setiap daripada mereka. Marilah wahai sahabat mahasiswa Islamku, jangan kita mudah terpesona dan terpengaruh dengan slogan `muda hanya sekali` atau `zaman remaja hanya sekali`. Mahasiswa Islam harus menyedari peranan mereka dalam mendaulatkan kalimah agung Lailaha Illallah Muhammad Rasulullah. Jiwa setiap mahasiswa Islam wajib berpegang kepada prinsip dan janji ini. Semoga kita menjadi kebanggaan junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat kelak yang mana kita adalah salah seorang yang menjadikan perjuangan dakwah Islam sebagai matlamat utama hidup ini.
Sesungguhnya, solatku, amalanku, hidupku dan matiku adalah semata kerana Allah...

Sesungguhnya, setiap aliran darahku, setiap sedutan nafasku, setiap degupan jantungku, setiap gerakan tubuhku, setiap lintasan fikiranku, setiap masa dan waktuku, setiap inci kehidupanku adalah semata untuk ISLAM. Akan ku perjuang dan pertahan kesucian agamaku ini sehingga titisan darah yang terakhir. Matiku adalah mati syahid dan matlamat hidupku adalah mencari keredhaan-Mu, wahai Tuhan Pemilik segala qudrat dan kekuasaan...
-deepthinkerz-

Aku dan kau siapa? Siapa pula Dia?

Em, bile aku tengok dokumentari 'Rahsia Di Sebalik Jirim' karya Harun Yahya, aku terpikir, tak pernah lagi aku tengok sesuatu dokumentari sehingga ke hari ini aku masih terbayang dan teringat apa yang ditayangkan di dalam dokumentari tersebut.

Secara ringkasnya, apa yang diperkatakan adalah mengenai hakkat sesuaru jirim. Mase di sekolah pun kita telah mengetahui apakah itu jirim. Namun, jangan tersilap tafsiran jirim dan jisim. Ia adalah sesuatu yang berbeza namun boleh wujud bersama dalam satu waktu. Jirim bolehlah ditakrifkan sebagai zat atau dalam bahasa arab 'ain yakni sesuatu benda. Kau sedang membaca blog ini dengan melihat kepada skrin monitor atau laptop. Skrin atau laptop tersebut adalah jirim. Namun, jisim ialah berat bagi monitor atau laptop tadi. Akan tetapi, dalam istilah sains, berat dan jirim adalah perkara yang berbeza tetapi membawa makna yang sama terhadap jirim tadi.

Skrin computer atau laptop yang kau sedang lihat di hadap mata di saat ini, adakah ianya benar-benar wujud? Atau ianya hanya sekadar pemikiran fantasi otak?

Baiklah, bagaimana kita dapat melihat skrin computer dan kita dapat membaca apa yang tersedia di situ? Mengikut sains, apa yang dilihat adalah hasil daripada cahaya jirim yang kita lihat. Bermakna, cahaya daripada skrin computer telah memasuki bahagian-bahagian mata, ditumpu kepada satu titik dan akhirnya ditukar kepada bentuk cas elektrik. Cas ini kemudiannya dihantar ke otak untuk ditafsir melalui saraf dan neuron-neuron. Akhirnya, huruf-huruf yang telah tersusun, dianalisis dan ditafsir oleh otak, sehinga kita mampu memahami apa yang diamksudkan oleh susunan huruf-huruf tersebut.

Sama juga hal keadaannya apabila kita yang menekan butang keyboard serta menggerakkan mouse komputer. Apa yang disentuh bukanlah jirim keyboard atau mouse tersebut, tetapi ia adalah hasil daripada tafsiran otak yang diterima daripada reseptor deria dalam bentuk cas elektrik, melalui saraf dan dihantar ke otak. Maka, ini bermakna apa yang dilihat, dirasa, didengar, dihidu dan disentuh hanyalah berada di OTAK kita. Kerana segalanya yang berlaku di sekeliling, yang dapat kita fikirkan sekarang adalah hasil daripada pentafsiran otak. Semuanya di otak…

Cube kita fikir bagaimana pula ketika kita sedang bermimpi. Sedang berada di tepi laut. Di dalam mimpi kita dapat merasakan tiupan angin. Kita dapat rasakan pepasir yang dipijak, kita dapat rasakan sentuhan terhadap batu yang kita baling ke tengah laut, serta dapat merasakan kesejukan air laut. Namun, apabila kita berada si alam nyata, apakah sama apa yang kita rasakan dengan apa yang kita lalui di alam mimpi tadi? Dalam mimpi, kita dapat merasakan semuanya dan ia sama dengan realiti yang kita hadapi. Maka, apakah beza antara keduanya? Apakah yang di dalam mimpi tadi benar-benar wujud? Manakan apa yang dirasa di dalam mimpi dan dunia nyata sama? Padahal mimpi itu tidak wujud, hanya daripada tindakan otak. Maka, apakah sebenarnya yang wujud sedangkan jirim yang dirasa di dunia nyata dan di dunia mimpi adalah sama?

Apa yang berlaku di sekeliling kita adalah hasil daripada tafsiran otak melalui pemikiran yang telah dituntun secara pengalaman dan wahyu melalui pancaindera yang enam. Maka, hakikatnya apa sebenarnya yang wujud secara mutlak?

Kenapa dengan Aku, Kau dan DIA??

Aku,

Ya, pastinya aku seperti mana manusia yang lain, lemah. Sangat-sangat lemah. Langsung tiada daya upaya melainkan atas kuasa yang Maha Hebat. Hatta untuk membuka dan menutup kelopak mata ini. Hatta semudah tanpa kawalan, sedutan dan hembusan nafas ini. Aku yang pasti pernah melakukan kesalahan dan kesilapan. Antara sesama manusia, kau, alam, mahupun kepada Dia. Dan semestinya ia menyalitkan ke dalam jiwa dan hati aku satu titik dosa dan satu titik hitam. Dan aku sungguh, tidak aku ketahui di mana dan siapa aku di sisi kau dan di sisi Dia. Tapi aku lebih mengharapkan kedudukan yang lebih baik daripada Dia berbanding kau...


Kau,

Semestinya kau juga sepertiku, seorang manusia. Namun aku pasti kau juga telah melakukan apa yang aku telah lakukan. Dan sesungguhnya titik hitam dan dosa itu pasti ada kerna kau bukan Nabi. Tapi, kau pastina lebih baik dan mulia dariku. Bagaimana pula hubungan kau dengan aku dan selain daripada aku? Bagaimana hubungan kau dengan Dia? Pasti kau juga mengharapkan seperti aku sesuatu yang lebih baik daripada Dia, bukan dari aku mahupun selain aku. Hanya dari Dia, tiada selain Dia...


Dia,

Aku masih tidak diberi peluang untuk berjumpa dengan Dia. Mungkin kerna titik hitam dan dosa yang aku lakukan. Adakah Dia sudi berjumpa dengan aku mahupun kau, tatkala diri kau masih kotor dan berterusan kotornya? Aku dan kau 'pasti' akan pertemuan yang telah dirancang, cuma tidak tahu di mana dan bila. Dan pertemuan itu 'la budda' berlaku, kerna Dia yang mahu aku dan kau menghadap Dia. Aku tak tahu adakah aku dapat berjumpa dengan Dia dan aku jika tidak tahu dari belah mana kitab aku akan diberikan oleh Dia pada 'hari' itu nanti. Kau tahu? Kalau kau pun tak tahu, maknanya kau tak bolah mencacai aku. Lebih-lebih lagi, pastinya aku juga tidak boleh mencaci kau. Aku dan kau tiada apa-apa, jangan kau berdabik dada dengan aku akan diri kau, dan aku tidak juga boleh berdabik dada akan diri kau pada aku. Adakah kau tahu kedudukan kau sebernya di sisi Dia? Aku juga tidak tahu. Aku pastinya adalah orang yang ada salah dan silap seperti kau. Antara aku, kau dan Dia, hanya Dia segalanya bagi apa yang ada di langit dan di bumi serta di antara keduanya...